Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

"Cikgu, kenapa kita tak balik lagi? Kita tunggu papa Pia ke?"

"Taklah. Papa Pia tak boleh ambil Pia hari ni. Dia ada banyak kerja."

Zara menjawab pertanyaan Sofia yang duduk di sebelahnya. Selepas mengunci pintu kelas dan bilik guru, mereka berdua duduk di astaka di halaman sekolah tadika. Murid-murid lain semua sudah pulang ke rumah selepas waktu persekolahan tamat.

"Kalau macam tu, cikgu tolong hantar Pia pergi kedai Papa Is."

Sofia menggosok mata. Kasihan pula Zara melihatnya. Agaknya Sofia sudah mengantuk kerana bosan menunggu di situ.

"Tunggulah sekejap, sayang. Sekejap lagi ada orang nak datang ambil Pia," pujuk Zara. Sebenarnya, Andika memang tak dapat ambil Sofia tengah hari itu dan memintanya menghantar Sofia ke kafe adiknya Iskandar tetapi dia mendapat panggilan daripada Aira yang bertanyakan tentang Sofia.

Apabila mendapat tahu Andika sibuk dengan kerjanya. Aira yang sedang dalam perjalanan pulang dari kampung orang tuanya di Johor berhasrat mengambil Sofia. Memandangkan Aira ibu kandung Sofia, tidak wajar jika dia melarang, apatah lagi Aira kawan baiknya.

"Siapa?" tanya Sofia dengan mukanya yang comel dan mata yang semakin layu itu.

"Adalah... Orang tu rindu sangat kat Pia." Zara senyum melihat Sofia yang sudah berkerut dahinya.

Tidak lama kemudian, sebuah Audi Q5 masuk ke pekarangan sekolah.

"Aik? Itu kereta Papa Rey. Tapi Papa Rey dengan Mama Aisy mana ada kat rumah," omel Sofia. Zara ketawa kecil. Memang betul Reyhan dan Aisyah tiada kerana pasangan pengantin baru itu telah seminggu berada di negara Balkan untuk berbulan madu.

"Memanglah bukan dia orang. Itu kan Auntie Aira," beritahu Zara.

"Yeay! Auntie Aira datang ambil Sofia?"

"Ya, sayang... Dah, jom cepat kita jumpa Auntie Aira."

Zara mengambil beg galas Sofia. Kemudian dia menuntun Sofia menuju ke arah Aira yang baru keluar dari kenderaan.

"Kau tak beritahu Abang Andi, kan?" tanya Aira selepas mereka berpelukan seketika. Zara menggeleng.

"Kau jangan risaulah. Biasanya dia tak pernah telefon aku sebab dia tahu yang aku memang akan hantar Sofia ke kafe. Dia akan jumpa anak kesayangan dia ni sebaik saja dia balik ke rumah."

"Okeylah kalau macam tu. Jadinya, aku ada banyak masa dengan Sofia."

"Aku balik dululah, ya?"

"Terima kasih, Zara."

"Sama-sama."

Zara berlalu pergi meninggalkan Sofia bersama Aira.

"Auntie nak hantar Pia pergi kafe Papa Is, ya?" tanya Sofia sebaik saja masuk ke dalam kereta.

"Ya... Kita makan aiskrim dengan kek kat kafe dulu, lepas tu Pia teman auntie pergi shopping. Boleh?"

"Boleh." Anak itu angguk.

Aira memakaikan tali pinggang keledar demi keselamatan Sofia. Kemudian dia mencium pipi tembam anaknya itu kerana terlalu rindu. Sudah dua minggu dia balik ke rumah mak ayahnya di Batu Pahat. Lepas perbalahan kecil antara dia dan Andika tempoh hari, dia ambil keputusan untuk menjauhkan diri. Itu saja cara untuk dia menghilangkan rasa sakit hatinya.

Selama dua minggu itu dia habiskan masa dengan berjumpa teman-teman lamanya serta sanak saudara sebelah ibunya. Namun begitu, kerinduannya kepada Sofia semakin mendalam.

Kebetulan seminggu lalu abangnya menjenguk mak ayah mereka sebelum berangkat ke luar negara. Reyhan berpesan supaya dia menjaga rumah dan menggunakan kenderaan milik abangnya itu untuk ke mana-mana. Aisyah juga meminta dia menjaga kakaknya, Deniz sepanjang pasangan itu berbulan madu di luar negara.

"Auntie belikan Pia buku warna boleh?" pinta Sofia sebaik saja kenderaan dipandu oleh Aira bergerak.

"Boleh... Sayang nak apa saja, mama belikan. Errr... Auntie belikan."

Sofia ketawa sambil menutup mulutnya.

"Mama? Auntie nak jadi mama Pia ke? Nanti Pia beritahu papa."

"Eh, jangan! Auntie tersasul la, sayang." Aira rasa cuak. Dia nak sangat jadi mama Sofia tapi dia tak nak lagi dah jadi isteri Andika. Cukuplah sekali!

"Alah... Pia tak pernah ada mama. Kawan-kawan Pia semua ada mama. Pia seorang saja tak ada mama. Auntie jadilah mama Pia sebab Pia suka Auntie Aira. Auntie baik, cantik."

Belum habis anak itu mengomel, Aira memberhentikan kereta di tepi jalan. Matanya sudah bergenang. Dia pandang wajah sedih Sofia. Aira rasa hatinya nak pecah mendengar kata-kata Sofia.

Kamu ada mama, sayang! Ada... Sama macam kawan-kawan Pia yang lain. Sofia tak perlu minta dia jadi mama sebab dia memang mama Sofia.

"Kenapa auntie nangis?"

"Tak ada apa, sayang..." Aira cepat-cepat menyapu air matanya yang mengalir di pipi. Dia tak boleh terlalu melayan perasaan. Kalau dia terus terikat dengan keinginan Sofia, dia bimbang satu hari nanti dia tak mampu tinggalkan Sofia.

Dia di situ bukan untuk tempoh yang lama. Dia tak mahu kembali semula kepada Andika walaupun demi Sofia. Dia tak kuat untuk ditipu apatah lagi dia masak dengan perangai Andika yang tahu cara untuk mendominasinya. Sekali dia terperangkap susah dia nak lepas!

Tidak mahu terus melayan perasaan yang mula dicengkam rasa bersalah terhadap Sofia, dia meneruskan pemanduan. Sampai di kafe Iskandar, hanya ada Deniz yang bertugas melayan pelanggan di kaunter. Kebetulan pula waktu rehat ketika itu, agak ramai juga pelanggan membeli roti dan kek.

"Nak akak tolong ke?" tanya Aira apabila melihat Deniz seperti kepenatan menjaga kaunter.

"Tak apa, Kak Aira. Dah tak ramai pun. Kalau nak apa-apa layan diri sajalah, ya. Encik bos ada buatkan cupcake pelangi untuk Sofia."

"Nak! Pia nak cupcake!" Sofia sudah berlari menghampiri rak bercermin yang dipenuhi dengan pelbagai jenis kek yang tersusun.

"Biar auntie ambilkan..." Aira menyingsing sedikit lengan blaus. Kemudian dia mencapai dulang di atas rak lalu membuka cermin dengan berhati-hati.

"Cantik..." Serentak dia dan Sofia memuji kek cawan yang dihias krim warna pelangi. Aira ketawa melihat Sofia yang dah tak sabar melihat kek itu.

"Nak berapa?"

"Lima!" Sofia tunjuk lima jari.

"Banyaknya, sayang... Patutlah pipi ni tembam aja." Sempat pula Aira mencubit pipi Sofia.

"Tiga untuk Pia..."

"Dua lagi?"

"Auntie satu. Papa punya satu," jawab Sofia.

"Sofia memang selalu bawa balik satu cupcake untuk papanya," sampuk Deniz yang baru selesai melayan pelanggan di kaunter.

Aira tak berkata apa-apa. Dalam hati dia mengharapkan nama Andika tidak lagi disebut.

Dia cuma mahu menghabiskan masa dengan Sofia tanpa mengaitkan apa-apa tentang Andika. Nampaknya, perkara itu agak mustahil sebab jelas sekali Sofia sangat rapat dengan papanya.

"Jom kita makan, Pia. Auntie dah lapar ni." Aira menarik tangan Sofia menuju ke arah meja makan.

"Auntie Dee... Boleh tolong bungkuskan untuk papa Pia?"

"Boleh... Sekejap, ya?" Deniz mengambil kotak kecil di rak berhampiran kaunter.

"Kak Aira nak minum apa-apa? Deniz buatkan."

"Espreso," jawab Aira sambil berbalas senyuman dengan Deniz. Kemudian dia melayani Sofia makan kek cawan. Tidak lama kemudian, Deniz menghidang secawan espreso dan segelas minuman sejuk untuk Sofia.

"Sedap tak?"

"Sedap, Auntie Dee..."

Sofia makan dengan penuh berselera. Sesekali Aira menyapu bibir anaknya yang comot dengan krim.

"Abang Is ke mana?"

"Biasalah dia... Beli barang dapur."

"Dengan Kak Yam?"

"Taklah. Kak Yam dah balik rumah. Nak masak untuk makan tengah hari."

Sewaktu Aira berbual dengan Deniz, pintu kafe terbuka. Bukan pelanggan yang datang sebaliknya Iskandar yang masuk dalam keadaan tergesa-gesa membawa barang. Deniz dan Aira sekadar memerhati.

"Oi, cik kak... Takkan tengok aja?" Iskandar cekak pinggang sambil menghela nafas kerana kepenatan. Barang-barang sudah diletakkan di atas meja.

"Susun barang-barang ni. Asyik nak mengular aja. Aku baru keluar tak sampai dua jam, kau dah mengular, kan? Aku suruh buang sampah tadi dah buat belum?"

"Sudah... Tak payahlah nak membebel. Nak kena susun barang aja, kan."

"Menjawab! Aku bos ke kau bos ni? Cakap siapa yang nak kena ikut?" marah Iskandar.

Deniz pandang Aira yang kelihatan terkejut melihat situasi itu. Tanpa berkata apa-apa Deniz terus bangun dan membawa bungkusan-bungkusan plastik berisi bahan-bahan kek menuju ke dapur. Iskandar senyum sinis sambil menghampiri Aira. Dia tarik kerusi lalu duduk di sebelah Sofia.

"Abang Is... Kenapa cakap dengan Deniz macam tu? Kasihan dia tau. Tadi masa Aira datang dia tengah layan ramai pelanggan. Sekarang dah tak ada pelanggan baru dia dapat rehat. Itupun berbual sekejap aja."

"Tak payah nak bela sangat dia tu. Aira tak tahu dia tu keras kepala. Asal abang suruh, ada saja nak menjawab. Lagipun, dia sesuka hati gunakan barang-barang dapur untuk buat pastri yang tak ada dalam menu."

"Kalau ya pun, janganlah garang sangat. Orang perempuan tak suka lelaki yang panas baran. Patutnya tadi, abang cakap minta tolong, bunyinya lebih berbudi bahasa. Abang main arah saja macam tu, siapa pun sakit hati. Pekerja bukan hamba abdi boleh disuruh itu ini."

"Ah, abang bos. Suka hati abanglah nak arah pekerja abang buat apa-apa. Kan, Sofia?"

"Tak. Cikgu Zara cakap tak baik marah orang."

"Orang degil memang patut kena marah, Pia," jawab Iskandar bersahaja.

"Amboi, egonya dia. Eloklah perangai macam tu. Nanti tak ada perempuan yang suka. Perempuan tak suka lelaki perangai annoying macam tu tau."

"Biarlah..."

Aira tak puas hati. Abangnya yang ini memang agak panas baran dan garang orangnya. Dia kasihankan Deniz yang tentu sedih dimarahi depan orang.

"Abang minta maaf dengan Deniz. Tak baiklah buli perempuan lemah."

"Apa pula? Mana ada buli? Lagipun, dia tu bukannya lemah pun. Aira tak tahu dia tu, kalau naik angin lagi garang daripada abang tau." Iskandar masih tidak mahu mengalah.

"Sofia dah siap makan? Jom teman auntie pergi shopping."

Aira tak mahu memaksa. Iskandar dah dewasa dan tahu mana yang betul dan salah.

"Dah!" jawab Sofia.

"Pergi basuh tangan dan mulut dulu."

Sofia menurut. Dia turun dari kerusi lalu berlari ke dapur.

"Auntie Dee! Nak cuci tangan!"

Terdengar suara comel Sofia memanggil Deniz.

"Hmmm... Menipu pun tak baik juga tau. Nak pula tipu anak sendiri," bisik Iskandar kepada Aira.

"Tak rasa nak minta maaf ke?" sindir Iskandar lagi.

Aira terdiam.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro