Bab 7
"Jadi selama ni kau ada di Indonesia?"
"Macam aku ceritakan tadilah. Aku tak rancang untuk tinggal kat sana pun. Semuanya secara kebetulan. Kalau Allah tak temukan aku dengan Yuliana. Aku pun tak tahu hala tuju aku."
"Jadi, semua poskad yang aku terima tu, kau kirim masa kau bercuti dengan Yuli?"
"Aku jumpa Yuli masa aku melancong di Thailand. Kemudian dia ajak aku ikut dia balik ke Indonesia. Aku pun belum pernah ke Cibubur, jadi aku ikut dia balik. Tak sangka pula ibu dia Bunda Sholeha offer aku kerja di rumah anak-anak yatim yang dia uruskan."
"Kau terima macam tu aja?"
"Taklah. Aku balik dulu ke Malaysia. Aku tinggal tiga bulan di rumah sewa kat KL. Selepas urusan visa pekerja dan semua keperluan selesai, aku kirim surat kat kau."
"Hmmm... Itu surat terakhir aku terima daripada kau. Aku ingat lagi surat tu ada cop Kuala Lumpur. Walaupun dalam surat tu kau tulis kau dah dapat kerja dan minta sesiapapun jangan cari kau lagi, aku tetap beritahu pada Abang Rey. Dia cari kau kat KL sana tau. Patutlah tak jumpa."
"Masa kat Cibubur, aku teringin juga hantar khabar berita kat kau tapi aku rasa, lebih baik tiada siapa tahu aku kat mana. Aku pun tak nak menyusahkan Abang Rey cari aku."
"Kenapa kau tak tulis surat kat keluarga kau? Dia orang risau tahu tak? Mak kau tu, boleh dikatakan setiap minggu call aku tanya ada terima surat kau ke tidak."
Aira tidak menjawab soalan itu.
Kenapa emaknya nak risau pula sedangkan emak sendiri yang tak mahu dia tinggal dalam keluarga itu sekiranya bercerai dengan Andika.
"Kau merajuk dengan mak abah kau kan?"
"Kalau mak terima aku balik tinggal dengan dia lepas aku bercerai, aku tak pergi jauh ke tempat lain. Tinggal seorang diri di negara orang dan menumpang kasih sayang keluarga lain, kau fikir aku tak rindukan keluarga aku sendiri?"
Zara hanya mampu memandang simpati.
"Tapi kau boleh tinggal dengan Abang Rey, kan? Lagipun, marah mak pada kau tak lama mana pun. Abah kau pun, tiap kali aku jumpa dia asyik cakap dia rindukan kau."
"Zara... Masa aku bercerai, ada dua perkara yang aku risaukan. Bagaimana aku nak mulakan hidup baru kalau aku masih di tempat yang sama? Andika akan gunakan anak aku untuk dapatkan aku balik."
"Balik aja pada dia kalau kau susah nak lupa..."
"Kalau aku nak balik dengan dia buat apa aku bercerai? Aku dah bagi peluang banyak kali kat dia Zara, sampai akhirnya dia dah tak ada nilai pada mata aku. Itupun, aku terpaksa lepaskan anak aku pada dia sebab dia ada segala-galanya sedangkan aku tak ada apa-apa."
"Tapi dia besarkan Sofia dengan baik, Aira. Bukan senang jadi bapa tunggal apatah lagi kau langsung tak balik jenguk anak. Kau bercerai dengan Abang Andi bukan dengan anak kau."
"Aku akui dia ayah yang baik sebab tu aku tak risau tinggalkan Sofia dengan papa dia."
"Sayangnya... Dia bukan suami yang baik bagi aku."
Aira segera menyeka air mata yang mahu tumpah.
Hati mana yang tak sakit apabila dicurangi dan ditipu berkali-kali? Cukuplah!
"Assalamualaikum. Apa yang rancak sangat dibualkan sampai tak peduli orang sekeliling?"
"Eh, Abang Reza..."
Terkejut Zara apabila suara garau menegur mereka. Rupa-rupanya Reza yang memberi salam, anak Mak Kuntum yang dulu warungnya jadi tempat dia singgah membeli juadah. Di warung itu jugalah Abang Reza selalu berkirim salam kepada Aira melaluinya.
"Zara, mak kau panggil suruh kau ke belakang rumah."
"Kenapa?" Zara rasa pelik. Entah betul ke tidak mak aku panggil?
"Entah..." Reza jongket bahu.
"Aira, aku pergi jumpa mak aku sekejap. Nanti kita berbual lagi, ya."
Aira angguk saja. Sebaik saja Zara pergi, Reza bersandar pada tiang wakaf.
"Lama kita tak berbual, kan? Aira sihat?"
"Sihat, alhamdulillah..." Aira senyum tak berapa nak ikhlas.
Dia tak selesa berduaan dengan Reza di situ apatah lagi akan ada banyak mata yang memandang. Dengan statusnya sebagai janda sudah tentu dia akan jadi buah mulut dan subjek paling laris untuk 'dibawang'.
"Aira nampak makin cantik," puji Reza.
Orangnya agak tinggi dan berkulit gelap sedikit kerana dibakar cahaya matahari. Seingat Aira, lelaki itu bekerja sebagai mandur di ladang Andika.
Waktu dia masih kecil selalu juga mereka berdua bermain bersama. Apabila dia remaja, setiap kali balik ke kampung, Reza tak pernah lupa kirim salam kepadanya. Ada juga dikirimkan coklat dan kuih-muih yang dirembat dari warung Mak Kuntum lalu dikirim melalui Zara.
Aira tahu, Reza suka kepadanya. Tidak susah untuk memahami pandangan dan perilaku lelaki itu. Apakan daya, hatinya telah diserahkan kepada Andika walau pada akhirnya, hati itu tak pernah dihargai.
Tiba-tiba telefon di dalam poket seluar Reza berbunyi. Sebaik saja melihat skrin telefon pintar itu, wajah Reza sedikit berubah.
Aira perhatikan Reza agak lambat menjawab panggilan itu.
"Tetamu ramai ni. Sudah-sudahlah perhatikan ex-wife kau tu."
Arjuna menepuk bahu Andika yang sedari tadi asyik memerhatikan Aira yang sedang berbual dengan Zara di pondok wakaf yang agak jauh dari situ.
"Aku perhatikan anak aku yang tengah main kat padang sana. Risau dia jatuh," dalih Andika.
"Yalah tu... Nak risau apa, mama dia ada dekat dengan dia, kan?"
"Orang perempuan kalau dah berborak, mana sedar orang kat sekeliling dia."
"Kau nak Aira sedar kau ada dekat dengan dialah? Macam tu?"
"Kau ni kan... Memang pandai spin, kan? Aku cakap pasal Sofia bukan aku."
Arjuna senyum nakal.
Andika sudah tarik muka.
"Kalau nak ayat Aira balik, aku sedia tolong kau, Andi. Siapa lagi yang nak tolong kau selain adik kau ni? Aku boleh ajar kau cara nak tackle perempuan."
"Kau nak ajar aku? Tak payah. Kahwin pun belum, ada hati nak ajar kita pula."
"Orang nak tolong berlagak sombong. Tak apa. Orang lain mengayat Aira nanti, berputih mata ajalah."
"Eleh... Aira tu kalau dia nak cari pengganti aku, dah lama dia bernikah baru, tapi tak kan? Itu sebab dia masih cintakan aku. Dia tak boleh gantikan aku dengan sesiapa."
"Perghhh! Cakap berlagak kau erk. Yakin ke dia single? Jangan-jangan ada cowok keren sedang menanti Mbak Aira mudik ke Cibubur. Syiapa tau kan?"
Arjuna sengaja mengusik Andika dengan loghat Indonesia. Berubah wajah abangnya itu.
Namun begitu, Arjuna perasan wajah abangnya berubah bukan disebabkan usikannya tetapi kerana kemunculan beberapa orang tetamu ke majlis perkahwinan itu.
"Assalamualaikum, YB! Tok ketua!"
Bapa saudara mereka, Emran menyambut kedatangan wakil rakyat dan ketua kampung. Seorang lelaki dalam kalangan mereka terpandangkan Andika dan mengatur langkah menghampirinya.
"Macam mana pula dia boleh ada kat sini?" bisik Andika kepada Arjuna.
"Entah... Bukan dia tinggal kat Kuantan ke? Ikut ayah dialah tu," jawab Arjuna.
Lelaki itu merupakan anak kepada wakil rakyat yang turut hadir ke situ.
"Oi, Andika! Lama tak nampak kau."
Lelaki itu menyapa tanpa memberi salam. Wajah lelaki itu dihiasi senyuman dan pandangan yang menjengkelkan Andika.
"Apa khabar, Encik Farouk? Bila balik kampung?" sapa Andika dengan rasa terpaksa.
"Baik aja. Baru sampai semalam. Jarang dapat balik kampung. Maklumlah, sibuk dengan urusan parti. Sekarang ni aku dah jadi setiausaha parti politik. Kadang-kadang wakilkan ayah aku ke majlis-majlis yang dia tak dapat hadir. Kelmarin pun, kena menghadap sultan di istana."
"Oh..."
Muncung panjang mulut Arjuna mendengar cerita Farouk. Dia ke bapak dia yang wakil rakyat ni?
"Ada masa jomlah kita keluar main golf, Andi. Dah lama sangat tak main golf dengan kau. Takkanlah dah dapat beli tanah di Cameron Highland, kau dah lupakan aku. Inilah kawan yang banyak tolong kau dulu. Lesen buka pasar raya pun, aku yang tolong kau. Jangan lupa kawan lama bila dah makin senang, Andi." Farouk ketawa jahat. Dia menepuk-nepuk bahu Andika.
"Tengoklah kalau aku ada masa. Kau pun, jauh lebih sibuk daripada aku, kan?" jawab Andika dengan rasa sinis.
Dia tak suka dengan kemunculan Farouk, apatah lagi jika lelaki itu tahu Aira ada balik. Dulu, lelaki inilah yang menjadi dalang pemusnah rumah tangganya.
"Aku pun ada banyak stok barang baik. Lagi cantik daripada yang aku kenalkan dulu. Kau dah lama tak ikut aku jumpa kawan-kawan yang lain. Apa ni, Andi? Patutnya dah bercerai, kaki kau dah tak kena ikat. Tapi lepas kau bercerai, batang hidung pun tak nampak."
"Abang Andi dah tak buat kerja bodoh lagi dah. Dia sekarang kaki masjid. Encik Farouk kalau nak ikut kami pun boleh. Masjid kampung ni dah renovate baru. Itupun projek yang YB luluskan. Apa kata malam nanti kita ke sana?" sampuk Arjuna.
Farouk berhenti ketawa. Dia membetulkan tali lehernya. Arjuna rasa nak ketawa. Hari minggu pun nak pakai formal ke?
"Itu... Bukan janda kau ke, Andi?"
Farouk senyum senget apabila matanya terpandangkan Aira yang sedang berbual dengan seorang pemuda. Arjuna dan Andika turut memandang ke arah yang sama.
"Makin cantik janda kau tu, Andi. Orang kata, bunga yang dah tak bertuan ni, lagi kumbang suka..."
"Arjuna, bawa Encik Farouk kita ni ke meja vip... Tak elok biar tetamu datang tapi tak dijemput makan. Nak pula tetamu kehormat." Andika masih menahan sabar.
"Jom, Encik Farouk. Saya pun dah lapar balik ni." Segera Arjuna mengajak Farouk. Kalau dibiarkan, lelaki itu terus memprovokasi abangnya. Nanti orang lain makan kenduri tapi Farouk makan penumbuk!
"Kirim salam aku kat Aira." Sempat lagi lelaki itu nak menyakitkan hati Andika.
"Masa bila pula Reza ada kat situ?" gumam Andika. Dia menahan rasa marah bukan saja kepada Farouk tetapi juga kepada Reza yang bukan main mesra berbual dengan Aira.
Dia mengeluarkan telefon dari saku baju Melayu. Terus dia menelefon Reza sambil matanya tak beralih daripada memandang lelaki itu.
"Helo, bos." Dia dengar suara gagap Reza di hujung talian.
"Aku suruh kau jadi ketua penanggah, kan? Kau buat apa kat wakaf tu? Orang lain sibuk buat kerja kau naik daun kat situ!" tengking Andika. Suaranya tinggi dan tidak mampu ditahan lagi.
"Maaf, bos... Saya cuma rehat sekejap aja."
"Aku nak kau pergi buat kerja kau sekarang dan aku tak nak kau dekat dengan Aira lagi. Kalau aku nampak kau dekat dengan dia lagi, jangan salahkan aku kalau aku halau kau dari kawasan ladang dan tanah aku. Kau faham?!"
"Faham, bos..."
"Berambus kau dari situ. Sekarang!"
Andika nampak Reza tergocoh-gocoh pergi dari wakaf. Dia juga tahu Aira pasti tertanya-tanya kenapa lelaki itu pergi dalam keadaan takut.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro