Bab 8
Suasana di luar rumah yang riuh-rendah dengan suara ahli keluarga tidak dipedulikan oleh Aira. Dia sedang menyuap nasi ke mulut Sofia.
Malam itu semua ahli keluarga makan malam di luar rumah setelah penat mengemas lewat petang tadi.
"Aira, jom kita makan sekali kat luar," ajak Zawiyah yang sedang menatang dulang berisi beberapa gelas minuman sejuk.
"Tak apalah, mak. Aira makan dengan Sofia dekat sini saja. Lepas ni, Aira nak temankan Sofia siapkan kerja sekolah dia."
Aira menolak pelawaan itu.
"Yalah. Kalau macam tu mak ke depan dulu, ya?"
Zawiyah berlalu pergi.
"Auntie... Lepas siap kerja sekolah, Pia nak mewarna boleh?"
"Boleh, sayang... Pia nak warna gambar apa?"
"Gambar pelangi!" Anak itu menjawab dengan penuh rasa teruja.
"Pelangi ada berapa warna?" Saja Aira menguji kepintaran anaknya itu.
"Tujuh! Merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo, ungu!" Bukan main riang anaknya menjawab.
"Pandai. Pia suka pelangi, ya? Auntie pun suka juga."
"Yeay! Nanti kita warna sama-sama, okey auntie?"
"Okey... Dah, duduk elok-elok. Makan tak boleh banyak bercakap nanti tercekik."
Sofia hanya ketawa. Ketika itu Aisyah muncul di dapur.
"Amboi, budak kecik ni. Sukanya dia makan dengan Auntie Aira. Dah lupa kat Mama Aisy la tu..." Aisyah mencubit pipi tembam Sofia.
Dia seronok melihat anak itu gembira. Andai Sofia tahu Aira sebenarnya adalah ibu kandungnya.
"Buat apa tu?" tanya Aira kepada Aisyah yang sedang membuka laci kabinet.
"Nak buat kopi untuk abang sayanglah."
"Serius? Sejak bila dia minum kopi?" Aira ketawa.
Aisyah turut rasa senang hati mendengar tawa Aira. Sejak sampai di rumah itu, susah benar nak tengok Aira tersenyum apatah lagi ketawa.
"Entahlah. Ini Abang Rey sendiri yang request. Siap suruh letak madu kelulut pula tu. Macam-macam aja kehendaknya tu."
"Nak bermanja dengan Aisy la tu," usik Aira.
Selesai membancuh kopi, Aisyah berlalu pergi. Aira juga sudah selesai makan bersama Sofia. Selepas mencuci tangan dan mulut Sofia, dia menuntun tangan Sofia ke ruang tamu.
Aira mengambil beg sekolah Sofia di atas meja. Beg itu Sofia bawa ke situ petang tadi.
Disebabkan semua orang sibuk, tidak ada yang dapat melayan Sofia. Jadi, Andika menyuruh anaknya itu mewarna saja buku-buku warna yang dibelinya supaya Sofia ralit.
Aira menghulurkan beg itu kepada Sofia. Anak itu pantas mengeluarkan buku pelajaran dan alat tulisnya.
Aira hanya memerhati Sofia menyiapkan kerja sekolah. Jika anak itu bertanya dan tidak memahami soalan barulah dia membantu.
"Mana papa, auntie? Pia tak nampak papa pun. Kenapa papa tak makan dengan kita?" Sempat pula Sofia bertanya sambil menulis pada buku kerja.
"Errr... Papa makan kat luar dengan tok bah dan nenek," jawab Aira. Malas betul dia nak fikir pasal Andika.
"Oh... Tapi papa selalu makan dengan Pia. Papa kata, kalau Pia tak ada papa tak selera makan," beritahu Sofia.
Aira mengecilkan mata. Macam familiar aja ayat tu!
"Papa cakap macam tu?"
"Hmmm... Papa sayang Pia sangat..."
"Pia sayang papa?" Saja Aira bertanya walaupun dia tahu jawapannya. Anak manalah yang tak sayangkan ibu bapa mereka.
"Mestilah sayang. Pia sayang papa banyak-banyak... Macam ni." Sofia pantas mencium kedua-dua pipi Aira. Tindakan itu buat Aira ketawa.
"Papa ajar buat macam tu, ya?" tanya Aira.
Sofia angguk. Kemudian anak itu menyambung kerjanya.
"Auntie, kerja sekolah Pia dah siap. Boleh Pia mewarna?"
"Dah siap? Ya ke ni? Mari mama... Errr... Auntie tengok jawapan dulu. Kalau salah, Pia mesti betulkan." Aira mengambil buku kerja itu. Tidak ada jawapan yang salah.
"Pandai... Semua betul," puji Aira.
"Pia boleh warna pelangi?"
"Boleh..."
Tanpa berlengah, Sofia mengeluarkan buku-buku warnanya. Banyak pula tu.
Aira mengambil salah satu daripadanya dan membelek setiap halaman yang sudah diwarna.
"Cantik Sofia warna..."
"Cikgu Zara yang ajar," beritahu Sofia.
"Auntie tahu tak, papa kan, selalu bawa Aira tengok pelangi kat bukit sana."
"Kat air terjun tu?"
"Auntie tahu?"
"Tahu... Dulu pun Auntie selalu ke sana tapi tempat tu bahaya sebab berbukit dan banyak pokok renek. Bahaya budak kecil ke sana."
"Taklah. Tempat tu papa kata selamat. Kita orang selalu tidur kat sana juga," beritahu Sofia lagi.
Agak pelik pada pandangan Aira. Mustahil Andika membawa anaknya bermalam di kaki bukit berhampiran air terjun. Walaupun tempat itu cantik tapi hampir dengan hutan. Selalunya mereka ke sana dengan mendaki bukit.
Tidak mahu terus bertanya, Aira membiarkan saja Sofia mewarna. Dia hanya memerhati anaknya yang comel itu. Mulut si kecil ini tidak berhenti bercerita tentang papanya. Sudah tentu Sofia sangat rapat dengan Andika.
Aira teringatkan hari dia memberitahu tentang kehamilannya. Hari itu sangat bermakna buatnya. Ketika itu dia dapat rasakan kasih sayang Andika walaupun hakikatnya hanya satu kepuraan tetapi dia dapat rasa betapa diri disayangi.
Andainya keikhlasan seseorang dapat dilihat dengan mata, sudah tentu dia tidak tertipu dengan permainan lelaki itu.
Aira menutup perlahan pintu rumah. Sebelum masuk ke rumah dia sudah nampak Audi milik suaminya di halaman rumah. Bermakna suaminya sudah pulang setelah berada di luar daerah.
Andika kata dia perlu menghadiri seminar usahawan dan peladang di Kuala Lumpur. Itu yang Andika beritahu beberapa hari yang lalu.
Aira mengatur langkah dengan berhati-hati tanpa ada sebarang bunyi. Sebaik saja dia nampak susuk Andika yang sedang menghadap komputer riba di ruang tamu, hatinya rasa berdebar.
Aira berhenti melangkah. Seakan-akan sedang menyorok di sebalik dinding, Aira mengambil masa seketika untuk membelek telefon pintar yang dikeluarkan dari tas tangan.
Ada lima panggilan yang tidak berjawab. Aira gigit bibir, dia yakin waktu itu suaminya tentu sedang panas hati kerana panggilan tidak berjawab. Apatah lagi suaminya pulang ke rumah tidak bersambut. Andika memang pantang jika dia keluar tanpa beritahu.
Aira menyimpan semula telefon ke dalam tas tangan. Sebenarnya dia tak sihat sejak semalam dan kerana tidak tahan sakit kepala dan rasa loya dia pergi sendiri ke klinik. Kalau dia beritahu Andika bahawa dia tidak sihat, bimbang pula urusan suaminya terganggu.
"Tak payah sembunyi di balik dinding tu. Abang tahu sayang dah balik. Bunyi kereta kat luar tadi bukan susah nak teka..."
Aira mengecilkan mata sambil gigit bibir. Belum sempat nak fikir cara nak beritahu, dia dah pun kantoi!
Okey, relaks Aira... Tu kan suami kau aja pun. Bukan singa dalam hutan yang nak ngap kau...
"Eh. Abang dah balik rupa-rupanya. Bila abang sampai?"
Aira tahu soalan itu sangat janggal dan nampak benar dibuat-buat. Dia menghampiri Andika dan merangkul leher lelaki itu dari belakang. Satu ciuman singgah di pipi suaminya yang langsung tidak memberi reaksi gembira.
Mata Andika masih melekat pada skrin komputer.
Aira masih tak putus asa. Dia masih tidak melepaskan rangkulan.
Andika langsung tak nak berpaling.
"Aira rindu sangat kat abang..."
Sekali lagi pipi suaminya dicium. Namun begitu Andika tetap membatu. Bau minyak wangi suaminya buat Aira terpesona hingga rasa payah nak lepaskan pelukannya.
"Abang dah makan?" tanya Aira bersahaja. Dia melepaskan rangkulan lalu duduk di sebelah Andika.
"Nak makan apa? Kerusi? Meja? Ke tudung saji?"
Jawapan Andika buat Aira mati akal.
Nak perli aku tak masak la tu...
"Sorry... Aira tak sempat nak masak. Lagipun Aira tak tahu abang nak balik hari ni."
"Kalau masak pun abang takkan makan. Sayang tahu kan, kalau sayang tak ada abang tak ada selera nak makan?"
Aira diam saja. Memang Andika selalu cakap begitu tapi tak berapa nak percaya juga.
Habis yang dia selalu tinggalkan aku kat rumah sebab sibuk dengan kerja tu berselera ke tidak makan tak ada isteri dia ni?
"Pergi mana sebenarnya? Pukul 3.00 petang baru balik."
"Aira pergi klinik."
"Sakit? Kenapa tak beritahu?" Andika meninggikan suara. Tangannya melekat pada dahi Aira.
"Tak panas pun? Ya ke pergi klinik ni?"
Andika tayang muka curiga.
"Betul la... Orang tak cakap pun badan panas ke demam."
"Dah tu sakit apa?"
"Kena buatan orang."
Andika tayang muka terkejut.
Nak tergelak pula Aira melihat reaksi suaminya.
"Merepek ajalah sayang ni. Kalau kena buatan orang, bukan pergi jumpa doktor. Kena pergi jumpa bomoh."
"Itu khurafatlah, abang... Yang ni betul punya buatan orang. Dah tahu siapa dalangnya."
"Siapa?"
"Abanglah!"
Andika kerut dahi. Masih tak faham maksud Aira.
"Sayang cakap apa ni? Abang tak fahamlah."
"Eee... Slowlah abang ni."
Aira mendekat dan berbisik di telinga Andika. Kali ini mulut suaminya ternganga.
"Betul ke ni?"
"Betul. Nah, ni buktinya." Aira keluarkan sekeping gambar hasil ujian kehamilan di klinik kesihatan.
Muka kelat Andika tadi dah mula bertukar ceria dengan senyum lebarnya.
"Lelaki ke perempuan ni?"
"Mana boleh tahu lagi. Itu baru lapan minggu la, sayang."
"Abang harap perempuan. Biar cantik macam mama dia ni." Andika usap pipi Aira lalu dikucup dahi isterinya itu.
"Itulah... Tahu nak marah orang aja. Isteri abang ni tak sihat tau."
Aira buat-buat merajuk.
"Salah siapa tak beritahu dia sakit? Padanlah kena marah."
Andika tak mahu beralah.
"Sayang dah makan?"
Kali ni Andika pula bertanya. Wajah Andika menunjukkan kerisauan sebagai tanda prihatin.
"Belum... Abang tahu kan, kalau abang tak ada, Aira tak selera nak makan. Baby dalam perut ni pun teringin sangat nak makan papa dia suapkan. Lagi best kalau papa baby yang masakkan."
"Ya..."
Andika ketawa sambil menarik Aira ke atas ribaannya.
"Lapar..." beritahu Aira yang sudah merangkul leher Andika.
"Nak abang masak la ni?" tanya Andika.
Aira angguk sambil tayang muka manja.
"Cakap dulu yang Aira sayang abang"
"Aira saaayang abang..."
"Sayang banyak mana?"
"Sayang banyaklah... Macam ni."
Aira cium kedua-dua pipi Andika.
"Itu aja? Mana cukup..." Andika tunjuk bibirnya.
"Masak dulu baru dapat sayang kat situ," jawab Aira. Dia ketawa nakal sambil bangun dan mahu melarikan diri.
Andika tak mahu kalah lalu ditarik semula Aira dan mencium kejap bibir isterinya itu.
"Lain kali jangan bantah apa yang abang nak." Andika melepaskan Aira. Senyum senget sambil bangun lalu dia ke dapur.
"Naik atas, mandi dan rehat... Siap masak abang panggil. Faham?" bicara Andika tanpa menoleh lagi.
"Faham..." jawab Aira perlahan dengan muka berona merah.
"Sofia... Jom kita balik, sayang. Dah lewat malam ni." Suara garau Andika yang memanggil Sofia mematikan lamunan Aira. Sempat dia bertentang mata dengan lelaki itu yang sudah tercegat di hadapannya.
"Kejaplah, papa. Pia tengah warna pelangi dengan Auntie Aira ni..." jawab Sofia.
Aira diam saja.
"Esok ajalah sambung. Kemas buku dan pensel warna tu. Sofia tunggu kat luar, nenek dan tok bah dah tunggu. Papa nak jumpa Papa Rey kejap." Andika bersuara tegas.
Tanpa berlengah, Sofia segera mengemas barang-barangnya. Aira masih seperti tadi, hanya jadi pemerhati.
"Auntie... Pia balik dulu, ya? Esok kita sambung lagi." Sofia mencium pipi Aira sebelum anak itu pergi bersama beg galasnya.
"Auntie Aira?" Andika geleng kepala.
Aira buat tak tahu saja. Memang dia tak kenalkan diri dia sebagai ibu kandung kepada Sofia. Lagipun, Andika sendiri tak pernah bercerita tentang dirinya kepada Sofia sehingga anak itu langsung tak tahu yang dia sedang mewarna dengan ibu kandungnya sendiri.
"Kau ni memang kejam, kan? Kau tinggalkan dia tanpa tanya khabar. Hilang macam ditelan bumi dan sekarang kau tergamak muncul depan dia dan kenalkan diri kau sebagai Auntie Aira? Ibu jenis apa kau ni?"
Kata-kata itu buat Aira sentap! Entah apa kena dengan lelaki itu. Tak ada hujan tak ada ribut, tiba-tiba nak mengaruk tak tentu pasal. Selama dia balik kampung, dia sedaya upaya mengelak daripada berdepan dengan Andika sebab inilah. Dia tak nak bertengkar dengan bekas suaminya itu.
"Masa untuk kita bergaduh dah lepas. Saya balik pun bukan sebab abang atau Sofia. Tak ada sebab saya nak mengaku saya mama dia sebab pada akhirnya saya tetap akan tinggalkan tempat ni." Aira melawan pandangan tajam Andika.
Peduli apa? Dia tidak akan rasa takut lagi pada Andika.
"Bukan ke abang juga yang cakap dulu, lepas kita bercerai, abang dan Sofia bukan sesiapa lagi dalam hidup saya dan begitu sebaliknya. Jadi, jangan tayang muka yang kononnya saya ni teruk dan abang tu baik sangat!" Aira menahan nada suaranya supaya tidak ada yang perasan mereka sedang bertengkar.
"Andi... Kau cari aku ke?"
Tak sempat Andika nak melampiaskan marah muncul pula Reyhan. Elok juga abangnya muncul sebab dia sendiri dah muak nak bertegang urat dengan lelaki ego di depannya itu.
Kalau Andika manusia bertimbang rasa, tak adanya nak mencetuskan apa-apa perbalahan antara mereka. Dia temankan Sofia makan dan mewarna, salahkah? Pengorbanan dia melahirkan Sofia masih tak layak untuk dapat hak sekecil itu?
Walaupun dia tinggalkan Sofia dulu, Andika tak layak labelkan dia kejam. Andika mungkin lupa, kalau tak kerana sikap lelaki itu yang menghancurkan kepercayaannya, dia takkan bawa diri sampai ke negara orang! Sakit hati dia apabila pandang muka Andika. Aira terus berlalu tanpa berkata apa-apa. Reyhan pun tidak disapanya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro