Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

Bunyi kicauan burung yang keluar mencari makan pada waktu pagi semakin rancak. Remang pagi juga sudah semakin jelas kelihatan. Aira membuka pintu laras dan mengikat tirai supaya keindahan suasana di luar lebih jelas kelihatan dari bilik itu.

Dia baru selesai mengemas pakaian di dalam almari. Sebaik saja dia sampai semalam, dia tidak berkesempatan untuk mengemas. Selain berbual agak panjang dengan abang-abang dan kedua-dua ibu bapanya, Aira hanya duduk saja di dalam bilik itu.

Entah kenapa dia rasa agak malu dan keberatan untuk keluar dari bilik dan berbual dengan saudara-mara yang sudah mula berkampung demi menjayakan kenduri perkahwinan abangnya. Itupun mujurlah hanya beberapa orang saja yang menumpang tinggal di rumah Kak Yam.

Selepas solat subuh dia turun ke dapur. Niat hati nak bantu maknya menyiapkan sarapan pagi tetapi dia disuruh pula oleh mak berehat saja di dalam bilik.

Lagipun, mak kata sudah ada bakal besannya, Mak Cik Suhana yang membantu di dapur. Dia sudah diperkenalkan dengan kedua-dua ibu bapa bakal isteri abangnya. Cuma dia masih belum bertemu mata dengan tunang abangnya itu. Tak apalah, masih banyak masa lagi.

Aira mengikat rambutnya sambil melangkah keluar ke balkoni. Dia ingin menghirup udara segar kampung halamannya. Walaupun dia tidak dilahirkan di situ tetapi dia pernah tinggal agak lama di kampung itu.

Mata Aira sekilas memandang rumah banglo yang tidak jauh dari rumah abangnya itu. Hati mula tertanya apakah isi di dalam rumah itu masih sama? Dia tidak pernah lagi ambil tahu tentang bekas suaminya, Andika.

Mungkin suasana di rumah sana sudah jauh berbeza. Barangkali surinya juga sudah diganti baharu. Dia dah tak kesah. Andika bukan lagi suaminya. Sama ada sudah beristeri baharu atau tidak, bukan lagi urusannya. Cuma kadangkala, sesuatu yang sudah sebati dengan jiwa pasti dirindui. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat berumah tangga.

Agaknya, bagaimana keadaan Sofia Tihani? Anak itu ditinggalkan ketika berusia dua tahun! Baru saja putus menyusu badan. Ibu yang sanggup meninggalkan anak sekecil itu pasti menjadi kecaman ahli keluarga dan saudara-mara.

Aira tahu, tindakannya tiga tahun lalu bukanlah yang terbaik. Apakan daya, dia wanita yang tidak ada apa-apa. Baik dari segi pekerjaan dan pendapatan dia kalah dengan Andika yang serba-serbi sempurna.

Bagaimana dia nak bawa Sofia bersama kalau diri dia sendiri pun tak ada apa-apa? Dia berkahwin ketika usianya dua puluh satu tahun. Tidak pernah bekerja dan hanya bergantung seratus peratus kepada suami.

Silapnya dia terlalu yakin dengan cintanya. Dia tak pernah terfikir yang Andika tidak akan pernah rasa cukup hanya dengan seorang wanita bergelar isteri. Kalau dah namanya lelaki hidung belang, isteri sempurna bagaimana sekalipun tetap juga nak cari yang lain.

"Argh... Hentikan, Aira! Buat apa kau nak ingat dia lagi?" Aira marah dengan diri sendiri.

Bila berjauhan mudah untuk dia lupa tapi kalau dah rumah lelaki itu di depan mata, segala yang pernah berlaku di dalam rumah itu dia kembali ingat. Itu belum lagi berdepan dengan tuan punya badan. Alangkah baiknya kalau dia dapat mengelak daripada Andika sepanjang dia di rumah itu. Malangnya, kalau dah tinggal satu kawasan, bagaimana mungkin dia mampu mengelak?

Tok-tok! Tok-tok!

Bunyi ketukan pada pintu mengejutkan Aira.

Segera dia masuk lalu menuju ke pintu. Dalam hati tertanya-tanya, siapa pula yang mengetuk pintunya seawal pagi begitu. Kalau mak, sudah tentu lepas ketuk terus masuk saja.

Aira membuka pintu, sebaik melihat gerangan yang mengetuk pintu, dahinya sedikit berkerut. Di depannya berdiri seorang gadis bertudung, agak tinggi dan memiliki sepasang mata berwarna... Biru?

Siapa pula perempuan cantik ni? Setahunya, tidak ada saudara-maranya yang berdarah campuran Eropah.

"Assalamualaikum, saya Deniz." Gadis itu menyapa dengan wajah ceria.

"Deniz?"

"Kakak Aisyah..."

"Ooo, okey..." Aira sekadar angguk walaupun dia sebenarnya tak pasti siapa orang yang disebut. Dia nampak blur.

"Errr... Mesti tak kenal, kan? Tak apa. Jom kita taaruf kat dalam. Kejap lagi Aisy datang."

Deniz terus masuk tanpa dipelawa. Ternganga juga Aira melihat gelagat gadis yang fasih berbahasa Melayu itu. Namun begitu Aira tetap tenang saja dan menghampiri Deniz yang sudah duduk di birai katil.

"Nama apa tadi? Deniz?" tanya Aira. Agak pelik nama itu.

"Ya, Kak Aira. Saya Deniz, kakak kepada Aisyah, bakal isteri Abang Rey." Begitu selamba gadis itu menjawab.

"Oh... Okey, dah faham." Aira ketawa kecil.

Patutlah dia tak kenal.

"So, mana bakal kakak ipar saya tu?" tanya Aira lagi.

Deniz memanggilnya kakak dan rupa paras gadis itu juga kelihatan lebih muda daripadanya. Sudah tentu bakal kakak ipar jauh lebih muda daripadanya. Dan... Dia tak sangka pula bakal isteri Reyhan berdarah campuran?

"Ada... Kejap lagi dia datang."

Deniz menepuk tilam sebagai tanda isyarat supaya Aira duduk di sebelahnya.

"Kak Aira dah siap berkemas ke? Orang baru nak tolong."

"Dah..." Aira senyum. Dia duduk di sebelah Deniz. Baru nak buka mulut, muncul pula seorang lagi gadis.

"Assalamualaikum..."

"Waalaikumussalam... Aisyah?" teka Aira.

Gadis yang sedang mendukung anak kecil itu angguk lalu mendekatinya. Mereka berdua berpelukan dan berlaga pipi.

"Cantik..." Aira memegang pipi Aisyah.

Tersipu-sipu bakal pengantin itu dibuatnya.

"Adik beradik, kan? Yang mana satu kakak, yang mana satu adik? Macam sebaya aja," tanya Aira kepada Aisyah dan Deniz. Kedua-duanya ketawa melihat dahi Aira berkerut.

"Adik-beradik tiri. Ayah lain dan mak pun lain," jawab Aisyah.

Sekarang Aira semakin jelas. Patutlah Aisyah muka Melayu tapi Deniz jelas sangat kacukan kerana warna matanya asli biru bukan kanta lekap!

"Sebenarnya, saya tua enam bulan saja pun daripada Aisyah ni. Tahun saja berbeza," sampuk Deniz.

"Dia lahir bulan Disember dan saya bulan Jun tahun berikutnya." Aisyah menurunkan Sofia. Anak itu ralit bermain dengan anak patung beruang di tangannya.

"Patutlah nampak macam sebaya aja..."

Aira mengalihkan pandangan kepada anak kecil yang tidak mempedulikan perbualan mereka. Takkanlah anak Aisyah? Abang Rey nak kahwin dengan janda ke?

"Yang comel ni pula siapa?"

Pertanyaan itu buat Deniz dan Aisyah saling berpandangan.

Sebenarnya Maryam yang suruh bawa Sofia ke rumah itu ketika dibawa oleh Andika bersarapan di rumah.

Akan tetapi Andika sendiri tak tahu tujuan Sofia dibawa ke rumah Reyhan untuk ditemukan dengan ibu kandungnya.

"Nama saya Sofia Tihani binti Andika Iman," jawab Sofia. Anak comel itu memang petah bercakap. Dah macam perkenalkan diri pada hari pertama masuk sekolah.

Aira terpaku seketika.

"Sofia Tihani..." Terus Aira memeluk anak itu. Kemudian dicium semahu-mahunya.

Anak aku dah besar, Ya Allah, bisik Aira dalam hati.

Ketika dia tinggalkan Sofia, anak itu hanya tahu menyebut mama dan sebutan pun pelat lagi.

"Kenapa auntie nangis?" tanya Sofia. Terkebil-kebil dia melihat Aira yang menangis sambil memegang kedua-dua pipinya.

"Ini bukan auntie, sayang. Ini..."

"Tak apa..." Aira menahan Aisyah daripada terus berkata-kata.

"Sofia... Auntie menangis sebab auntie sayang Sofia," jawab Aira.

"Auntie sayang Pia?"

Aira angguk.

"Auntie siapa?"

"Auntie ni adik Papa Rey," beritahu Aisyah.

"Pia boleh panggil Auntie Aira," sampuk Aira sebelum Aisyah sempat beritahu lebih banyak.

"Mama Aisy... Pia lapar."

"Pia lapar? Jom kita pergi makan. Pia nak makan apa, sayang? Auntie suapkan." Aira terus mendukung Sofia dan segera keluar dari bilik.

"Mesti dia rindu gila kat anak dia, kan?" Deniz bangun dari katil.

"Kalau aku jadi dia pun aku macam tu juga."

"Tapi kenapa dia tinggalkan anak dia erk? Abang koboi kau tak ada story apa-apa?"

"Tak ada. Aku pun malaslah nak menyibuk. Ini bukan urusan kita tau. Dah, tak payah nak membawang. Jom kita turun ke dapur." Aisyah menarik tangan Deniz.

"Kenapa semua orang nak sarapan di rumah Reyhan? Aku dengan kau aja ni, Kak Yam. Makanan banyak pula tu." Andika sedang bersarapan bersama Maryam.

Sebenarnya dia tua setahun daripada Maryam tetapi dipanggil juga sepupunya itu Kak Yam kerana itulah panggilan manja Maryam sejak kecil. Semuanya disebabkan perangai Maryam yang suka jadi kakak setiap kali main pondok-pondok. Memang sedari kecil sikap Maryam sangat mengambil berat dan bertanggungjawab kepada keluarga.

"Kau tunggulah Arjuna. Makan dengan dia."

"Kak Yam nak ke mana?"

"Rumah sebelah. Nak hantar ubi getuk ni hah. Aira kan suka makan kuih ubi getuk."

"Aira?" Dahi Andika berkerut. Sampai terhenti suapan ke mulut.

"Aisyah... Sampai tersasul pula."

Maryam terus mencapai mangkuk tingkat dan meninggalkan Andika sendirian di meja makan. Lagaknya seperti tergesa-gesa.

Andika rasa curiga. Kenapa semua orang bersarapan di rumah Reyhan? Sewaktu dia dan Sofia datang ke rumah Maryam ada juga Deniz dan Aisyah.

Kemudian, kedua-dua gadis itu membawa anaknya ke rumah Reyhan dengan alasan mahu bersarapan di sana. Lagipun, Aisyah mahu memindahkan barang-barangnya ke bilik Reyhan memandangkan mereka akan bernikah esok.

Mulanya dia tidaklah curiga sangat tapi kalau dah Maryam pun sibuk nak bersarapan di rumah orang dan tinggal dia saja di rumah itu, memang pelik! Apa pasal pula dia orang tak ajak aku sekali?

"Kenapa Kak Yam sebut nama Aira?" Andika masih tertanya-tanya. Aisyah tu suka ubi getuk ke? Setahunya ubi getuk memang makanan kegemaran Aira. Entah-entah, Aira ada balik?

Andika teringatkan malam tadi Reyhan dan keluarganya juga tidak makan malam di rumah Maryam. Padahal, setiap kali mereka berkumpul, rumah Maryam akan riuh-rendah dengan gurau senda saudara-mara.

Bila ditanya kepada Maryam alasannya kerana Reyhan dan Aisyah mahu keluarga mereka saling kenal dengan lebih dekat sebab itu mereka berkumpul di rumah Reyhan.

"Atau sebenarnya ada yang nak disorokkan daripada aku," tebak Andika.

Grup WhatsApp keluarga juga sunyi sepi. Reyhan dan Iskandar pun langsung tak nampak muka. Kali terakhir mereka bertembung pun di masjid sewaktu solat Jumaat semalam.

"Eh? Mana yang lain?" Arjuna tiba-tiba muncul. Adiknya itu baru lepas beriadah agaknya kerana kelihatan berpeluh. Arjuna memang sangat menjaga tubuh badannya.

"Entah..." Andika bangun dari kerusi. Tiada selera untuk bersarapan. Kalau setakat dia dan Arjuna saja lebih baik bersarapan di rumah sendiri!

"Tak nak sarapan ke?" Arjuna lihat ada mi goreng dan nasi lemak. Kuih-muih pun banyak.

"Aku nak pergi rumah Reyhan."

"Buat apa?"

"Sarapan kat sana. Nak ikut?"

"Makanan ni? Banyak ni... Siapa nak habiskan?"

Andika tak menjawab. Terus melangkah keluar dari rumah Maryam. Dia sarung selipar ikut suka hati dan menuju ke rumah Reyhan.

Dari luar rumah itu dia dapat dengar riuh-rendah suara orang berbual dan bergelak tawa. Dia perasan kereta-kereta Reyhan dan Iskandar ada di garaj. Bermakna, semua orang ada di rumah itu.

Andika masuk tanpa memberi salam. Di ruang tamu tidak ada sesiapa. Dia terus menuju ke ruang dapur. Ketika itulah dia baru memberi salam.

"Ramainya... Patut dengar riuh sampai ke luar," sapa Andika.

Suasana jadi sunyi sepi. Semua mata terarah kepada Andika. Salamnya tidak berjawab. Semua orang kelihatan kaget. Buat Andika rasa hairan.

"Papa!"

Suara comel itu menarik perhatian Andika yang masih tercegat.

"Pia... Anak papa makan apa tu?" tegur Andika.

Baru saja dia nak mendekat langkahnya mati. Kali ini matanya terpandangkan susuk di sebelah Sofia.

Aira!

"Duduk diam, sayang... Kan dah comot." Aira tidak mempedulikan kemunculan Andika. Namun dalam hati dia rasa sangat gementar. Dia tak berani pandang Andika. Macam mana kalau bekas suaminya itu mengambil Sofia dan melarang dia bertemu anaknya itu?

"Hah Andika, kamu dah sarapan? Marilah sekali." Emran mematikan suasana sepi itu. Dia dan Zawiyah saling berpandangan. Maryam yang sedang berbual dengan Aisyah dan Reyhan tak sangka pula Andika akan datang ke situ.

"Duduklah, Andi. Kita orang baru aja sarapan." Iskandar yang sedang menghidang makanan di atas meja turut mengajak. Hanya Reyhan saja yang buat tak tahu. Dia memberi isyarat kepada Aira supaya bertenang saja.

"Errr..." Andika tak tahu nak kata apa. Dia pula yang rasa janggal dan tak selesa.

"Woi! Kau tinggal aja aku kat rumah Kak Yam erk. Tak nak aku makan sorang." Arjuna yang baru sampai menepuk bahu Andika.

"Aira? Seriously? Aira!" Arjuna terkejut melihat Aira.

"Weh... Bila kau balik?" Arjuna tak pedulikan Andika yang masih terpacak macam tiang bendera. Dia terus meluru mendapatkan Aira. Diangkat Sofia kemudian duduk di atas kerusi yang Sofia duduk tadi. Anak itu diribanya. Mereka terus berbual rancak.

"Andika... Marilah duduk, kita makan sekali," ajak Zawiyah.

"Tak apalah... Saya ada hal nak jumpa kawan kat kedai makan," jawab Andika. Itu saja idea yang dia dapat. Kemudian, dia berpaling dan angkat kaki.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro