Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

TIGA

Takdir telah tertulis, di mana sebuah kerajaan kecil telah terbina di pulau tidak bernama. Terpinggir daripada mana-mana peta dunia ataupun cerita. Kerajaan kecil, Mondstadt, yang menaungi kawasan pertempatan biasa. 

Suatu hari, para penduduk gempar apabila Durin, sang naga gergasi menyerang di waktu malam. Naga itu mengaum dahsyat dan menyerang kerajaan tanpa ampun. Habis nyawa tidak berdosa menjadi mangsa. Bangunan dan rumah hancur lebur. Kehancurannya terlalu teruk, sehingga tiada lagi cahaya yang terlihat di mana-mana.

Naga itu tertarik apabila melihat satu-satunya cahaya yang bersinar terang -- Bulan Purnama.

Maka, naga itupun melahap bulan itu dengan rakus. Cukup membuatkan penduduk gempar apabila bulan perlahan-lahan menghilang.

"Naga itu makan bulan?"

Suara Klee ternaik apabila mendengar kisah Jean. "Jahatnya!"

Jean mengangguk, lalu berkata, "tetapi, mujurlah datangnya penyelamat yang menenangkan Durin."

"Siapa?"

Sewaktu penduduk hanya pasrah di dalam kegelapan, mereka terkejut apabila alunan muzik yang indah menyapa mereka. Seperti petikan lira yang datang dari kayangan.

Seekor naga yang bercahaya seperti permata air terbang bersama penyair di atasnya. Alunan muzik itu berjaya menenangkan Durin, membuatkan naga kegelapan itu jatuh di dalam lenanya.

Bulan pun terbebas.

Sebaik sahaja cahaya bulan menyentuh tasik istana, air itu bergelora lalu terlahirlah tiga jasad yang indah. Tetapi, mereka menangis kerana merindukan bulan yang bersinar terang. Si Raja berasa simpati, lalu memberikan mereka tempat tinggal yang selesa dan selamat.

"Tuanku telah memberikan kami kesenangan,

Memberikan kami kegembiraan dan kebahagiaan,

Bulan telah memberitahu kami,

Haruslah kami membalas budi."

Kata-kata Lumine jelas diingati sehingga ke hari ini. Si Raja akhirnya menghantar mereka untuk melindungi kerajaan dengan sepenuh hati.

Lumine, telah dianugerahkan cahaya agar terus menyinari kerajaan ini.

Aether, telah diamanahkan untuk menampung langit dengan pedangnya.

Dan, akhir sekali, Albedo. 

Ditugaskan untuk menganugerahkan kegembiraan dan kesenangan kepada semua kehidupan.

Kerajaan berdiri sekali lagi, dan semuanya menjadi normal semula. Para penduduk menyanjung para pelindung dengan besar hati. Pulau yang kecil ini, menjadi antara pulau paling bahagia di dunia ini.

Malangnya, takdir tidak terjangka. 

Tanpa amaran, bulan yang sentiasa bersinar terang berubah menjadi merah. Semerah darah yang mengalir dari tombak perang.

Di saat-saat semua kebingungan, mereka terkejut apabila berita kehilangan Lumine dan Aether sampai ke telinga.

Mereka perlukan cahaya dan seseorang untuk menampung langit. Kehilangan dua orang pelindung itu, menyebabkan langit berubah hitam pekat. Lebih hitam daripada malam biasa. 

Meteor jatuh tanpa henti. Durin bangkit dan menyerang semula. Raksasa bangkit dari tanah dan merempuh pertempatan. Kerajaan terus musnah di dalam kehancuran yang mengerikan. 

Hanya segelintir yang selamat dibantu Albedo, para kesatria, penyair dan naganya.

"Biar betul!" 

Suara Klee ternaik mendengar kisah Jean. Kanak-kanak itu menyoal laju, "Jadi, apa yang berlaku?"

"Kakak ceritalah ini," Jean tergelak kecil, sebelum mengingatkan semula. "Tapi, perlahankan suara kamu."

Klee tersentak, segera menekup mulut. Dia mengangguk laju sambil menunjuk ibu jarinya.

Jean tertawa terhibur, sebelum cepat-cepat berdehem. Sempat dia mengerling ke sekitar, sebelum kisahnya disambung.

"Semuanya musnah binasa,

tanpa harapan yang bercahaya,

Apakah kita hanya berdoa,

dan terkubur sia-sia?"

Itulah luahan seorang penduduk yang menangis. Tiada apa-apa yang tersisa, kecuali mayat dan darah. Terlalu banyak kecelakaan yang terjadi. 

Takdir juga, adakalanya penuh dengan kejutan yang tidak mampu diteka.

Aether tiba-tiba muncul bersama pedang cahayanya. Dia berdiri di antara kesedihan orang ramai dan memberitahukan suatu rahsia yang mengejutkan.

"Si pengkhianat tidak sedar diri,

Merampas cahaya yang menyinari,

Berusaha meruntuhkan pedang langit,

Dengan ketamakannya sendiri."

Kerana itulah, penduduk harus berkerjasama dengannya dan bersatu-padu. 

Menangkap Albedo. 

Selepas Albedo ditangkap, dia dipaksa didudukkan di tengah ruangan dalam keadaan tercedera. Aether menghunuskan pedangnya ke langit, lalu cahaya keperakan muncul dari bilahnya.

"Tidurlah."

Tetapi, Albedo melepaskan kuasa jahatnya dan bertukar menjadi raksasa. Aether segera menarik pertarungan dengannya ke tengah bukit. Serangan demi serangan saling berbalas. Albedo meletupkan gunung berapi, dan menghancurkan matahari yang baru terbit dengan pedangnya sendiri. 

Tetapi, mujurlah Aether berjaya mengenakan sumpahan ke atas Albedo. Si pengkhianat itu akhirnya terkurung di dalam tasik selama-lamanya.

Aether yang kepenatan, menikam bumi dengan pedangnya. Dengan sisa-sisa kekuatannya, dia melepaskan cahayanya ke udara dan mengembalikan matahari. Kehancuran demi kehancuran diperbaiki semula. 

Malangnya, kerajaan yang hancur tidak mampu dipulihkan lagi. Hanya beberapa pertempatan kecil yang masih berjaya bertahan sehingga ke hari ini.

Aether yang bersedih di atas kehilangan Lumine, terus menghilang tanpa jejak. Ada juga yang mengatakan, bahawa dia tertidur di suatu jurang yang gelap kerana kehilangan tenaganya. 

Hanya beberapa masa sahaja lagi. Menunggu masa tenaganya pulih, lalu bangkit seperti kegemilangan kerajaan dahulu.

Dan menaungi langit dengan pedangnya sendiri.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro