Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

Aira memakai sarung tangan getah yang diambil dari kotak first aid. Kemudian dia mengambil sedikit kapas. Sofia dan Andika hanya jadi pemerhati setiap perbuatannya. Aira memegang tangan Andika lalu dia membersihkan darah yang masih mengalir di tapak tangan.

"Auch!"

Andika sengaja menjerit dan buat muka sakit.

Aira mengerlingnya tanda tak puas hati. Sofia menepuk-nepuk lengan Andika.

"Papa... Tahan sikit tau," pujuk Sofia.

"Sakit, Pia..." Andika masih berpura-pura. Siap berkerut-kerut mukanya. Geram pula Aira dibuatnya lalu dengan sengaja ditekan tempat luka yang agak panjang dan dalam itu. Kali ini Andika terjerit kerana betul-betul sakit.

"Auntie... Perlahan sikit. Kasihan papa Pia sakit."

"Haah... Janganlah kasar sangat. Sakit." Andika menyandarkan kepalanya di bahu Sofia. Anak itu mengusap pipi ayahnya.

Aira mengecilkan matanya. Bukan main drama lagi dia.

"Kesian papa, auntie. Kalau mama Pia ada mesti mama yang tolong papa. Tapi Pia tak ada mama," omel Sofia dengan muka sedih.

"La... Sofia nak mama ke? Nanti papa carikan mama baru untuk Sofia." Andika tersengih. Tapi tak lama kerana sekali lagi Aira menekan luka di tapak tangannya.

"Aduh..."

Wajah Aira mencuka.

Mama baru, ya? Masa ni juga nak buat perangai miang dia tu!

"Pia nak mama baru. Nak yang macam auntie," jawab Sofia.

"Kenapa ni?"

Tiba-tiba Maryam keluar dari kabin. Dia segera menyarung selipar dan mendekati Aira yang sudah pun membalut luka Andika selepas disapu iodin.

Iskandar dan Arjuna tepuk dahi melihat kemunculan Kak Yam.

"Aduh... Kak Yam pula dah kacau daun." Arjuna yang sedang mengipas bara menggeleng kepala.

"Kak Yam!" teriak Deniz.

Maryam yang baru nak bercakap sesuatu kepada Aira berpaling.

"Apa dia?"

"Sinilah... Tolong kita orang bakar ayam ni."

"Kejaplah... Aku menengokkan Andika ni hah. Dah kenapa?" balas Maryam.

"Papa luka, umi..." beritahu Sofia.

"Oh... Teruk ke?"

"Tak pun, Kak Yam. Tapi orang tu saja yang melebih-lebih sakitnya," jawab Aira.

Andika tayang senyuman nakal. Berdebar jugalah hati Aira melihat senyuman itu. Dia menarik nafas lalu berpura-pura sibuk mengemas semula ubat-ubatan dan alatan yang digunakan ke dalam kotak.

"Oh... Ingatkan apalah tadi yang dikecohkan sangat." Maryam tersenyum-senyum melihat Aira yang masih prihatin terhadap Andika.

Bunyi enjin kereta mematikan perbualan mereka. Kelihatan dari jauh Audi Q5 diparkir bersebelahan kenderaan milik Andika.

"Dah sampai pun Reyhan dengan Aisy..." Maryam menggamit Reyhan dan Aisyah yang baru tiba. Cepat-cepat Andika bangun dan mendukung Sofia.

"Jom salin baju, Pia.."

Andika tak mahu Reyhan nampak dia sedekat itu dengan Aira. Dia tak tahu kenapa, dia rasa malu dan segan jika Reyhan tahu dia cuba menarik perhatian Aira walaupun secara spontan dan tidak dirancang.

"Kenapa tangan tu, Andi?" tanya Reyhan pula sebaik sampai di situ. Dia berpegangan tangan dengan Aisyah.

"Tangan papa luka..." Laju saja Sofia jawab.

"Tapi Auntie Aira dah tolong sapu ubat," sambung Sofia lagi. Muka Aira sudah memerah kerana malu apabila Reyhan dan Aisyah mula tersenyum memandangnya.

"Oh... Auntie Aira dah sapu ubat. Mujur ada Auntie Aira, kan abang?" Aisyah kenyit mata kepada Reyhan.

"Papa Rey... Papa Pia cakap dia nak carikan Pia mama baru, yang macam Auntie Aira." Mulut Sofia masih tak berhenti.

"Eh... Mana ada papa cakap macam tu, Pia. Dahlah, jom salin baju." Andika segera beredar.

Reyhan sudah ketawa.

"Kalau betul apa salahnya?"

"Aira nak simpan kotak ni kat dalam." Aira segera melarikan diri.

Nak berbalik kepada Andika dia perlu fikir seribu kali sebelum setuju!

Petang itu hujan lebat turun mencurah-curah dari langit. Aira sedang berbaring di atas katil sambil memeluk Sofia yang tidur lena. Di katil sebelah, Kak Yam dan Deniz juga tertidur walau pada awalnya mereka berbaring sekadar untuk melepaskan penat sahaja.

Dalam suasana hujan dan suhu sejuk begitu sesiapapun boleh terlena. Hanya Aira saja yang mengelamun jauh sambil tangannya mengusap rambut Sofia. Anak itu pastinya penat bermain.

Aira rasa lega kerana Andika tidak kesah Sofia menginap bersamanya di kabin itu. Sekian lama dia tidak menidurkan Sofia, hari itu dia berpeluang mengembalikan memori indahnya menidurkan Sofia ketika masih bayi.

Sesekali tangan Aira menepuk-nepuk lengan Sofia yang sedang tidur.

"Sayang anak mama," bisiknya di telinga Sofia.

Pipi tembam Sofia dicium lama. Ada air hangat mengalir membasahi pipi Aira. Sungguh dia sangat rindukan Sofia.

Aira teringatkan keinginan Sofia mempunyai seorang mama. Memikirkan Andika mahu mencari mama baru untuk Sofia, hatinya rasa seperti terbakar. Dia tak nafikan ada rasa cemburu dan tidak pernah membayangkan ada perempuan lain yang akan mengambil tempatnya dalam hati Sofia.

Persoalannya, adakah dia masih mencintai Andika? Dia bercerai kerana dia kecewa dengan perbuatan lelaki itu. Kecewa tidak bermakna cintanya hilang. Bahkan melihat Andika cedera kecil pun buat dia rasa panik.

Bagaimana kalau dia berbaik sahaja dengan Andika sebagai seorang kawan? Lagipun mereka sepupu. Ibarat kata pepatah, air dicencang takkan putus. Walaupun bercerai, mereka berdua tetap ada hubungan saudara. Apabila Sofia sudah besar nanti dia akan ceritakan kepada anaknya itu tentang siapa dirinya yang sebenar.

Kalau dia berterus terang sekarang, dia tidak pasti Sofia akan faham atau tidak dengan situasinya. Dia bimbang jika Sofia tahu pada usia sebegitu, Sofia mahukan perhatiannya setiap masa.

Bagaimana pula kalau Sofia mahu dia berbalik kepada Andika? Sanggupkah dia berkorban demi Sofia? Sedangkan dia masih tak boleh lupa perbuatan Andika kepadanya.

Bukan dia tak pernah beri peluang kedua tetapi Andika tak pernah berubah. Dia teringat akan pergaduhan besarnya dengan Andika. Itu kali pertama mereka bertengkar sehingga tidak bertegur sapa agak lama. Aira masih ingat ketika itu Sofia berusia setahun lebih.

"Abang!"

Pintu yang terkuak tiba-tiba mengejutkan Andika yang sedang menyemak beberapa laporan akaun di meja kerjanya.

Dia pandang raut wajah isterinya yang serius. Hatinya dapat rasakan ada yang tidak kena. Sepanjang menikahi Aira, isterinya bukanlah seorang yang pemarah. Wajahnya sentiasa manis dan tersenyum. Tutur katanya juga lembut dan manja. Tidak pernah sekali pun Aira meninggikan suara walaupun dalam keadaan mereka tidak sekata dalam beberapa perkara.

"Awal balik, sayang? Kata nak bawa Pia jalan-jalan." Andika tetap tenang. Dia tersandar pada kerusi. Matanya masih menatap wajah Aira yang tiada segaris senyuman pun.

Aira mendekat sambil memeluk tubuh.

"Kenapa abang ubah suai rumah tok ayah tak beritahu Aira?" Soalan itu pula yang diaju kepadanya.

Andika mengetuk-ngetuk pen di tangan pada muka meja. Dia menarik nafas perlahan.

"Oh... Abang memang nak beritahu tapi sebab sibuk sangat bekerja, abang terlupa," jawab Andika.

"Lupa? Masalahnya, abang tak boleh buat macam tu! Itu kan rumah tok ayah hadiahkan pada Aira. Mana boleh abang nak ubah tanpa minta izin dulu. Itu rumah Aira!" Aira meninggikan sedikit suaranya sehingga kedengaran begitu lantang.

"Abang ubah suai sebahagian saja pun. Nak jadikan ofis. Lagipun, kita jarang tidur kat rumah tu. Takkan nak biarkan jadi rumah hantu?" balas Andika tetapi dengan suara yang masih tenang.

"Kenapa ada banyak lori yang masuk ke kawasan dekat kaki bukit sana? Aira tanya Abang Rey tapi dia cakap semua tu untuk projek bina kem site. Masa bila Aira luluskan cadangan abang untuk teruskan projek tu?"

Aira semakin mendesak. Kalau bukan kerana kebetulan dia terlintas untuk singgah menjenguk rumah tinggalan arwah tok ayah, tentu dia tak akan tahu apa yang sedang berlaku.

Dia terlalu sibuk menguruskan rumah tangga sehingga dia terlupa untuk bersosial. Jarang keluar dari rumah dan banyak menghabiskan masa menguruskan suami dan anaknya. Manalah dia tahu rupa-rupanya dalam diam Andika buat sesuatu tanpa pengetahuannya.

Tanah itu miliknya, walaupun Andika suami, bukan hak Andika untuk buat sesuka hati tanpa berbincang terlebih dahulu.

"Memang betul, lori-lori tu hantar bahan-bahan untuk binaan kem site dekat Lata Pelangi. Abang yang buat pesanan. Abang pun dah ada design kabin yang Arjuna dah siapkan." Andika berterus terang.

"Abang tak patut buat Aira macam ni..." Terpamer raut kecewa Aira. Dia langsung tak sedar selama ini, dalam diam, Andika merancang semua itu di luar pengetahuannya.

"Kan abang dah cakap. Abang buat semua ni untuk masa depan kita juga. Sayang tak perlulah nak overreact."

"Aira tak kira... Aira nak abang batalkan projek kem site tu dan hentikan ubah suai rumah tinggalan tok ayah." Aira memberi kata putus.

Andika bangun dari kerusi.

"Kalau abang tak nak? Sayang nak buat apa?" Andika langsung tidak menunjukkan rasa bersalah.

"Kalau abang degil. Aira akan buat laporan polis atas tuduhan menceroboh harta persendirian."

Jawapan itu buat Andika ketawa. Aira kerut dahi. Dia serius tetapi Andika boleh ketawakannya. Suaminya itu mengambil sebuah fail dari dalam laci lalu diserahkan kepada Aira.

"Apa ni?" tanya Aira.

Andika tidak menjawab sebaliknya lelaki itu memeluknya dari belakang.

"Bukalah..." bisik Andika di telinga Aira. Dia menyandarkan dagu di bahu isterinya. Tanpa berlengah Aira membuka fail.

"Geran?"

"Tengok nama kat geran tanah tu."

"Andika Iman bin Ehsan..." Aira membaca nama pemilik geran tanah.

Tapi inikan tanah aku?

"Apa semua ni, abang?" Aira meleraikan pelukan Andika. Dia berpaling dan menolak dada lelaki itu agak kuat hingga Andika terdorong ke belakang.

"Sayang... Tak baik tau berkasar dengan suami macam ni." Andika senyum jahat.

Aira rasa tangannya sudah menggigil kerana terlalu marah.

"Tergamak abang tukar hak milik tanah ni tanpa pengetahuan Aira..."

"Habis tu, kalau buat dengan pengetahuan, Aira setuju ke?"

"Kenapa abang tergamak buat macam ni?! Abang jahat!" Aira cuba memukul dada Andika tetapi suaminya lebih pantas mengunci kedua-dua tangannya.

Andika memeluk erat tubuh kecil Aira yang sudah mula menangis

"Itu aja kenangan tok ayah yang Aira ada... Aira nak berikan tanah tu pada Sofia... Abang jahat! Abang tipu Aira..."

Aira tidak mampu melawan tenaga Andika.

"Sayang jangan susah hati. Abang bukan nak jual tanah tu pun. Sayang kan abang punya, tak ada masalah kalau tanah tu pun abang punya, kan? Lagipun kalau abang mati, tetap sayang dan Sofia jadi waris abang." Andika berbisik di telinga Aira. Dia mengucup pipi Aira yang masih menangis.

"Abang tipu Aira. Perbuatan abang ni salah! Menukar nama hak milik tanpa pengetahuan. Berapa banyak rasuah abang beri pada orang yang terlibat dalam penipuan abang ni?!" Aira menolak muka Andika yang menggomol pipinya.

"Habis tu, sayang nak lapor polis? Nak penjarakan abang? Sayang tak kasihankan anak kita membesar tanpa papa dia sebab mama dah penjarakan papa dia?" Andika sengaja bermain psikologi dengan Aira. Ternyata dia berjaya kerana Aira terdiam.

"Aira tak kenal abang ni siapa sekarang ni. Aira tak sangka abang macam ni."

Dia menggeleng kepala dengan raut wajah kecewa. Suara tangisan Sofia di bilik tidur kedengaran. Anak itu mungkin terjaga kerana mendengar pertengkaran itu.

"Abang selamat sebab Sofia aja." Fail di tangan dicampak ke arah Andika. Aira meninggalkan Andika dengan satu pandangan tajam dan rasa marah yang membuak.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro