Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

Dum!

Bunyi yang kuat itu buat Aira terjaga dari tidur.

Dia membetulkan badannya. Duduk tegak sambil memandang sekeliling. Barulah dia sedar rupa-rupanya bunyi itu adalah bunyi pintu kereta yang ditutup oleh pemandu teksi itu. Kenderaan itu berhenti di sebuah stesen minyak.

Aira membetulkan tudungnya seketika. Dah sampai mana ni? Hatinya mula tertanya. Entah berapa lama dia tertidur. Dia melirik jam di tangan. Sudah hampir pukul 11.15 minit pagi.

Kalau ikut perkiraannya sejak bertolak, waktu itu sepatutnya dia sudah hampir sampai di kampung.

Aira memerhatikan suasana di sekeliling kawasan stesen minyak itu. Nampak seperti familiar sahaja tempat itu.

Tiba-tiba dia terpandangkan seorang pemuda yang melintasi teksi itu. Lelaki yang hampir sebayanya itu membuka tangki minyak dan berdiri betul-betul di sebelah teksi.

Pekerja stesen itu ialah rakan sekampungnya. Bermakna stesen minyak itu milik Andika kerana pemuda itu bekerja dengan Andika sebelum mereka bernikah lagi. Janganlah Andika tu ada juga kat sini.

Entah kenapa dadanya berdegup kencang. Aira tutup sedikit wajahnya dengan tangan. Nak pura-pura main telefon tetapi sedar dia berada di stesen minyak. Nanti terbakar pula stesen minyak bekas suaminya itu.

Eh, elok juga terbakar! Biar padan muka dia rugi!

"Hah... Dah bangun pun. Mengantuk sangat gayanya. Lama kamu tidur."

Kakak yang memandu teksi tiba-tiba muncul. Rupa-rupanya, minyak sudah siap dituang ke dalam tangki.

"Tak nak singgah beli apa-apa ke?" tanya wanita itu lagi sambil memakai tali pinggang.

"Tak apalah..." Aira geleng.

Tak nak aku masuk mini mart tu. Aku balik nak jumpa Abang Rey, bukan nak jumpa dia pun! Aira terbayangkan wajah tampan Andika.

Ufff! Boleh tak jangan teringatkan muka menyampah tu lagi?

"Dik... Boleh kita bertolak sekarang?"

"Ya, kak. Dah tak lama pun nak sampai."

Teksi dipandu semula memasuki jalan besar. Aira menarik nafas dalam sambil memainkan jemarinya. Sungguh dia rasa semakin gementar dan jemarinya mula sejuk.

Apalah reaksi ahli keluarganya sebaik saja melihat kemunculannya?

"Betul ke tempat ni, dik? Jauh ke dalam ni. Sunyi sepi saja."

Wanita itu hairan agaknya apabila masuk ke kawasan yang hanya ladang sawit dan getah di kiri kanannya.

Sebenarnya ada penempatan pekerja-pekerja ladang di situ tapi dalam kawasan ladang. Tak nampak kalau dari jalan itu.

"Terus aja, kak. Ikut Waze tu. Ini private properties. Akak drive sampai nampak pintu pagar tinggi."

Wanita itu menurut sahaja. Lima minit kemudian mereka tiba di pintu pagar yang dimaksudkan.

"Boleh masuk ke ni?" tanya wanita itu lagi.

Melalui cermin pandang belakang, Aira nampak pemandu itu seakan-akan cuak dan risau.

"Masuk aja, kak..."

"Tapi ada papan tanda besar kat luar pagar ni. Kawasan larangan. Penceroboh dilarang masuk. Siap ada gambar orang pegang senapang tu."

"Tak payah risaulah, kak. Kita bukan penceroboh pun. Masuk aja." Aira menahan tawa.

Teksi dipandu terus masuk ke kawasan seluas mata memandang itu.

"Uish... Luas betul kawasan rumah ni. Yang mana satu rumah kau, dik?"

"Errr... Yang depan sana. Akak terus saja. Itu rumah abang saya," beritahu Aira walaupun matanya terarah pada sebuah banglo mewah tidak jauh dari situ.

Itulahnya rumahnya dahulu. Rumah di mana dia dan suaminya serta anaknya yang comel tinggal di situ.

Cuma sekarang, keadaan sudah berubah. Anaknya masih di situ bersama ayahnya. Hanya dia saja yang sudah tidak menjadi pemiliknya.

Tiba-tiba dia rasa rindu untuk berada di situ. Ya Allah... Tabahkanlah hati ini. Jangan benarkan ia meminta sesuatu yang bukan lagi haknya.

"Kita dah sampai ni, dik..."

Aira cepat-cepat menyeka air mata yang bergenang.

"Itu mamat koboi tinggi lampai abang kau, ya?"

Aira mendongak sebaik saja kereta berhenti.

Wanita itu sudah menarik brek tangan.

"Sekejap ya, kak... Saya nak jumpa keluarga saya dulu."

"Yalah. Tak apa. Biar akak keluarkan barang kamu dari but kereta."

Agak lambat Aira membuka pintu kereta. Sebaik kakinya menjejak tanah, dia kuatkan semangat. Dia berdiri dan keluar dari perut teksi. Spontan tangannya menutup pintu kereta.

"Aira?"

Suara garau itu menyapa.

Di depannya dalam jarak beberapa meter sahaja, seorang lelaki yang sudah menanggalkan topi di kepalanya sedang berdiri kaku. Wajahnya sangat terkejut dan matanya sudah mula berkaca.

"Abang Rey..." sapa Aira dengan senyuman manis.

Tiada kata-kata lagi yang keluar dari mulut kedua-duanya. Aira terasa tubuhnya dipeluk seketika. Kemudian kedua-dua pipinya dipegang tangan kasar lelaki itu.

"Adik abang... Alhamdulillah dah balik kau, dik."

"Abang Rey janganlah nangis. Malu tau bakal pengantin nangis." Aira menyapu air mata Reyhan.

Abangnya itu ketawa. Mereka berdua langsung tak peduli dengan kewujudan pemandu teksi yang jadi pemerhati.

"Aira!"

Tiba-tiba namanya dipanggil. Aira menoleh ke sebelah kanan. Dia nampak ibunya sedang berlari anak menghampirinya.

"Mak... Adik balik, mak!" beritahu Reyhan.

"Mak..."

Aira terus mendakap ibunya erat.

"Anak mak... Ya Allah, rindunya mak pada kamu, anak... Ke mana kamu pergi?"

Aira tak menjawab. Dia hanya menangis dalam dakapan Zawiyah.

"Aira minta maaf, mak..."

"Tak apa. Tak apa. Mak tak marah lagi dah, sayang. Anak mak."

"Abah?" tanya Aira apabila tidak melihat susuk abah dalam kalangan mereka.

"Abah kamu pergi cari umbut. Nanti mak call abah beritahu kamu dah balik," jawab Zawiyah.

"Husna, bawa Kak Aira kamu ke rumah Reyhan. Panas ni," ujar Zawiyah kepada anak saudaranya.

"Baik, mak ngah."

Aira baru perasan adik sepupunya ada di situ.

Sudah makin dewasa dan cantik.

"Reyhan, uruskan beg dan bayaran teksi adik kamu ni. Mak nak jumpa Mak Cik Sari kamu kejap." Zawiyah begitu teruja dengan kepulangan Aira.

Dia mahu kakak angkatnya membantu untuk memasak makanan kegemaran anak bongsunya itu. Tentu Aira rindu nak makan masakan air tangannya.

Reyhan segera membayar duit tambang dan mengucapkan terima kasih kepada pemandu teksi. Dia kemudian menarik luggage milik Aira.

"Jom masuk rumah. Panas ni..." Reyhan memakaikan topi di kepala Aira. Adiknya itu ketawa sambil berpimpin tangan dengan Husna.

"Mana bakal isteri abang? Tak nak kenalkan ke?" Sempat lagi Aira bertanya.

Dia memandang ke arah rumah Maryam. Dia dapat rasa dirinya sedang menjadi perhatian. Aira perasan ada dua orang gadis cantik sedang berbual sambil memerhatinya.

"Kemudian... Tak lari gunung dikejar. Yang ini patut abang jaga. Takut lari lagi." Reyhan mencubit pipi Aira.

Adiknya itu tersenyum tawar.

Andika memikul umbut-umbut kabung di kedua-dua bahu. Kemudian umbut-umbut itu diletakkan di bahagian belakang Toyota Hilux.

"Ada lagi tak, Reza?"

"Yang ni last, bos."

Andika angguk tanda faham. Dia dan beberapa orang pekerjanya membantu bapa saudaranya, Emran menebang pokok-pokok kabung yang sudah tua.

"Semua dah dibawa masuk dalam kereta?" tanya Emran sambil menyapu peluh di muka dengan tuala kecil.

"Sudah, abah," jawab Andika.

Walaupun sudah bercerai dengan Aira, dia masih memanggil lelaki itu abah sebagai tanda hormat.

"Kalau macam tu, biar abah balik dengan Reza."

"Tak apa, abah. Biar Andi saja balik dengan abah. ATV tu biar Reza bawa balik." Andika tunjuk kenderaan bermotor yang diparkir di bawah pokok.

"Tak payah... Kamu suruh anak-anak buah kamu uruskan pembersihan batang-batang kabung tu. Kumpulkan juga semua pelepah satu tempat. Senang nak bakar bila kering nanti."

"Yalah, abah."

Andika tak berani membantah arahan Emran.

"Jomlah kita balik, Reza. Pak cik nak cepat sampai di rumah ni."

"Kalut aja abah ni. Apa yang nak dikejarkan sangat tu, abah?" tanya Andika sambil mengemaskan ikatan parang kecil yang disisip di pinggang. Dia perasan bekas mentuanya itu agak tergesa-gesa selepas menerima panggilan telefon.

"Hari ni kan Jumaat. Sekarang dah hampir pukul 12.00 tengah hari. Abah nak balik bersihkan diri lagi. Abah balik dulu, ya. Jumpa kamu di masjid saja nanti," jawab Emran.

Sebenarnya Emran mahu segera pulang ke rumah selepas Zawiyah menelefonnya. Kata Zawiyah, anak perempuan mereka sudah balik tetapi isterinya itu melarang dia bercerita kepada sesiapa pun yang ada bersamanya ketika itu. Sebab itu dia tidak memberitahu Andika. Apatah lagi, bekas menantunya itulah punca anaknya meninggalkan rumah tiga tahun yang lalu hingga ke hari ini, barulah anaknya muncul semula setelah pergi tanpa khabar berita.

"Yalah, abah..." jawab Andika. Namun begitu dia tetap menyimpan rasa hairannya dalam hati.

Selepas Toyota Hilux yang dipandu Reza hilang dari pandangan, Andika mengarahkan beberapa orang pekerjanya membersihkan kawasan itu. Beberapa orang kampung yang membantu meminta diri untuk pulang.

Andika juga mahu segera pulang ke rumah. Dia sempat berpesan kepada pekerjanya supaya segera membersihkan kawasan itu dan jangan lewat ke masjid. Kemudian dia menunggang ATV meredah kawasan bekas tapak sawah itu.

Dia tidak mengikut laluan yang sama ketika datang ke kawasan itu sebaliknya mengikut jalan pintas ke rumah arwah tok ayahnya.

Sebahagian daripada rumah itu telah dijadikan pejabat. Beberapa bilik tidur lama sewaktu dia dan Reyhan membesar dahulu masih dikekalkan. Biasanya hari Jumaat dia tidak pulang ke rumahnya. Dia menyalin pakaian di rumah itu sahaja.

Memandangkan hari itu semua pekerja diberi cuti sempena perkahwinan Reyhan, tidak ada sesiapa di pejabat.

Jadi dia fikir untuk menjimatkan waktu, daripada pulang ke rumah lebih baik dia mandi dan salin pakaian di rumah tok ayah saja. Dari situ dia akan terus ke masjid dengan menaiki motosikal lama miliknya yang memang disimpan di situ.

Sepuluh minit kemudian Andika sudah sampai di tepi tali air. ATV yang ditunggang merentas jambatan kecil yang dibina daripada kayu. Sampai di bawah pokok yang rendang berbunga kuning, dia menghentikan pemanduan.

Suis enjin ditutup lalu dia turun.

Sebenarnya dia jarang ke kawasan tali air itu. Berbeza sewaktu dia kecil dahulu tempat itulah menjadi tempat dia dan sepupunya bermain. Semakin membesar sebagai remaja, masanya dihabiskan dengan belajar. Dia dah jarang ke situ sehingga dia balik dari luar negara baru dia jejakkan kakinya ke situ semula.

Ketika itulah dia melihat Aira yang sudah dewasa. Di pokok itulah dia terpaku melihat bidadarinya.

Andika mendekati batang pokok. Ada ukiran nama pada batang itu. Sudah tidak begitu jelas kerana ditutupi lumut yang tumbuh. Andika menyapu ukiran nama itu dengan tangan.

Dia mengeluarkan parang kecil dari sarungnya yang tersisip di pinggang. Andika mengukir semula nama-nama itu.

Barulah jelas ukiran nama AIRA CINTA ANDIKA pada batang pokok itu. Andika senyum puas hati. Selagi dia masih hidup ukiran itu tidak akan pernah hilang. Walaupun pengukir asalnya sudah pergi meninggalkannya tapi bagi Andika ukiran itu sangat bermakna.

Ingatan Andika kembali menerawang mengingati hari itu. Hari di mana dia melihat Airanya yang tersipu-sipu malu bila rahsianya terdedah.

"Dah kenapalah Reyhan nak jumpa aku kat tapak sawah ni? Leceh betul kena jalan kaki lagi."

Sebal hati Andika apabila Reyhan mengajaknya berjumpa di tapak sawah berhampiran rumah tok ayah. Sejak dia balik dari luar negara, abahnya melarang dia kembali tinggal di rumah arwah datuknya itu.

Kata abah, Reyhan tinggal di situ dengan adiknya, Aira sejak tok ayah meninggal. Jadi tidak manis jika dia yang bukan mahram Aira turut tinggal di rumah itu. Apatah lagi, tok ayah sudah tidak ada sebagai orang yang paling tua di rumah itu.

Makanya dia disuruh tinggal di banglo yang baru siap dibina di tanah yang diwarisi daripada tok ayah. Hanya banglo untuk Reyhan yang masih dalam proses binaan. Menurut abah lagi, selepas banglo Reyhan siap, sepupunya itu juga perlu berpindah dari situ kerana rumah dan tanah itu bukan lagi milik mereka. Sudah menjadi hak milik Aira.

"Tak guna betul! Macam manalah tok ayah boleh bagi tanah ni dan rumah tu pada Aira? Setakat jaga tok ayah masa sakit. Entah-entah saja tunjuk baik jaga tok ayah sebab nak dapat tanah ni." Andika mengomel sambil mengatur langkah.

Sesekali matanya memerhatikan kawasan sekeliling. Tempat itu memang cantik dan menghijau saujana mata memandang. Apatah lagi berhampiran kaki bukit sana ada air yang mengalir deras yang jatuh dari bukit.

Apabila waktu panas, imej warna pelangi kecil akan terbentuk. Oleh kerana kawasan itu hak milik persendirian, keindahan kawasan itu tidak pernah disentuh oleh orang luar. Masih terpelihara sehingga kini. Kerana itulah nilai tanah di kawasan itu sangat tinggi.

Langkah kaki Andika mati apabila melihat susuk manusia terbongkok-bongkok di bawah pokok rendang berbunga kuning. Bukan nenek kebayan atau hantu kerana orangnya bertudung dan berseluar trek serta berbaju kemeja-T hitam.

"Hoi! Buat apa tu hah?!" sergah Andika sebaik saja dia mendekat. Fikirnya mungkin penceroboh.

Orangnya tak nampak muka kerana begitu asyik mengukir sesuatu pada batang pokok. Sebaik saja orang itu berpaling kerana disergah, Andika terkesima. Mata mereka saling berpandangan. Cantiknya dia...

Gadis itu bermata coklat dan berbulu mata lentik tetapi agak membulat ketika memandangnya. Ternyata mereka sama-sama terkejut.

"Errr... Abang Andi buat apa kat sini?"

Andika tak jawab. Dia masih meneliti raut wajah di depannya. Baru dia sedar rupa-rupanya gadis di depannya itu Aira Tihani!

"Aira?" tanya Andika. Gadis itu angguk. Bukan Andika tak kenal cuma sudah beberapa tahun tak berjumpa dia tak sangka pula Aira membesar jadi secantik itu. Pipi Aira sudah memerah kerana ditenung lama.

"Ni sejak bila jadi vandalisme? Sorang diri pula tu kat sini..."

"Vandalisme? Mana ada!" Aira menjawab sedikit marah.

"Kalau tak ada, Aira ukir apa kat pokok tu? Kalau pokok tu mati macam mana?" Andika cekak pinggang. Sejak kecil dia memang suka menyakat Aira. Tapi dulu Aira budak comot lagi tak macam di depannya kini, bergetar tulang rusuk!

"Takkan kot..." Aira kerut dahi.

Andika semakin seronok mengusik. Masa kecil dulu banyak kali Andika kena rotan dengan tok ayah sebab selalu mengusik Aira.

"Aira ukir apa kat pokok tu?"

"Tak ada apa..." Aira geleng lagi. Kali ini gadis itu bersandar pada batang pokok. Nampaknya Aira tak mahu Andika tahu apa yang diukir di situ.

Andika berfikir seketika. Kalau dia paksa Aira tunjuk, silap cara, melalak pula di bawah pokok itu. Dengar pula dek Reyhan, mahu bertabur giginya makan penumbuk kerana dituduh mengacau adiknya itu.

Tiba-tiba Andika dapat idea. Dia berpaling dan menghadap kaki bukit. Beberapa saat kemudian Andika menjerit sambil tunjuk ke kaki bukit.

"Aira! Tengok sana! Ada pelangilah!"

"Mana?" tanya Aira teruja. Dia terus mendekati Andika.

"Sana... Cuba tengok depan sana sikit. Tak berapa jelas sangat tapi cantik." Bersungguh-sungguh Andika meyakinkan Aira sehingga gadis itu menapak dua langkah ke depan. Tanpa berlengah Andika pantas menghampiri pokok dan melihat apa yang terukir di situ.

"Abang Andi, mana pelanginya? Tunjuklah betul-betul."

"Mana boleh tunjuk pelangi... Nanti jari bengkok!" jawab Andika selamba. Dia angkat kening sebaik saja Aira berpaling dan sedar dia sudah tertipu.

"Ini apa ni? Dah pandai bercinta, ya? Aira cinta A? Siapa A ni?" tanya Andika dengan senyuman jahat. Oh... Anak Pak Ngah Emran ni dah pandai bercinta...

"Siapa? Lain kali orang tanya tu jawablah!" Andika geram pula bila tidak ada jawapan dari Aira. Wajah putih melepak itu sudah semakin kemerahan kerana malu. Tiba-tiba kedengaran bunyi derapan kaki kuda dan bunyi kuda meringkik.

"Abang kau dah datang. Cepat beritahu, siapa? Kalau tak, aku beritahu abang kau yang kau tengah bercinta!" ugut Andika. Dia tak suka kalau dibiarkan tertanya-tanya tanpa jawapan.

"Azwan Ali!" jawab Aira selamba. Takut abangnya nampak dia berlari meninggalkan tempat itu. Sempat pula dia ambil batu lalu dibaling mengenai lengan Andika.

"Aduh!"

"Padan muka abang!" jerit Aira sebelum menghilang di sebalik pokok-pokok di kawasan itu.

"Boleh tahan kau kenakan aku, ya. Jaga kau, Aira." Andika menyapu lengan yang pedih.

"Ada ke Azwan Ali... Ingat aku nak percaya ke?" Andika tak puas hati dengan jawapan Aira. Dia pandang lagi ukiran A pada batang pokok. A untuk Andika pun boleh apa?

Andika senyum sendirian. Kenangan tentang ukiran itu masih segar dalam ingatannya. Walaupun pada awalnya hanya huruf A yang diukir Aira tapi selepas dia mengahwini sepupunya itu, dia sendiri yang mengukir namanya di situ.

"Aira..." Sekali lagi nama itu disebut. Rasa seperti Aira ada dekat dengannya. Dia rasa hari itu ingatannya hanya pada bekas isterinya sahaja. Dah macam orang gila bayang pun ada padahal sebelum kahwin dulu dia tak rasa sebegitu pun. Seolah-olah baru pertama kali jatuh cinta. Walaupun ketika sudah memiliki Aira, rindunya pada isteri bila berjauhan pun tak sehebat rindunya ketika itu. Betul kata orang, apabila sudah tak ada baru nak hargai.

Hari sudah makin meninggi. Andika tersedar dia sudah lama berada di situ.

"Astaghfirullah... Sibuk sangat dengan hal dunia. Aku dah lewat ke masjid ni."

Cepat-cepat Andika menghidupkan enjin ATV dan menunggang kenderaan itu menuju ke rumah tok ayah yang sudah tidak jauh dari situ. Sebelum beredar dia sempat membaca mesej telefon yang memberitahu lembu yang terlepas sudah ditangkap semula.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro