EMPAT
Kisah yang diceritakan Jean membuatkan Klee tenggelam di dalam fikirannya sendiri. Sewaktu pulang juga, Jean menegur Klee yang terlalu senyap. Kanak-kanak itu menggeleng laju, dan menjawab dia hanya penat.
Klee tertanya-tanya, raksasa seperti apa yang membantu kanak-kanak untuk pulang dengan tenang?
Ada sesuatu yang tidak kena.
Klee menarik nafasnya dengan tekad. Dia mengepal tangannya penuh bersemangat sewaktu berkata, "Baiklah, Klee akan tanya abang itu sendiri!"
Petang itu, Klee teruja menukar pakaian, mengambil bakul, menyarung kasut dan topi merahnya, lalu berlari keluar halaman rumah. Jean yang menyanyi sambil menyiram pokok bunga, segera melaung, "Kamu mahu pergi mana, Klee!"
"Cari buah yang sedap-sedap untuk kakak!"
Jean mengeluh perlahan sambil menggeleng-geleng. Bersemangat lain macam benar budak itu hari ini.
. . .
Pemuda itu duduk di pinggir tasik dengan kaki bersilang, elegan. Sebelah tangannya membelai bunga-bungaan Inteyvat, membebaskan serbuk-serbuk keemasan ke udara. Senyuman sengetnya ditarik apabila seseorang melaung dengan nada geram.
"Abang Albedo!"
Tanpa berpaling, lelaki itu melirik ke arah Klee seraya berkata, "Kamu datang sebab cendawan, ataupun cerita dongeng yang menarik?"
Klee yang baru tiba, membesarkan mata delimanya.
"Abang letakkan cendawan pelik itu dalam bakul Klee semalam?" soal Klee tidak percaya, "Ibu nyaris bawa Klee jumpa tabib!"
Albedo menyelit sekuntum bunga putih ke telinga Klee, lalu membalas lucu, "Inilah balasannya kalau tidak tepati janji."
Klee yang tersedar, tertunduk dengan rasa bersalah. Dia menguis-nguis tanah dengan kakinya sewaktu membisikkan maaf. Lelaki itu langsung tidak terkilan, memberitahu bahawa dia tidak kisah.
Lagipun, "tiada sesiapa mahu percaya raksasa jahat bantu seorang budak pulang semula," katanya.
"Eh," Klee menguis dagunya lalu menyoal, "bagaimana abang tahu kisah fasal cerita itu?"
"Sebab abang dapat mendengar segalanya," Albedo memejam sambil menyentuh telinga, "Dan rasakan suara-suara itu."
Klee sekali lagi terlopong kagum. Lelaki boleh mendengar lebih daripada bebelan katak dan cengkerik yang menjengkelkan. Seandainya Klee juga mempunyai pendengaran seperti Albedo, pasti dia boleh menyuruh semua orang memberinya gula-gula untuk menyimpan rahsia. Paling menakjubkan, dia boleh berbual dengan Albedo selalu!
Tetapi, ada sesuatu yang lebih penting daripada gula-gula.
"Apa sebenarnya yang berlaku dahulu?"
Wajah Albedo berubah, sebelum tatapannya dialihkan.
"Maaf, abang tidak boleh beritahu."
"Kenapa? Kenapa?"
Renungan Albedo lebih gelap daripada biasa. Angin suram mengelilingi mereka bersama petikan alam yang sayu.
"Sumpahan itu memaksa abang diam," katanya, "Maaf."
Klee mula bersimpati, menyoal perlahan, "Abang tidak sunyikah di sini selalu?"
"Jangan risau," Albedo membelai rambut Klee dengan lembut. "Bunyi-bunyi di sekitar abang sentiasa menemani."
Klee terdiam buat seketika, sebelum melompat teruja. "Kalau begitu, kita boleh main sama-sama!"
Albedo membulatkan matanya, sedikit terkejut. "Main?"
"Klee suka cari buah yang sedap di hutan!" laung Klee dengan teruja. "Bolehlah kita makan setiap hari, dan ... oh, Kakak Jean selalu belikan gula-gula! Kita boleh main kejar-kejar, sorok-sorok, dan macam-macam lagi!"
Bersungguh Klee bercerita sambil mendepa seluas-luasnya. Albedo yang masih menjongket keningnya, akhirnya menarik senyuman manis.
"Kalau ibu kamu benarkan, tidak mengapa."
Tali kepercayaan mereka mula terikat. Hari demi hari berlalu, dan Klee gemar mencari buah-buahan di hutan. Adakalanya dia gembira menyoal pelbagai perkara -- mengenai hutan yang menghilang, sejarah kerajaan dahulu, ataupun asal-usul tempat lelaki itu.
Tidak banyak yang diceritakan lelaki itu, kecuali bahagian "Hutan hanyalah delusi sumpahan. Jangan risau, buah-buahan itu tidak akan menghilang."
Tetapi, ada suatu perkara yang sentiasa Albedo ingatkan.
Jangan melihat pantulan tasik.
Klee berkerut tidak memahami, kerana tiada apa-apapun di permukaan tasik. Hanya pantulan langit, awan-gemawan ataupun hutan. Mahu melihat wajah sendiri pun ditegah lelaki itu, apatah lagi pantulan dirinya.
"Kenapa? Atau, abang takut jadi macam Narcissus?" soal Klee, "Fasal lelaki yang suka tengok wajah sendiri itu ...."
"Tidak!" Albedo tergeleng-geleng sendiri.
Klee ini, kanak-kanak yang suka mendesak. Albedo akhirnya mengalah, duduk melutut di hadapan Klee. Permata firusnya bertembung dengan berlian delima, agak lama.
"Kalau kamu lihat permukaan tasik itu," katanya, "Kamu tidak akan datang ke sini lagi."
Mata Klee membulat. Laju dia menyoal, "Ada hantukah?"
Albedo menggeleng perlahan, lalu melirik ke tasik di sebelahnya. Tajam.
"Kamu akan lihat wajah raksasa yang sebenar."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro