Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

SATU

Garis-garis sinaran merah mula memunculkan diri di langit. Desiran pepohon yang halus berbisik mengancamnya. Sang mergastua tergelak sinis, merenung si mangsa nan malang. Katak dan cengkerik berpakat melaungkan kata nista dan cercaan. 

Kelam. Daun kering dan ranting berbunyi apabila dipijak. Hanya cahaya petang menangis simpati, sudi meminjamkan secercah cahaya air matanya. Suram. 

"Ibu ...?"

Suara kanak-kanak itu bergetar perlahan. Berlian merahnya melilau ke sekitar dengan cemas. Udara hutan yang lembab terasa berat. Menyesakkan.

Tangannya menggigil, memegang bakul yang berisi epal dan Serenettia. Sebelah lagi memeluk patung arnab kecilnya yang tersenyum sayu. Gaun merah manisnya sudah tercemar dengan lumpur yang berbau.

Kanak-kanak itu mengetap mulutnya, menahan esakannya dari terlepas. Laju-laju dia mengesat matanya yang bergenang.

Dia sesat.

Sudah berjam-jam dia melangkah tidak menentu, tetapi papan tanda kampungnya langsung tidak terlihat. Sedangkan kincir angin yang paling tinggi pun masih segan menunjukkan diri. Seolah-olah dunia hanya diselaputi belantara yang memenjaranya. Ngeri.

"Jangan pergi ke puncak bukit itu, sayang."

Suara ibunya yang memberi nasihat petang tadi, terngiang-ngiang di mindanya. Kanak-kanak itu, bersiap-siap mahu memetik buah, menyoal alasan si ibu. Ibunya pula menyeringai, seperti memikirkan idea paling hebat untuk menakutkan anaknya.

"Di sana, ada seekor raksasa yang dipenjara sejak beribu-ribu tahun lamanya,"  cerita ibunya dengan mata yang membulat. "Raksasa itu sentiasa hauskan darah kehidupan. Kalau dia terjumpa kamu, ngap!"

"Seramnya!"

"Sebab itulah," ibunya tertawa sambil menggosok kasar rambut anaknya, "Hati-hati!"

Sekarang, di sinilah dia.

Terperangkap di tempat yang tidak diketahui. Terlalu leka dengan buah-buahan yang ranum, sehingga tidak sedar tekah melepasi pantang larang kampungnya. Tekak yang sekering pasir, hanya dibasahi dengan air buah. Mungkin, inilah hukuman untuk orang-orang yang terleka.

Mata kanak-kanak itu berair, sebelum dia melepaskan esakan halus. Bayangan raksasa yang muncul di sebalik bayangan terlalu mengerikan. Mungkin juga labah-labah gergasi yang melompat keluar dari semak. Ataupun sekawan serigala yang menyeringai sinis di belakangnya.

Ke mana-mana pun dia pergi, semuanya terasa sama.

Tangisannya terhenti. Kanak-kanak itu laju mengesat air matanya, sambil mendongak. Matanya bersinar-sinar apabila terdengar sesuatu.

Suara air yang mengalir. Tenang sahaja nadanya, seperti melodi yang menari-nari di angkasa.

Kanak-kanak itu bergegas ke sumber bunyi. Laju dia menyelak semak samun yang menghalang. 

Lariannya terhenti mendadak. Cepat-cepat dia menyorok di belakang pohon yang tua. Dia menjenguk sedikit dengan wajah ingin tahu yang tinggi.

Di sebalik belantara yang luas, terdapat sebuah tasik yang bercahaya laksana butiran kristal. Air birunya mengalir dari air terjun kecil berdekatan, menari-nari di antara batu. Ikan riang berenang-renang bersama alam. Berpuluh-puluh ekor rama-rama violet mengepak bebas di mana-mana. Indah.

Kanak-kanak itu berbisik, "Siapa dia?"

Seseorang duduk betongkat lutut di pinggir batu, membiarkan manik birunya merenung tumbuhan kecil di pinggir tasik. Rambut perangnya yang hampir menyentuh bahu, bersinar indah apabila disentuh mentari petang. 

Baju tunik berlengan panjangnya indah dihiasi corak bintang, bersama seluar hitam separas buku lali. Jubahnya dikancing sendong di bahu, langsung tidak tercemar walaupun menyentuh bumi. Laksana putera yang terjatuh dari kayangan.

Kanak-kanak itu terkaku, terpesona buat seketika. Tidak pernah dia melihat seseorang yang menawan seperti lelaki itu. 

Adakah ini raksasa yang disebut ibunya? 

"Apa yang kamu buat di sini?"

Tersentak si kecil itu apabila si raksasa bersuara. Nyaris bakulnya terjatuh.

Lelaki itu akhirnya menarik senyuman kecil, memetik sekuntum bunga Cecillia kecil. Dia membiarkan bunga itu dihala ke langit, sebelum berpuluh-puluh ekor rama-rama mengelilinginya.

"Sebelum malam tiba ...,"Rama-rama itu mengambil bunga kecil itu, lalu terbang pergi bersama cahayanya, "Lebih baik kamu pulang."

Kanak-kanak itu melangkah keluar dari tempat persembunyiannya, gugup. Dia berkata perlahan, "S-saya tersesat ...."

Pemuda itu akhirnya melirik ke arah tetamu kecilnya. Keningnya terjongket apabila merenung telinga tetamunya. Runcing.  

"Kami orang Elf," sahut budak itu, seperti dapat membaca fikiran lelaki itu, "Abang tahu di mana jalan keluar?"

Senyuman pemuda itu akhirnya ditarik. Dia melangkah tenang, lalu duduk melutut di hadapan tetamunya. Berlian birunya bersinar-sinar apabila menyoal, "Siapa kamu?"

"Semua orang panggil saya Klee!" 

"Klee, ya?" 

Pemuda itu menyentuh dahi Klee, membuatkan kanak-kanak itu berkelip bingung. Suatu cahaya berbentuk bintang emas, muncul di dahinya seperti magis. Anak mata kanak-kanak itu turut bersinar misteri.

Udara yang memberat tadi ditiup pergi ulang hembusan dingin. Klee berpusing ke sekitar dengan mata terbuntang luas. Pemuda itu berpeluk tubuh sambil ketawa lucu. 

Klee melaung, "Hutan tadi hilang!"

Benar.

Kebingitan hutan digantikan dengan nyanyian burung yang indah. Aroma bunga yang berwarna-warni, menyentuh deria mereka dengan mekarnya. Hanya hamparan padang hijau yang bersinar kejinggaan emas. Bayang-bayang awan sesekali menaungi mereka di sebalik panasnya matahari.

Kanak-kanak itu terlompat teruja apabila melihat kawasan perkampungan yang kecil. Kipas kincir angin tempatnya juga seperti melambai riang. Pedati yang keluar-masuk kampungnya tidak ubah seperti semut yang berbaris. Nun jauh di sana.

"Di sanalah kampung saya!" Laung Klee teruja, dan bintang di dahinya bersinar. "Bagaimana abang buat?"

Apabila pemuda itu tidak menjawab, Klee semakin terdesak dengan ingin tahunya. Tetapi, lelaki itu hanya tersenyum misteri dan membalas, "rahsia."

Klee akhirnya mengeluh, mula mengalah. Sebaik sahaja dia merenung matahari yang semakin tenggelam, kanak-kanak itu teringat akan ibunya. Dia memberitahu bahawa dia mesti pulang dengan segera, atau ibunya akan mengugut ketua kampung untuk mencarinya.

Pemuda itu menguis dagunya buat seketika, lalu menyoal, "Boleh kamu berjanji dengan abang?"

Klee menelengkan kepalanya, bingung. "Janji?"

Lelaki itu meletak jarinya di mulut sambil berbisik, "Apa yang berlaku ini, hanyalah rahsia kita berdua. Bagaimana?"

Klee mengangguk laju. Dia melambai riang, lalu berlari menuruni bukit dengan bebas. Dia nyaris terjatuh apabila berhenti mendadak, lalu berpatah balik ke arah lelaki misteri itu.

"Sedikit sahaja lagi saya lupa," kata Klee dengan bersemangat, "Siapa abang?"

Bunga Cecilia bergerak-gerak ditiup angin. Aliran air terjun bermelodi di antara mereka berdua, menyimpulkan ikatan misteri yang tak terlihat. 

Pemuda itu membalas, "Albedo."

Klee tersengih dan melambai sekali lagi, "Jumpa lagi, abang Albedo!"

Itulah pertemuan pertama mereka, di bawah sinar cahaya petang yang menyimbah. Kanak-kanak itu akhirnya berlari meninggalkannya. Pemuda itu pula, membiarkan jubahnya bergerak-gerak ditiup angin. Safirnya merenung kanak-kanak itu agak lama, gelap.

"Syukurlah, bulan belum muncul."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro