Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

20 Baiki

Nik berdiri di depan tingkap rumahnya, matanya tajam memerhati ke luar. Senyumannya terukir lebar melihat sekumpulan jembalang dan makhluk ghaib berusaha menembusi pagar rumahnya. Namun, kali ini mereka tidak berjaya. Pagar itu, hasil binaannya sendiri, empat kali ganda lebih kuat daripada sebelumnya. Dia tahu, makhluk-makhluk itu dihantar oleh seseorang yang tidak senang dengan keluarganya. Tetapi, semuanya kelihatan lemah dan tidak berdaya. Bukan lawannya.

Dia melirik ke jam di tangannya. Tepat pukul 7 pagi. Suasana pagi terasa tenang, namun ketenangan itu direntap oleh bunyi pinggan pecah dari arah dapur. Pantas Nik berlari ke sana.

“Mama!” Dia menjerit, cemas.

Luna, yang sedang mengutip serpihan pinggan di lantai, menoleh. Wajahnya dihiasi senyuman kecil.

“Tak apa, Nik. Mama tak sengaja terjatuhkan pinggan tadi,” kata Luna sambil terus mengutip serpihan itu dengan tangan kosong.

Nik segera menghentikan perbuatan itu. “Biar Nik buat, Mama. Hari cuti macam ni Mama patut berehat lebih,” katanya, tersengih.

Luna tertawa kecil, mengetahui ada sesuatu yang Nik mahukan. “Hmmm... ketawa macam ni mesti ada benda nak minta, kan?” usiknya, sambil mencubit lembut pipi Nik.

Nik menepis perlahan tangan ibunya. “Mama ikut Nik boleh? Ada tempat Nik nak bawa Mama.”

Luna memandangnya, sedikit hairan. Jarang anak lelakinya mengajaknya ke mana-mana.

“Hanya kita berdua?” tanya Luna sambil tersenyum nipis, seolah-olah cuba menyembunyikan rasa tidak percaya.

Nik menggeleng. “Bukan, Mama. Kita bertiga... dengan Papa.”

Senyuman Luna pudar seketika. Dia tahu niat Nik. Anak sulungnya itu ingin memulihkan hubungan mereka sekeluarga. Tetapi, hati Luna masih sakit. Luka yang ditinggalkan oleh suaminya, Izlan, masih belum sembuh. Perbuatan Izlan bersama wanita lain, yang juga rakan sekerjanya di hospital, masih menghantui fikirannya. Wanita itu... Luna benci sifatnya yang gedik dan suka mengada-ngada. Lagi menyakitkan hati, wanita itu sering curi tulang ketika bekerja.

“Mama?” suara Nik memanggil lembut, memutuskan lamunannya.

Luna menarik nafas panjang. “Emm... nanti Nik bincang dengan Papa dulu, ya?”

Nik tersenyum lebar. Dia tahu dia akan cuba sedaya upaya memastikan rancangan ini berjaya.

.
.
.
.

Izlan memandang jauh ke arah sawah padi yang menguning, angin lembut menyapu wajahnya yang kelihatan sedikit kusut. Suasana bendang di hadapannya begitu tenang, namun hatinya bergelora.

"Shah..." panggil Izlan perlahan, memecah keheningan.

Shah, anak muda yang sedang khusyuk membaca buku di bangku kayu berdekatan, mengangkat kepalanya. Wajahnya tenang, sukar ditebak perasaannya - mengingatkan Izlan pada Azlan. Bapa dengan anak, sama sahaja.

"Agak-agak, Nik marah uncle tak?" tanya Izlan, suaranya sarat dengan penyesalan.

Shah kembali menunduk, menyambung bacaan. "Nik faham, Uncle. Dia takkan marah tanpa cuba menyelidik punca sebenar masalah."

Izlan tersenyum kecil, lega mendengar keyakinan Shah. "Uncle tak sangka, Shah. Uncle kena sihir perempuan tu. Patutlah ada yang tak kena sejak awal."

Shah perlahan menutup bukunya, bersedia mendengar luahan Izlan. "Bila Uncle mula rasa pelik?" tanyanya, pendek tetapi tepat.

Izlan berfikir sejenak. "Waktu dia selalu tolong hantar laporan Uncle. Dia suka sentuh Uncle, mulanya Uncle rasa tak selesa... tapi lama-lama, macam nak lagi?"

Shah mengangguk, memahami. "Itu kerja makhluk peransang, Uncle. Ilusi yang buat perasaan Uncle berubah tanpa sedar. Kami, Nik dan Shah, nampak makhluk-makhluk tu. Mereka buat uncle rasa benci dan menyampah dengan untiey, walaupun sebenarnya uncle sayang dia. Semuanya jadi terbalik."

Izlan terdiam. Penjelasan Shah membuka matanya. Dia tidak menyangka dirinya menjadi mangsa minyak dagu. "Uncle langsung tak sedar. Allahu Akbar..."

"Uncle ada termakan apa-apa yang perempuan tu bagi?" soal Shah, suaranya lebih serius.

Izlan mengangkat wajah, terkejut. "Ada. Sekali tu dia bawa bekal. Uncle makan sikit sebelum emergency leave. Tapi... masakan dia sedap."

Shah mengangguk, bersyukur kerana Allah masih melindungi Izlan. "Mungkin dia cuba guna nasi kangkang juga, Uncle."

Izlan terkedu. Matanya membulat. "Kalau betul, itu sebabnya Uncle jadi gila bayang..."

Shah menghela nafas panjang. "Nasib baik Papa dan saya bawa Uncle ke sini. Kalau tak, keadaan Uncle mungkin lebih teruk."

Perbualan mereka terhenti apabila bunyi enjin kereta kedengaran mendekat. Sebuah kereta berhenti di hadapan rumah.

"Assalamualaikum!"

"Waalaikumussalam," sahut Izlan dan Shah serentak.

Azlan keluar dari kereta bersama Ustaz Syamim, memegang bungkusan berisi bunga. "Izlan, jom. Kita buat mandi bunga lagi. Aku dan Ustaz beli banyak bunga ni. Lepas tu, Ustaz nak urut badan kau, baca sikit doa."

Ustaz Syamim tersenyum sambil mengangguk. "Ada perubahan, Izlan?"

Izlan mengangguk perlahan. "Rasa nak balik KL tu kuat, Ustaz. Nak jumpa perempuan tu... tapi hati kata lain."

"Ilusi nafsu masih ada sisa," jelas Ustaz Syamim. "Lepas ni, banyakkan mengucap. Kita buat solat taubat petang nanti, ya?"

Izlan tunduk, mengangguk patuh. Dia tahu ini perlu dilakukan demi menyembuhkan dirinya.

"Ustaz..." Shah bersuara perlahan, matanya memandang jauh ke halaman rumah.

Semua orang berpaling ke arah Shah. Wajahnya masih tenang, tetapi ada sesuatu yang tidak kena.

"Ada makhluk cuba pecahkan pagar, Ustaz. Jumlah mereka ramai."

Ustaz Syamim mengangguk, tenang seperti biasa. "Biarkan mereka. Mereka datang kerana Izlan. Itu sudah dijangka."

Izlan dan Azlan saling berpandangan. Mereka tahu mereka tidak mampu melihat apa yang dikatakan Shah dan Ustaz Syamim.

"Shah," tiba-tiba Izlan mencelah, dengan senyum nakal. "Ada yang datang macam Lisa Blackpink tak?"

Shah dan Azlan serentak menoleh ke arah Izlan, terkejut dengan soalan yang keluar pada saat genting ini.

"Boleh pula buat lawak masa macam ni," gumam Azlan sambil menggeleng.

Shah hanya tersenyum tipis. "Patutlah Nik ikut perangai Uncle. Anak dengan bapak memang serupa."

.
.
.
.
.
.

Luna berdiri di ruang tamu, memandang kakaknya Lina yang tiba-tiba muncul di depan pintu dengan beg pakaian besar. Wajahnya penuh tanda tanya.

“Kenapa ni, Kak? Dengan luggage semua ni? Mana Bang Azlan? Dia tak ikut ke?” soal Luna, risau jika kakaknya itu juga sedang mengalami masalah rumah tangga seperti dirinya. Jarang kakaknya datang seorang.

Lina meletakkan begnya di tepi tangga, kelihatan tenang tetapi matanya memancarkan sesuatu. “Azlan? Dia dengan Izlan pergi ke rumah Ustaz Syamim. Shah ikut sekali. Katanya, suami kau tengah berubat di sana. Aku sunyi kat rumah, Nik call suruh aku datang sini. Tapi kau tak cerita pun. Sakit apa suami kau tu?”

Luna terkedu, matanya membesar. “Berubat? Izlan sakit apa, Kak? Aku langsung tak tahu!” katanya cemas sambil memegang bahu Lina dengan erat.

Lina mengerutkan dahi, bingung dengan reaksi adiknya. “Kau tak tahu? Panggil Nik, dia yang cerita semuanya pada aku.”

“Nik!” jerit Luna, kuat sehingga menggema di dalam rumah.

Di tingkat atas, Nik yang sudah mendengar perbualan mereka sejak tadi menepuk dahinya.

'Alamak, makcik ni kenapa tak boleh bertenang sikit?' Bisiknya dalam hati.

“Ya, Mama!” Nik menjawab, berjalan turun dari tangga dengan tenang, walaupun fikirannya sibuk mencari alasan yang sesuai.

“Kenapa Nik tak beritahu Mama? Papa sakit ke?” tanya Luna sambil memegang wajah anaknya, cemas. Matanya sudah berkaca.

Nik tersenyum kecil, cuba menenangkan ibunya. “Alah, Ma. Nik memang plan nak bawa Mama jumpa Papa esok. Mama akan tahu juga.” Dia menambahkan efek puppy eyes, harap ibunya tidak terlalu mendesak.

“Jangan rahsia-rahsia dengan Mama, Nik. Mama risaukan Papa,” suara Luna bergetar. Air matanya hampir tumpah, mengenangkan sikap dinginnya terhadap Izlan selama ini.

“Papa okey, Ma. Tak ada apa-apa yang teruk.” Nik melepaskan kedua tangan Mamanya dengan lembut, lalu menyalami makciknya, Lina.

“Jadi, esok kita pergi ke rumah Ustaz Syamim?” Lina bertanya.

Nik mengangguk. “Esok kita semua pergi. Insya-Allah, semuanya akan selesai.”

Namun dalam hati Nik, kata-kata Shah semalam di sekolah terus terngiang.

“Kau nak balas dendam?” Shah bertanya dengan nada tenang.

“Ya, aku nak dia rasa apa yang Mama aku rasa,” tekad Nik tanpa ragu.

“Jadi kau nak guna sihir putih?” Shah menyoal, sinis.

Nik tergelak kecil, tetapi nadanya serius. “Aku tak tahu guna sihir putih.”

“Jadi kau nak buat macam mana?”

“Aku nak pusing balik sihir tu dengan surah-surah tertentu,” balas Nik, matanya penuh dendam.

Shah hanya menggeleng, tidak berminat untuk berdebat.

“Kenapa kau diam?” Nik mendengus.

Shah menoleh dengan tenang. “Sebab aku tak suka cara kau.”

Nik terdiam, lalu bertanya, “Kalau kau di tempat aku, kau buat apa?”

Shah menghela nafas, lalu menjawab dengan nada yang tajam tetapi tepat. “Aku takkan balas. Kalau kau balas, kau tak jauh beza dengan dia. Kau pun jadi bodoh sebab buat benda bodoh.”

Kata-kata Shah menusuk hati Nik, membuatkan dia terdiam lama.

Kerana perbualan itu, Nik sedar dan memilih jalan lain—jalan perdamaian. Dia tahu jika Shah tidak menasihatinya, dia mungkin sudah terjerumus ke dalam hasutan iblis.

“Dan yang paling penting,” Shah menambah sebelum berlalu pergi, “aku tak bodoh macam kau.”

Nik tersenyum kecil mengenangkan perbualan itu, dia tak terasa hati. Betul sangat dah tu.

Esok, dia akan pastikan keluarganya bersatu kembali. Biar dendam berhenti di sini.

'Perjuangan aku bukan untuk membalas, tapi untuk menyembuhkan Papa dan Mama.'















Something? Nampak gaya author kembali beraksi this month? Yup! I will start update! Jangan lupa vote dan support!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro