Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 13

"TOMATO lagi?" Andriy merungut tatkala matanya terlihat hirisan tomato yang dijadikan ulam untuk juadah makan malam.

Dia menarik keluar sebuah kerusi lalu melabuhkan punggungnya. Semua ahli keluarganya sudah pun duduk di keliling meja makan kecuali Encik Noah. Baru sahaja Andriy ingin bertanya ke mana ayahnya pergi namun mindanya pantas teringat bahawa ayahnya di luar negara atas urusan kerja.

"What's the problem?" soal Anna sambil menghulurkan sepinggan nasi kepada abangnya.

"Hari-hari tomato," rungut Andriy.

"Benda dah ada. Kalau tak guna nanti membazir," balas Anna tenang.

Ya. Andriy lebih daripada sekadar faham apa yang dimaksudkan Anna.

Sejak panggilan telefon beberapa minggu dahulu, Andriy mula menyedari bahawa Zafeeya kini menjadikan aktiviti memberi tomato kepada keluarganya sebagai tabiat mingguan. Setiap pagi Selasa, Zafeeya berbasikal ke rumahnya dengan membawa beberapa biji buah tomato sebelum Andriy bertolak ke tempat kerja.

Hobi Zafeeya berkebun. Di belakang rumahnya ada kebun sayur tetapi kebanyakannya pokok tomato. Kata Zafeeya, pokok itu sahaja yang nampaknya tumbuh subur di situ, jadi dia tanam banyak-banyak.

Memandangkan dia hidup seorang, buah tomato yang tumbuh di kebunnya bertimbun pula untuk kegunaan dirinya seorang. Sebab itu, dia suka memberi buah tomato yang ditanamnya kepada jiran-jiran dan orang lain.

Zafeeya tak suka rutinnya diganggu. Jadi, memandangkan dia sudah jadikan persinggahan di rumahnya sebagai rutin pada setiap hari Selasa, Andriy rasa baik dibiarkan sahaja.

Dia tak kesah untuk menerima pemberian Zafeeya. Bukannya kerana dia sukakan tomato tetapi kerana dia mulai sedar, tabiat baru Zafeeya telah menyebabkan gadis itu kurang mengganggunya dengan panggilan telefon yang tak penting. Hidupnya mula beransur tenang kembali.

"I think it's very nice of her to give us these tomatoes," komen Anna, cuba memeriahkan suasana makan malam keluarga mereka.

"Yalah. Bukannya abang makan pun tomato," ujar Andriy tawar sambil mencedok lauk sayur goreng ke atas pinggannya. Dia tak lokek berkongsi fakta yang sudah pun diketahui oleh setiap ahli keluarganya.

"Mak pun sama. Mak tak yakin dengan tomato yang dia bagi tu," kata Puan Nazmah sambil mencebik.

"Maksud mak?" soal Anna. Pandangan yang diasah dihalakan ke arah Puan Nazmah.

Andriy telitikan sahaja wajah Anna. Sejak dia bertunang, Anna dilihat semakin rapat dengan Zafeeya. Apabila Anna dapat menghidu bahawa emaknya tak sukakan Zafeeya, adiknya itu susah hati. Anna dan Puan Nazmah memang tak sebulu biarpun selama ini mereka sehati tak sukakan Shasha.

Dengan Zafeeya, mereka kini hilang persamaan itu. Kesimpulannya, makin keraplah mereka akan berbalah. Bersedia ajelah.

"Tadi mak lalu depan rumah Si Zafeeya tu. Rumah dia teruklah. Semak samun sana sini. Macam rumah terbiar. Tak terjaga langsung laman rumah dia," gerutu Puan Nazmah.

"Laman rumah dia memanglah tak cantik. Tapi, tak adalah sampai naik semak samun. Kalau rumput kat rumah dia panjang, dia upah tukang potong rumput untuk potongkan," jelas Anna.

Puan Nazmah pekakkan telinga, mensia-siakan penjelasan anak perempuannya. Sebaliknya, Andriy yang memberi perhatian.

"And you know this how?" tanya Andriy.

"Anna pernah pergi rumah dia."

"Jadi, kau sepatutnya tahu dia suka bagi kucing jalanan makan dekat kebun dia tu. Tadi mak nampak dia buat macam tu," celah Puan Nazmah.

"Habis tu kenapa?" Anna pula yang merasa tersinggung. Salah ke?

"Hei, takkan itu pun tak faham? Mak tak yakin kebersihan tanaman dia."

Anna nampak tersentap dengan tuduhan Puan Nazmah. Peliknya, Andriy turut merasa sedikit tersinggung. Dia faham Puan Nazmah tak berkenan dengan Zafeeya. Ikutkan hati, Andriy sendiri pun tak berapa sukakan gadis itu. Tapi, tak patut rasanya menuduh yang bukan-bukan walaupun tuduhan itu remeh.

"Mak jangan nak tuduh yang bukan-bukan. Kebun dia bersih la. Anna lebih rapat dengan dia. Tak macam mak, tak tau apa-apa," getus Anna. Puan Nazmah mencebik.

"Andriy, mak nak kau cakap dekat Zafeeya tu... Kita tak nak dia bagi lagi buah tomato tu. Cakap famili kita tak makan tomato," perintah Puan Nazmah tiba-tiba. Tersedak Andriy dibuatnya.

"Tak payah, abang. Kalau kau orang semua tak nak makan tomato tu, biar Anna aje yang makan!" bantah Anna dengan berang.

"Makanlah kau tomato tu sampai muntah," herdik Puan Nazmah.

"Sudahlah. Biar aje Si Anna tu," pujuk Andriy. Dia pantas sedar isu ini perlu diketepikan. Jujurnya, dia tak mahu menyusahkan diri dengan keperluan untuk menegur Zafeeya.

"Tak nak. Mak nak kau beritahu Zafeeya. Tolak pemberian dia..." Puan Nazmah berdegil.

"Dia ikhlas nak bagi. Biarkan ajelah. Lagipun, Anna ada. Dia boleh habiskan tomato tu semua." Andriy cuba berdalih. Bengang pula apabila waktu makannya dicemari dengan perbalahan remeh begini.

Jauh dalam sudut hati, dia tak mahu Zafeeya berhenti memberi mereka tomato. Hidupnya baru sahaja kembali tenang dan dia benar-benar tak perlukan Zafeeya untuk cuba mendekatinya sekali lagi. Dia lebih rela bersemuka dengan Zafeeya setiap pagi Selasa selama beberapa minit sahaja berbanding dengan Zafeeya menelefonnya hari-hari untuk membincangkan hal remeh seperti Sesame Street.

"Kalau Si Anna tu ditimpa penyakit sebab makan tomato tu macam mana?" Puan Nazmah mula meninggi suara. Namun, respons yang diterimanya adalah deraian tawa oleh Anna.

"Tak ada maknanya. Kebun dia bersih! Lagipun kalau tomato dia kotor, boleh bawa penyakit... Dah lama Anna buat sup bagi dekat mak." Celopar mulut Anna meningkah.

Andriy menggelengkan kepala. Inilah dia perangai Anna yang dia tak gemar. Anna suka bercakap melulu, tak mahu kalah. Emaknya pun sama. Emak borek, anak rintik. Cumanya, Anna bukan anak kandung Puan Nazmah.

"Andriy, mak tak kira! Kau cakap dekat dia!" jerit Puan Nazmah. Anna tak dipedulikan. Tumpuannya hanya pada Andriy.

"Yalah, yalah... Dah. Tak payah nak jerit-jerit. Hilang selera orang nak makan!" Andriy terpaksa akur. Kalau tak, sampai bila pun pertelagahan mereka tak akan selesai.

Dalam hati, Andriy mengeluh. Inilah azabnya kalau abah tak ada. Puan Nazmah dan Anna berani bertengkar di hadapan makanan. Kalaulah Encik Noah ada, pastinya keadaan akan lebih tenang.

ZAFEEYA tersenyum sendiri sambil menyiapkan dirinya di atas basikal Norton miliknya yang berwarna oren. Pagi itu dirasakan cukup indah biarpun matahari masih belum cukup memancarkan cahayanya.

Pagi ini pagi Selasa. Pagi yang menjadi kegemarannya. Jika pagi itu bukan pagi Selasa pun, dia tetap akan lakukan rutin hariannya iaitu bertamu di rumah buruk kesukaannya.

Mungkin dia bertuah. Mulanya, dia sendiri pun tak sangka. Kebetulan saja, rumah Andriy terletak di kawasan perumahan yang sama dengan rumah buruk kesukaannya itu. Kawasan perumahan itu pula terletak tak jauh dari rumah sewanya. Jadi, mudah untuk Zafeeya menyinggah.

Dia mula mengayuh...

Angannya dibiarkan menerawang ke angkasa. Akhirnya dia menjumpai cara untuk melihat senyuman di wajah Andriy. Tak sangka caranya mudah. Hanya dengan berbasikal ke rumahnya setiap pagi Selasa sambil membawa beberapa biji buah tomato sebagai buah tangan.

Sejak kali pertama dia memberi tomato kepada keluarga Andriy, Zafeeya mula memasang niat untuk melakukannya pada setiap minggu. Dia memutuskan untuk datang pada sebelah pagi, sebelum Andriy ke tempat kerjanya. Begitu, dia taklah perlu kerap menelefon. Dia tahu Andriy tak suka. Dia cuma berharap apa yang dia lakukan ini tak ditolak oleh tunangnya.

Alhamdulillah, Andriy belum pernah berkata apa-apa tentang pertemuan singkat mereka tiap-tiap minggu itu. Jadi, masuk kali ini, sudah beberapa kali dia menghantar buah tomato kepada Andriy. Seperti waktu yang lazimnya, dia dapati tunangnya itu baru sahaja melangkah keluar dari pintu rumah banglo keluarganya yang besar lagi tersergam indah.

Andriy seperti sudah boleh menjangka kehadirannya. Dia melambaikan tangannya ke arah Zafeeya. Gadis itu tersenyum. Dia turun sebentar dari basikalnya.

"Bersenam pagi-pagi?" Andriy menegurnya mesra.

"Saya nak pergi dekat tempat biasa..." kata Zafeeya.

Andriy mengangguk. Zafeeya tunggu juga ayat susulan daripada lelaki itu. Dia sedikit berharap Andriy akan berkata sesuatu. Dia tahu Andriy tak suka dia pergi ke situ.

Lalu, sedikit sebanyak dia berharap Andriy akan mengusulkan kata larangan. Dengan cara itu sekurang-kurangnya Zafeeya akan rasa dirinya penting buat Andriy.

Maka, seperti kebiasaannya... Harapannya tinggal harapan saja. Tapi, tak mengapa. Semuanya taklah seburuk yang disangka.

"Singgah sini dulu. Nak bagi awak ni." Satu beg kertas di hulurkan kepada Andriy.

Andriy mencapai hulurannya dengan reaksi yang neutral. Beg kertas itu dia buka lantas bibirnya mengukirkan senyuman. Wajah Zafeeya turut berseri.

Dia kagum bagaimana buah tangan semudah beberapa biji tomato itu pun mampu untuk membuat Andriy berlembut hati dan tersenyum. Kali pertama dia melihat senyuman itu adalah sewaktu dia memberi Andriy hadiah potret. Tetapi, dia tak pernah sangka dia akan melihat senyuman itu berkali-kali hanya dengan cara mudah ini.

"Terima kasih," ucap Andriy.

"Sama-sama. Saya pergi dulu, ya. Awak pun nak pergi ke pejabat, kan?"

"Ya. Baik-baik naik basikal tu."

"Awak pun. Hati-hati memandu."

Sebaik mengucapkan kata salam, mereka berpisah mengikut haluan masing-masing. Sepanjang kayuhannya, Zafeeya tersenyum.

Burung-burung bagaikan menyanyikan rentak hatinya. Dengan angin pagi yang bertiup nyaman sepoi-sepoi bahasa, seluruh dunia bagaikan berkongsi perasaan dengannya. Biarpun pertemuan mereka seketika cuma, Zafeeya puas hati kerana Andriy tak menolak kehadirannya.

Sesampainya dia di destinasi, Zafeeya meletakkan basikalnya di tepi sebuah tembok yang mengelilingi kawasan itu. Dengan senyuman yang masih terukir di bibir, dia memandang ke atas memerhatikan rumah agam yang terbengkalai dan hampir roboh yang menjadi tempat kegemarannya.

Dia menutup mata sambil menghela nafas dalam-dalam. Andai bangunan itu tak terbiar, pastinya ia adalah sebuah tempat tinggal yang besar dan indah.

Zafeeya melangkah masuk ke dalam bangunan melalui pintu masuk utama yang telah robek ditelan arus masa.

Langkah demi langkah, dia harungi ruang yang dipenuhi dengan semak samun, batu-bata, serpihan konkrit dan kayu-kayu yang bersepah sehingga akhirnya dia tiba di sebuah tangga konkrit. Tangga itu dipanjat dengan penuh hati-hati menuju ke tingkat yang paling atas.

Selesai mendaki tangga rumah tiga tingkat yang terbiar itu, Zafeeya melangkah lagi menuju ke sebuah ruang yang sepatutnya menjadi sebuah bilik. Bilik yang berbentuk empat segi itu hanya mempunyai tiga dinding.

Dinding yang keempat, iaitu dinding yang menghadap ke luar telah diruntuhkan menyebabkan kawasan di luarnya dapat dilihat dengan seluas pemandangan.

Dia tak pernah jemu mengagumi rekaan indah Yang Maha Mencipta dari sudut itu pada setiap pagi. Untuk lebih kurang dua tiga jam Zafeeya akan duduk menghadap langit, mengagumi keindahan warna-warna yang terlakar di angkasa. Rumah yang sudah runtuh separuh yang terletak di atas tanah agak tinggi itu membuatkan Zafeeya terasa dekat dengan awan.

Dia seronok berada di situ. Di sinilah tempatnya berfikir dan mencari ilham. Juga tempat yang ditujunya untuk mencari ketenangan.

Dia berharap tempat itu akan kekal untuknya...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro