17 [ Hendra ]
Hendra yang sedang menyamar sebagai pemburu dengan jubah labuh dan mulutnya tertutup sebahagian muka memerhati suasana Pekan Paya Rimbun, salah satu perkampungan bunian yang tampak damai dan meriah miliknya. Walaupun semuanya kelihatan tenang, sebagai raja bunian, Hendra tahu bahawa sesuatu yang terlalu sempurna sering menyimpan rahsia.
"Keadaan tampaknya biasa," bisiknya perlahan sambil mengangguk puas. Namun, nalurinya sebagai pemimpin tetap berjaga-jaga. Tiada yang boleh diserahkan kepada takdir semata-mata.
Sedang dia mengamati pukat-pukat hasil tangkapan nelayan bunian, seorang lelaki tua bongkok tiga tiba-tiba muncul. Dengan tongkat kayu yang dihiasi ukiran halus, lelaki itu melangkah perlahan menghampirinya.
"Tuan pemburu? Dari mana asalnya?" soal lelaki tua itu dengan nada mesra.
Hendra tidak membalas.
'Jika aku bercakap, suaraku pasti dikenali. Tok Janggut pasti sudah memaklumkan tentang aku.'
Sebaliknya, dia hanya mengangguk sambil menunjukkan busur panahnya. Isyarat itu sudah cukup untuk lelaki tua itu memahami.
"Ah, pemburu langit! Bagus, bagus. Pemburu langit jarang gagal dengan tembakan mereka. Tapi tuan ni senyap betul ya? Jangan-jangan..." Lelaki tua itu menjeling tajam. "Tuan ni bunian luar, bukan?"
Hendra tersentak kecil. Dia cepat-cepat menggeleng. Lelaki tua itu ketawa kecil, menampakkan gigi yang sudah tinggal beberapa batang.
"Eh, gurau saja! Tapi muka tuan ni macam takut betul. Tuan, kalau bunian luar pun tidak apa, asal tuan tidak kacau majlis kami."
Hendra tersenyum nipis di balik kain yang menutupi sebahagian wajahnya. Dia tidak boleh bertindak terburu-buru. Setiap langkahnya mesti berhati-hati agar penyamarannya tidak terbongkar.
"Kampung ini akan buat kenduri besar. Anak Tuan Deruma nak kahwin. Pengantin lelaki pun dari kampung luar, katanya. Tuan Deruma cari pemburu untuk tangkap burung sebagai lauk kenduri. Tuan mahu tolong?"
Hendra diam sejenak. Tawaran itu menarik, tetapi dia tahu, rumah Tok Janggut adalah tempat yang penuh risiko. Tok Janggut, sebagai ketua kampung, pasti mengenalinya walaupun dalam penyamaran. Namun, dia perlu bertindak bijak. Akhirnya, Hendra mengangguk perlahan.
"Bagus! Pergilah ke rumah Tok Janggut. Jangan lupa datang ke majlis nanti, ya!" Lelaki tua itu melambai ceria sebelum berjalan pergi.
Sebaik lelaki tua itu hilang dari pandangan, Hendra segera bersiul perlahan. Dari celah-celah orang ramai, dua pemuda muncul dengan pantas. Mereka adalah pengawal peribadinya yang turut menyamar sebagai rakyat biasa atas arahan permaisurinya.
"Kau berdua dengar aku," ujar Hendra perlahan namun tegas. "Pergi ke rumah Tok Janggut. Beritahu engkau nak bantu jadi pemburu langit. Masa yang sama, cari apa-apa yang janggal. Aku rasa ada sesuatu yang tidak kena di kampung ini."
Pemuda pertama mengangguk patuh, tetapi pemuda kedua tersengih nakal. "Tuan, jika Tok Janggut jamu makan, kami bisa makan dulu tidak? Orang kata masakan bunian kampung ini memang terbaik!"
Hendra merenung tajam. "Engkau ingat ini lawatan santai? Jika engkau makan dulu tanpa dapatkan maklumat, aku sendiri akan pastikan engkau jadi lauk kenduri!"
Pemuda itu tergelak kecil sebelum mereka berlalu pergi. Hendra mengeluh panjang.
'Isteri aku memang ada-ada saja. Kalau bukan dia yang cadangkan bawa pengawal, aku tak perlu hadap perangai macam ni.'
Hendra berjalan perlahan melalui lorong-lorong kampung Paya Rimbun, matanya mencari tempat yang sesuai untuk dijadikan tempat penginapan sementaranya. Hampir lenguh juga kakinya mencari hampir satu jam.
Dalam penyamaran sebagai pemburu langit, dia perlu memastikan tidak menimbulkan syak wasangka. Dia berhenti di hadapan sebuah rumah kayu kecil yang kelihatan sunyi, terletak di pinggir kampung.
“Di sini nampak sesuai,” bisiknya perlahan. Dia mengetuk pintu, tetapi tiada yang menyahut. Mungkin rumah ini kosong.
Sementara Hendra sedang memeriksa keadaan, dua pengawalnya muncul dari arah bertentangan. Mereka berjalan dengan pantas, wajah mereka kelihatan serius. Hendra tahu sesuatu telah berlaku.
“Tuan,” kata salah seorang pengawal dengan nada cemas. “Kami menemui sesuatu yang aneh di rumah Tok Janggut.”
Hendra mengangkat kening. “Apa dia?”
Pengawal kedua segera menyambung. “Di belakang rumah Tok Janggut, ada seorang pemuda yang dikurung. Dia diikat pada penjara buluh, tetapi wajahnya...” Pengawal itu teragak-agak seketika. Memandang rakannya juga.
“Wajahnya apa?” desak Hendra.
“Wajahnya... mirip sekali dengan pengantin lelaki yang disebut oleh orang kampung. Kami keliru, tuan. Kalau itu pengantin lelaki, siapa yang akan berkahwin?”
Hendra terdiam seketika. Dalam fikirannya, pelbagai persoalan timbul. Adakah ini kembar pengantin lelaki? Atau mungkin sesuatu yang lebih rumit sedang berlaku? Kenapa pengantin lelaki diikat?
Teringat pada perkataan isterinya bahawa pengantin lelaki itu menodai salah satu rakyatnya. Tapi pemaisurinya ragu.
"Dimana engkau melihat pengantin lelaki?" Tanya Hendra serius.
"Di beranda rumah tok Janggut. Dia juga diikat disana. Itu yang kami keliru." Ucap pengawalnya.
Hendra mengusap dagu.
“Kamu pasti dia dikurung di pagar buluh?” tanya Hendra, memastikan.
“Ya, tuan. Kami melihatnya sendiri. Pemuda itu cuba bercakap, tetapi mulutnya disumbat kain. Dia kelihatan cemas, seperti mahu meminta bantuan.”
Hendra mendiamkan diri sebentar, menganalisis situasi. “Kalau begitu, sesuatu tidak kena di sini. Engkau berdua pantau kawasan rumah Tok Janggut. Jangan bertindak sembarangan. Malam nanti kita bawa pemuda itu ke tempat aku.”
“Tapi, tuan,” kata salah seorang pengawal, “kalau benar pemuda itu pengantin lelaki, siapa yang sebenarnya berada di majlis ini kelak,? Kami takut tersalah pengantin.”
Hendra tersenyum sinis di sebalik kain penutup wajahnya. “Itulah yang kita akan siasat. Kalau ada yang cuba bermain tipu daya di tanah ini, mereka akan berdepan dengan aku. Pergi sekarang.”
Kedua-dua pengawal itu mengangguk dan segera bergerak meninggalkan Hendra. Raja bunian itu berdiri tegak, matanya menatap ke arah rumah Tok Janggut yang kelihatan dari jauh.
'Tok Janggut, apa yang kau sembunyikan? Jika kau terlibat dalam kekacauan ini, aku sendiri yang akan menamatkan riwayatmu.'
.
.
.
.
Tok Janggut dan Tok Deruma duduk dalam keadaan serba salah. Kampung mereka, yang dihuni oleh kaum bunian, jarang sekali menghadapi masalah sebesar ini.
Shah, manusia yang tersesat ke kampung mereka, kini menjadi topik utama. Perintah sudah jelas, dia harus menikahi Melur, tetapi keputusan itu membawa kebimbangan yang mendalam, terutama kerana Ketua Bunian dan Ratu Bunian masih belum memberi lampu hijau.
"Sepertinya Ratu Bunian juga licik bermain kata-kata," ujar Tok Janggut sambil memegang hujung tongkatnya. Wajahnya berkerut, menunjukkan betapa tegang situasi itu. "Dia tidak mahu tergesa-gesa membenarkan pernikahan ini, tetapi kita tahu Shah bukan seperti Melur. Dia seorang manusia. Kita tak boleh biarkan perkara ini berlarutan."
Tok Deruma menarik nafas panjang, seolah-olah mencari kekuatan. "Aku setuju, tetapi tanpa restu Ketua Bunian, tindakan kita boleh dianggap melanggar adat. Apa akan jadi jika pernikahan ini dianggap tidak sah? Kita semua yang akan menanggung akibatnya, Janggut."
Tok Janggut tersenyum nipis, kali ini penuh dengan keyakinan yang bercampur helah. "Kalau begitu, kita adakan saja majlis kecil ini tanpa melibatkan mereka. Malam esok, kita langsungkan akad nikah. Selepas itu, barulah kita adakan majlis besar sebagai upacara rasmi. Kalau ada yang bertanya, katakan saja Melur terlalu malu. Maruahnya lebih penting daripada adat!"
Tok Deruma memandang Tok Janggut dengan ragu-ragu. "Kau fikir Ratu Bunian akan percaya? Shah manusia, Janggut. Dia bukan seperti kita. Apa alasan kita jika perkara ini terbongkar?"
"Kita tuan rumah, Deruma. Kita yang buat keputusan di kampung ini. Lagipula, Shah bukan punya pilihan. Kalau dia melawan, aku yakin tekanan dari orang-orang kita akan cukup untuk menundukkannya," balas Tok Janggut dengan nada penuh keyakinan.
Tok Deruma akhirnya mengangguk perlahan. "Baiklah. Malam ini, aku akan kumpulkan orang kampung di rumahku. Kita jelaskan rancangan ini, tetapi ingat, jangan ada yang membuka mulut kepada Ratu atau Ketua Bunian."
Tok Janggut tersenyum puas. "Percayalah, Deruma. Kita sedang mengubah nasib kampung kita dan memastikan Shah menerima nasibnya. Malam besok, semuanya akan selesai."
Dan dengan itu, keputusan telah diambil. Mereka bersiap untuk malam yang penuh dengan rahsia dan muslihat, sedangkan di sudut lain kampung itu, Shah tidak tahu apa yang menantinya. Dirinya diikat di tiang beranda rumah, hanya mampu merenung nasib.
Bersambung?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro