19 [ Nik ⁴ ]
"Kejar mereka!” Melur menjerit, wajahnya berubah garang.
Beberapa lelaki kampung segera mengejar Nik dan pengawal kedua, meninggalkan pengawal pertama untuk berhadapan dengan Melur. Dengan cepat, dia menarik parang dari pinggangnya, bersedia menghadapi serangan.
Di dalam hutan, Nik terus berlari tanpa menoleh ke belakang. Nafasnya makin berat dek dirinya masih lemah, tetapi dia tahu berhenti bukan pilihan. Pengawal kedua di belakangnya memberi arahan perlahan, “Terus ke depan! Jangan berhenti!”
Bunyi langkah-langkah mengejar semakin hampir. Nik cuba menambah kelajuan, tetapi kakinya tersadung akar pokok, menyebabkan dia jatuh tergolek. Pengawal kedua segera menghampirinya, menariknya bangun.
“Lekas Nik! Mereka semakin dekat!”
Nik bangun semula, menggagahkan diri untuk terus berlari. Cahaya dari suluh obor yang dibawa oleh penduduk kampung mula kelihatan dari celah pokok, membuatkan mereka semakin cemas. Namun, di tengah kegelapan, pengawal kedua tiba-tiba menarik Nik ke arah semak tebal, menutup mulutnya dengan tangan.
“Diam,” bisiknya. “Jangan bergerak.”
Mereka bersembunyi di balik semak sambil mendengar derapan langkah penduduk kampung yang semakin hampir.
“Ke mana mereka pergi?!” suara salah seorang penduduk bergema di udara.
“Cari di sekitar sini! Mereka tidak mungkin jauh!” balas suara lain.
Nik menahan nafas, mendengar. Dia memandang pengawal kedua yang kelihatan tenang, walaupun peluh membasahi dahinya. Setelah beberapa minit yang terasa seperti berjam-jam, bunyi langkah perlahan-lahan berkurang, menandakan penduduk kampung telah beredar ke arah lain.
“Kita kena teruskan,” bisik pengawal kedua, membantu Nik bangun. “Kita belum selamat.”
Mereka bergerak perlahan melalui hutan, memastikan tidak meninggalkan jejak. Di belakang mereka, suara Melur yang memarahi anak buahnya kedengaran samar-samar, tetapi semakin jauh.
Setelah berjalan beberapa lama, mereka akhirnya tiba di sebuah kawasan berbatu yang tersembunyi, dengan sebuah gua kecil di hadapan. Pengawal kedua memimpin Nik masuk ke dalam gua.
“Kita berehat di sini sebentar,” katanya, menyalakan pelita kecil yang disimpan di dalam beg. “Tunggu sehingga keadaan tenang.”
Nik hanya mengangguk, keletihan jelas terpancar di wajahnya. Namun, dalam fikirannya, dia tahu ini bukan pengakhiran. Melur pasti tidak akan menyerah semudah itu. Dia harus bersedia untuk apa sahaja yang bakal tiba.
Suasana dalam gua itu suram dan sunyi, hanya diterangi cahaya pelita kecil yang berkelip-kelip. Nik menyandarkan dirinya pada dinding batu, menarik nafas panjang sambil memejamkan mata. Hatinya masih berdegup kencang memikirkan apa yang baru berlaku.
“Kau baik saja?” tanya pengawal kedua, suaranya lembut tetapi penuh waspada. Dia sedang memeriksa peralatan dalam begnya.
“Ya,” balas Nik pendek, walaupun dia tahu dirinya jauh daripada itu. “Melur tak akan berhenti."
Pengawal itu berhenti seketika, menatap Nik dengan renungan yang tajam tetapi bersahabat. "Engkau bau seperti manusia"
Nik tersenyum tipis. Melihat renungan lelaki itu. Cakap bau macam ayam goreng?
"Nama engkau siapa?" Nik bermesra. Lelaki itu, rupanya bunian juga.
"Leman."
Leman tersenyum lebar, ceria betul orangnya. Dia kembali mengatur peralatan sebelum duduk berdekatan dengan pintu gua, memerhatikan keadaan di luar.
“Tidur jika kau bisa,” katanya tanpa berpaling. “Kita mungkin perlu bergerak lagi sebelum subuh.”
Nik hanya memandang ke arah pelita. Tidur mungkin idea yang baik, tetapi fikirannya terlalu kacau untuk membenarkannya berbuat demikian.
Beberapa jam berlalu dalam keheningan. Cahaya bulan yang samar-samar menyusup masuk ke dalam gua, memberikan sedikit penerangan semula jadi. Tiba-tiba, Leman memberi isyarat dengan jarinya agar Nik diam. Bunyi ranting patah kedengaran tidak jauh dari gua.
Nik segera memegang pisau kecil yang disisipkan di pinggangnya, pisau diberi Leman jika terjadi apa-apa. Dia bersedia untuk kemungkinan terburuk. Leman bangun perlahan-lahan, mematikan pelita untuk menyembunyikan keberadaan mereka.
Langkah semakin hampir. Kini, mereka dapat mendengar bunyi derapan kaki di atas batuan kasar. Nik menahan nafas, matanya mengintai ke arah pintu gua yang separuh terlindung.
“Di mana mereka?” Suara Melur kedengaran dengan nada tegas.
“Mereka tidak jauh,” jawab salah seorang anak buahnya. “Jejak terakhir berhenti di kawasan ini.”
Nik dapat merasakan degupan jantungnya semakin kencang. Namun, Leman tetap kelihatan tenang. Dia menoleh sedikit ke arah Nik dan berbisik perlahan, hampir tidak kedengaran.
“Percayakan aku.”
Sebelum Nik sempat bertanya apa yang dimaksudkan rancangan itu, Leman menghunus pedang yang tersarung di pinggangnya dan melangkah keluar dari gua dengan penuh keyakinan.
“Melur,” panggilnya dengan suara lantang, menarik perhatian semua yang berada di luar. “Berhenti mengejar. Aku tidak akan biarkan engkau menyentuh dia.”
Nik terkedu, menyaksikan lelaki itu mempertaruhkan dirinya untuk melindunginya.
Melur berdiri di tengah-tengah kumpulannya, wajahnya bengis. Bulan yang samar-samar menerangi ekspresinya yang tegas. Dia memandang Leman dengan sinis, tangan kanan menggenggam lembing berhias yang kelihatan tidak pernah lepas darinya.
“Kau fikir engkau bisa halang aku, dengan hanya seorang diri?” tanya Melur sambil tersenyum sinis. Suaranya tajam, penuh keyakinan.
Leman tidak berganjak, pedangnya terhunus dengan mantap. “Jika aku harus mati di sini untuk melindunginya, aku sanggup.”
Melur ketawa kecil, tetapi ketawanya tidak membawa sebarang kehangatan. “Engkau bodoh. Engkau fikir dia layak untuk perlindungan ini? Dia manusia, dan manusia tidak lebih daripada masalah bagi kaum kita.”
Nik, yang masih bersembunyi di dalam gua, dapat mendengar setiap patah kata. Hatinya memberontak mendengar bagaimana dirinya dianggap sebagai masalah. Tetapi dia juga tahu ini bukan masa untuk bertindak terburu-buru. Dia memegang pisaunya lebih erat, menunggu peluang untuk bertindak.
“Perbuatan engkau dusta,” balas Leman dengan nada serius, mengejutkan Melur. “Jika raja bunian tahu engkau semua memburu manusia, kalian pasti menerima kemarahan Raja kita."
Kata-kata itu membuatkan Melur kelihatan terganggu, walaupun hanya seketika. “Cukup dengan omong kosong ini!” dia menjerit, melambai tangan kepada anak buahnya. “Tangkap dia. Dan bawa Nik keluar dari gua.”
Anak-anak buah Melur mula bergerak, menghunus senjata masing-masing. Leman bersedia, matanya tajam seperti mata helang, membaca setiap gerakan mereka. Pertarungan bermula.
Dia menyerang terlebih dahulu, pedangnya berkilauan dalam cahaya bulan. Dengan cekap, dia menangkis serangan pertama dan menewaskan dua lawan dalam masa beberapa saat. Namun, jumlah mereka terlalu ramai, dan jelas Leman mula kehabisan tenaga.
Di dalam gua, Nik tahu dia tidak boleh hanya berdiam diri. Dengan segala keberanian yang dia ada, dia merangkak keluar perlahan-lahan, cuba mencari peluang untuk membantu. Tetapi sebaik sahaja dia melangkah ke luar, matanya bertembung dengan Melur.
“Keluar juga akhirnya,” kata Melur dengan senyuman sinis. “Engkau dah cukup menyusahkan aku, Nik.”
Nik menggenggam pisaunya dengan erat, cuba menahan kegeramannya yang mencengkam dirinya. “Lepaskan Shah Melur, engkau memfitnahnya. Kenapa engkau inginkan Shah? Aku tahu ia bukan sekadar cinta." Suaranya serak tetapi penuh ketegasan.
“Aku mahukan apa yang ada dalam darah engkau berdua,” jawab Melur dingin. “Darah keturunan istimewa yang bisa melahirkan darah abadi. Engkau fikir kami hanya memburu manusia saja-saja? Ini kesempatan kami.”
Nik tergamam. Dia tidak tahu apa yang Melur maksudkan, tetapi kata-kata itu menghantui fikirannya. Namun, sebelum dia sempat bertindak balas, Leman melangkah di antara mereka, walaupun tubuhnya kelihatan lelah dan berdarah.
“Jika engkau mahu dia,” katanya kepada Melur, nadanya penuh cabaran, “Engkau harus berdepan denganku dahulu.”
"Nik! Pergi! Ikut kata-kataku tadi!"
Nik akur.
.
.
.
Nik berlari tanpa menoleh ke belakang. Nafasnya kasar, dada terasa sempit, tetapi dia tidak berhenti. Dahan-dahan kecil dan akar pokok yang timbul di tanah hampir membuatkan dia tersungkur, namun dia terus melangkah.
Hutan di sekelilingnya gelap, hanya cahaya samar dari celahan dedaunan yang membantunya melihat jalan. Bunyi cengkerik dan unggas malam bergema di udara, tetapi semua itu tenggelam dalam debaran jantungnya yang bergema di telinga.
Peluh membasahi dahinya, matanya liar mencari arah. Arah sungai. Leman memintanya ke arah sungai seperti dirancang.
Setiap bayang di celah pokok terasa seperti sesuatu sedang mengejarnya. Dedaunan bergerak ditiup angin, tetapi di fikirannya, ia seperti bisikan halus yang memanggil namanya.
Langkahnya semakin lemah, kakinya mula terasa kebas, tetapi dia tidak berhenti.
Dia tidak boleh berhenti.
Sebab jika dia berhenti, dia mungkin tidak akan dapat berlari lagi.
Akhirnya, dia tiba. Tiba di sungai yang airnya terlihat jernih terpancar di bawah bulan penuh.
Tergamam.
Seseorang disana.
Dia memandang lelaki itu yang berdiri tegap di hadapannya. Wajah itu tidak asing, dia pernah bertemu dengannya ketika masih kecil, tetapi tidak menyangka akan bertemu semula dalam keadaan begini.
"Kau…" Nik mengulang dengan nada keliru.
Lelaki itu berdiri tegap, menyilangkan tangan di dada. Matanya yang tajam meneliti Nik dari kepala hingga ke kaki, seakan menilai setiap perubahan yang berlaku sejak kali terakhir mereka bertemu.
"Engkau sudah besar sekarang, budak," katanya perlahan, namun dalam nada suaranya terselit sesuatu—sesuatu yang membuatkan dada Nik terasa sesak.
Nik menelan liur, cuba menenangkan diri. Ada begitu banyak persoalan di kepalanya, tetapi bibirnya hanya mampu mengeluarkan satu, "Kenapa… kau ada di sini?"
Lelaki itu tersenyum tipis, senyum yang sukar ditafsirkan. "Bukan aku. Kenapa engkau ada di sini?" Dia menoleh ke arah hutan yang gelap, seakan sudah mengetahui jawapan sebelum Nik sempat bersuara lagi. "Apakah Shah bersama engkau?"
"Ya," suara Nik serak, bahunya naik turun menahan nafas. "Tapi kami terpisah. Penduduk kampung Paya Rimbun, Mereka mahukan kami. Aku tidak faham apa maksudnya, tetapi mereka tidak berhenti mengejar."
Angin malam bertiup perlahan, membawa bersama aroma lembap hutan yang dipenuhi rahsia.
Hendra menghulurkan tangan, menggosok kepala Nik seperti seorang bapa menenangkan anaknya yang ketakutan. Sentuhan itu anehnya memberi ketenangan, seolah-olah membuang sebahagian beban yang menghimpit dada Nik.
"Mari pergi ke tempat lain," katanya, nada suaranya lembut tetapi penuh ketegasan.
Nik memandang Hendra dengan penuh rasa ingin tahu. Walaupun lelaki itu sudah menua dan layak dipanggil orang tua, tubuhnya yang tegap dan gagah menafikan segala ciri-ciri kebiasaan seorang lelaki tua. Setiap gerakannya menunjukkan ketangkasan dan kekuatan, seolah-olah usia tidak berpengaruh padanya. Ada sesuatu yang luar biasa tentang Hendra, seakan dia bukan sekadar seorang lelaki tua, tetapi seorang penjaga rahsia zaman yang tersimpan di dalam matanya dan berpengalaman.
"Ya...."
Bersambung?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro