Bab 1
ZAFEEYA menjenguk keluar dari sebalik pintu ruang tangga kecemasan. Pandangannya dilemparkan ke kiri dan ke kanan untuk memastikan persekitarannya benar-benar terkawal sebelum dia boleh meneruskan perjalanan. Setelah dia pastikan segalanya selamat, Zafeeya melangkah keluar.
Langkahnya diatur cermat dan penuh berhati-hati. Matanya juga asyik memandang sekeliling. Tak jauh lagi perjalanannya. Sebelum dia selamat keluar dari bangunan hotel itu, dia akan memastikan dirinya tak lagi terserempak dengan lelaki tadi. Setelah sekian lama mereka tak bertemu, akhirnya mereka bersua di tempat yang tak disangka-sangka pada waktu yang tak pernah diduga.
Mengapa pada hari dia mengatur pertemuan dengan kawannya, Imani, dia perlu bersemuka semula dengan Eddie? Apa yang Eddie buat di sini?
Kebetulan! Itulah perkataannya. Dalam banyak-banyak perkara yang pernah berlaku dalam hidup Zafeeya, kebetulan adalah yang paling jarang sekali berlaku. Dan mengapa kebetulan yang menggusarkan hati ini berlaku pada hari ini? Pada hari ulang tahun kelahirannya? Zafeeya mendengus perlahan.
Dia mula mengutuk diri. Mengapalah suatu masa ketika di bangku universiti dahulu dia jatuh hati pada lelaki itu? Yang bernama Eddie itu? Mengapa? Mengapa?
Dalam langkahnya yang masih laju, mindanya dibiarkan memainkan kenangan silam yang semakin samar dari makna buat dirinya. Tergambar jelas di mindanya pesanan ringkas pertama yang pernah dia kirimkan kepada Eddie suatu masa dulu.
Hai, Eddie. Saya Zafeeya. Saya dengar awak bekerja sambilan sebagai jurugambar.
Zafeeya kemam bibir, mempertimbangkan buat kali terakhir sama ada mahu meneruskan penghantaran mesej pesanan ringkas itu. Sesungguhnya dia tak arif memulakan bicara. Mungkin ayat yang ditaip pun tak berapa sesuai tetapi dia sudah ketandusan idea.
Apa yang penting baginya adalah dia perlu ada usaha terhadap perasaannya.
Butang Send ditekan lalu mesej dihantar. Zafeeya tak meletakkan harapan agar Eddie membalas mesejnya. Dia sedar dirinya tiada kepentingan terhadap lelaki itu. Tetapi, dia mahu berasa puas hati kerana sekurang-kurangnya dia pernah membuka langkah, walau usahanya sekelumit cuma.
Ya, saya. Tapi, awak Zafeeya yang mana, ya? Saya tak ingatlah.
Tak sangka, Eddie membalas mesej ringkas yang dihantar. Niat asal Zafeeya ingin menjadikan Eddie sebagai jurugambar di majlis pertunangan sepupunya. Andai rancangan itu dapat dilancarkan, mungkin dia dan Eddie ada harapan untuk bersua lagi. Namun, hajat itu dia tangguhkan seketika. Tawar sedikit perasaannya apabila Eddie tak ingat padanya.
Zafeeya. Classmate awak masa belajar dekat universiti dulu.
Butang hantar ditekan. Hatinya merasa berat. Tiba-tiba dia rasa kerdil. Nombor telefon Eddie sahajalah yang menjadi harapan. Itupun, nombor telefon itu dia salin daripada senarai kedatangan milik salah seorang pensyarah mereka waktu dia belajar dahulu. Setelah beberapa bulan majlis konvokesyen berlalu, baru hari ini dia dapat mengumpul kekuatan untuk cuba menghubungi Eddie.
Yang mana ya? Saya tak ingat.
Daripada mesej itu, Zafeeya terus matikan niatnya. Dia gunungkan ego. Rasanya tak perlu dia berusaha menjelaskan siapa dirinya kepada seseorang yang tak pernah kesahkan kewujudannya. Dia terkilan. Biarpun mereka bukan satu kursus, tetapi selalunya mereka duduk dalam kelas yang sama untuk pengajian liberal. Malah, mereka pernah berada dalam satu kumpulan untuk sebuah tugasan yang diberikan pensyarah.
Susah sangatkah mahu mengingat wajah seorang Zafeeya? Lagipun, bukankah dulu Eddie selalu berdamping dengan kawan baiknya, Leia? Takkan tak perasan?
Dia tahu dia tak ada rupa, tak ramai kawan, tak popular. Tetapi, dia tak sangka kewujudannya tak dirasai. Dia tak sangka dia halimunan sedemikian rupa.
Kecil hati! Rasa tercabar ego!
Tak apalah kalau tak ingat. Mungkin saya yang salah orang.
Mesej terakhir yang dikirimkan tadi langsung tak dibalas. Sah! Eddie tak menghiraukan kewujudan seorang Zafeeya yang menaruh hati terhadapnya.
Zafeeya terus menyimpulkan bahawa mereka berdua mungkin tak dicipta untuk bersama. Dia berikrar tak akan cuba untuk menghubungi Eddie lagi dan dia tahu Eddie juga tak akan hirau untuk cuba menghubunginya. Siapa yang mahu terus berhubung dengan orang yang tak dikenali, kan?
Lantas, Zafeeya bertekad. Lelaki itu akan dia lupakan dari hidupnya. Dia memadam nombor telefon Eddie dari memori telefonnya. Akaun Facebook Eddie yang selalu dia kaji juga dia lupuskan daripada senarai kawan-kawan. Atau dengan kata yang lebih tepat, block! Dia tak mahu lagi mempunyai akses untuk menatap gambar-gambar Eddie andai rindu mencuit hatinya. Biarlah dia rindu, asalkan dia tak gila bayang lagi.
Segala perkara yang boleh mengaitkan mereka tak lagi wujud. Maka, Zafeeya bertekad untuk terus membuang segala perasaannya terhadap Eddie yang nyata tak bermakna lagi sia-sia.
Mujur pantas juga dia dapat melupakan Eddie. Mungkin kerana mereka tak pernah bermula, jadi pengakhirannya tidaklah begitu menyakitkan. Namun, Zafeeya tetap terkesan. Ego tercabar juga. Sebab itu, dia berharap pada masa akan datang takdir miliknya tak berselisih lagi dengan takdir milik Eddie.
SETELAH beberapa tahun, memori tentang Eddie hampir lupus sepenuhnya dari ingatan. Tetapi hari ini... Kenangan yang sudah terlontar jauh itu merangkak kembali dalam ingatan dengan kehadiran Eddie di hadapan matanya beberapa minit tadi.
Zafeeya kancingkan gigi. Bukankah Eddie sepatutnya tak ingat siapa dirinya? Namun, jawapan kepada persoalan itu bukan tanggungjawabnya. Dia tak perlu peduli. Apa yang pasti, dia tak mahu bersua lagi dengan jejaka itu.
"Zafeeya!" Dia terdengar namanya dipanggil dari jarak beberapa meter di belakangnya.
Tersentap seketika jantung yang baru sahaja reda daripada berdegup kencang. Gadis itu menelan liur, mengeluh dalam hati. Dia tak perlu menoleh. Dia tahu siapa lelaki empunya suara yang memanggilnya. Eddie!
Spontan, Zafeeya mengorak langkahnya lebih laju. Kakinya yang disokong oleh sepasang sepatu tumit tinggi mula meronta tak selesa dengan tindakannya namun dia tak peduli. Apapun yang terjadi selepas ini, dia tak mahu bertentang mata lagi dengan pemilik suara tadi.
Tak sekali pun dia memandang ke belakang, meski dia tahu Eddie juga sedang mengorak langkah pantas membuntutinya. Maka, dia galakkan ayunan kaki. Semakin lama semakin laju sehingga dia hampir berlari merentasi lobi hotel. Dia tiada masa mahu mempedulikan mata-mata yang memandang. Otaknya ligat memikirkan cara untuk menghilangkan diri sekali lagi daripada pandangan pemuda di belakangnya.
Dia cuba menyembunyikan diri di sebalik dinding tak jauh dari ruang lobi namun jiwanya tak tenteram. Dia rasa tak selamat. Lalu dengan berhati-hati, dia melangkah lagi. Kali ini dengan lebih perlahan, mencari tempat atau sudut yang menyukarkan dirinya dijumpai.
"Zafeeya," panggil Eddie lagi.
Untuk kesekian kalinya, Zafeeya panik. Tanpa berfikir panjang dan tanpa meluangkan masa memandang sekeliling, dia menerjah masuk ke satu ruang berpintu dengan harapan ia mampu menjadi tempat dia berselindung. Dalam perjalanannya untuk masuk, dia berselisih dengan seseorang tetapi dia terlalu sibuk memikirkan dirinya hingga tidak mempedulikan sesiapa.
Dia menghembuskan nafas lega apabila bersemuka dengan barisan singki putih rekaan moden. Dia terus yakin dia berada di tempat persembunyian yang paling selamat. Tandas wanita!
Beg tangannya dilabuhkan sebentar di atas kaunter singki sambil dia sandarkan diri di sebalik dinding yang melindung dirinya dari muka pintu. Dua tiga kali dia menarik dan menghembus nafas, cuba menenangkan diri yang kekurangan tenaga akibat melarikan diri.
Berhambuslah, Eddie! Hati kecil Zafeeya tak habis-habis menghalau.
"Excuse me..."
Zafeeya menahan nafas untuk kali yang entah ke berapa hari itu. Suara Eddie lagi! Dia menggenggam tangan cuba menahan kaget. Suara itu kedengaran cukup dekat. Di hadapan pintu bilik air barangkali. Nadanya seperti menegur seseorang.
"Have you seen a woman about this tall, in a purple blouse, black slacks and... A pink scarf?"
Zafeeya mendengar Eddie menyoal siasat entah siapa di hadapan pintu bilik air itu. Blaus ungu, seluar slek hitam dan tudung merah jambu... Sah, Eddie masih sedang berusaha mencarinya. Waktu itu barulah mindanya sibuk mahu memutarkan memori pada lebih kurang lima saat yang lalu di mana dia berselisih dengan seseorang. Dia kecut perut. Dalam sekelip mata, nasibnya berada di dalam tangan seseorang yang tak dikenali.
Dia menantikan hukumannya, menunggu saat orang tak dikenali itu memberikan jawapannya. Namun, tiada. Setelah lebih kurang seminit, Zafeeya mengerutkan dahi. Adakah dia yang tak mendengar jawapan orang itu atau...
Zafeeya tersentak apabila bahunya dicuit seseorang. Wajahnya segera dialihkan ke arah orang yang bertanggungjawab meragut lamunannya. Terkebil-kebil matanya apabila melihat seorang lelaki sedang memandang ke arahnya dengan seulas senyuman yang sukar ditafsir.
"You're good to go," kata lelaki itu sambil mengerlingkan matanya ke arah pintu.
Zafeeya menelan liur seraya membesarkan matanya yang masih merenung lelaki itu. Dia cuba meluahkan kata namun dia buntu seketika. Detik-detik dalam hidupnya kini sedang berlaku terlalu pantas.
"What are you doing here?" Zafeeya kurang selesa dengan kehadiran seorang lelaki di dalam tandas wanita. Lelaki warga asing tu tak reti hormat ke?
"I might ask you the same thing!" balas lelaki itu dengan dahi yang berkerut.
"This is the lady's restroom," jawab Zafeeya, sedikit gentar. Takkan lelaki ni pervert? Fikiran Zafeeya yang bukan-bukan mula menyeramkan dirinya sendiri.
"I beg to differ, love."
Lelaki itu sekali lagi mengangkat tangannya, kali ini menudingkan jari ke arah pintu tandas yang masih terbuka. Zafeeya menghadiahkannya satu renungan tajam sebelum mengintai di sebalik dinding, memandang ke arah pintu yang ditunjuknya. Simbol lelaki dan tulisan Gents yang tertera di bawahnya menyebabkan pipi Zafeeya diserbu dengan darah panas. Seketika dia terpanar di situ, malu mahu menoleh dan bersemuka lagi dengan lelaki asing tadi.
"Didn't you see that thing anyway?" soal lelaki itu lagi. Kali ini menuding ke arah beberapa urinal bowl yang tergantung di dinding bertentangan dengan tempat Zafeeya berdiri.
Zafeeya memandang ke hadapan, melihat barang yang dimaksudkan. Sekali gus, pipinya terasa makin panas. Macam mana dia boleh tak perasan benda yang hanya ada di tandas lelaki itu? Lagi teruk, macam mana dia boleh tak perasan dia berselisih dengan seorang lelaki di pintu masuk tadi? Ades, mana nak sorok muka ni?
Dia mahu memaki diri namun dia perlu keluar dari situ terlebih dahulu. Dengan sengihan yang terpaksa untuk menutup malu, Zafeeya berlalu keluar dari situ. Mujur, kelibat Eddie sudah tiada lagi.
Could this day get any worse? Nasib baik Eddie dah tak ada! Zafeeya lepas keluhan berat. Apalah nasib dirinya hari ini?
"Excuse me, miss," panggil lelaki warga asing tadi dari belakangnya. Zafeeya menoleh.
"What's your number?" soalnya selamba sambil tangan kirinya mengeluarkan telefon pintar dari kocek seluar. Jemarinya ligat menyentuh skrin alat itu.
"Excuse me?" balas Zafeeya, terkejut. Spontan, matanya mengimbas sekali lalu kelibat warga asing itu dari atas ke bawah. Penampilannya segak dengan kemeja putih yang dikenakan dengan vest dan slek hitam, dilengkapi dengan tali leher berwarna kelabu yang padan dengan warna matanya.
Rambutnya yang pendek dan berwarna sedikit keperangan nampak sedikit basah tetapi cukup terurus. Wajahnya berkumis halus. Secara keseluruhannya, dia memang seorang yang serba-serbi tampan.
"Are you checking me out?" Lelaki itu menukar soalannya apabila menyedari cara Zafeeya memandangnya.
"No." Zafeeya tipu. Sepantas dia menjawab, sepantas itu juga Zafeeya berhenti memerhati. Matanya terus dihalakan ke wajah jejaka itu.
Perasaan malu mula menyelubungi dirinya lagi namun dia berusaha menahannya. Malu yang tadi pun belum habis lagi. Tetapi, jujurlah... Andai ada seorang lelaki yang tak dikenali meminta nombor telefon seorang wanita secara tiba-tiba, bukankah ini perkara pertama yang wanita itu akan lakukan? Memerhatikan lelaki itu. Ini tindakan spontan. Zafeeya yakin, mana-mana wanita pun akan berbuat demikian.
Dia tak bermaksud untuk membuat zina mata ke apa. Dia bukan sengaja. Dan untuk pengetahuan, ini kejadian pertama kali dalam hidupnya. Seumur hidupnya, tiada satu pun manusia yang bernama lelaki yang pernah meminta nombor telefonnya secara tiba-tiba.
"I mean, your birth date," jelas lelaki asing itu setelah melihat reaksi Zafeeya yang berbaur.
"My birth date?" Zafeeya semakin keliru. Oh, bukan nombor telefon ke?
Apa yang dia pasti, sebenarnya dia terperasan sendiri. Sekilas, hatinya dicuit dek perasaan sayu. Dia memberitahu diri supaya berhenti meletakkan harapan sebegitu. Sepatutnya waktu ini dia sudah lebih arif. Mana mungkin ada lelaki yang mahu berkenalan dengannya saja-saja.
Tapi, kenapa tarikh lahirnya? Pelik...
"Why would you..." Zafeeya cuba mempertikaikan kemahuan jejaka itu namun ayatnya segera dipintas.
"Just... Humour me, will you?" pintanya dengan nada bersahaja biarpun pandangan matanya nampak serius.
"July 7th..." balas Zafeeya teragak-agak. Matanya tak berkedip memandang jemari lelaki tak dikenali itu yang ligat menyentuh skrin telefon pintarnya. Apa agaknya yang sedang dia lakukan?
"Oh, it's today? But, you weren't born today, were you?" tanya lelaki itu seraya mengangkat pandangannya ke arah Zafeeya. Zafeeya pantas mengerling ke arah lain.
Dia menghela nafas dalam-dalam seraya memberitahu tahun dia dilahirkan. Dia curi-curi mengembalikan fokusnya kepada pemuda di hadapannya. Jejaka itu menyentuh lagi skrin telefonnya. Lima kali. Empat kali mewakili empat angka dinyatakannya tadi. Lagi sekali tu butang Enter, duga Zafeeya.
Sekilas, lelaki itu tersenyum sebelum dia melangkah mendekatinya. Zafeeya memaksakan senyuman, berharap jejaka asing itu akan memberitahu apa sebenarnya yang dia lakukan tadi tanpa perlu ditanya.
Pemuda bermata kelabu itu hanya melebarkan senyuman, menampakkan lesung pipit di pipi kanannya. Renungannya terhadap Zafeeya diberikan dengan penuh makna yang sukar diungkapkan.
"Happy birthday," ucap lelaki itu sambil menghulurkan kad namanya.
Teragak-agak Zafeeya mencapai kad yang disuakan itu. Nama yang tertera dikerling sekilas. Andriy Kasheef bin Noah. Sebuah senyuman tawar dihadiahkan kepada lelaki bernama Andriy itu. Jejaka ini anak kacukan rupa-rupanya! Bukannya mat salih tulen.
Zafeeya tak kagum. Kad namanya itu langsung tak menjelaskan perbuatan Andriy tadi. Tapi, rasanya tak penting untuk dia terus membebankan minda mencari jawapan. Sometimes, ignorance can be a bliss. Lalu, Zafeeya terus memasang niat untuk mencampakkan kad itu ke dalam tong sampah pertama yang bakal dijumpai. Dia mula membuka langkah.
"Not so fast," kata Andriy. Zafeeya paksakan diri untuk menoleh sekali lagi. Wajahnya tayang minat yang sifar.
"Weren't you gonna tell me your number? I gave you mine." Andriy tuding jari ke arah kad yang masih berada dalam pegangan Zafeeya. Telefon pintarnya pula masih di sebelah tangan lagi, sedia mahu merakam nombor telefon gadis di hadapannya.
Zafeeya gamam sebentar. Jadi, jangkaannya tadi sebenarnya tak salah?
Dia merenung tajam wajah lelaki tak dikenalinya itu. Entah apalah yang difikirkan insan yang bernama Andriy ini, dia tak tahu. Mahu menduga, dia tak berani. Dia tak mahu meletakkan harapan bahawa lelaki yang baru dia temui sejak lima minit tadi menaruh minat terhadapnya.
It's too good to be true, komen Zafeeya dalam hati. Pun begitu, telefon yang berada dalam genggaman tangan Andriy dia capai. Nombor telefon miliknya pantas dia simpankan dalam memori gadjet itu sebelum dipulangkan kepada tuannya.
"Call me," ujar Andriy sambil mengenyitkan matanya kepada Zafeeya.
Zafeeya cuma tersenyum tawar. Bagi nombor atau tak bagi nombor... Tak ada beza. Dia yakin lelaki itu tak akan betah menghubunginya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro