Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

Sudah beberapa kali Andika cuba memakai samping tapi masih tidak menjadi. Kalau dulu ada isteri yang tolong pakaikan tapi sekarang nak pakai sendiri pun tak pandai.

Dia sedar sekarang betapa bekas isterinya serba tahu apa saja keperluannya. Baik makan minum hinggalah kepada pakaian semua diambil tahu. Hanya dia saja yang tak pernah bersyukur dan tak sedar nilai seorang isteri seperti Aira.

"Argh! Susah sangat tak payah pakai. Lagi senang!" marah Andika. Ditanggalkan semula kain samping itu lalu dicampak ke atas katil.

Sejak tahu Aira balik, apa yang dia buat serba tak kena. Dia kerap mengelak setiap kali perlu berkumpul dengan sanak saudara. Apatah lagi nak bertembung dengan Aira, dia rasa segan dan yang pasti dia akan jadi tak tentu arah.

"Apa yang kamu renguskan tu, Andi?" tegur Kamariah. Sebaik dia masuk ke bilik tidur anaknya itu dia nampak Andika sedang marah-marah.

"Susah sangat nak pakai samping ni, ibu. Tak payah pakai lagi senang," gerutu Andika.

Dia sudah lengkap memakai baju Melayu bewarna ungu. Andika cekak pinggang sambil menghadap cermin.

Kamariah tenang saja melayan kerenah anak sulungnya itu. Dia mengambil kain samping di atas katil.

"Mari ibu tolong pakaikan..." Lembut suara seorang ibu memujuk anaknya.

Andika tanpa bicara menyarung semula samping. Dengan bantuan Kamariah, samping itu dipakai dengan kemas.

"Ibu teringat masa kamu kahwin dulu. Itu kali terakhir ibu pakaikan kamu samping. Kemudian, Aira datang jumpa ibu minta ajarkan cara pakai samping yang kamu suka. Lepas itu segala makan pakai kamu dia yang jaga. Bila kamu bercerai ibu antara orang yang paling sedih apatah lagi Aira sampai pergi jauh tinggalkan kita."

"Ibu nak salahkan Andi lagi sebab menantu kesayangan ibu tu pergi jauh?"

"Dia bukan menantu ibu lagi dah."

Andika rasa terpukul. Dia tahu ibunya marah tapi ibunya tak pernah tunjukkan kemarahannya. Dia tahu dia salah tapi untuk dia minta maaf kepada ibunya dia rasa malu.

"Ibu tak tahu nak kata apa, Andi. Bila Aira pergi, ibu sedih. Sekarang dia dah balik ibu nak peluk dia pun ibu segan. Mungkin salah ibu tak pandai didik anak jadi orang yang setia."

"Andi yang salah. Ibu tak perlu nak rasa malu dengan Aira atau dengan pak ngah sekeluarga."

Andika tahu, kalau tak disebabkan Reyhan nak bernikah, ibunya tentu tak ikut abah pulang ke kampung itu.

Sejak dia bercerai, ibu banyak mengelak bertemu saudara-mara sebelah abah. Ibu selalu sibukkan diri dengan organisasinya mencari dana untuk membantu orang-orang yang memerlukan.

"Jaga tingkah laku kamu supaya tak menyakitkan hati Aira lagi."

"Nak sakit apa, ibu? Kita orang bukan suami isteri dah pun."

"Ibu ni yang lahirkan kamu, Andi. Ibu tahu setiap gerak-geri kamu. Sejak semalam kamu larang anak kamu bermain di luar. Suruh Pia tidur awal dan kamu beri alasan macam-macam tiap kali atuk dan neneknya nak ambil. Kamu tak nak anak kamu jumpa mama dia, kan?"

"Ibu cakap apa ni? Mana ada Andi buat macam tu. Dah memang Pia tak nak main di luar. Lagipun, ramai orang kat luar sana. Pak ngah dengan mak ngah kan sibuk. Kalau orang tak ada jaga Pia, nanti kena culik macam mana?"

"Siapa yang nak culik? Mama dia?" sindir Kamariah.

Andika diam tak menjawab.

"Kalau Aira nak jumpa Pia... Biarkan. Itu anak dia juga."

"Kalau tahu ada anak, lain kali jangan tinggalkan." Selamba Andika membalas.

"Dah dapat bekas suami macam kamu, siapa pun sakit hati. Kamu sajalah yang betul dan nak menang."

"Bukan Andi halau dia dari sini. Dia yang nak pergi. Kalau tak boleh tengok muka Andi pun, tak payah lari jauh-jauh. Ini sampai tak jenguk anak. Dia ingat apa, dia tak ada Andi tak boleh jaga Pia?"

"Ke situ pula. Dia pergi sebab makan hati dengan perangai kamu. Apa yang kamu tak ambil daripada dia? Masa depan dan harta benda semua kamu ambil."

"Susahlah cakap dengan ibu ni. Semuanya Andi aja yang salah. Setidaknya, Andi yang besarkan Sofia. Andi tak carikan Sofia ibu tiri, kan? Kalau Andi nak, bila-bila saja ibu... Tak susah nak cari ganti Aira."

Kamariah mengecilkan mata.

Anak sulungnya ini memang susah nak mengalah.

"Yang susah tu nak dapat yang sama macam Aira, kan?"

Andika mati kata lagi.

Dia ambil songkok lalu dipakai di kepala.

"Terima kasih ibu, tolong pakaikan samping." Kemudian dia keluar.

Kamariah geleng kepala. Nak Andika mengaku bersalah memang taklah. Cuba dipujuk Aira tu balik, kan bagus. Ini tahu nak tunjuk marah dia saja.

Andika turun ke tingkat bawah. Di ruang tamu ayahnya dan Arjuna sudah pun bersiap. Anaknya Sofia juga sudah cantik berbaju kurung ungu dan rambut panjangnya diikat tocang ekor kuda.

"Papa!"

"Cantiknya anak papa. Macam princesslah!"

Andika segera mendukung anaknya lalu pipi tembam itu dicium bertubi-tubi.

"Papa, cepatlah kita pergi rumah nenek. Aira nak jumpa Auntie Aira."

"Hmmm... Sofia suka Auntie Aira?" Ehsan bertanya kepada cucunya. Sengaja memancing perhatian cucunya yang comel itu.

Arjuna tersenyum memandang wajah Andika yang tak selesa dengan tindakan abah mereka.

"Suka, tok bah. Auntie Aira baik sangat. Dia baik macam Mama Aisy. Dia suka suapkan Pia makanan."

"Pia... Kan papa dah pesan, makan suap sendiri. Papa dah ajar, kan? Kenapa nak menyusahkan orang nak suapkan Pia?"

"Tak payah kamu serius sangat, Andi. Abah tak rasa Aira susah nak layan Pia ni. Lagipun, bukan orang lain. Ma..."

"Abah..." Andika geleng.

Belum masanya dia terangkan kepada Sofia siapa Aira sebenarnya.

"Jomlah kita pergi... Nanti lewat pula."

"Lewat apanya, Juna? Rumah pengantin di seberang sana saja."

Kamariah yang menuruni anak tangga menyampuk.

"Wah... Cantiknya ibu. Patutlah abah terpikat kat ibu. Dah bercucu pun cantik lagi. Tak ada perempuan yang boleh tanding kecantikan ibu Juna ni." Arjuna memuji ibunya yang berbaju kurung moden. Tudungnya pula dipenuhi dengan permata tulen.

"Yalah tu... Ayat bodek tu, ibu. Masa dia mengayat awek tak ada pula dia teringatkan ibu yang paling cantik." Andika mengejek.

Arjuna tak peduli terus dia memaut lengan Kamariah dan jalan beriringan dengan ibunya itu.

Ehsan ketawa melihat gelagat anaknya.

"Reyhan dah jumpa jodohnya. Kamu bila lagi?"

"Coming soon, abah. Entah-entah ada kat rumah Reyhan tu, siapa tahu kan?"

Arjuna ketawa galak.

Andika kerut dahi. Siapa? Takkan Aira pula?

"Ada-ada sajalah kamu ni, Juna. Kalau kita berbual kat sini, rumah dekat pun jadi lewat sampai."

Aira siap memakai baju kurung Riau berwarna coklat dan tudung bawal dari rona yang sama. Dia menyembur sedikit minyak wangi sebelum mencapai telefon di atas meja. Kemudian dia keluar dari bilik dan turun ke tingkat bawah.

Di ruang tamu, sanak-saudara dan beberapa orang tetamu penting sudah pun sampai. Majlis akad nikah abangnya akan diadakan pada pukul 9.00 pagi.

Dia mencari kelibat ibunya. Sebelum keluar tadi ibu telah menelefon meminta dia turun ke bawah untuk mengambil songkok abang yang tertinggal di atas rak televisyen.

Aira tak nampak ibu walaupun sudah bertanya kepada beberapa orang saudara-mara di ruang tamu. Tidak mahu melengahkan masa, dia segera mencari songkok di atas rak. Waktu itulah dia ternampak Andika yang baru masuk ke dalam rumah bersama ahli keluarganya.

Aira gigit bibir. Dia baru berniat hendak mengelak daripada bertembung, terdengar pula namanya dilaung oleh Arjuna.

"Aira!"

Bekas adik iparnya itu segera menghampiri. Aira senyum paksa. Apatah lagi bekas ibu mentua juga sedang memandang ke arahnya. Mahu tak mahu dia terpaksalah memaniskan wajah.

"Aira... Malam tadi ibu dan abah sampai. Jom, jumpa ibu. Dia pun rindu nak jumpa kau," ajak Arjuna.

Aira segera menghampiri Kamariah yang begitu gembira melihatnya. Segera wanita itu dipeluknya.

"Ibu sihat?" tanya Aira.

Sekilas dia pandang Andika di belakang wanita itu. Tiada senyuman mahupun bertanya khabar bekas suaminya itu.

"Sihat, sayang... Kamu sihat? Ini kenapa kurus sangat ni? Dulu badan kamu berisi juga." Kamariah meleraikan pelukan.

Sempat pula dia membelek susuk Aira yang cantik berbaju kurung Riau berwarna coklat itu.

"Mana ada kurus, ibu. Sama aja macam dulu. Mungkin sebab kita dah lama tak jumpa, ibu dah tak ingat Aira macam mana." Aira menyangkal. Dia rasa tidak selesa apabila perasan Andika memandangnya lama.

"Tapi... Menantu kesayangan ibu ni makin cantik. Sayanglah orang tu tak pandai nak menghargai."

Aira tak tahu nak kata apa. Walaupun dah bercerai, bekas mak mentuanya itu tetap juga memanggilnya menantu.

"Ibu... Andi pergi bilik Reyhan dulu, ya?"

Andika yang tadi hanya memerhati panas telinga disindir ibunya. Baru saja nak membelek wajah Aira yang dah lama menghilang. Apabila disindir begitu tercabar juga egonya.

"Kamu nak bawa ke mana Sofia tu? Tinggalkan saja di sini."

Andika yang sedang mendukung Sofia menghentikan langkahnya.

"Ibu kan sibuk nanti. Tak ada pula orang nak jaga anak saya ni."

"Aira kan ada. Biar dia yang jaga. Boleh, sayang?" Kamariah memegang lembut lengan Aira.

Permintaan itu umpama orang mengantuk disorongkan bantal. Dia memang rindukan Sofia. Kelmarin sekejap saja dapat bersama. Sejak semalam dia tak nampak Sofia di rumah abangnya.

Apabila ditanya kepada mak, katanya Andika tak benarkan anaknya bermain di luar rumah memandangkan semua orang sibuk dengan kenduri perkahwinan itu. Padahal dia tahu itu hanyalah alasan.

Tentu Andika sengaja tak mahu dia berjumpa dengan anaknya.

"Boleh... Boleh, ibu. Mari sini Sofia," gamit Aira.

Anak itu segera turun dari dukungan Andika lalu menyambut huluran tangan Aira.

Andika tak berani membantah arahan ibunya.

Lagipun, Aira memang berhak ke atas Sofia. Dia pun bukanlah kejam sangat tak mahu bagi anak bertemu ibu kandung. Cuma dia risau kalau Sofia sudah terbiasa dan suatu hari nanti Aira pergi lagi, apa akan jadi kepada anaknya itu?

"Apa lagi tercegat tu, Andi? Arjuna, pergi ikut abang kamu."

"Baik, ibu," jawab Arjuna. Dia mencuit bahu Aira dan berbisik perlahan.

"Kirim salam kat orang berbaju biru sana."

"Siapa?" Aira pandang arah yang ditunjukkan.

Dia nampak seorang gadis berbaju biru bertudung putih sedang berbual dengan Maryam. Lama dia perhatikan. Macam kenal.

"Zara..." beritahu Arjuna sebelum mengekori Andika yang sudah mendaki anak tangga.

"Mak kamu mana?" tanya Kamariah.

Aira mengalih pandangan.

"Mak ada kat bilik Aisyah agaknya... Hah, itupun mak." Aira tunjuk ke arah Zawiyah yang muncul dari dapur. Di situ rupa-rupanya, dia ingatkan mak bersama Aisyah.

"Lah... Kak long dah datang rupa-rupanya. Abang long mana?" Zawiyah cepat-cepat bersalaman dengan Kamariah. Biras yang juga bekas besannya itu memerhati sekeliling.

"Entah... Sedar aja dah tak ada. Dia jumpa saudara-maralah tu," jawab Kamariah.

"Mana bakal menantu Yah? Kenalkanlah dengan kak long."

"Ada... Mari Yah kenalkan dengan besan Yah sekali."

"Aira, jom ikut ibu," ajak Kamariah.

"Ibu dan mak naik dulu. Aira nak jumpa Zara sekejap." Aira menolak pelawaan itu. Dia mahu bertemu sahabat lama terlebih dahulu.

"Songkok abang kamu dah ambil?" Zawiyah teringatkan songkok anaknya yang tertinggal di rak televisyen.

Anak sulungnya itu selalu meninggalkan barang di merata tempat. Apatah lagi songkok itu hendak digunakan sewaktu akad nikah nanti.

"Belum, mak. Tak apa nanti kejap lagi Aira hantar ke bilik Abang Rey."

Aira menarik tangan Sofia supaya si kecil itu mengekorinya. Dia mendekati Zara yang sedang rancak berbual dengan sepupunya, Maryam di satu sudut berhampiran ruang tamu.

"Zara..." panggilnya.

Gadis berbaju biru berpaling dan terpaku melihatnya.

"Ya Allah... Aira? Kau ada balik? Bila?" Sempat Zara memandang Maryam. Dia langsung tak diberitahu.

"Kamu berdua berbual dulu, ya. Kak Yam bawa Sofia ke dapur. Mari ikut umi, Sofia." Maryam tidak mahu mengganggu pertemuan dua sahabat lama itu. Sengaja dia tak memberitahu Zara tentang Aira.

"Alah... Pia nak duduk dengan Auntie Aira dan Cikgu Zara." Sofia menggeleng tanda tidak mahu.

"Jomlah teman umi. Kesian umi tak ada kawan ni," pujuk Maryam.

"Sayang... Ikut umi, ya? Nanti Auntie Aira datang." Zara turut memujuk.

"Okey..."

Anak itu angguk dan mengikut Maryam ke dapur.

"Zara... Kau nampak lain."

Aira masih ingat sejak mereka berkawan, Zara merupakan seorang gadis comel bersaiz XXXL. Tak sangka pula dia sekarang Zara dah ramping macam kerengga.

"Yalah. Dah tiga tahun kau pergi tinggalkan kawan kau ni. Tengok, sampai kurus aku sebab rindukan kau," jawab Zara.

"Yalah tu. Kurus sebab rindukan aku ke atau hati senang sebab tengah bercinta?" usik Aira.

Teringat salam yang dititipkan oleh Arjuna tadi.

Sebenarnya, sejak kecil lagi dia kenal Zara. Satu-satunya kawan yang paling rapat dengannya di kampung itu.

Tiap kali dia balik ke kampung, Zaralah yang menjadi teman dia bermain. Sementalah pula Zara merupakan cucu ketua kampung yang juga sahabat baik arwah datuknya.

"Ewah... Kau baru hari ni tunjuk muka depan aku tiba-tiba acah tahu aku bercinta, kan."

"Kalau tak bercinta takkanlah ada orang yang kirimkan salam."

"Siapa?" Berkerut dahi Zara. Pelik ni.

"Arjuna... Baru tadi dia ada kat sini. Nampak kau, sempat dia pesan. Ohhh, lama aku pergi, tak sangka kau dengan dia menjadi, erk."

"Merepeklah! Tak ingin aku dengan dia tu. Masa aku saiz triple x dulu bukan main mengutuk. Dah la. Tak payah cakap pasal dia. Kau tu, pergi ke mana selama ni?" Zara menggenggam kuat jemari Aira yang sedikit sejuk.

Salam Arjuna tidak menarik minatnya. Lagipun dia tahu perangai Arjuna yang bermulut manis.

Aira terkedu sekejap. Dia masih belum bersedia nak menjawab soalan itu.

"Okey. Kau tunggu sini kejap. Aku nak hantar songkok Abang Rey kat bilik dia. Nanti kita berbual panjang."

"Oh, okey." Zara angguk saja. Dia perasan Aira tak selesa dengan pertanyaannya tadi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro