Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

21 [ Shah & Nik ]

Shah terkebil-kebil, memerhatikan kelipan kunang-kunang yang menghiasi malam di hutan bunian. Meski sudah larut, suasana di situ lebih hidup daripada siang. Cahaya kehijauan berkilauan pada dedaunan, seakan-akan hutan itu sendiri bernafas dengan keajaiban yang sukar diungkapkan. Namun, setiap langkah yang diambil Shah seolah-olah mengundang perasaan yang sukar digambarkan, antara kagum dan cemas.

Para pengiring Ratu Bunian membimbing mereka dengan penuh hormat, membuatkan Shah berasa dirinya seolah-olah seorang tetamu kehormat, meskipun dia sendiri tidak pasti apa nasib yang menantinya.

"Shah... Macam mana kau boleh tersesat masuk ke alam ni?"

Shah, yang masih terpesona dengan keindahan hutan itu, berpaling. Kata-kata itu benar-benar membuatkan dia terkejut, bukan kerana soalnya, tetapi kerana suara yang mengucapkannya.

Suara itu lembut tetapi jelas, dengan loghat Kuala Lumpur yang pekat.

"Ra-Ratu bisa berbahasa kami?" Soal Shah, sedikit tergagap.

Ratu Bunian tidak menjawab terus. Di sebalik cadarnya, sekilas terlihat lengkungan senyuman yang sukar ditafsirkan.

Saat tiba di kampung bunian, Shah sekali lagi tergamam.

Kampung itu jauh lebih indah daripada yang dia bayangkan. Rumah-rumah megah dibina di atas pokok, dihubungkan oleh jambatan gantung yang menjalar seperti akar hidup. Cahaya lembut menghiasi setiap sudut, menjadikan seluruh kampung kelihatan seperti bintang-bintang di langit telah turun ke bumi. Para penduduknya, semuanya berpakaian putih bersih, memancarkan aura suci yang berbeza daripada kaum bunian yang pernah Shah temui sebelum ini.

"Kampung yang kau lalui sebelumnya ialah kampung bunian yang paling hujung. Ia sudah lama ditempati makhluk puaka beratus tahun. Kau mungkin selamat keluar dari sana, tapi tidak dalam keadaan baik," ujar Ratu Bunian dengan tenang.

Shah terdiam, merangka kembali dalam fikirannya perjalanan yang telah dilaluinya. Selama ini, dia telah tersilap? Jika dia terus maju lebih dalam, apakah dia akan menemukan jalan keluar yang sebenar?

"Shah, kau mungkin berjaya keluar, tapi..."

Belum sempat Ratu menghabiskan kata-katanya, suasana tiba-tiba berubah. Riuh-rendah kampung itu lenyap serta-merta apabila seorang lelaki bertopeng musang putih melangkah masuk ke halaman utama.

Semua membisu.

"Kanda sudah pulang?" Suara Ratu Bunian bernada ceria di sebalik cadarnya.

Shah berkerut. "Kanda?"

Namun, sesuatu yang lebih aneh menarik perhatiannya, mengapa Raja Bunian juga menyembunyikan wajahnya?

"Kanda? Kenapa menyembunyikan wajahmu?" soal Ratu dengan nada hairan.

"Kita masuk dulu. Angin malam tidak baik untuk kita. Mari, Shah..." suara Raja Bunian kedengaran tenang, seolah-olah membawa maksud yang lebih dalam.

Shah menuruti tanpa membantah.

Setelah para pengawal dan pendamping bersurai, Shah akhirnya melangkah masuk ke dalam rumah besar itu dan sekali lagi, dia terpaku.

Di sudut bilik, seorang pemuda terbaring lesu di atas tilam kecil.

"Nik...?" Shah menggumam, dadanya terasa berombak. Tanpa menunggu lebih lama, dia melangkah laju dan berlutut di sisi pemuda itu.

"Dia terlalu lemah... Seharian tidak makan," Raja Bunian bersuara perlahan.

Shah menggenggam bahu Nik dengan lembut, seolah-olah takut pemuda itu akan hilang lagi jika dia terlepas. Air matanya menitis tanpa sedar.

"Terima kasih...Kerana menyelamatkan dia."

Raja Bunian melepaskan helaan nafas perlahan sebelum mengangkat tangannya ke topeng musang putih yang menutupi wajahnya.

"Kau berdua ni... Kenapa degil sangat masuk hutan tu?"

Shah tersentak.

Suara itu!

Dia berpaling dengan pantas, matanya membulat.

"Orang tua...?"

Senyuman kecil terukir di bibir lelaki itu.

"Dah lama tak jumpa kau, Shah. Tak sangka kau dan Nik membesar bersama."

Shah terkedu. Dia tidak pernah menyangka orang tua yang pernah dikenalinya bertahun lalu adalah seorang Raja Bunian!

"Terima kasih," ucap Shah lagi, kali ini dengan lebih dalam, lebih tulus.

Hendra menepuk bahunya ringan. "Sudah. Pergi mandi dan berehat. Esok kita akan ke Kampung Paya Rimbun lagi. Satu-satunya jalan masuk dan keluar dari sini hanya Ratuku yang dapat membukanya."

Perlahan, Hendra mengalihkan pandangannya ke arah Ratu, sebelum tangannya naik menyentuh bahu wanita itu dengan lembut.

Saat itu, Ratu Bunian mengangkat tangannya dan menarik cadar yang menutupi wajahnya.

Shah yang baru hendak berdiri tiba-tiba membeku.

Matanya membesar. Mulutnya sedikit terbuka.

Wajah yang terpampang di hadapannya begitu dikenali, tidak mungkin dia tersilap!

"Kak Aliya?!"

Wanita itu sendiri terkedu.

"E-Eh?"

.
.
.
.

Keesokan paginya, meja makan di kediaman Raja Bunian meriah dengan suara gelak ketawa. Kehadiran Shah dan Nik menambah kemeriahan, lebih-lebih lagi dengan adanya si kembar putera dan puteri bunian—waris kepada takhta Hendra dan Aliya.

Shafira, si kakak yang ceria, langsung menyuakan wajah terujanya ke arah Shah dan Nik. "Jadi, kau berdua jadi anak murid abang Danny? Cemburunyaaa..." Dia memuncungkan bibir, jelas sekali rasa iri menebal dalam nada suaranya.

"Fira, makan dulu. Tak sopan," tegur Shahir, adiknya yang lebih matang dan berhemah. Namun, riak wajahnya yang sedikit malu dengan kelakuan kakaknya tidak terlepas dari pandangan Shah.

"Tapi bergurukan abang Danny..." Shafira merungut kecil, mengacau-ngacau buburnya dengan sudu. "Awww, kita pun nak juga!"

Shah yang dari tadi diam hanya mampu terkebil-kebil. Berguru dengan Danny dan yang lain? Jika boleh memilih, dia lebih rela tidak terlibat langsung. Nik di sebelahnya pun buat muka kosong, malas nak layan. Siapa yang tahu, tahulah.

Namun, topik itu berubah apabila Aliya—atau lebih tepat, Ratu Bunian—bersuara sambil menyuap sarapan. "Tapi, bonda tak sangka Danny akan melukis wajah bonda..."

Nik tersenyum simpul.

"Kami pun tak sangka dia boleh lukis sebijik muka akak Aliya. Katanya, akak garang, dan sebab akak, dia jadi lebih kuat dari sebelumnya," ujar Nik, nadanya penuh makna tersirat.

Aliya tersenyum-senyum, bangga dalam diam.

Namun, reaksi Hendra lain pula. Dia berdehem dua kali, seolah-olah ada sesuatu yang mengusik hatinya. "Ehem, ehem. Dinda dah tua ye."

Nik terus ketawa. Aliya pula tersengih, jelas menyakat suaminya yang kelihatan sedikit cemburu.

Suasana yang riuh-rendah itu beralih kepada perkara lain apabila Shah tiba-tiba bertanya, "Tapi, macam mana Shafira dan Shahir boleh cakap bahasa KL?"

Shafira dan Shahir bertukar pandang sebelum menegakkan dada dengan bangga.

"Ayahanda bagi kami misi," Shahir menjelaskan dengan penuh keyakinan. "Sebagai pewaris seterusnya, kami perlu membawa amanat dan tanggungjawab mengutip ufti setiap lima purnama sekali di seluruh kampung bunian."

Shafira menyambung, "Makanya, kami kena keluar dari kampung dan melalui alam manusia. Lagipun, ayahanda dah makin tua, jadi tak salah kalau berbagi tugas, kan?"

Hendra mengangguk dengan tenang, bersetuju dengan anak-anaknya.

Shah mengangguk, kagum dengan kecekapan mereka. "Tapi… tak berbahaya ke?"

"Kami mahir dalam seni pertahanan diri," jawab Shahir dengan yakin.

"Ya! Ayahanda hebat dalam seni pedang!" Shafira menambah dengan penuh kebanggaan. Wajahnya bersinar dengan semangat, hidungnya kembang kempis, malah kelihatan seolah-olah mengeluarkan asap kepuasan.

Shah masih buat muka kosong, tapi Nik pula dah menggigit bibir, menahan tawa.

Namun, sebaik sahaja suasana kembali reda, Hendra mengalihkan perhatian kepada Shah dan Nik. Matanya sedikit tajam. "Sekali lagi, kenapa kau berdua boleh tersesat masuk alam bunian?"

Nik dan Shah sama-sama terdiam. Nik hanya tersengih-sengih seperti pesalah yang sudah tahu dirinya bakal dihukum.

Shah akhirnya bersuara, selamba. "Aku jaga Nik. Dia kan pendek akal."

Nik yang baru saja mencapai cawan air terus menoleh dengan mata membulat. "Kau janganlah buka rahsia!"

Tanpa menunggu lama, tangannya mendarat di kepala Shah, menepuknya geram.

Hendra yang mendengar itu hanya menggeleng kepala. Wajahnya jelas memaparkan sesuatu, bukanlah kejutan, tetapi lebih kepada kepastian.

"Jadi memang betul tekaan aku. Kau je masalah dari dulu sampai sekarang." Dia mendengus perlahan. "Tak sangka, dah besar pun masih sama… atau mungkin jadi lebih teruk."

"Kami... nak balik ke alam manusia," ujar Nik perlahan, suaranya hampir tenggelam dalam keheningan pagi itu.

Mendengar kata-kata itu, meja makan yang tadi riuh-rendah kini sunyi. Semua mata tertumpu kepada mereka berdua.

Shah menarik nafas dalam sebelum bersuara. "Dan... kami dah lama hilang dari dunia manusia, bukan?"

Aliya hanya tersenyum kecil, namun senyumannya sarat dengan makna.

"Sejak alam manusia mencapai kemodenan, ruang masa menjadi tidak stabil," ujar Ratu Bunian, suaranya lembut tetapi penuh dengan kebijaksanaan. "Arus masa di antara dunia semakin pantas, sering berubah mengikut peredaran zamannya sendiri. Tetapi alam bunian... kami masih terpelihara. Namun, sejak beberapa dekad lalu, banyak kampung bunian telah musnah. Penghuni kami terpaksa berpindah-randah, mencari tempat perlindungan. Akibatnya, ruang masa semakin kacau-bilau. Makhluk yang selama ini bersembunyi di dalam tanah juga mula keluar, menetap di antara dua dunia."

Nik menelan liur, perasaan resah mula menjalar dalam dirinya. "Jadi… maksud akak…" Dia mengerutkan dahi. "Kami dah terlalu lama hilang dari dunia manusia?"

Matanya membulat, meresapi makna di sebalik kata-kata itu.

Tiada siapa bersuara.

Hanya keheningan yang berbicara, menyelubungi mereka semua dengan kenyataan yang selama ini tidak mereka jangka.

Bersambung?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro