Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

25 Tamat

Nik dan Shah mengikuti Ustaz Syamim dari arah belakang.

Atas alasan tertentu, Ustaz Syamim ingin berjumpa malam larutnya. Bukan di siang hari.

Pada Ustaz Syamim, dia tidak mahu penduduk kampung tahu akan semua yang berlaku kepadanya.

"Dimoh! Dimoh!"

Suara Ustaz Syamim menggema di halaman rumah kayu usang itu. Bersamanya, Nik dan Shah berdiri teguh, mata mereka tajam memerhatikan setiap sudut, waspada terhadap apa sahaja kemungkinan.

Pintu rumah berkeriut perlahan, menampakkan susuk seorang lelaki tua keluar dengan langkah tenang. Di pinggangnya terselit sebilah keris, sementara di kepalanya tersarung serban ala pahlawan Melayu lama. Wajahnya dihiasi senyuman senget yang jelas penuh dengan sindiran.

"Syamim," lelaki itu bersuara, nada sinisnya menyelubungi suasana. "Apa urusan kau di sini?"

Tanpa ragu, Ustaz Syamim melangkah setapak ke depan, suaranya tegas. "Hentikan gangguan terhadap keluarga Izlan. Aku datang untuk memastikan perkara ini berakhir di sini."

Tok Dimoh ketawa besar, suara tawanya memecah sunyi malam. Ada nada angkuh dalam setiap gelaknya. "Berhenti? Kau tahu aku takkan melakukannya. Aku dibayar untuk ini. Kenapa aku harus peduli?"

Tok Dimoh melangkah ke depan, seraya mengeluarkan keris Dari sarungnya. Wajahnya penuh dengan keyakinan, seolah-olah dia tahu tiada siapa yang mampu mencabar kuasanya di kawasan itu. Nik dan Shah kekal waspada, tangan mereka bersedia di sisi, berjaga-jaga sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku.

"Tok Dimoh," Ustaz Syamim memandang tepat ke matanya. "Jangan sampai upah yang kau terima ini menjadi sebab kau kehilangan kehormatan dan maruah. Keluarga Izlan tidak bersalah. Lepaskan mereka dari belenggu perjanjian ini."

Namun, Tok Dimoh hanya menggeleng perlahan. "Kau fikir kau boleh mengajar aku tentang maruah, Syamim? Dunia ini bukan tempat untuk orang lemah. Apa yang aku lakukan hanyalah menjalankan tugas—dan itu adalah keadilan."

"Keadilan?" Nik bersuara dengan nada marah. "Keadilan apa yang kau cakapkan kalau kau sanggup menzalimi keluarga aku? Kau hanya pentingkan diri kau sendiri, orang tua."

Tok Dimoh merenung Nik dengan senyuman mengejek. "Budak mentah seperti kau takkan faham. Keadilan yang aku maksudkan bukan untuk mereka, tapi untuk aku."

Ustaz Syamim menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan dirinya. "Tok Dimoh, setiap perbuatan ada balasannya. Kau tahu itu. Hentikan sebelum semuanya terlambat."

Suasana menjadi tegang, hanya bunyi angin malam yang memecah kesunyian. Tok Dimoh mendekatkan diri, suaranya perlahan namun tegas. "Kalau kau rasa kau mampu buat aku berhenti, buktikan, Syamim. Tapi bersiaplah untuk menanggung akibatnya."

Dia berpaling semula ke rumahnya, memberikan isyarat jelas bahawa perbualan itu telah tamat. Nik dan Shah memandang Ustaz Syamim, menanti arahannya. Namun, Ustaz Syamim hanya tersenyum nipis, seolah-olah dia sudah menjangka ini akan berlaku.

Nik dan Shah pantas bersedia, masing-masing membuka langkah silat dengan fokus yang tajam. Pandangan mereka mengawasi setiap makhluk yang muncul dari pelbagai sudut rumah itu. Ada yang keluar dari celah-celah tanah, melayang di udara, malah ada yang menjelma dari kulit pokok yang reput, menyerlahkan wajah-wajah yang cukup menyeramkan.

"Buka pagar, Nik. Kali ni kita buat gelanggang macam WWE!" Shah berseloroh dengan riak kosong, meskipun nada suaranya penuh semangat. Perlawanan ghaib kali ini jelas mengujinya, dan dia tidak sabar untuk bertempur.

Nik mengangguk. Tangan didepakan, mulutnya tidak henti-henti melantunkan ayat-ayat suci untuk membuka dan memperkukuhkan pagar ghaib. Cahaya halus mula menyelubungi mereka, mencipta perlindungan yang menghalang serangan makhluk dari segenap arah.

Di tengah gelanggang ghaib yang kian panas, Ustaz Syamim melangkah ke depan, memfokuskan seluruh perhatiannya kepada Tok Dimoh. Langkahnya penuh keyakinan, sementara bibirnya tidak berhenti membaca surah-surah sebagai perisai diri.

"Allahuakhbar!" laung Syamim, suaranya tegas namun penuh tawakal.

Seakan memberi tindak balas, pokok-pokok di sekeliling bergoyang hebat, seolah-olah bersorak mengiringi pertempuran itu. Tanah di bawah kaki mereka turut bergegar, mencipta suasana yang cukup cemas dan menggugah hati.

Makhluk-makhluk ghaib yang tidak terkira jumlahnya menyerang dari pelbagai arah. Nik memperkukuh pagar ghaibnya, menghadang setiap percubaan makhluk itu untuk menyerang mereka. Sementara itu, Shah bergerak pantas, menyerang balas dengan langkah silat yang cekap, melibas musuh-musuh ghaib tanpa gentar.

Tok Dimoh memandang Ustaz Syamim dengan senyuman sinis. "Berani kau mencabar aku, Syamim. Kau tahu apa risikonya?"

Namun Syamim hanya tersenyum kecil, tangannya memegang tasbih erat. "Risiko itu milikmu, Dimoh. Aku cuma hamba yang berserah kepada Allah."

Pertarungan satu lawan satu mereka bermula, dikelilingi oleh suasana yang penuh dengan aura ghaib dan getaran spiritual.

Tok Dimoh tersenyum nipis, menghunus kerisnya dengan perlahan. Udara di sekelilingnya menjadi lebih dingin, hampir menyengat kulit. Cahaya suram memancar dari keris itu, seolah-olah diselubungi kekuatan ghaib.

“Aku sudah lama dalam permainan ini, Syamim. Kau takkan mampu lawan pengalaman dan kehebatanku!” Tok Dimoh bersuara lantang, langkahnya mula menghampiri.

Ustaz Syamim berdiri teguh, membaca ayat-ayat suci dengan penuh keyakinan. Setiap lafaznya seakan membentuk gelombang cahaya, menolak aura hitam yang cuba mendekati. Keris Tok Dimoh yang bercahaya kelam seketika kelihatan surut, seperti kehilangan kekuatan apabila dihampiri nur kalimah Allah.

Sementara itu, Nik semakin lelah, namun tetap gigih mempertahankan pagar ghaibnya. Peluh mula membasahi wajahnya, namun tangannya tidak berhenti membuat isyarat tertentu, memperkuatkan lapisan pagar yang semakin ditekan oleh makhluk-makhluk ghaib yang cuba merobohkannya.

“Shah, aku tak boleh bertahan lama kalau makhluk-makhluk ni terus menyerang dari pelbagai arah! Kau kena bersihkan mereka!” jerit Nik.

“Serahkan pada aku!” balas Shah, melompat ke arah sekumpulan makhluk yang baru muncul. Langkah silatnya semakin agresif, memukul angin dengan setiap pergerakan yang dipenuhi tenaga batin. Makhluk-makhluk itu mula berundur, sesetengahnya meletup menjadi debu hitam apabila disentuh pukulan Shah.

Kembali ke tengah gelanggang, Tok Dimoh kini melancarkan serangan balas, kerisnya meluncur laju ke arah Ustaz Syamim. Namun, Syamim dengan pantas mengangkat tangannya, menghalang serangan itu dengan kuasa dari zikir yang tidak pernah terhenti. Cahaya terang terpancar di antara mereka, memaksa Tok Dimoh berundur beberapa langkah.

“Kau sangka kau boleh melawan aku dengan zikir sahaja? Aku sudah menundukkan ratusan yang lebih hebat darimu!” bentak Tok Dimoh, kali ini dengan nada yang lebih marah.

Ustaz Syamim memejamkan matanya sejenak, menarik nafas dalam. “Tok Dimoh, kuasa yang kau gunakan adalah ilusi. Kau lupa, yang hak akan sentiasa mengalahkan yang batil. Kembalilah sebelum terlambat.”

Tiba-tiba, tanah di sekitar mereka bergegar lebih kuat. Dari celah-celah tanah, muncul makhluk besar berbentuk bayangan hitam, matanya merah menyala, mengaum dengan suara yang menggetarkan jiwa. Makhluk itu jelas dikawal oleh Tok Dimoh, menjadi senjata terakhirnya untuk mematahkan perlawanan.

Namun, Ustaz Syamim tidak gentar. “Nik, Shah! Bersedia untuk gelombang terakhir. Jangan biarkan rasa takut menguasai kalian!”

Nik dan Shah memandang makhluk besar itu dengan tekad. Nik menutup pagar ghaib dan menumpukan kekuatan untuk membantu Shah menyerang. Bersama-sama, mereka menyusun langkah silat dengan bacaan doa yang menggema, bersatu melawan ancaman yang semakin menggila.

Di tengah segala kekacauan, Ustaz Syamim menadah tangan ke langit, memohon pertolongan Ilahi. “Ya Allah, hancurkanlah kebatilan ini dengan kuasa-Mu, dan kembalikan yang sesat ke jalan yang benar!” Sebuah cahaya besar mula turun, memancar ke tengah gelanggang, menggegarkan setiap makhluk yang ada.

Tok Dimoh terduduk, matanya terbeliak menyaksikan kuasa itu. “Tidak… ini mustahil!” jeritnya, sebelum segalanya menjadi putih bersinar.

Ketika cahaya terang itu menyelubungi gelanggang ghaib, suara-suara makhluk yang menyeramkan perlahan-lahan lenyap, seperti diserap oleh pancaran suci yang kian meluas. Shah dan Nik terduduk keletihan, nafas mereka tercungap-cungap, namun mata mereka tidak lepas memerhati kejadian yang berlaku di hadapan mereka.

Tok Dimoh masih terduduk di tanah, menggenggam kerisnya dengan tangan yang terketar-ketar. Tubuhnya kelihatan lemah, seolah-olah kekuatan hitam yang menjadi sandarannya selama ini sedang direntap keluar dari dirinya. Dia mendongak, memandang Ustaz Syamim dengan wajah yang dipenuhi ketakutan.

“Tidak… tidak mungkin! Aku takkan kalah! Aku…” Tok Dimoh cuba bangun, namun tubuhnya seakan dipaku ke tanah.

Ustaz Syamim melangkah perlahan ke arahnya, cahaya di sekelilingnya semakin terang. Dengan suara yang tenang namun tegas, dia berkata, “Tok Dimoh, keangkuhan dan kesesatan hanya membawa kehancuran. Masih ada peluang untuk kau kembali, bertaubatlah sebelum semuanya terlambat.”

Tok Dimoh menggeleng pantas, matanya liar mencari jalan keluar. “Aku tak perlukan pertolongan kau! Aku… aku masih ada kuasa!” Dia mengangkat kerisnya tinggi, cuba menyerang, namun cahaya dari tasbih di tangan Ustaz Syamim memancar lebih kuat, memaksa keris itu terjatuh dari tangannya.

“Aku… aku…” Tok Dimoh terkulai, wajahnya mula berubah dari penuh amarah kepada keinsafan. Tubuhnya terbaring di atas tanah, nafasnya perlahan. “Apa yang aku lakukan selama ini…,” katanya, suaranya bergetar. “Aku… aku telah tersesat jauh…”

Ustaz Syamim mendekati, lalu meletakkan tangan di dada Tok Dimoh. “Allah sentiasa membuka pintu taubat, selagi kita berniat untuk kembali. Mohonlah ampun kepada-Nya.”

Air mata mula mengalir di pipi Tok Dimoh.

Di sisi lain, Nik dan Shah saling berpandangan, kelegaan jelas terpancar di wajah mereka. Keluarga mereka akhirnya terselamatkan.

Ketika Ustaz Syamim bangun, dia menoleh ke arah mereka berdua. “Alhamdulillah, semuanya selesai. Tapi ingatlah, perjuangan menentang kebatilan tidak pernah berakhir. Kita hanya alat untuk menyampaikan kebenaran, selebihnya, serahkan kepada Allah.”

Nik dan Shah mengangguk, hati mereka penuh rasa syukur. Angin malam bertiup perlahan, membawa pergi segala sisa kegelapan yang pernah menyelubungi tempat itu.

Ustaz Syamim melangkah perlahan menjauhi Tok Dimoh yang masih terduduk di tanah, namun riak tenang di wajahnya mula berubah apabila melihat kelakuan lelaki tua itu.

Tiba-tiba, Tok Dimoh memegang kepalanya dengan kedua-dua tangan, menjerit sekuat hati. Suaranya menggema di seluruh kawasan, membuatkan Shah dan Nik segera berdiri dalam keadaan berjaga-jaga.

“Aku… aku tak boleh terima ini! Semuanya hilang… semua kuasa aku… HILANG!” Tok Dimoh meronta-ronta, matanya terbeliak, seolah-olah melihat sesuatu yang tidak kelihatan oleh orang lain.

Namun, di mata mereka bertiga, semua makhluk yang dibela Tok Dimoh menhurungnya seakan Tok Dimoh melupakan sesuatu.

Ya, senjata makan tuan.

Tok Dimoh memukul-mukul tanah, menggumam kata-kata yang tidak jelas, sebelum ketawa terbahak-bahak dengan suara yang nyaring dan menakutkan.

Shah melangkah ke depan, cuba menghampiri. “Ustaz, apa yang terjadi kat dia? Bukan tadi dia bertaubat?”

Ustaz Syamim menahan Shah dengan tangan. “Jangan dekat. Ini kesan dari dosa dan amalan syirik yang bertahun-tahun dia lakukan. Kuasa gelap yang pernah dia pelihara sedang menghukum dirinya. Taubatnya mungkin diterima, tetapi ada harga yang harus dibayar atas pilihan silamnya.”

Tok Dimoh terus tertawa, sesekali menangis, sebelum tiba-tiba berbicara kepada sesuatu yang tidak wujud. “Kembalikan! Kembalikan semua yang aku miliki! Aku sanggup lakukan apa sahaja! Jangan tinggalkan aku!” Suaranya penuh putus asa, tetapi tiada jawapan. Dia kelihatan semakin terperangkap dalam dunia sendiri, berbicara kepada bayang-bayang yang tidak kelihatan.

Nik menunduk dengan wajah penuh simpati. “Dia… sudah hilang kewarasan, Ustaz. Apa yang kita boleh buat untuk dia?”

Walaupun keluarganya pernah menjadi ilmu sihir hitam orang tua itu, namun jelas dia terasa kasihan pula ke atas Tok Dimoh.

Ustaz Syamim menghela nafas panjang. “Kadang-kadang, dosa dan syirik meninggalkan kesan yang tidak boleh dipulihkan sepenuhnya di dunia ini. Namun, kita masih boleh berdoa agar Allah mengurniakan ketenangan jiwa kepadanya.”

Mereka bertiga memandang Tok Dimoh yang kini merangkak seperti orang kebingungan, mulutnya terus bergumam kata-kata yang tidak difahami. Air mata mengalir deras di wajahnya, mencerminkan jiwa yang hancur dan hati yang kacau.

“Ini pengajaran untuk kita semua,” kata Ustaz Syamim perlahan. “Syirik dan kebatilan mungkin memberi kuasa sesaat, tetapi akhirnya, ia akan menghancurkan bukan sahaja jiwa, tetapi juga akal dan maruah kita.”

.
.
.

Keesokan harinya, Tok Dimoh ditemui oleh penduduk kampung dalam keadaan tidak terurus. Dia meracau sendirian di halaman rumahnya, dengan mata liar dan tangan menggaru-garu tanah tanpa henti. Penduduk kampung yang pada mulanya takut mendekatinya akhirnya memanggil Ustaz Syamim untuk membantu.

Ketika Ustaz Syamim tiba, dia mendapati Tok Dimoh masih dalam keadaan yang sama—bukan lagi seorang lelaki yang berkarisma dan ditakuti, tetapi seorang insan yang hilang kewarasan. Bibirnya bergerak-gerak menggumam sesuatu yang sukar difahami, seolah-olah berbicara dengan makhluk ghaib yang hanya dia nampak.

“Dia perlu dirawat,” kata Ustaz Syamim kepada penduduk kampung yang berkumpul. “Dosa-dosa silamnya mungkin sudah diampunkan jika dia benar-benar bertaubat, tetapi tubuh dan akalnya telah terlalu lama dikawal oleh kuasa jahat. Ini adalah akibat dari perbuatannya sendiri.”

Beberapa orang kampung membantu mengangkat Tok Dimoh yang meronta-ronta sambil menjerit tidak tentu hala. Dengan bantuan Ustaz Syamim, mereka membawa lelaki tua itu ke sebuah hospital sakit jiwa di daerah berdekatan. Sepanjang perjalanan, Tok Dimoh terus memekik, memanggil nama-nama makhluk ghaib yang pernah menjadi sekutunya.

“Jangan tinggalkan aku! Aku perlukan kuasa itu kembali!” jeritnya, dengan suara yang serak. Namun, semakin jauh perjalanan mereka, suaranya semakin lemah, seolah-olah dia kehabisan tenaga.

Setibanya di hospital, doktor dan jururawat segera mengambil alih. Mereka memeriksa keadaan Tok Dimoh dan mengesahkan bahawa dia mengalami gangguan mental yang serius. “Dia kelihatan seperti mengalami trauma yang sangat mendalam,” kata doktor kepada Ustaz Syamim. “Adakah dia pernah terlibat dengan sesuatu yang berat?”

Ustaz Syamim hanya mengangguk perlahan. “Dia pernah terlibat dengan amalan yang melibatkan kuasa ghaib dan syirik. Ini mungkin hasil daripada dosa-dosa itu. Mohon doktor lakukan yang terbaik untuk merawatnya.”

Setelah itu, Tok Dimoh ditempatkan di sebuah bilik khas untuk pesakit yang memerlukan pemantauan rapi. Suara jeritannya masih kedengaran sesekali, namun kini ia hanya gema seorang lelaki yang terperangkap dalam dunia batinnya sendiri.

Penduduk kampung yang mengetahui tentang keadaan Tok Dimoh merasa insaf. Mereka sedar bahawa perbuatan yang melanggar hukum Allah akhirnya akan membawa kehancuran, sama ada di dunia atau di akhirat.

“Semoga Allah memberinya ketenangan,” kata seorang penduduk tua.

Ustaz Syamim mengangguk, menundukkan kepala sambil berdoa. “Segala yang berlaku ini adalah pengajaran, bukan hanya untuk Tok Dimoh, tetapi untuk kita semua. Syirik itu dosa besar, dan akibatnya melampaui apa yang kita sangka.”

Hari-hari berlalu, dan Tok Dimoh kekal di hospital sakit jiwa, di mana dia dijaga oleh doktor dan jururawat. Kadangkala dia kelihatan tenang, namun lebih kerap dia kembali meracau, memanggil bayangan masa lalunya. Kampung itu kini kembali aman, tetapi kisah Tok Dimoh kekal sebagai ingatan, satu peringatan yang terus diceritakan kepada generasi akan datang.























Bonus -

Nik dan Shah berdiri di tepi hutan yang kelihatan tenang namun penuh misteri. Pohon-pohon besar melambai perlahan ditiup angin malam, seolah-olah memanggil mereka masuk. Cahaya rembulan menyinari kawasan itu, tetapi suasana tetap terasa sunyi dan menyeramkan.

“Betuk nak camping sini?” tanya Shah sambil melirik ke arah Nik, yang sedang memeriksa beg galasnya. “Aku tahulah cuti sekolah, tapi kenapa sini? Kau tahu kan sejarah tempat ni…”

Nik tersenyum kecil, seolah-olah menganggap Shah terlalu risau. “Aku tahu, Shah. Tapi itu dulu. Lagipun, kita bukan budak-budak lagi. Dah lama kita tinggalkan tempat ni, takkan nak takut sampai bila-bila?”

Shah menggeleng perlahan. “Kau lupa ke apa yang jadi masa kita kecil dulu? Kau lupa macam mana kita hilang berjam-jam dalam hutan ni, tak jumpa jalan keluar? Aku tak boleh lupa, Nik. Suasana tu… macam ada sesuatu yang perhatikan kita.”

Nik menepuk bahu Shah, cuba menenangkan cousinnya. “Itu dulu, Shah. Sekarang kita dah lebih matang, dah tahu apa yang kita buat. Lagipun, aku dengar hutan ni dah lama tak ada apa-apa kejadian pelik. Kita cuma nak camping, rileks sikit. Takkan kau nak kena ejek dengan budak-budak lain sebab takut?”

Shah terdiam, memandang ke dalam kegelapan hutan. Jauh di dalam, bunyi cengkerik dan burung malam bergema perlahan, tetapi ada sesuatu yang aneh dalam keheningan itu—sesuatu yang sukar dijelaskan. Makhluk-makhluk halus menyebar memerhati mereka berdua namun Shah malas ambil tahu.

“Aku tak tahu, Nik…” Shah akhirnya berkata, suaranya berbisik. “Tempat ni ada aura lain. Macam tak pernah berubah, walaupun bertahun-tahun dah berlalu.”

Nik memandang Shah dengan wajah penuh keyakinan. “Sebab tu kita kena hadap. Kadang-kadang, untuk buang rasa takut, kita kena lawan balik apa yang buat kita takut.” Dia melangkah ke dalam hutan, memulakan perjalanan.

Shah menarik nafas panjang. Walaupun hatinya berat, dia mengikuti Nik, meninggalkan kawasan terbuka dan melangkah ke dalam kegelapan hutan itu. Pohon-pohon besar seakan menutup pandangan mereka, dan suasana menjadi semakin sunyi.

Namun, Shah tidak dapat menghilangkan perasaan yang menebal di hatinya—seolah-olah ada sesuatu yang menunggu mereka di dalam. Sesuatu yang mereka pernah hadapi dahulu… dan tidak pernah benar-benar meninggalkan mereka.

"Kau memang buat kerja gila Kali ni Nik."

TAMAT!

SERIES KEDUA AKAN DATANG!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro