Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 15

SETITIS air jernih jatuh perlahan ke pipi. Tangannya pantas menyeka air jernih itu dari wajahnya. Kali ini hatinya benar-benar tergores. Sebaik Andriy mematikan talian, Zafeeya tahu tanggapannya selama ini tak salah. Dia saja yang selalu paksa diri untuk bersangka baik.

Telefon digenggam erat. Zafeeya ketapkan bibir. Nafasnya ditarik dan dihembus perlahan-lahan. Egonya digunungkan semula dalam menerima hakikat bahawa sememangnya Andriy sudah berhenti mempedulikannya. Perasaan sebalnya terhadap Andriy dia jadikan pujukan agar air matanya tak terus mengalir.

Dengan hati yang berat dan perasaan yang berbaur, dia melangkah seiring dengan seorang pegawai polis. Semakin lama, semakin mereka menjauh dari rumah itu...

ANDRIY menghentakkan tetikus daripada gengamannya. Tubuhnya yang disokong kerusi pejabat disandarkan.

Dua, tiga kali keluhan dilepaskan sambil tangannya meraup wajah. Mata terus difokuskan pada skrin komputer, merenung rekod kewangan yang asyik disalah kira.

Sejak menerima panggilan daripada Zafeeya pagi tadi, Andriy dapati dirinya gagal untuk fokus. Dia tak keruan.Walau dia cuba sembunyikan, namun hatinya terhurung dengan perasaan berang. Dia rasa kali ini Zafeeya benar-benar melampau.

Adakah ini personaliti yang jarang dijumpai yang pernah dikatakan Chee Keong? Adakah orang yang bernombor 22 memang berciri-ciri pelik sebegini?

Andriy lunjurkan semula tubuhnya ke meja. Tangannya mula menaip pada papan kekunci komputer.

Terdetik hatinya untuk mengkaji semula pernomboran yang amat diminati Chee Keong itu. Lagipun, ilmu itu tak pernah dia habis selidik.

Satu per satu ciri-ciri nombor dia baca. Bermula dari ciri-ciri personaliti nombor satu hingga sembilan, sebelas dah akhirnya... Nombor 22.

The most powerful and potentially the most successful of all Life Path numbers.

Keterangan dari Internet itu membuatkan Andriy termenung sejenak. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Tubuh kembali disandarkan ke kerusi sambil kedua-dua belah tangannya disilangkan ke dada.

Mata terus digamkan di skrin. Maklumat lebih terperinci terus dibaca dan difahamkan semula.

"Mempunyai kefahaman spiritual yang tinggi, kebolehan untuk mengaplikasikan pengetahuan dalam cara yang praktikal seterusnya berpotensi untuk mencapai kejayaan yang besar," gumam Andriy dengan dahi yang berkerut.

Inikah ciri-ciri yang begitu didambakan Chee Keong?

Bagi Andriy, ciri-ciri ini tak ada apa yang bermakna. Tak adil melebih-lebihkan orang lain dengan cara begini.

Ya. Memang ada istimewanya orang yang bernombor 22 ni. Tapi, apa kurangnya nombor-nombor lain? Bukankah setiap orang ada kelebihan tersendiri?

Lagipun... Characteristic yang dikatakan tak semestinya benar-benar dimiliki oleh orang tersebut. Contohnya macam Zafeeya. Entah dekat celah mana dia mampu mengaplikasikan pengetahuannya dalam cara yang praktikal.

Sebab kalau dia mampu, dia takkan menceroboh tanah orang.

Dari segi kejayaan pula... Andriy mengetuk-ngetuk dagunya cuba memikirkan. Rasanya menjengkelkan hati seorang Andriy adalah kejayaan paling besar Zafeeya setakat ini. Heh!

Naluri kemanusiaan mula membisik jauh ke dalam hati kecilnya.

Bukankah tak adil dia membandingkan ciri-ciri positif yang dia baca tadi dengan ciri-ciri negatif yang dia nampak pada Zafeeya?

Detik hatinya itu membuatkan dia malu sendiri. Lalu dalam diam, dia cuba mencari pula sikap positif Zafeeya yang dia tahu.

Kabur... Mindanya kabur. Entah mengapa waktu ini yang dia nampak tentang Zafeeya semuanya negatif.

Ah! Andriy enggan berfikir lagi. Nyata. Ini cuma kepercayaan tahyul Si Chee Keong!

KAKINYA menekan brek dengan kasar apabila lampu isyarat bertukar merah. Niatnya untuk memecut ketika lampu kuning tak kesampaian.

Terlanjur keretanya berhenti melepasi garisan putih. Andriy merungut sendirian. Stereng ditampar dengan kasar.

Dia tak pasti mengapa dia perlu tergesa-gesa. Mungkin dia cuma melayankan hatinya yang tak senang apabila memikirkan dia tak dapat terus pulang ke rumah. Ada tempat yang perlu ditujuinya terlebih dahulu.

Sebenarnya dia berat hati untuk ke situ, untuk bersemuka dengan Zafeeya namun dia terpaksa.

Tengah hari tadi, dia sekali lagi menerima panggilan daripada Zafeeya. Suaranya kedengaran lebih tenang namun panggilan itu dibuat dari balai polis.

Bijak Zafeeya. Dia sudah boleh membaca bahawa Andriy tak akan menjawab andai panggilan dibuat dari telefon bimbitnya.

Namun, bukan itu yang membuatkan Andriy susah hati. Hatinya tak keruan apabila Zafeeya memberitahu dia telah dibawa ke balai polis dan mungkin akan didakwa kerana menceroboh. Andriy memang dah agak. Zafeeya memang suka buat masalah!

Dah pernah ditegur, tak nak dengar. Sekarang apabila perkara sudah terjadi, siapa juga yang dicari? Andriy juga yang dia susahkan!

Inilah yang membuatkan jiwa Andriy semakin terbakar. Memang tak kuasalah dia mahu meninggalkan kerjanya semata-mata untuk pergi menjemput Zafeeya di balai polis.

Dia memberitahu dia hanya akan datang setelah tamat waktu pejabat. Sengaja dia berbuat begitu. Biar kesabaran Zafeeya pula yang teruji.

Andriy memijak semula pedal minyak apabila lampu isyarat bertukar hijau. Matanya tertumpu pada jalanraya namun angannya masih runsingkan situasi yang sedang dihadapi.

Sedar tak sedar, Andriy sudah pun menghampiri balai polis yang dikatakan Zafeeya. Dia memakirkan keretanya di kawasan berdekatan.

Sebelum melangkah keluar dari perut kereta, dia sempat menenangkan diri. Apapun perasaannya ketika ini, tak wajar dia pamerkan di tempat awam. Lebih-lebih lagi balai polis.

Nanti tak semena-mena dia pula yang bermalam dalam lokap.

Selesai mengunci pintu kereta, dia mengayunkan kaki ke destinasinya. Andriy tak perlu mengambil masa mencari kelibat Zafeeya.

Sebaik sahaja dia tiba di hadapan pintu, dia nampak tunangnya sedang duduk di satu sudut balai. Tenang sahaja reaksi Zafeeya yang sedang bersembang dengan seorang jejaka yang tak Andriy kenali.

Apa yang pasti, lelaki tampan yang sedang berbual dengan Zafeeya itu bukan seorang pegawai polis.

Andriy mengerutkan dahi seraya merenung tajam ke arah mereka. Hatinya tambah terbakar. Sudahlah pagi tadi dia terpaksa melayan panggilan yang remeh daripada gadis itu.

Waktu tengah hari, Zafeeya mahu dirinya dijemput pula. Apabila dia datang untuk menjemputnya, dia sedang rancak berbual pula dengan lelaki lain. Amboi!

Sungguh, Andriy rasa ego lelakinya tercabar.

"Well, you look okay," tegur Andriy sebaik selesai berurusan dengan pegawai polis yang menyambut kedatangannya. Nada mesranya dipaksakan. Bengkak hatinya melihat Zafeeya yang tak peka dengan kehadirannya.

"Oh, awak dah sampai ke?" Zafeeya sedikit terpanar namun dia berupaya mengukirkan senyuman.

Andriy perhatikan sahaja tatkala Zafeeya menamatkan perbualannya dengan lelaki tadi. Gadis itu segera bangun dan dengan sopannya meminta diri.

Jejaka itu turut bangun untuk membantu mereka menyelesaikan segala urusan di situ sebelum mengiringi mereka keluar balai.

"Oh, lupa nak kenalkan. Ini Andriy... Tunang saya." Zafeeya memperkenalkan Andriy ketika mereka mula menapak ke arah pintu untuk keluar.

"Saya Ilhan." Ilhan memperkenalkan diri. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Andriy. Andriy menyambut tangannya sambil tersenyum palsu.

"Eh, kita boleh keluar aje ke? Bukan awak kena tangkap ke?" tanya Andriy kepada Zafeeya dalam nada yang perlahan. Zafeeya memberi jelingan tajam sebagai respons.

Andriy terkesima seketika. Jelingan yang diberikan segera mengaburkan lakonan mesra Zafeeya tika itu.

Rupa-rupanya gadis itu juga menyimpan perasaan marah terhadapnya sebagaimana dirinya sedang memendam geram terhadap Zafeeya.

Andriy tersenyum keji dalam hati. Kalau Zafeeya berani mencari gaduh, siaplah dia!

Dia yang buat salah, nak marah-marah orang lain pula!

"Tak... Saya tak berniat pun nak dakwa dia," jelas Ilhan yang terdengar soalan Andriy tadi.

Andriy mengalihkan perhatiannya kepada Ilhan. Soalan 'kau siapa?' tertampal di riak wajahnya.

"Saya tuan tanah rumah buruk tu. Saya dipanggil ke sini sebab polis beritahu ada orang menceroboh tanah saya. Tapi jangan risau. Saya takkan dakwa dia."

"Oh, ya ke? Terima kasih," ucap Andriy separuh ikhlas.

Dia bukannya berterima kasih kerana Ilhan tak mahu mendakwa Zafeeya, tetapi kerana Ilhan telah memudahkan kerjanya melepaskan Zafeeya daripada tahanan.

"You got a great girl," komen Ilhan sekilas.

"Yeah, I can tell," balas Andriy yang merasa terperli dengan kata-kata Ilhan.

Dia menjeling tajam ke arah Zafeeya. Zafeeya mencebik.

She's so great at being strange, gerutu jiwa Andriy.

"It's nice meeting you. Kami beransur dulu." Andriy meminta diri. Ilhan mengangguk faham seraya menghadiahkan mereka sebaris senyuman.

Mereka berpisah menuju haluan masing-masing. Andriy bergerak menuju ke keretanya bersama Zafeeya manakala Ilhan beredar ke kenderaannya.

Andriy sedikit pun tak menoleh ke belakang, ke arah Zafeeya yang sedang berat kaki mahu melangkah seiring dengannya.

"Cepatlah!" arah Andriy sebaik pintu keretanya dibuka. Dia lihat Zafeeya masih lagi menapak ke arahnya.

Zafeeya kuncikan bibir. Raut wajahnya ditayangkan neutral, tiada ekspresi walau waktu ini, dia sudah tak perlu berlakon mesra lagi.

Dia cepatkan langkahnya, menurut perintah Andriy. Masuk sahaja dalam kereta, dia duduk diam-diam.

Andriy menggeleng sambil melepaskan keluhan berat. Enjin kereta dihidupkan lalu dia terus memacu di jalan raya.

Sekali-sekala dia akan menoleh ke arah Zafeeya. Namun, wanita itu hanya melekapkan pandangan ke arah luar tingkap.

"Kan saya dah kata jangan pergi lagi dekat rumah tu. Nasib baik dia tak dakwa awak." Andriy memecahkan kesunyian yang melanda antara mereka.

Zafeeya menoleh ke arahnya. Raut wajahnya tak lagi neutral. Segala perasaan yang dia pendam dia pamerkan dengan jelas di mukanya.

"He's just being decent. Tak macam ada orang tu."

Andriy meleraikan tawa kecil yang sinis. Dia dapat merungkai maksud di sebalik ayat perli itu. Zafeeya sedang membandingkannya dengan Ilhan secara halus. Andriy rasa kelelakiannya tercabar.

"If he's decent, why didn't he offer you a ride home? Tak payahlah menyusahkan saya, kan?"

"Dia ada ajak. Saya yang tak nak. Saya nak awak yang datang jemput saya."

"Mengada-ada sangat kenapa?"

"Saya mengada-ada?" Zafeeya tertawa sinis.

"Awak memang tak pedulikan saya, kan? Sebab saya selalu rasa yang awak ni sebenarnya tak suka pun dekat saya. Pura-pura aje," getus Zafeeya.

Andriy terpempan seketika. Terngadah. Marahnya terhadap Zafeeya langsung terbantut.

Nampaknya dia tanpa sengaja telah cuai dalam tindakannya sehingga menyebabkan Zafeeya terkesan.

"Anna pernah beritahu, awak tak nak kahwin dengan pilihan mak awak. Sebab tu ke awak pilih saya?" hambur Zafeeya lagi.

Terkesima lagi Andriy dibuatnya. Tempayan betul mulut Anna. Kenapa perlu dia beritahu perkara itu kepada Zafeeya?

"Zafeeya... Cuba jangan fikir yang bukan-bukan. Saya ikhlas pilih awak," luah Andriy. Nada suaranya terus berubah lembut.

Dia perlu cuba memujuk walau terpaksa menipu dengan menyatakan keikhlasan walhal dia tak pernah ikhlas.

Dia sedar silapnya. Walaupun kebanyakan masa dia lupa bahawa dirinya sudah bertunang, tapi tak sepatutnya dia terlalu melayan Zafeeya seperti orang luar.

Tindakan yang dia ambil sepatutnya halus dan tak memberi kesan yang ketara terhadap perasaan gadis itu.

"Beritahu saya, macam mana saya boleh elak daripada fikir yang bukan-bukan pasal awak?"

"Well, for starters... Awak yang cari pasal. Saya dah cakap dah jangan pergi dekat rumah tu lagi, nanti awak dituduh men... "

"You hung up on me!" potong Zafeeya.

"How could I not? Awak tahu kan awak tak sepatutnya call saya kalau saya tengah kerja? Lagipun, panggilan awak yang pagi tadi tu memang tak boleh blah. Awak call saya pun, apa saya boleh buat? Cuba fikir!" bebel Andriy. Ton suaranya naik sedikit.

"Awak ingat saya tak fikir ke? Saya tahu awak memang tak boleh buat apa-apa. But, can't you at least say something nice? I was hoping that you would at least talk me into getting out of that place," bidas Zafeeya.

"Awak yang cari pasal. Kan saya dah kata!"

"Memang awak dah kata. Tapi awak tegur tu bukan sebab risaukan saya, kan?" Tebakan Zafeeya menyebabkan Andriy diam.

"Awak tahu tak kenapa saya dibawa ke balai? Sebab saya tak nak berganjak dari tempat tu. Bila saya fikir balik, saya rasa... Saya nak awak pujuk saya. You know why? Because I'm beginning to feel that maybe, just maybe... You actually didn't care about me at all!" Zafeeya berjeda seketika.

"Saja aje saya nak uji awak macam tu. Saya rasa saya betul. Awak sebenarnya tak sukakan saya. Dan untuk membuktikan lagi, saya telefon awak untuk ambil saya dekat balai polis. Awak tak nak. Awak suruh saya tunggu sampai awak habis kerja," tambah Zafeeya lagi.

"Yalah, awak ingat kerja saya tu main-main ke?" Andriy yang rasa tertampar dengan kata-kata Zafeeya itu hanya mampu meluahkan kata-kata kolot itu untuk membela diri.

"Habis, untuk awak saya ni mainan ke? Kalau nak, ambil... Kalau tak nak, tinggal?" soal Zafeeya sinis. Dia menyilangkan tangannya ke dada. Pandangan matanya dilemparkan ke luar tingkap.

Andriy menelan liur. Dia rasa bersalah. Dia sendiri pun terkejut apabila menyedari jawapan kepada soalan yang baru Zafeeya ajukan itu.

Ya. Dia cuma mainan...

Oh, tak! Bukan. Andriy setkan diri ke mod penafian. Dia enggan mengaku Zafeeya sebagai mainannya.

Bagaimana keadaan boleh berubah menjadi begini? Dia sebenarnya tak berniat pun untuk mempermainkan Zafeeya. Zafeeya tak sepatutnya berperasaan begini. Zafeeya tak sepatutnya mencari perhatian daripadanya.

Apa yang dia nampak, Zafeeya sudah mula menaruh hati padanya.

Andriy tak mampu menepis andaian bahawa Zafeeya sedang berusaha untuk mendekati dan menyayanginya. Andriy tak mahu dia berbuat begitu. Tetapi, bagaimana bisa dia sampaikan? Takkan nak cakap?

Terbongkarlah rahsia!

Benar kata Harraz. Perasaan orang lain tak boleh dikawal. Apa yang mereka fikir kadangkala tak boleh dijangka. Andriy mengeluh kecil. Mungkin sepatutnya dari awal lagi dia tak menggubah rancangan sebegini.

"Tinggalkan saya dekat rumah buruk tu." Tiba-tiba Zafeeya bersuara.

"Kenapa? Hari dah lewat petang ni." Andriy membantah.

"Basikal saya masih ada dekat situ."

"Ambil esoklah."

"Tak nak!"

Andriy tak membalas. Nada Zafeeya yang terlalu serius itu menggugat kekuatannya untuk terus membangkang.

Maka, dengan hati yang berat dia turutkan juga permintaan Zafeeya. Daripada beberapa permintaan yang dilakukan gadis itu hari ini, inilah satu-satunya yang dia tunaikan.

TENGOK! Dia tak pujuk pun aku untuk terus balik dengan dia, gerutu hati kecil Zafeeya.

Dia menaikkan tongkat basikal menggunakan kaki. Matanya mengekori kereta yang dipandu Andriy yang semakin mengecil dari pandangan.

Bukannya aku nak pun! Zafeeya terus mencebik.

Dia ayunkan sebelah kaki, menaiki basikal yang tadinya ditempatkan di tepi tembok rumah terbengkalai yang kini sudah tiada lagi.

Zafeeya mengalihkan pandangannya ke arah tapak yang sebelum ini menempatkan rumah usang kegemarannya. Pagi tadi, rumah itu masih wujud lagi. Kini, apa yang tinggal di hadapannya hanyalah sisa-sisa dinding yang telah dipecahkan. Dia menelan liur. Wajahnya ditolehkan semula ke hadapan, menghadap jalan raya berkerikil.

Air jernih mula terbentuk lagi di matanya. Dia terkenangkan langit cerah nan indah yang diperhatikannya pagi tadi. Catatan minda yang dibuat akan rona-rona yang terlukis di langit tadi masih segar dalam ingatan. Cuma, di mata mindanya dia ternampak warna-warna yang sugul dan muram, semuram hati nuraninya.

Mulai esok, tiada lagi rutin paginya. Tiada lagi tempat baginya menggamit ilham. Tiada lagi tempat baginya bermuhasabah. Tiada lagi tempat untuknya menikmati, menghayati dan mengagumi keindahan alam ciptaan Yang Maha Mencipta dengan perasaan penuh rendah diri. Tiada lagi tempat untuk dia memujuk diri untuk memaafkan Andriy.

Setiap pertemuan ada perpisahan. Setiap perkara ada ajalnya. Setiap kejadian ada hikmahnya. Zafeeya menyeka air matanya sambil kakinya mengayuh perlahan pedal basikal.

Biarpun hatinya sedih dan dia terasa kehilangan, apa yang lebih mengecewakan baginya adalah hakikat bahawa dia tak disebelahkan. Dia tak dibela mahupun dipujuk oleh lelaki yang bakal bergelar suaminya.

Mulalah dia rasakan bahawa segala hujah yang Andriy beri tentang menjaga batas pergaulan itu sebenarnya sekadar alasannya menjauhkan diri. Tetapi mengapa?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro