Bab 12
ANDRIY ketap gigi tatkala matanya membaca tulisan yang tertera di telefon pintarnya yang sedang berdering. Tiga, empat, lima kali deringan berlalu namun jarinya masih teragak-agak untuk menyambut panggilan daripada tunangnya, Zafeeya. Sejujurnya, dia mula naik rimas.
Andriy tak faham mengapa Zafeeya langsung berubah 360 darjah sejak mereka bertunang. Daripada sikapnya yang suka menyendiri dan tak suka dirinya kerap dihubungi, dia berubah menjadi seorang yang suka menyibuk. Rajin pula dia memulakan langkah menghubungi Andriy terlebih dahulu. Sebelum ini tak pernah pun. Kalau adapun, jarang sekali ia berlaku. Dan kalau berlaku pun, Zafeeya hanya menelefon untuk hal-hal yang penting sahaja. Lagi, perbualan mereka hanya akan berlangsung sesingkat yang mungkin.
Termasuk hari ini, sudah 86 hari mereka bertunang. Dia tak tahu bagaimana harus dia simpulkan tempoh itu. Ada yang kata sekejap kerana mereka sepatutnya bertunang selama lebih kurang setahun sebelum bernikah. Namun, dia terasa lama. Cukup lama. Sebabnya? Hidupnya mula rasa terganggu dengan Zafeeya yang entah mengapa, tiba-tiba sahaja mahu mengambil berat dan mendekatkan diri dengannya.
Ini sudah lari daripada rancangan!
Andriy mahu menganggap Zafeeya cuba memikatnya tetapi tanggapan sebegitu pun tak boleh dia terima. Zafeeya tak pandai mengayat! Nak mulakan perbualan pun dia rasa susah. Mungkin inilah akibat seseorang yang terlalu biasa bersendiri. Beberapa kali sebelum ini, Zafeeya pernah menghubunginya dengan niat untuk mengajaknya berbual. Namun, akhirnya mereka masing-masing cuma mendiamkan diri di hujung talian.
Jangan tanya mengapa dia tak mahu bercakap. Dia keraskan hati. Dia memang tak berniat melayan Zafeeya lebih-lebih. Pernah sekali, Zafeeya menelefon untuk mengajak bersembang. Namun, percubaannya dianggap terlalu lemah apabila dia mengajak untuk bercakap tentang Sesame Street. Percaya tak? Sesame Street! Tak ada topik lain ke?
Sebab itu kebanyakan masa, Andriy tak akan menjawab panggilan daripada Zafeeya. Dia semakin dapat merasakan bahawa Zafeeya sudah mula menaruh hati padanya tetapi dia tak dapat meneka bagaimana. Layanan yang dia berikan kepada Zafeeya selama ini pun ala kadar. Dia tak begitu pedulikan Zafeeya apatah lagi mengambil berat.
Bagaimana seorang wanita boleh terpikat dengan lelaki yang tak kesah langsung tentangnya? Dia percaya dia telah membuat yang terbaik untuk mengekalkan jaraknya dengan Zafeeya. Tetapi mengapa kesan yang dia peroleh berlawanan dengan kesan yang dia mahukan?
Dia mahukan Zafeeya yang dulu. Zafeeya yang hanya menerima daripadanya tanpa mahu membalas apa-apa. Zafeeya yang dulu mampu membuatkan hubungan mereka kekal kaku. Tapi sekarang... Dia tak tahu apa yang sedang Zafeeya fikirkan.
Banyak lagi usaha Zafeeya untuk mendekatkan diri kepadanya. Semuanya dia rasa menjengkelkan dan menjanggalkan. Walau bagaimanapun, dia hargai sebuah potret dirinya yang diberi dan dilukis sendiri oleh Zafeeya. Itulah satu-satunya pemberian Zafeeya yang dia rasakan normal.
Andriy hembuskan nafas lega apabila telefonnya berhenti berdering. Alat itu diletakkan ke dalam laci. Baru sahaja dia ingin menyentuh kembali tetikus komputer, telefon itu berbunyi lagi. Andriy merungut. Dengan kasarnya dia membuka laci dan menggenggam gajet itu. Simbol hijau segera disentuh. Sebaris perkataan salam diluahkan dengan nada berang.
"Awak nak apa? Saya kerja ni," ujar Andriy kasar.
"Saya minta maaf. Tadi, saya pergi ke rumah awak hantar tomato sikit," beritahu Zafeeya tanpa sebarang tanda dia tersinggung dengan kekasaran suara Andriy tadi.
Tomatoes? Now she's getting weirder! Andriy mengomel dalam hati.
"Itu aje ke yang awak nak beritahu?"
"Ya. Awak makan ya tomato tu. Saya tanam sendiri tau." Ada senyuman tercelah di suara Zafeeya.
Tanam tomatolah pula... Andriy mengutuk dalam hati.
"Awak ni tak ada kerja ke?" tanya Andriy dengan nada yang agak tajam.
"Creativity slump! Berapa kali nak cakap? Nanti saya ada ilham saya melukislah," jawab Zafeeya.
Andriy mengeluh berat. Masih tak ada ilham lagi ke? Habis tu apa gunanya Zafeeya layankan tabiat buruknya untuk pergi ke tempat kesukaannya setiap hari? Selalu dia kata tempat itu berupaya menjana idea buatnya.Dia mula rasa terganggu. Sudahlah tempat kesukaan Zafeeya ni menakutkan. Macam mana rumah agam yang terbengkalai binaannya boleh menjadi kegemaran gadis itu? Andriy langsung tak faham.
Rumah yang seakan-akan berhantu itu pula berdiri di atas tanah yang ada tuannya. Kalau Zafeeya dituduh menceroboh macam mana? Walau dari awal lagi Zafeeya pernah memberitahu, tapi Andriy tak pernah boleh terima tabiatnya yang satu ini. Andriy pernah menegur tunangnya tentang itu. Tetapi, Zafeeya berdegil. Yalah. Belum kena, kan?
"Kalau macam tu baik awak cari idea kat tempat lain. Tak payah ke rumah berhantu tu lagi. Kena rasuk kang baru tau!" Andriy cuba menegur lagi.
"Celoparnya!"
"Yalah. Bukankah lebih baik kalau awak tak pergi kat situ lagi?" Andriy melembutkan nada. Dia sedar tegurannya tadi agak kasar.
"Awak risaukan saya ke? Risau saya kena tangkap sebab menceroboh?" tanya Zafeeya. Sekali lagi, ada senyuman tercelah di nada suaranya.
Andriy diam. Lain yang ingin dia sampaikan, lain pula tafsiran Si Zafeeya ni. Andriy tak risau kalau Zafeeya ditangkap. Dia cuma tak mahu gadis itu terus menyusahkannya kelak.
Ah, sudahlah! Apa pun yang Zafeeya buat, tetap akan menyusahkan dia. Andriy mengambil keputusan untuk tamatkan saja perbualan mereka. Namun sebelum itu, dia mahu memberi amaran kepada Zafeeya untuk tak menelefonnya lagi jika tiada alasan penting.
Baru sahaja dia membuka mulut, naluri kemanusiaannya menjentikkan pujukan. Dia jadi tak sampai hati. Lantas, niatnya untuk meluahkan kata-kata terus bantut. Ayat lain pula yang dia luahkan.
"Saya minta diri. Banyak kerja ni."
Andriy mematikan talian. Menyesal pula dia menjawab panggilan itu. Memang sudah boleh dijangka panggilan itu tak penting. Membazir seminit dalam hidupnya. Dia mula tertanya sendiri. Mampukah dia mengharungi Zafeeya yang semakin lama dia kenal, semakin pelik di matanya?
ZAFEEYA melabuhkan punggungnya di hadapan pintu dapur. Pandangannya ditebarkan ke kawasan kebun tomato yang terletak di belakang rumahnya. Seekor kucing jalanan yang dia beri nama Mashi datang untuk bermanja-manja namun Zafeeya lebih memberi perhatian kepada suara pada alat komunikasi yang dilekapkan di pendengaran.
Gadjet itu kemudiannya diregangkan dari telinga. Skrin telefon yang telah pun gelap itu direnungnya dengan dahi yang berkerut. Andriy sekali lagi telah menamatkan talian secara tiba-tiba.
"Awak risaukan saya ke? Risau saya kena tangkap sebab menceroboh?" Soalan terakhir yang diajukan kepada Andriy tadi terngiang di telinganya.
Mengapa sebaris soalan itu pun Andriy tak mahu jawab? Zafeeya tahu Andriy tak suka akan tabiatnya yang suka melepak di rumah buruk atas bukit tu. Dia tahu Andriy tak faham akan jiwa seninya. Tapi, bukankah Andriy pernah kata dia tak kesah? Kenapa tiba-tiba dia tak suka pula?
Jika Andriy sudi menjawab soalan tadi, mungkin Zafeeya akan mempertimbangkan untuk tak lagi pergi ke situ. Ini tak. Andriy seolah-olah tak peduli pun. Kalau dia menegur tu, bukan kerana kepentingan Zafeeya. Tetapi kerana kepentingan dirinya sahaja.
Zafeeya melepaskan satu keluhan berat. Dia tertanya sendiri untuk kesekian kalinya. Benarkah keputusannya menerima lamaran Andriy? Mengapa Andriy bagaikan tak selesa dengannya? Kata Anna, Andriy sukakan wanita yang mengambil berat. Jadi, salahkah dia cuba menjadi wanita yang Andriy suka?
Apabila dia cuba memulakan perbualan di telefon, Andriy tak pernah melayannya dengan bersungguh-sungguh. Hanya dia seorang sahaja yang akan bercakap di talian. Andriy hanya akan bercakap apabila ditanya. Itu pun sepatah ditanya, sepatah dia jawab. Apabila Zafeeya mula berasa sakit hati dengan tindakan Andriy, dia akan mendiamkan diri menanti giliran tunangnya pula untuk berkata-kata. Sayangnya, sampai ke habis mereka sama-sama akan mendiamkan diri.
Kebanyakan masa, itulah yang berlaku apabila Zafeeya menghubungi tunangnya dengan percubaan untuk bersembang. Dia bukannya mencari perbualan yang panjang, dia cuma mahu perbualan yang singkat tetapi bermakna. Dia tahu dia tak biasa menukar pertanyaan khabar dengan sesiapa selain ayahnya. Tetapi dia berharap agar Andriy dapat membantunya membiasakan diri menjadi seorang yang lebih prihatin.
Stop it, Zafeeya! Zafeeya menggeleng-gelengkan kepalanya. Angan yang mula berbuku di awangan cuba dia hapuskan dari minda secepat mungkin.
Inilah satu lagi kelemahannya. Dia gemar mendahulukan fikiran negatif yang dia sendiri tak dapat pastikan kebenarannya sebelum perkara positif yang memang telah disahkan. Dia pilih aku. Dia mungkin tak berapa nak bagi perhatian tapi dia pilih aku! Zafeeya pujuk diri.
Dia akui. Sejak dia berkenalan dengan Andriy, tak banyak perkara yang dia tahu tentang lelaki itu. Dia cuma tahu perkara asas tentang latar belakangnya.
Dia seorang pengurus kewangan di sebuah hotel mewah, hotel di mana mereka pertama kali bertemu. Dia cuma ada seorang adik. Bapanya berasal dari Ukraine. Ibu kandungnya telah meninggal dunia. Hobinya bersenam.
Tetapi jika dikenang kembali, Andriy tak bersalah. Memang sejak dari awal lagi layanan Andriy begitu. Dia sepatutnya bersyukur kerana sekurang-kurangnya, Andriy mahukan dirinya.
Mungkin inilah cara Andriy mahu mengawal batas antara mereka. Bukankah ini satu perkara yang baik?
Lagipun, Zafeeya sendiri melihat bagaimana Andriy tersenyum sewaktu dia menghadiahkan lukisan potret hasil kerja tangannya sendiri. Bukankah waktu itu Andriy nampak gembira? Bagaimana dia boleh menganggap Andriy tak menghargai dirinya?
Dia sepatutnya gembira dan bersyukur. Sejak kehadiran Andriy, banyak perkara baik berlaku dalam hidupnya. Dia kini berteman. Ayahnya semakin beransur sihat. Tak lagi orang tuanya itu hilang selera makan jika menghadap wajahnya.
Sewaktu keluarga Andriy datang untuk merisik dan meminang, ayahnya kelihatan bersemangat. Biarpun dalam ucapannya masih terselit sedikit kekasaran, Encik Zariff nampak gembira. Zafeeya boleh bersumpah, orang yang dia nampak ketika itu bukan ayahnya yang dia jaga selama ini.
Zafeeya mengusap-usap kepala Mashi. Hatinya memujuk diri berkali-kali bahawa perasaan tak senang yang dirasainya tentang Andriy akan berakhir apabila mereka bersatu kelak. Dia yakinkan diri bahawa perasaan itu hanyalah perasaan gundah yang hadir kerana inilah kali pertama dia menaruh hati pada seseorang.
Apa yang penting, dia perlu yakin dengan keputusannya. Andriy telah melamarnya. Dia telah menerimanya. Dia hanya perlu menunggu masa sahaja sehingga mereka bersatu. Selepas itu, dia yakin Andriy akan melayannya dengan cara yang berbeza.
Mungkin sekarang ini Andriy tak berapa mahu bergaul dengannya tetapi dia rasa memang patut andai dia terus berbuat baik terhadap Andriy dan keluarganya. Dia ingatkan diri. Selain Andriy, dia perlu mengambil hati Puan Nazmah.
Bakal emak mentuanya itu tak berapa berkenan dengan dirinya. Dia tak mahu tahu mengapa dirinya tak disukai. Dia hanya menerimanya sebagai satu lagi dugaan yang perlu dia tabahkan diri untuk hadapi.
Dan dia bertekad untuk melakukan yang terbaik.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro