20 [ Shah ⁴ ]
Shah memandang dirinya yang didandan rapi, busana megah membalut tubuhnya, tetapi tidak mampu menyembunyikan rasa resah di dalam hati. Malam ini, dia akan dinikahkan dengan anak bunian, suatu ikatan yang terpaksa dilalui meski hatinya menolak sepenuh jiwa.
Di kejauhan, dia melihat Melur, wajahnya berseri-seri seperti bunga yang sedang mekar, tetapi di balik senyuman itu, Shah dapat merasakan sesuatu yang gelap dan kejam. Rasa benci mula menyusup ke dalam dirinya, meresap ke dalam setiap urat nadi.
"Meski Nik berjaya melepaskan diri, dia tidak akan selamat dari kawasan bunian ini," Tok Deruma bersuara, senyuman sinis menghiasi wajahnya. "Arah yang ditujunya bukan jalan keluar, tetapi menuju ke kampung bunian yang lain, jauh dan lebih dalam."
Mendengar kata-kata itu, Shah mengetap bibir, kemarahan membara di dalam dada. Jika sahaja dia tidak diikat dengan begitu ketat, jika sahaja tangannya tidak terkurung dalam belenggu ini, sudah lama dia melepaskan diri dan menghancurkan orang tua di hadapannya..
Tiba-tiba, suasana malam yang tegang itu dikejutkan oleh kehadiran Ratu Bunian. Dengan langkah anggun, Ratu itu muncul dari dalam bayangan, mengenakan cadar halus yang menutupi wajahnya. Disisinya, terdapat pembantu dan pengawalnya. Cahaya lembut dari bulan memancarkan silau di sekelilingnya, memberikan aura keanggunan dan kuasa yang tidak boleh dipandang remeh.
Tok Janggut dan Tok Deruma terkejut, wajah mereka pucat seakan-akan melihat hantu. "Ratu! Kami… kami tidak menyangka Ratu akan hadir," Tok Janggut tergagap, suaranya dipenuhi rasa panik. Sesetengah orang kampung yang tidak mengetahui cerita mula berbisik-bisik. Apakah Tok Janggut dan Tok Deruma menjemput Ratu?
"Kenapa kalian membuat akad tanpa keizinanku dan juga raja Bunian?" Ratu Bunian bertanya, suaranya tenang tetapi penuh ketegasan, menuntut penjelasan.
Tok Deruma melangkah ke hadapan, berusaha untuk memberi alasan, "Ratu, Kami… kami terpaksa mengambil tindakan cepat. Ini demi kesejahteraan kampung dan untuk mengelakkan masalah yang lebih besar."
Ratu memandang mereka berdua dengan tajam, seolah-olah meneliti setiap kata yang diucapkan. "Kesejahteraan? Atau hanya kepentingan peribadi kalian yang ingin dipenuhi?"
Melur melihat dari jauh, hatinya berdebar-debar. Kekecewaan menyelubungi dirinya ketika menyaksikan Ratu Bunian muncul dengan anggun, mengenakan cadar yang menutupi wajahnya. 'Ratu mengganggu!' desisnya dalam hati, marah dan kecewa melihat perhatian semua orang beralih kepada Shah dan Ratu.
Sementara itu, suasana di hadapan mereka semakin tegang. Tok Janggut dan Tok Deruma kelihatan gelisah, tidak dapat menjawab soalan Ratu yang penuh menuntut itu. Melur merasakan bahawa segala rancangannya untuk mengikat Shah dalam perkahwinan itu mungkin akan gagal.
"Kenapa Ratu harus muncul sekarang?" bisik Melur kepada diri sendiri, rasa cemburu dan kemarahan membakar dalam hatinya. Dia tahu bahawa kuasa Ratu tidak boleh dipandang remeh, dan kehadirannya dapat mengubah segala-galanya.
"Ratu, kami sudah bersedia untuk akad ini," Tok Janggut akhirnya bersuara, suaranya bergetar. "Kami hanya ingin melindungi kampung dan rakyat. Melur, tidak sanggup berlama."
Ratu Bunian memandang Melur, dan seakan-akan membaca fikirannya. "Melur, engkau juga harus memahami bahawa aku menitahkan pada sepekan nanti. Kenapa engkau tidak sabaran? Engkau sudah hebat melawan titahku dan Raja?"
Mendengar kata-kata itu, Melur merasakan satu tamparan di wajahnya. Rasa marah dan kecewa berbaur, menambah lagi rasa gelisah dalam dirinya. "Tetapi aku mangsa! Harusnya perkahwinanku dipercepatkan! Aku tidak mahu diperkatakan oleh kampung lain, aku tidak tahan!"
Ratu tidak membalas, tetapi tatapannya yang tenang dan penuh kuasa membuatkan Melur merasakan dirinya tidak berdaya. Dalam saat itu, dia menyedari bahawa perasaannya terhadap Shah mungkin tidak akan pernah diterima jika semua ini tidak berjalan seperti yang dirancang.
Dengan kehadiran Ratu yang mengejutkan, segala perancangan dan harapannya mulai hancur. Melur tahu bahawa dia perlu mencari jalan untuk mengembalikan keadaannya. Dia tidak boleh membiarkan semua ini berakhir begitu sahaja.
Ratu Bunian yang selama ini disegani, kini berdiri di hadapan mereka, menunjukkan kuasa dan autoritinya. Shah merasakan satu semangat baru muncul dalam dirinya.
"Ratu, lepaskan aku! Aku tidak bersalah!" Shah bersuara lantang, matanya penuh tekad. "Aku... manusia!"
Kata-kata itu bergema di dalam balai, menghambat keheningan yang menekan. Para bunian terpaku, bisikan-bisikan mula bertebaran, namun Ratu Bunian tetap tenang, matanya tajam menatap Shah.
Malam ini bukan sekadar malam biasa ia adalah malam di mana segala rahsia bakal terungkai. Di hadapan semua yang hadir, Shah bersedia untuk menuntut haknya. Haknya sebagai manusia!
Melur mengetap bibir. Rancangannya hancur!
Bersambung?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro