Bab 2
"Adik nak bertolak sekarang atau nak sarapan dulu? Baru pukul 8.00 pagi ni."
"Tak apalah, kak. Kita bertolak sekarang aja. Saya dah sarapan."
"Okeylah kalau macam tu."
Aira sekadar senyum tawar lalu terus masuk ke dalam teksi.
Dia tak sangka pula pemandu teksi yang disewanya seorang perempuan. Bagus juga. Tak adalah dia rasa tak selesa sepanjang perjalanan pulang ke kampung. Rasa lebih selamat kalau dia tertidur kerana perjalanan itu memakan masa hampir tiga jam.
Sebenarnya sejak semalam dia sudah tiba di Kuala Lumpur. Entah kenapa sebaik menjejak kaki di lapangan terbang, rasa berdebar makin menjadi-jadi. Dia hilang keyakinan diri lantas mengambil keputusan untuk menginap di hotel sahaja.
Malam tadi pun dia masih tak dapat tidur lena walaupun dia sudah menelefon syarikat perkhidmatan teksi dan membuat tempahan untuk perjalanan keesokan hari.
Sekarang, dia sudah berada di dalam teksi pun dadanya masih kuat berdetak dan Aira lihat jemarinya menggigil.
Sungguh dia gementar untuk menjejakkan kaki di kampung yang sudah tiga tahun ditinggalkan tanpa khabar berita.
"Adik okey ke?"
"Huh? Okey. Saya okey, kak."
Aira senyum dan tertawa kecil.
Agaknya kakak yang sedang memandu itu perasan tingkah lakunya melalui cermin pandang belakang.
"Kalau nak ke tandas ke apa, beritahulah. Akak boleh berhenti. Kita pun jauh lagi perjalanan ni." Wanita berpakaian seragam putih dan bertudung rona yang sama itu agak peramah.
Senyuman tak lekang dari bibirnya. Wajah yang tanpa solekan itu nampak seperti kepenatan. Mungkin kurang tidur kerana penat bekerja.
"Datang KL ni kursus ke?" tanya wanita itu lagi.
Masih tak berputus asa untuk memancing si cantik yang menyewa teksinya itu. Orangnya berkulit putih melepak dan pipinya kemerah-merahan entah kerana memang pemalu atau semula jadi begitu.
"Tak... Saya baru sampai dari Indonesia, kak."
"Oh... Baru balik bercutilah ni," teka wanita itu.
"Tak..." Aira geleng.
Terkebil-kebil matanya yang berbulu lentik semula jadi itu memandang ke arah cermin pandang belakang. Pemandu itu ketawa sambil memandang juga cermin yang sama. Begitulah cara komunikasi mereka.
"Bukan juga. Habis tu, kamu buat apa di sana?"
"Saya kerja di sana, kak."
Aira mula selesa nak berbual. Wanita itu tetap tekun memandu dan berhati-hati walaupun mereka saling berbual.
"Kerja kat sana? Eh, orang sana berebut datang kerja kat sini, adik pula kerja kat sana? Kerja apa?" Soalan itu bernada hairan.
"Errr... Saya buat banyak kerja. Saya guru di panti asuhan. Maksud saya, cikgu di rumah anak yatim. Hari minggu saya jadi pemandu pelancong sebab tempat saya tinggal tu antara wisata tumpuan pelancong. Biasanya saya guide pelancong dari Malaysia."
"Oh..." Wanita itu angguk tanda faham.
"Indonesia di belah mana?"
"Cibubur."
"Dah berapa lama kerja kat sana?"
"Kurang lebih tiga tahun, kak."
"Lama juga... Tapi bercakap masih loghat Malaysia, ya? Tak ada bunyi telor seberang pun. Tu pasal akak ingat adik ni kursus aja di KL ni."
Sempat lagi wanita itu berseloroh.
"Isy... Saya kerja aje kat sana kak, bukan jadi orang sana. Saya boleh aje bercakap bahasa Indonesia tapi kalau saya cakap macam tu dengan akak nanti, akak ingat saya bibik yang baru datang dari sana pula."
Wanita itu ketawa besar mendengar jawapan Aira.
Perbualan mereka mati di situ apabila Aira sudah mula membelek telefon. Mungkin tidak mahu mengganggunya, wanita itu sudah tidak lagi bertanya apa-apa.
Suasana perjalanan mereka sunyi sehinggalah pemandu itu membuka radio. Aira terus hanyut di dalam dunianya. Walaupun matanya memandang skrin telefon tapi fikiran melayang jauh.
Dia sedang melayari laman sosial Instagram milik abangnya, Reyhan. Kerana gambar cincin yang dimuat naik di Instagram itulah menyebabkan dia nekad balik ke Malaysia. Abang kesayangannya akan bernikah, takkanlah dia tak balik?
Memang dia merajuk dan rasa jauh hati dengan keluarganya tapi bak kata pepatah air dicencang takkan putus apatah lagi Reyhan sangat memahami kesedihan yang dia tanggung dalam mengharungi perceraian dengan lelaki yang paling dia menyampah dalam dunia!
Siapa lagi kalau bukan bekas suaminya, Andika Iman? Sebut namanya saja dah buat darahnya mendidih inikan pula nak menghadap muka itu untuk jangka masa yang agak lama sebelum dia kembali semula ke Cibubur.
Aira takkan lupa bagaimana marahnya mak dan abah kepadanya kerana tetap berkeras mahu bercerai. Dia akui, menantu seperti Andika adalah idaman para mentua.
Dia kaya, baik hati dan ambil berat perihal orang tua, kacak bergaya dan baik budi bahasa. Pendek kata memang serba-serbi sempurna.
Samalah seperti dia yang sejak kecil memandang tinggi lelaki itu. Kalau dia ingatkan betapa obsessnya dia dengan seorang Andika, rasa macam nak hempuk kepala sendiri.
Dialah perempuan paling buta kayu dalam dunia kerana lelaki itu hanya sempurna luaran sahaja tapi dalaman? Perangai macam hantu! Dah la gatal miang, curang, tamak haloba, penipu dan paling tak boleh blah egonya tinggi tak payah ceritalah...
Level langit ketujuh!
Apabila dia memberitahu hasratnya untuk berpisah dengan Andika, mak dan abah memberinya kata dua. Jika bercerai juga, dia bukan lagi ahli keluarga itu. Mak dan abah rasa malu nak hadap muka saudara-mara. Bagaimana seorang isteri sanggup meminta cerai daripada suami sebaik Andika?
Ya. Andika memang baik dengan semua ahli keluarganya. Mereka sepupu, sudah tentu Andika menjaga maruahnya di depan sanak saudara dan sepupu-sepupu. Satu- satunya manusia yang tak disayangi oleh lelaki itu hanya dia seorang saja.
Aira rasa matanya mula bergenang.
Memang betul.
Andika sayang semua ahli keluarga mereka kecuali dia. Kalau Andika sayang dan cinta, tentu dia dihargai. Apatah lagi dia telah melahirkan zuriat yang comel untuk lelaki itu.
Sayangnya, dia bertarung dan menggadai nyawa untuk melahirkan Sofia tapi Andika balas dengan cara yang begitu menyakitkan.
Mengenangkan Sofia sudah tiga tahun tiada dalam dakapannya, Aira rasa hendak menjerit pada dunia.
"Puas hati kena cerai? Sekarang, Aira boleh berambus dari rumah ni. Tak boleh bawa Sofia atau apa pun harta dalam rumah ni. Akaun bank pun abang dah bekukan. Now, you have nothing! Hiduplah susah kat luar sana. Tanpa abang, Sofia dan satu keluarga ni."
Aira ketap bibir.
Kecewa mengenangkan perceraian yang terjadi. Itupun disebabkan kebodohan Andika sendiri yang terlepas lafaz taklik. Konon nak buat ugutan tapi makan diri sendiri. Manusia bersikap ego seperti itu memang tak layak diberi peluang kedua.
"Papa... Pia nak ikut."
"Tak boleh, sayang. Papa nak pergi ladang lembu Papa Rey. Hari ni papa ada banyak kerja. Kalau Pia ikut, siapa nak jaga Pia?"
Anak comel itu muncung panjang apabila Andika melarangnya ikut.
"Pia ikut Papa Juna, ya? Dia nak pergi kafe Papa Is. Kat sana Pia boleh makan kek."
"Nak!"
Andika rasa lega apabila anaknya kembali teruja. Risau juga kalau Sofia merajuk. Boleh tahan juga susah nak pujuk. Sama macam mama dia juga!
"Pia sayang papa tak?"
"Sayang."
"Sayang banyak mana?"
"Sayang banyak-banyak."
"Banyak macam mana?"
"Macam ni..." Sofia yang di dalam dukungan Andika memeluk erat leher ayahnya itu lalu pipi si ayah dicium lama.
"Muuuaaah!"
Andika ketawa besar.
Sofia turut ketawa comel.
"Dah puas bersayang-sayang dengan papa? Jom Sofia, ikut papa yang ni pula. Tapi Papa Juna tak mahu dukung Pia. Berat! Jalan aje..."
Sofia turun dari dukungan Andika. Terus saja Arjuna memegang tangan kiri Sofia.
"Kunci kereta?"
"Eh, kunci kereta kau manalah aku tahu."
Andika jawab acuh tak acuh. Dia mengambil kasut butnya di dalam almari di tepi pintu.
"Aku nak pinjam kereta kaulah. Audi TT kau tu daripada berkarat kat garaj tu baik kasi aku bawa."
"Ewah... Banyak cantik muka kau. Aku baru beli nak berkarat apanya?"
"Bagi ajelah. Aku malas jaga Pia kang. Kak Yam busy hari ni," ugut Arjuna sambil senyum jahat.
Mahu tak mahu Andika terpaksa juga memberikan kunci kereta Audi TT Scuba Blue edisi 2018 kesayangannya kepada Arjuna.
"Jaga elok-elok."
"Anak kau ke kereta?"
"Dua-dualah! Jangan tau nak bergaya aje. Nampak awek cantik lupa anak aku, siap!"
Andika bukan tak tahu perangai adiknya itu. Tahu nak bergaya aje tapi bila ajak bekerja macam-macamlah alasannya.
"Taulah... Anak saudara kesayangan aku ni... Kan, Pia? Sayang Papa Juna tak?"
Arjuna sengaja meniru gaya Andika.
"Sudah! Jangan nak melebih pula. Kunci pintu," arah Andika sebaik saja dia keluar meninggalkan Arjuna dan Sofia di belakangnya.
Andika nampak beberapa orang kampung sedang berbual dengan bapa saudara yang juga bekas bapa mentuanya.
"Andika! Nak ke mana?" laung salah seorang daripada mereka.
"Ladang Reyhan!" jawab Andika.
Dia sempat angkat tangan sebagai tanda hormat kepada lelaki itu. Dia dah tak sempat nak pergi ke sana dan berbual panjang. Tanpa berlengah Andika masuk ke dalam pacuan empat roda jenis Ford Ranger Raptor.
"Bye, papa!"
Sofia yang berpimpin tangan dengan Arjuna melambai kepadanya.
"Bye, sayang..."
Selepas menghidupkan enjin, Andika memandu kenderaan itu keluar dari kawasan rumah. Beberapa minit kemudian, diikuti Arjuna yang memandu Audi TT.
Lima belas minit kemudian, Andika sampai di ladang Reyhan. Sebaik saja dia keluar dari kereta, dia nampak Reyhan sedang berbual dengan beberapa orang pekerjanya. Wajah sepupunya itu nampak tegang.
"Reyhan," panggilnya. Reyhan sekadar angkat tangan tetapi tidak menyambut kedatangannya. Andika sedikit sebal. Begitulah sikap Reyhan semenjak dia bercerai dengan Aira. Cakap dia Reyhan tak mahu dengar bahkan agak kerap juga mereka berdua bertegang urat.
"Dah jumpa lembu kau?"
"Belum... Ini aku nak ajak Abang Mat pergi cari kat kaki bukit sana."
"Eh.. Tak payahlah kau pergi sana. Biar Abang Mat dengan pekerja lain aja yang pergi. Kalau masih tak cukup orang, aku suruh pekerja ladang sawit aku ikut sekali."
"Tak payah. Ini urusan aku. Biar aku yang buat."
"Rey... Aku bukannya nak memandai tapi kau tu darah manis. Dah tak lama nak menikah. Kaki bukit sana tu dekat dengan kawasan hutan. Kalau jadi apa-apa kat kau, macam mana?"
"Kau ni melebih sangatlah, Andi. Aku ni membesar kat kawasan ni. Tak ada ceruk di kaki bukit dan kawasan hutan tu yang aku tak pernah redah. Lagipun kawasan ladang ni berpagar, aku tak rasa lembu tu terlepas jauh." Reyhan tidak mempedulikan larangan itu.
"Tapi betul apa yang Andi cakap tu, Rey. Kau tak payah pergilah. Biar Abang Mat yang cari dengan budak- budak kita. Kau tinggal di sini saja dengan Andi. Tak pun kau ikut Andi tebang pokok kabung."
Abang Mat yang tadi hanya mendengar, menyampuk. Reyhan masih tidak berpuas hati. Baru dia nak bercakap, Andika sudah memotong.
"Sepatutnya kau tak payah buat kerja apapun. Eloknya kau balik aja. Abang Mat cari lembu kau dan aku uruskan pasal umbut kabung tu. Bakal pengantin, elok duduk saja di rumah. Baju pengantin kau dah try belum?"
"Belum..."
"Belum? Tengok, Abang Mat... Orang nak kahwin sibuk dengan persiapan. Dia boleh buat relaks aja."
"Kau balik ajalah, Rey. Biar kami yang uruskan semua hal ni."
Reyhan masih cuba nak menjawab tapi kali ni telefon pintarnya berdering. Reyhan beredar dari situ sambil menjawab telefon. Andika dan Abang Mat saling berpandangan dan tersenyum.
"Bakal isteri call la tu," kata Abang Mat.
Andika ketawa saja.
"Macam ni la, bang. Cari lembu tu sampai ke kaki bukit. Saya pun rasa lembu tu takkan sampai ke dalam hutan sebab kawasan ladang ni berpagar. Kalau sampai pukul 12.00 tengah hari tak jumpa juga, Abang Mat baliklah. Hari ni hari Jumaat, kalau sibuk sangat mencari nanti terlepas solat Jumaat pula."
"Yalah. Tapi, Reyhan macam mana?"
"Abang Mat tinggal aja dia..."
Abang Mat tak berani pula nak pergi tanpa arahan Reyhan. Namun begitu, dia juga tak berani membantah arahan Andika. Serba salah jadinya.
Selesai berbicara di talian, Reyhan kembali semula.
"Okeylah... Aku tak jadi pergi," bicaranya tenang. Kali ini ada senyuman di bibir.
"Hai... Tadi beria nak pergi..."
"Aisy tak bagi, Abang Mat..."
"Hmmm... Tadi aku dengan Abang Mat larang bukan main kau tarik muka."
"Belum kahwin dah takut bini kamu ni, Rey," usik Abang Mat pula.
"Bukan takut, Abang Mat. Ini namanya meraikan nasihat orang tersayang," dalih Reyhan.
Andika senyum sinis. Meraikan nasihat orang tersayang? Mana Reyhan dapat ayat macam tu? Aku juga yang tak ada orang tersayang. Kalau ada pun, entah di mana orangnya.
Kalaulah Aira balik pada hari perkahwinan Reyhan, terubat juga rindu dalam hati.
Sayangnya, usah katakan dia, Reyhan pun sudah tentu tidak tahu di mana Aira berada untuk maklumkan tentang hari bahagia abangnya itu.
"Termenung apa lagi tu, Andi?"
"Huh?" Andika tersentap apabila bahunya ditepuk. Telinganya menangkap bunyi enjin kereta. Barulah dia sedar Reyhan sudah pun bersedia untuk beredar dari ladang itu.
"Reyhan nak ke mana?"
"Balik ke rumahlah. Kau juga yang suruh dia balik."
"Abang Mat nak ke mana pula?
"Allahu... Nak cari lembulah. Dah lewat ni, yang kamu tu cepat ke baruh. Anak-anak buah kamu dah menunggu di sana. Reyhan yang nak menikah, kamu pula yang mengelamun." Abang Mat geleng kepala.
Andika garu kepala yang tak gatal. Dia pun tak tahu kenapa, asyik teringatkan Aira saja.
Tanpa berlengah, Andika ke garaj yang tidak jauh dari kandang lembu. Dia naik ke atas sebuah ATV dan menghidupkan enjinnya. Dia memandu kenderaan itu merentas padang ragut yang menghijau menuju ke arah tapak bekas sawah padi berhampiran kaki bukit.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro