4 [ Tok Janggut ]
Keesokan paginya, Shah akhirnya terlelap selepas Subuh. Penat dan bingung dengan kejadian malam sebelumnya membuatkan dia enggan ambil peduli ke mana Nik menghilang selepas mereka solat subuh bersama tadi.
Malas mahu mencarinya, Shah membiarkan matanya tertutup rapat, tenggelam dalam lena yang tidak begitu nyenyak.
---
Bunyi ketukan perlahan di pintu bilik mengejutkannya. Shah terbangun dengan tergesa-gesa, kepalanya sedikit pening kerana tidur yang tidak cukup. Dia memandang ke arah pintu, sedikit keliru.
“Maaf, Melur!” Shah cepat-cepat bangun dari pembaringan, bersangka itu pasti gadis bunian yang sering membantu mereka sejak tiba di sini.
Melur berdiri di ambang pintu dengan senyuman kecil di bibirnya. Wajahnya kelihatan lembut dalam cahaya pagi yang masuk melalui celahan tingkap.
“Malam semalam Shah tidur nyenyak, ya? Sampai siang baru sedar, kan?” usik Melur dalam bahasa klasiknya yang Shah masih cuba fahami sepenuhnya.
Shah menggaru kepala, malu. “Mungkin terlalu penat,” jawabnya perlahan, pandangannya segera mencari Nik di sudut bilik. Tetapi tempat tidur Nik kosong.
“Mana Nik?” tanya Shah ingin tahu.
“Dia di jeti,” jawab Melur, suaranya lembut seperti biasa. “Engkau mahu pergi? Melur temankan.”
Shah mengangguk. Dalam hati, dia tahu, di tempat yang asing seperti ini, tersesat adalah perkara terakhir yang dia tidak inginkan lagi. Lagi pula, ini bukan dunia biasa. Ini alam bunian! Tiada telefon, tiada peta, tiada apa-apa.
“Melur, tadi kau gerak aku ni, ada apa ya?” Shah bertanya, sedikit hairan dengan kesungguhan gadis itu mengetuk pintunya pagi-pagi begini.
Melur tersenyum lagi, senyumannya manis dan menawan, seolah-olah tidak pernah ada sedikit pun keletihan di wajahnya. “Tidak apa-apa, Shah. Melur cuma risau engkau tidak sadar hari sudah siang,” balasnya dengan nada berseloroh.
Kata-katanya membuat Shah terkedu seketika. Ada sesuatu tentang Melur. Senyuman itu, nada suara itu yang membuatkan Shah berasa lain macam. Hatinya tiba-tiba berdebar, sesuatu yang tidak pernah dia rasakan sebelum ini.
Shah hanya mampu mengangguk sambil memandang Melur yang berdiri tidak jauh darinya. Baru dia sedar, mereka kini berdua sahaja di bilik kecil itu. Seketika, fikiran Shah mula melayang, memerhatikan sosok Melur yang kelihatan begitu sempurna. Wajahnya lembut, tubuhnya seolah-olah disusun rapi oleh Tuhan.
Shah cepat-cepat mengalihkan pandangan, meraup wajahnya dengan kedua belah tangan. “Astaghfirullahalazim...” bisiknya perlahan, cuba mengawal hatinya yang sedang bergetar hebat.
Melur seolah-olah tidak menyedari kekalutan Shah. “Kalau begitu, Shah bersiaplah. Kita ke jeti, ya?” katanya lembut sebelum melangkah keluar, meninggalkan Shah sendirian di bilik.
Hanya setelah pintu tertutup, Shah menarik nafas panjang. Dia menunduk, meraup wajah sekali lagi, cuba menenangkan debar di dadanya. “Perempuan bunian ni...” gumamnya dalam hati.
Dia cepat-cepat bangkit, bersiap dengan tergesa-gesa. Fikirannya masih berputar tentang Melur, tetapi dia cuba memadamkan bayangan itu. Dalam hati, dia berdoa agar perasaannya tidak tersalah arah. Di tempat ini, semuanya tidak seperti yang kelihatan.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
Setelah Shah selesai bersiap, dia keluar dari bilik dengan langkah tergesa-gesa. Melur sudah menunggunya di ruang kecil yang dipenuhi perabot kayu tradisional. Wajah gadis bunian itu tetap tenang, namun senyumannya yang manis terus menggugat ketenangan hati Shah.
“Sudah siap? Mari, kita ke jeti,” ajak Melur, memulakan langkah tanpa menoleh. Shah mengikutinya dari belakang, sengaja menjaga jarak agar fikirannya tidak terus terganggu dengan kehadiran Melur.
Pelik, sejak dia masuk kampung tu dia jadi pelik.
Shah cuba memanggil pendamping di dalam dirinya. Namun tiada. Kerana tiada balasan, Shah lantas tidak peduli.
Perjalanan ke jeti mengambil masa beberapa minit sahaja, tetapi bagi Shah, ia terasa seperti perjalanan yang jauh. Di sepanjang jalan, dia memerhatikan suasana kampung bunian yang kini mula hidup dengan pelbagai aktiviti. Beberapa penduduk kampung kelihatan sibuk di halaman rumah, ada yang menyiapkan anyaman, ada juga yang membersihkan peralatan dapur.
Namun, Shah dapat merasakan sesuatu yang ganjil. Pandangan tajam dari penduduk kampung jelas terarah kepadanya. Mereka tidak berkata apa-apa, tetapi mata mereka berbicara, seolah-olah ada perasaan tertarik ke atasnya? Atau sebaliknya?
“Melur,” Shah akhirnya bersuara, cuba mengalihkan rasa tidak selesa. “Orang kampung... Mereka tak suka kami ke?”
Melur berpaling sedikit, senyuman kecil terukir di bibirnya. “Tidaklah. Mereka hanya jarang melihat orang seperti engkau dan Nik. Kamu berdua.. Istimewa,” jawabnya ringkas, tetapi jawapan itu membuatkan Shah lebih bingung.
“Istimewa?” Shah mengulangi hairan, tetapi Melur hanya diam dan meneruskan langkahnya.
Sebaik tiba di jeti, Shah dapat melihat Nik sedang berbual dengan seorang lelaki tua yang sedang mengikat tali perahu. Wajah Nik kelihatan serius, tetapi apabila dia melihat Shah dan Melur tiba, dia segera melambai ceria.
'Cepat betul budak ni membaur..'
“Shah! Sini sini!” panggil Nik dengan nada ceria.
Shah mempercepatkan langkahnya, geram dengan Nik menjerit tak malu.
"Apa, aku bukan pekaklah kau jerit-jerit macam ni.." Tempelak Shah setelah tiba.
Nik tersengih. Sengaja.
“Alam bunian ini bukan tempat untuk manusia seperti kamu.” Celah lelaki tua itu dalam perahu tadi.
Shah dan Nik menoleh. Dalam betul makan orang tua tu.
Wajah orang tua itu kelihatan muram.
“Jangan terlalu selesa di sini. Jika engkau berdua tidak hati-hati, engkau berdua mungkin tidak akan dapat pulang,” sambung lelaki itu sebelum melangkah pergi, meninggalkan mereka berdua bersama Melur. Perahu di dayung ke seberang.
Shah dan Nik saling berpandangan. Kata-kata lelaki tua itu jelas membawa maksud tersembunyi, dan Shah tahu, ada sesuatu yang lebih besar sedang menanti mereka di alam ini.
"Melur, sekejap ya.." Pinta Shah sopan dan Melur sekadar tersenyum.
Shah menarik Nik ke tepi, menjauh sedikit dari Melur yang masih berdiri di jeti, memandang tasik dengan pandangan kosong. Gadis itu kelihatan tenang, tetapi Shah dapat merasakan sesuatu yang tidak kena.
“Nik, kau perasan tak apa-apa pelik sejak kita sampai sini?” Shah bertanya perlahan, cuba mengelak didengari Melur.
Nik mengerutkan dahi, mengangguk perlahan. “Aku dah rasa dari awal. Penduduk kampung ni, Shah... cara mereka pandang kita. Macam... macam kita ni harta yang berharga.”
'Aku ingat kau bodoh Nik. Rupanya terlebih bodoh.'
“Harta?” Shah mengulang, keningnya berkerut. Macam mana tu?
“Ya,” Nik menunduk, suaranya sedikit berbisik. “Tadi aku cakap dengan pak cik tadi. Dia tanya banyak tentang kita, dari mana kita datang, siapa keluarga kita, dan... sama ada kita nak menetap kat sini.”
“Menetap kat sini? Nik, kau tak rasa tu lagi pelik ke?” Shah berbisik semula.
'Okey, aku tarik semula perkataan aku.' Ucap Shah di dalam hati.
Matanya sesekali melirik Melur, yang tetap kelihatan sibuk memerhatikan air tasik.
Nik mengeluh. “Aku rasa pelik, Shah. Tapi aku tak tahu nak cakap apa. Mereka tak nampak macam nak halau kita tapi macam tak nak kita pergi jugak."
Shah menarik nafas panjang.
Shah melangkah ke arah Melur, yang menyedari kehadirannya dan berpaling dengan senyuman kecil.
“Melur,” Shah memulakan, cuba menjaga nada suaranya agar tidak terdengar kasar. “Aku dan Nik...Kami tertanya-tanya. Kenapa penduduk kampung sangat..Mengambil berat tentang kami?”
Ya, sejak Tok Deruma sendiri menawarkan untuk menjaga mereka berdua yang tersesat ke situ. Padahal boleh je mereka menyewa di mana-mana rumah atau membina khemah di mana-mana tanah kosong di kampung itu.
Baik mesti ada sebab.
Melur tersenyum lagi, tetapi kali ini senyumannya terasa lain, seperti menyembunyikan sesuatu. “Kerana kalian istimewa. Kehadiran kalian membawa kegembiraan ke kampung ini.”
“Istimewa macam mana tu?” Nik yang kini menyusul di sebelah Shah bertanya, suaranya tegas.
Melur menghela nafas, seolah-olah memilih kata-kata dengan berhati-hati. “Kampung ini sudah lama sunyi. Kehadiran kalian membawa nafas baru. Penduduk kampung rasa, dengan kalian di sini, kesejahteraan mereka lebih terjamin.”
“Kesejahteraan? Apa maksud engkau?” Shah bertanya, hatinya mula berdebar.
Melur memandang mereka dengan pandangan yang lembut tetapi sedikit mendalam. “Kehadiran manusia di sini bukan sesuatu yang biasa. Tapi bila ia berlaku... Kami percaya, itu tanda keberkatan.”
“Kau nak kami tinggal kat sini selama-lamanya?” Shah terus bertanya, benci berteka-teki lagi.
Melur tidak menjawab, tetapi senyumannya cukup untuk memberikan jawapan.
Hati Shah resah.
“Tapi kami tak boleh,” Nik menyampuk, suaranya sedikit keras. “Kami ada kehidupan kat dunia kami. Kami tak boleh kekal kat sini.”
Melur tetap tenang. “Apa salahnya kalau kalian tinggal lebih lama?”
Shah menelan liur, cuba mencari jawapan. Tetapi sebelum dia sempat berkata apa-apa, suara seorang lelaki dari belakang mereka memecahkan suasana.
“Jika hendak pergi, tunggulah bulan purnama merah.”
Shah dan Nik berpaling serentak. Di belakang mereka, beberapa penduduk kampung berdiri, mata mereka tajam.
Shah dan Nik terkaku. Pandangan penduduk kampung sangat-sangat tajam. Buat mereka mengelabah seketika.
Beberapa penduduk kampung yang berkumpul kelihatan seolah-olah sedang memerhatikan mangsa. Wajah-wajah mereka meskipun tenang, tetapi mata yang tajam itu menyimpan sesuatu, rahsia yang tidak terungkap.
“Bulan purnama merah?” Nik mengulang, suaranya hampir bergetar. “Apa maksud korang? Kenapa kena tunggu?”
Seorang lelaki tua yang berdiri di barisan hadapan melangkah ke depan. Rambutnya putih, tubuhnya sedikit tua namun masih gagah berdiri, auranya memancarkan wibawa yang menakutkan. Mungkin dialah ketua kampung.
“Kerana bulan purnama merah adalah saat di mana batas antara dunia kami dan dunia kamu terbuka,” katanya, suaranya berat, seolah-olah membawa beban masa yang panjang.
“Tapi kami tak boleh tunggu lama!” Nik membantah, suaranya lantang. “Kami ada kehidupan kat dunia kami. Keluarga, kawan-kawan...Kami tak boleh terus kat sini!”
Lelaki tua itu memandang Nik dengan mata yang dingin, lalu menggeleng perlahan. “Jika kalian cuba melawan takdir, akibatnya hanya membawa malapetaka. Untuk kamu, dan untuk kami.”
“Malapetaka, malang?” Shah bertanya lagi, darahnya berderau. Meski saat ini, riaknya sekadar kosong namun siapa boleh meneka hati dan perasaannya?
Nik pula sedari tadi cemas, gelisah dan akhirnya tidak mampu bersuara lagi.
Namun lelaki tua itu tidak menjawab. Sebaliknya, dia berpaling dan memberi isyarat kepada penduduk lain untuk bersurai. Dalam sekelip mata, kumpulan itu mula beredar, meninggalkan Shah dan Nik terpaku di jeti bersama Melur.
Melur, yang selama ini diam, akhirnya bersuara. “Shah, Nik... percayalah pada kata Tok Janggut. Dia tidak pernah berbohong. Jika kalian benar-benar mahu pulang, kalian harus tunggu bulan purnama merah.”
“Melur,” Shah memandang gadis itu, cuba mencari kejujuran dalam matanya.
“Kau tahu sesuatu yang kami tak tau, kan? Kenapa mereka tak benarkan kitorang pergi? Kenapa?"
Melur menunduk, wajahnya kelihatan sedikit beremosi. “Shah... kampung ini tidak seperti dunia kalian. Kami bergantung kepada keseimbangan. Kehadiran manusia di sini mengubah segalanya, energi, nasib, semuanya. Penduduk kampung percaya, jika kalian pergi sebelum tiba waktunya, kampung ini akan kehilangan keberkatan yang kamu bawa.”
Nik tercengang. “Keberkatan? Nonsense! Karut!”
Melur memandang Shah dan Nik dengan mata yang penuh dengan rasa bersalah. “Shah, Nik...Aku akan cuba membantu kalian. Tapi percayalah, bukan mudah untuk melawan kehendak mereka. Jika kalian mahu pulang, kalian harus bersedia menghadapi masalah besar.”
Angin dingin tiba-tiba bertiup, menyelubungi mereka dengan rasa seram yang sukar dijelaskan. Shah dan Nik saling berpandangan, hati mereka semakin dirundung rasa resah. Di kampung ini, tiada apa yang kelihatan seperti yang sebenarnya.
.
.
.
.
Bersambung?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro