Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

21 Makhluk neraka

Di ruang gelap itu, tok bomoh duduk bersila, menghadap kemenyan yang berkepul-kepul mengeluarkan asap tebal. Bau menusuk itu memenuhi ruang, seiring dengan mantera yang keluar dari mulutnya yang terkumat-kamit, tanpa henti. Matanya yang membulat tajam tidak berkelip, seolah-olah merenung ke alam lain yang terbuka luas melalui jendela kayu yang sengaja dibiar terbuka. Jendela itu menjadi simbol pemisah antara dunia nyata dan alam mistik yang cuba dikuasainya.

“Kau lawan aku, Syamim,” bisiknya dengan nada penuh dendam. “Biar aku ajar sikit mereka yang kau jaga sangat. Sekadar peringatan.”

Kata-katanya disertai dengan jelingan tajam, seolah-olah melihat seseorang di kejauhan. Pokok-pokok di luar rumah mula bergoyang hebat tanpa angin. Pintu jendela berkeriuk, terbuka dan tertutup sendiri, seakan-akan dijentik oleh kuasa ghaib. Kemenyan yang semakin tebal asapnya kini membentuk bayangan samar, seperti tubuh-tubuh asing yang berdamping dengannya.

Tiba-tiba, satu lembaga muncul di jendela kayu itu. Tubuhnya terapung di udara, wajahnya menyeramkan—reput, dengan kulit yang hampir terlerai dari tengkoraknya. Taringnya panjang menyeringai hingga ke pipi, dan kuku-kuku hitam tajam melengkung ke dalam. Rambutnya mengerbang kasar, dipenuhi ulat-ulat yang menjijikkan, bergeliat tanpa henti. Itulah lembaga yang sama pernah menghantui Izlan, sebelum Ustaz Syamim mengusirnya dengan kalimah suci.

“Syamim pandai, tapi aku lebih lama di sini. Mereka ingat pagar ampuh itu boleh melindungi? Kita akan lihat siapa yang menang.” Tok bomoh tersenyum sinis.

Lembaga itu mendekat, tertawa halus, suara seramnya bergaung di seluruh ruang. Sebagai makhluk neraka yang tunduk kepada sihir kufur ini, ia hanya menanti arahan tuannya.

“Kau tahu apa yang aku nak?” Tok bomoh mendengus kecil. “Malam ini, tempat sama. Tak kira siapa yang ada di rumah itu, aku nak kau beri mereka pelajaran. Jangan biarkan mereka rasa selamat.”

Lembaga itu mengangguk kecil, dan dalam sekelip mata, ia hilang, meninggalkan jendela itu terbuka seperti sedia kala.

Tok bomoh bangkit perlahan, mencapai guci kuning yang tersimpan rapi di sudut ruangan. Bungkusannya dibuka perlahan-lahan, dan dia mula membaca mantera baru. Aksara pujaan yang dilukis pada kain guci itu mula bercahaya samar, seakan-akan hidup.

“Bangkitlah...” desisnya dengan nada mendatar tetapi penuh kekuasaan.

Makhluk itu bergerak perlahan-lahan keluar dari guci, tubuhnya melengkung dengan gerakan yang tidak wajar, seperti serangga besar yang baru bangkit dari tidur panjang. Matanya merah menyala, tajam menusuk, memandang tepat ke arah tok bomoh yang duduk bersila dengan penuh keangkuhan. Mulut makhluk itu menyeringai, mempamerkan deretan giginya yang tajam, seakan menanti arahan seterusnya dengan sabar tetapi penuh ghairah untuk menunaikan kehendak tuannya.

“Dengar baik-baik,” arah tok bomoh dengan suara tegas tetapi dingin. “Kau tahu tempatnya. Kau tahu siapa mangsanya. Pergi beri mereka pengajaran, tapi jangan lupa batas kau. Selepas itu, pulang ke tempat asal kau! Aku tidak mahu kau mencipta huru-hara tanpa arahan dariku. Faham?”

Makhluk itu mengangguk perlahan, tetapi sorotan matanya penuh dengan keinginan untuk menghancurkan. Tanpa berkata apa-apa, ia mula merangkak laju ke arah jendela, tubuhnya bergerak dengan kelajuan yang menyerupai serangga besar.

Hilai tawa yang panjang dan menusuk telinga keluar dari mulutnya, memecah kesunyian malam, membuat bulu tengkuk sesiapa yang mendengar merinding ketakutan.

Langit malam menjadi saksi perjalanan makhluk itu, yang meluncur seperti bayang hitam merayap, menyelinap masuk ke dalam kegelapan. Ia bergerak dengan satu tujuan—menghukum mereka yang telah meremehkan kekuasaan tok bomoh.

Waktu terus berlalu, malam menjadi semakin pekat. Dalam kegelapan itu, tok bomoh tersenyum puas. Baginya, kuasa yang dia miliki adalah bukti kejayaannya dalam menguasai makhluk neraka, walaupun ia adalah sebesar-besar kekufuran. Dia lupa, setiap langkahnya semakin jauh dari Sang Pencipta, bergelumang dalam dosa dan kebatilan. Namun bagi tok bomoh, itu tidak lagi penting. Apa yang ada di hadapannya adalah kuasa dan dendam yang harus dilunaskan.

Makhluk itu kini semakin hampir ke tujuannya, membawa bersamanya ancaman dan bencana. Malam yang kelihatan damai berubah menjadi medan antara keimanan dan kekufuran, kebenaran dan kezaliman.

.
.
.
.

Luna mematikan televisyen apabila selesai menyaksikan drama Korea. Lina dan Nik kebetulan tiada di rumah kerana hendak pergi membeli makanan di luar. Katanya tidak perlu memasak besok lagi dan tinggal panaskan

Luna bangkit Dan memeriksa pintu hadapan, mahu memastikan pintu itu berkunci rapat. Nik ada bawa kunci sebelum keluar.

Angin sejuk menerpa tengkuk. Luna menoleh pelik. Dari mana datang angin tadi?

Eton mengigil ketakutan. Dia mengawang ke penjuru rumah. Pagar yang baru saja dibina Nik sudah hancur. Dia melihat pelbagai makhluk dan jembalang iblis di luar, menunggu sesuatu.

Manusia itu, Mama Nik tidak tahu keadaan itu.

"Nik, cepatlah balik." Gumamnya ketakutan, menyorokkan dirinya di dalam kegelapan. Hanya dia yang dikunci oleh Nik di dalam pagar.

.
.
.

Baru sahaja Luna mahu melelapkan mata, bunyi sesuatu di balkoni biliknya mengejutkannya. Dia membuka mata, tangannya mencari-cari telefon yang sepatutnya ada di bawah bantal.

"Tadi aku rasa letak sini..." desisnya. Ah, ternyata telefon itu memang di situ.

Belum sempat dia kembali berbaring, gedebuk! Bunyi pintu terhempas dari tingkat bawah membuatkan jantungnya berdegup kencang. Bingkas Luna bangun, mencapai batang kayu yang sudah lama disediakan di atas almari, langkah berjaga-jaga sekiranya ada perompak.

Dia turun dengan hati-hati. Sayup-sayup terdengar suara rintihan halus, seperti seseorang dalam kesakitan. Degupan jantungnya bertambah kencang. Suara itu membawanya ke pintu balkoni tingkat bawah.

Di luar, Luna melihat kelibat seseorang. Lina. Kakaknya tertunduk di balkoni, wajahnya tersembunyi di balik rambut panjang yang terjuntai.

"Lina?" panggil Luna, sedikit lega namun hairan. Dia membuka pintu slide dan Lina terus melangkah masuk, tetapi diam. Langsung tidak bersuara.

"Lina, mana anak aku?" tanya Luna, matanya melilau ke luar balkoni. Pelik. Kenapa Lina masuk melalui balkoni, bukan pintu utama?

Namun, saat dia menoleh semula ke belakang, Lina sudah hilang.

"Lina?" Luna memanggil lagi, kali ini nadanya bercampur bingung dan geram. Dia mula mencari kakaknya di setiap bilik. Bilik tetamu kosong. Dapur sunyi. Setiap ruang digeledah, tetapi tiada jejak Lina.

Hati Luna semakin tidak sedap. Suara rintihan halus kembali terdengar, kali ini lebih jelas dan lebih dekat.

"Lina, kau kat mana?! Jangan main-main! Anak aku mana?!" Suaranya menggema di dalam rumah, namun hanya kesunyian yang menjawab.

Dia mengeluarkan telefon dari poket untuk mendail nombor Lina. Saat panggilan bersambung, suara di hujung talian membuatkan seluruh tubuh Luna membeku.

"Hello Luna? Kenapa? Kita dah nak sampai rumah ni." Suara Lina terdengar ceria diiringi bunyi radio dalam kereta.

Luna tergamam. "Li... Lina? Kau kat mana sekarang?"

"Dah nak sampai ni. Nah Nik Mama." jawab Lina sambil menyeramkan telefonnya pada Nik.

Telefon hampir terlepas dari tangan Luna. Peluh dingin membasahi dahinya. Jika Lina di dalam kereta bersama Nik, siapa yang baru sahaja masuk rumah tadi?

Seolah menjawab pertanyaan di fikirannya, satu bunyi mencakar tajam kedengaran. Luna mendongak. Di penjuru siling ruang tamu, makhluk hitam sedang merayap perlahan. Mata hitamnya yang dalam menatap Luna tanpa berkedip.

"Ma, Ma! Surah Al-Kursi!" Nik menjerit di telefon. Namun, suara Nik tenggelam apabila makhluk itu mengeluarkan hilai tawa nyaring yang memecahkan suasana malam. Telefon terlepas dari tangan Luna, jatuh berderai di lantai.

Luna berpusing kebelakang. Tak mampu menghadap makhluk tersebut.

Bau busuk menyerang hidungnya, cukup kuat hingga membuatkan dia hampir termuntah. Suara rintihan kini sudah berada betul-betul di belakangnya. Luna menggigil, tidak berani menoleh.

"Nik... tolong mama..." suaranya hampir tidak keluar.

Dengan langkah berat, Luna cuba bergerak ke pintu utama. Namun, sebelum sempat dia melangkah jauh, makhluk itu sudah berada di hadapannya. Ia melekat di pintu seperti seekor labah-labah, tubuhnya melengkung, dan lidahnya yang panjang bergulung-gulung menjulur ke lantai. Ia memandang Luna, menyeringai.

Tanpa amaran, makhluk itu melompat ke lantai dan merangkak laju ke arah Luna. "ALLAHUAKBAR!"

Hanya satu jeritan yang sempat bergema sebelum dunia menjadi gelap sepenuhnya.





Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro