Bab 12
Setelah pemanduan mendaki kawasan berbukit yang jalannya berturap, Andi memberhentikan kenderaan di satu kawasan lapang yang dikelilingi pokok-pokok balak yang tinggi.
"Dah sampai," beritahu Andika.
Dia keluar dari kenderaan kemudian membuka pintu belakang. Dia mendukung Sofia dan mengambil beg galas.
Andika perasankan Aira yang terpegun melihat kawasan itu sebaik keluar dari kenderaan.
Deruan air terjun kedengaran begitu jelas. Aira tahu tempat itu tetapi perubahan kawasan sekeliling membuatkan dia terpaku seketika.
Air terjun itu adalah air yang jatuh dari bukit. Tidak begitu tinggi tetapi cukup deras hingga air yang turun mengalir menjadi lata atau juga dipanggil jeram.
Air itu mengalir hingga ke kaki bukit menjadi tali air sehingga ke ladang ternak Reyhan yang letaknya lebih dua kilometer dari situ.
"Cantiknya tempat ni. Abang Rey yang buat tempat ni ke?" tanya Deniz. Dia menggalas beg berisi pakaiannya lalu mengekori Andika. Dari jauh dia nampak Iskandar dan Maryam sedang duduk di sebuah pondok berhampiran lata.
Soalan Deniz tidak berjawab.
Aira masih memerhatikan kawasan sekeliling. Ada beberapa buah kabin dibina dalam jarak beberapa langkah dari lata.
Kabin itu agak besar saiznya. Dibina daripada kayu dan rekaannya tampak kontemporari dengan kayu yang dicat dengan warna coklat.
Aira yakin tempat itu dibina sejak dia meninggalkan kampung.
Seingatnya kali terakhir dia mendaki hingga ke puncak bukit, kawasan itu hanya tanah lereng bukit yang tidak ada sebarang binaan pun. Biasanya mereka akan memasang khemah saja jika bermalam di situ.
Kawasan bukit itu nampaknya telah ditarah menjadi lapang cukup untuk membina kabin-kabin dan beberapa keperluan asas lain.
"Kak Aira! Tercegat apa lagi tu? Marilah sini!" panggil Deniz apabila sedar Aira tiada di belakangnya.
Entah apalah yang difikirkan wanita itu. Dah macam rusa masuk kampung. Padahal ni kampung dia kut.
Setelah dipanggil barulah Aira mengatur langkah.
Banyak persoalan yang bermain dalam fikirannya tentang kawasan itu. Entah kepada siapa dia hendak bertanya. Kepada Andika jauh sekali. Mungkin dia boleh tanya kepada Reyhan.
"Eh... Dah hidang ke? Cepatnya!"
Deniz melihat di atas meja kayu sudah terhidang bekalan yang dibawa.
"Habis tu nak tunggu kau? Memang taklah. Lembab."
"Iskandar... Apa cakap macam tu kat Deniz? Tak habis-habis kamu nak marahkan dia."
"Tau tak apa, Kak Yam. Orang datang sini nak relaks. Tapi dengar awak berleter makin stres saya tau. Eloknya tinggal aja dia ni kat rumah tadi, Kak Yam."
"Amboi, sedapnya kau cakap. Nak tinggal aku erk? Dah la kau tak tolong aku memasak, lagi kau nak suruh aku tinggal."
Deniz tayang muka selamba. Dia duduk di sebelah Maryam.
"Elok juga kau tak tolong aku memasak. Kalau kau ada masuk dapur, kau mesti nak menyibuk dengan hidangan Turki kau yang entah apa-apa tu."
"Eee... Tak habis lagi ke?" marah Maryam.
"Dia ni memang racist, Kak Yam. Asyik nak menghina makanan bangsa lain."
"Mana ada racist."
Iskandar membela diri.
"Arjuna mana, Is?" tanya Andika tiba-tiba.
Perbalahan kecil antara Deniz dan Iskandar terhenti.
"Dia pergi belakang sana. Hidupkan enjin generator."
Andika menurunkan Sofia. Dia mengarahkan anaknya duduk. Dia juga mengeluarkan bekalan Sofia yang dibawanya dari rumah.
Seketika tumpuannya terganggu dengan haruman Dior. Dia tahu Aira ada di sebelahnya.
Aira duduk di sebelah Sofia. Dia diam tak berkata apa-apa. Dia sendiri tak sangka dia akan dibawa bercuti ke tempat itu. Dia teruja sebenarnya apatah lagi itu tempat kesukaannya.
Dia tak sabar untuk mendaki ke puncak dan melihat awan karpet. Jika bernasib baik, pelangi akan muncul pada waktu petang. Itupun jika hujan turun.
"Kita makan dulu, Aira. Lepas Juna hidupkan elektrik bolehlah kita masuk ke dalam kabin," ajak Maryam.
"Kunci ada bawa tak, Andi?" tanya Iskandar pula.
"Ada..."
"Papa... Pia lapar." Sofia merengek.
"Tahu... Nah, ini kegemaran anak papa."
Andika membuka bekal berisi lempeng dan sambal sardin lalu diletakkan di hadapan Sofia.
"Budak Pia ni tak ada benda lain nak sarapan. Papa Is masak macam-macam ni, lempeng sardin papa dia juga yang dia nak."
Maryam ketawa melihat gelagat Sofia.
"Lempeng sardin? Nak rasa?" Deniz mahu mencubit sedikit lempeng itu tetapi cepat-cepat Sofia tarik bekalnya.
"Jangan! Ni Pia punya!"
"Alah... Nak sikit aja. Bolehlah," rayu Deniz.
"Dia memang takkan kongsi dengan orang lain, Deniz. Itulah penangan mamanya dulu mengandungkan dia mengidamkan lempeng sardin. Puas jugalah Andika ni berguru dengan Kak Yam," cerita Maryam sambil matanya berpandangan dengan Aira.
"Mana ada saya mengidamkan lempeng sardin, Kak Yam," pantas pula Aira menafikan tanpa sedar.
Malu diingatkan zaman hamil dulu apatah lagi di depan bekas suami.
"Mama Pialah, auntie..."
Sofia ketawa.
"Oh... Mama Pia, ya?"
Aira tersipu-sipu.
Memang mama ni mama kamu, Pia oi... Nyaris kantoi dengan budak Pia ni.
Aira lihat Andika seperti menahan tawa.
"Papa cakap dulu masa Pia dalam perut mama, Pia kat dalam tu nak makan ni. Sedap, auntie... Nak rasa?"
Sofia dengan senang hati mempelawa Aira.
Mahu tak mahu terpaksalah Aira merasa lempeng hasil air tangan Andika.
Memang betul pun apa yang diceritakan Kak Yam tadi cuma dia yang rasa malu bila diingatkan semula.
"Sedap kan, auntie?"
"Sedap..." jawab Aira.
Tak sedar dia cubit lempeng itu untuk kali kedua.
Andika memerhati dengan rasa gembira. Begitulah reaksi Aira dulu pada pertama kali dia buatkan lempeng sambal sardin beberapa hari sebelum Aira bersalin.
"Oh... Dengan Auntie Aira dia boleh pula share..."
"Memanglah. Auntie Aira kawan baik Pia."
"Habis tu, Auntie Dee ni bukan kawan baik Pia?
"Kawan baik sikit-sikit aja."
Jawapan Sofia itu membuatkan mereka tergelak.
"Cantiknya dekorasi kabin ni. Siapa yang design kabin ni, Kak Yam?"
Deniz bertanya sambil kakinya meneroka setiap sudut di dalam kabin.
Ada ruang tamu kecil yang lengkap dengan perabot ringkas berserta televisyen. Di satu sudut terletak dua buah katil bersaiz Queen. Ada juga kabinet bersaiz tiga kaki lengkap dengan singki. Kabin itu boleh memuatkan seramai empat orang dalam satu masa.
"Siapa lagi kalau bukan Arjuna."
"Arjuna?"
Deniz agak terkejut.
"Kamu mesti tak tahu, kan? Arjuna tu ada ijazah dalam bidang seni bina."
"Serius? Tapi kenapa dia tak kerja jadi arkitek ke?"
"Dia tak berminat. Memang dari kecil Arjuna tu suka perhatian daripada orang ramai. Agaknya sebab itu dia suka benar jadi model. Lagipun, dia tu suka benda yang cantik. Hasil rekaannya pun cantiklah."
Deniz mula berasa kagum apabila mendengar cerita Maryam. Tak sangka pula dia lelaki berkulit putih melepak itu ada bakat lain selain daripada jual mukanya yang kacak.
"Kita bertiga bermalam di kabin ni ajalah. Kamu berdua pergilah mandi air terjun ke apa. Kak Yam nak cuci mangkuk tingkat ni dulu. Sekejap lagi nak tolong Iskandar bakar ayam pula."
Maryam lincah mencuci perkakasan di singki.
Sedari tadi dia perhatikan Aira senyap saja. Hanya dia dan Deniz yang banyak berbual. Adik sepupunya itu berdiri di tepi tingkap. Mungkin sedang menghayati permandangan di luar sana.
"Deniz!"
"Itu macam suara Iskandar panggil kamu," beritahu Maryam. Entah apa lagi yang tidak kena.
"Geram betul saya dengan Iskandar tu, Kak Yam. Tak boleh orang nak rehat langsung."
"Pergi ajalah keluar. Adalah halnya tu. Satu hal Kak Yam nak tegur. Tak elok kamu panggil Iskandar saja. Dia tu jauh lebih tua dari kamu, Deniz."
"Habis tu nak panggil apa? Bosku? Memang taklah."
"Bukan itu. Apalah salahnya panggil Abang Is. Kan lebih sopan."
"Tak naklah. Dia abang Kak Aira. Bukan abang saya nak panggil macam tu."
"Eh, eh... Takkan nak kena jadi adik baru boleh panggil abang? Kalau macam tu, kamu jadilah isteri dia aja."
"Isy, Kak Yam ni... Ke situ pula."
Maryam mengekek ketawa.
Aira yang mendengar perbualan itu turut ketawa kecil. Membulat mata biru gadis itu dengan saranan Kak Yam.
"Deniz!"
Panggilan yang semakin keras itu buat Deniz makin geram. Dia berdiri di sebelah Aira. Pandangan terhala ke luar. Di seberang sana, Iskandar sudah bercekak pinggang memandangnya.
"Nak apa?"
"Tolong aku bakar arang. Kalau tak ada bara macam mana nak bakar ayam?"
Deniz tayang muka bosan.
Aku ke yang kena buat kerja tu?
"Tak naklah! Saya tak suka bau asap. Lagipun, asap tu masuk dalam mata pedih tau," jawab Deniz dengan pelbagai alasan.
"Aira... Tolong abang, boleh? Harapkan perempuan Turki ni apapun tak boleh!"
"Aira tak pandailah, abang."
Aira geleng kepala tanda tak mahu.
"Kau ni, Is... Kerja bakar arang tak sesuai untuk orang perempuan. Asap tu kan pedih. Kalau masuk dalam mata, pedihlah mata dia yang cantik tu. Kau buat sendiri tak boleh ke?"
Arjuna yang sedari tadi hanya memerhati masuk campur. Dia memang tak senang dengan sikap kasar Iskandar kepada Deniz.
"Oh, semua kerja aku kena buat? Habis, kau buat apa?" tanya Iskandar kepada Arjuna yang duduk bersantai di beranda kabin.
"Oh... Kau berkiralah ni. Habis, yang hidupkan generator tadi siapa?"
"Hoi! Kau orang berdua kalau tak bergaduh tak boleh ke? Macam budak-budak!"
Andika yang baru keluar dari kabin menegur. Dia keluar bersama Sofia yang sudah siap memakai pakaian renang. Anak kecil itu turut membawa pelampung kecil bersamanya.
"Tak apa, Deniz. Biar Abang Juna yang bakar arang."
Arjuna turun dari kabin.
"Betul ke, abang? Terima kasih..."
"Betul. Untuk Deniz. Suruh buat apa pun abang buat."
"Haah... Deniz suruh kau terjun lombong pun kau ikut!" Iskandar masih tak puas hati.
Arjuna mencebik.
Kedua-duanya berlalu untuk melaksanakan tugas masing-masing.
"Autie Aira! Jomlah ikut Pia mandi!" Sofia menjerit memanggil Aira. Siap melambai dan melompat-lompat.
"Amboi, ajak Auntie Aira saja ke?"
"Auntie Dee kena tolong Papa Is bakar ayam... Kesian Papa Is buat kerja sorang aja."
"Huh! Dengar tu. Budak kecil pun tahu," sampuk Iskandar.
"Okeylah. Okeylah. Orang nak buatlah ni." Akhirnya Deniz mengalah. Dia keluar dari kabin.
"Auntie Aira, marilah mandi dengan Pia," ajak Sofia lagi.
Aira serba salah jadinya. Dia lihat Andika buat tak tahu saja. Lelaki itu sudah masuk ke dalam air yang mengalir deras.
"Pia mandi dulu, ya? Air tu sejuk sangatlah."
"Alah..." Sofia tarik muka.
"Mari, Pia... Mandi dengan papa sajalah. Auntie Aira tu takut sejuk. Nanti kalau dia masuk dalam air ni, dia jadi beku macam Princess Anna."
"Kalau macam tu papa jadilah prince yang boleh cairkan princess tu. Kiss aja."
Andika ternganga.
Mak aih... Menyesal pula aku begi anak aku tengok Frozen!
"Errr... Tak naklah auntie. Prince tu kan penipu! Dia bukan suka betul pun dengan princess tu. Dia ada niat lain." Spontan pula Aira menjawab.
Berubah air muka Andika.
Sofia mungkin tak faham tapi Andika tahu itu ayat lepas geram.
Deniz yang sedang membantu Iskandar menyediakan ayam perap menyentuh bahu lelaki itu dengan kipas kertas di tangan.
"Awak, dah jadi makin serius ni. Buatlah sesuatu!" bisik Deniz supaya tidak ada orang lain yang dengar.
"Nak buat apa?" Iskandar kerut dahi.
Kebetulan Arjuna yang sudah membakar arang mendengar perbualan itu.
"Tak apa. Biar aku selamatkan keadaan. Aku kan hero."
Tiba-tiba Arjuna menanggalkan kemeja-T yang dipakai. Ternganga Deniz dengan reaksi spontan lelaki itu. Terkebil-kebil matanya memandang badan putih bersih yang kekar dengan six pack itu.
"Woi!" Iskandar turut terkejut.
Arjuna ni tak malu langsung.
"Apa? Aku nak mandi juga."
"Kut ya pun janganlah buka baju!" marah Iskandar.
Makin sebal hatinya apabila Deniz masih memandang Arjuna yang tak berbaju.
"Apa pasal? Kau jealous sebab badan kau tak macam ni?" Arjuna senyum mengejek.
Pantas tangan Iskandar capai tutup bekas makanan dan menutup pandangan Deniz.
"Jangan tengok!"
"Apa ni?" Deniz cekak pinggang.
Iskandar buat tak tahu saja. Deniz memukul tangannya dengan kipas kertas.
"Tak boleh tengok!" larang Iskandar.
Arjuna tak tunggu lama, dia terus mendekati Sofia dan mengangkat anak saudaranya itu lalu masuk ke dalam air.
"Sejuk!" jerit Sofia. Dia segera memeluk Andika.
"Hei, budak kecik! Aku buaya... Aku lapar! Aku dah lama nak makan budak!"
Arjuna berpura-pura menjadi buaya. Terlompat-lompat Sofia ketakutan.
"Papa! Papa! Ada buaya nak makan Pia! Tolong, papa!"
Arjuna sudah menganga mulutnya. Kaki Sofia dipegang dan pura-pura mahu menggigit.
"Hei, buaya! Berani kau nak makan anak aku, ya! Nah kau tendangan padu maut!"
Andika turut melayan permainan Arjuna. Dia berpura-pura pula menendang Arjuna. Dengan aksi gerak perlahan, Arjuna kononnya terpelanting ke belakang.
"Yeay! Papa menang!" Sofia berpelukan dengan Andika.
Arjuna pura-pura mati dengan berbaring di atas batu-batu di tepi lata itu.
"Papa... Buaya tu dah mati ke?" tanya Sofia.
"Entahlah, sayang... Koma kut," jawab Andika sambil ketawa kecil. Dia perasan Aira yang jadi pemerhati turut ketawa.
"Biar papa pergi tengok." Andika segera mendekati Arjuna yang masih berpura-pura mati.
Tiba-Tiba Arjuna membuka mata dan bangun menerpa Andika.
"Huargh!"
Niat Arjuna nak bergurau dengan abangnya. Entah di mana silapnya Andika betul-betul terkejut sampai jatuh terduduk.
"Aduh!" Andika mengerang sakit. Nasib baik jatuh terduduk. Kalau jatuh terbaring dan kepala terhempas ke batu tentu boleh mendatangkan kecederaan teruk.
"Sorry, bro..." Arjuna garu kepala. Dia tak sengaja.
"Papa! Darah!"
"Mana?"
Andika lihat air bertukar warna merah. Dia angkat tangan yang terendam di dalam air. Rupa-rupanya tangan kirinya luka kerana tercucuk batu tajam. Patutlah dia terasa pedih dan sakit.
"Papa, tangan papa darah."
Sofia mula menangis.
"It's okey, sayang. Papa luka sikit aja ni." Andika menenangkan Sofia. Segera dia mendapatkan Sofia yang semakin kuat teriakannya.
Sofia memang tak suka tengok darah apatah lagi jika dia yang tercedera. Anaknya itu akan menangis kerana takut sesuatu berlaku kepadanya.
"Auntie Aira! Tangan papa darah!" Sofia menangis sambil mengadu kepada Aira.
Andika pandang ke arah tingkap. Dia lihat tiada Aira di situ.
"Pia, jangan nangis. Papa tak apa-apalah." Andika memeluk Sofia. Darah makin banyak mengalir dari tangannya. Dia mendukung Sofia supaya mereka keluar dari lata itu. Arjuna turut naik ke atas darat.
"Abang tak apa-apa ke?"
Tiba-tiba Aira muncul di depan Andika bersama kotak first aid di tangannya.
"Okey... Sikit aja luka."
"Sikit apa? Tengok tu. Darah makin banyak. Kena hentikan cepat." Aira kelihatan cemas. Andika pun tak sangka Aira masih ambil berat kepadanya.
"Auntie... Kesian papa Pia luka."
"Pia jangan nangis. Auntie kan ada. Nanti auntie bersihkan darah dan sapu ubat kat luka papa." Kali ini Aira pula memujuk. Sofia berhenti menangis.
"Mari... Saya bersihkan luka tu."
Andika angguk. Dia duduk di atas rumput. Tanpa berbicara apa-apa, Andika memerhatikan saja Aira yang duduk melutut sambil membuka kotak first aid.
Arjuna yang turut memerhati terasa ada sesuatu dibaling ke arahnya. Dia berpaling lalu memandang Iskandar dan Deniz. Kedua-duanya memberi isyarat kepadanya supaya beredar dari situ.
Okey... Jangan kacau daun!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro