Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

"Kak Yam dah masukkan barang dalam kereta?" Arjuna bertanya kepada Maryam yang sedang berbual dengan Deniz di halaman rumah.

"Sudah... Ni tengah tunggu Iskandar, lambat sangat siapkan bekal." Maryam tertoleh-toleh ke rumah Reyhan.

Masih belum nampak batang tubuh Iskandar.

"Abang Rey dengan Aisy join ke tidak ni, Deniz?" Arjuna bertanya pula kepada gadis bertudung ungu dan berkemeja-T lengan panjang di sebelah Maryam.

"Joinlah... Tapi dia orang datang lambat sebab pagi ni Aisy ke ladang lembu abang koboi dia tu," jawab Deniz sambil merenung skrin telefon di tangannya.

"Buat apa?"

"Ambil sampel rumput dengan air sungai. Alah, dia nak siasat pasal lembu Abang Rey yang asyik mati aja. Aisy syak ada virus. Hawar kut."

"Oh... Yang seorang lagi? Tak nampak pun?"

"Kak Aira? Dia tak nak join." Deniz geleng kepala.

Arjuna tepuk dahi.

"Huh? Aduh... Kan Abang Juna suruh Deniz pujuk dia kalau dia tak nak."

"Orang belum habis cerita abang dah potong. Memanglah mula-mula dia tak nak pergi tapi Dee cakap kasihan Pia kalau Auntie Aira dia tak ikut, mesti dia sedih..."

"Maknanya dia jadi pergilah ni?" Arjuna minta kepastian.

"Mestilah jadi. Tengoklah siapa yang pujuk." Deniz tayang muka bangga.

Maryam nampak Iskandar keluar dari rumah bersama bakul berisi makanan. Dia terus mendapatkan Iskandar untuk membantu.

"Oi! Aku panggil kau macam tak ada telinga aja, kan?" Iskandar melenting sebaik saja dia menghampiri Deniz yang masih berbual dengan Arjuna.

"Masa bila awak panggil? Kalau panggil nama oi saja memanglah tak ada yang dengar. Mana ada orang nama oi kat sini."

"Betul tu, Is. Kau apa hal panggil orang oi aja? Dia ada nama tau. Deniz..." sampuk Arjuna.

Awal pagi lagi Iskandar dah naik angin. Spoil mood sajalah!

"Ahhh... Kau, kalau aku panggil Deniz ke Dee ke kau memang saja buat tak dengar pun. Aku panggil nak minta tolong angkat bekas-bekas makanan ni. Dah la aku seorang saja memasak kat dapur. Kau kat sini sibuk berbual dengan mamat K-pop ni. Kau ni kerja dengan aku ke dengan dia?"

"Ya Allah... Panjangnya kau bebel, Is. Kalau aku jadi Deniz pun aku tension dapat bos macam kau ni." Arjuna geleng kepala.

"Tau tak apa." Deniz menjeling Iskandar. Dia bergerak membantu Maryam memasukkan bekas-bekas makanan ke dalam kereta Ford Ranger Raptor.

"Sudah. Dahlah tak buat kerja, lagi nak komen pasal aku. Mana pula Aira ni lama sangat bersiap?"

Tak cukup Deniz, Aira pun kena marah juga pagi itu.

"Tak apa. Kita pergi dulu. Biar Deniz tunggu Aira. Nanti, dia orang tumpang Andi aja." Arjuna sudah menghidupkan enjin kereta.

"Naik dengan Andi?" Iskandar kerut dahi.

"Yalah. Kau jangan buat tak reti pula. Rasanya aku dah terang kat kau percutian kita ni untuk apa." Arjuna malas nak melayan kerenah Iskandar lagi. Dia segera menutup pintu kereta sambil menurunkan cermin tingkap.

"Tahu, tapi..."

"Tak payah nak banyak fikirlah. Pergi aja dulu. Kak Yam dah lama tunggu tu. Awak jangan risau, saya ada dengan Aira." Tak sempat Iskandar nak bercakap Deniz dah potong dulu.

"Ewah, dia pula yang arah kita. Aku bos ke kau bos ni?"

"Hari ni saya cuti. So, awak bukan bos saya masa ni."

"Aduh... Kalau layan kau orang berdua ni makin lewatlah. Aku ada couple yang lagi penting nak diselesaikan masalah. Kau orang punya giliran tunggu aku free lain masa."

"Bila masa kita orang couple?" Serentak Iskandar dan Deniz bersuara.

"Opsss... Bukan, ya? Sorry, salah faham." Arjuna tayang sengih.

Iskandar tayang penumbuk sebelum masuk ke dalam kereta. Maryam turut masuk ke dalam kenderaan yang sama. Tidak lama kemudian pacuan empat roda yang dipandu Arjuna meninggalkan kawasan rumah. Tinggal Deniz sendirian.

Aira mencapai beg sandang berisi beberapa helai pakaian. Deniz kata tempat mereka nak pergi tak jauh pun dan percutian itu hanya dua hari sahaja. Dia tak pasti siapa yang rancang percutian itu.

Seingatnya dua hari lepas Arjuna yang maklumkan dalam grup WhatsApp keluarga tentang percutian itu tetapi maklumatnya tidak lengkap. Hanya menyatakan siapa yang tidak sibuk boleh ikut serta.

Memandangkan Reyhan dan Aisyah baru balik dari percutian, mereka masih kepenatan. Kedua-duanya menolak untuk menyertai apatah lagi pasangan itu kembali sibuk dengan urusan di ladang ternak. Dia pula rasa tak berminat jika Abang Reyhan tak ikut sama apatah lagi Andika sudah tentu ikut serta.

Keputusannya yang tak mahu ikut menyebabkan pagi-pagi buta lagi Deniz sudah mengetuk pintu biliknya. Gadis bermata biru itu bersungguh benar memujuk. Deniz kata Abang Rey dan Aisyah akan ikut serta selepas urusan di ladang selesai. Deniz juga mengatakan Sofia tentu tak seronok jika dia tiada. Maklum sajalah, selama hampir dua bulan dia di kampung itu, Sofia begitu rapat dengannya. Kalau sudah anak dengan mak tentulah keserasian tidak susah dibentuk.

Akhirnya dia bersetuju untuk ikut sama. Lagipun, dia dah buat keputusan untuk pulang ke Cibubur. Dia hanya ada masa bersama Sofia dalam seminggu saja lagi.

"Abang Is..."

Aira memanggil abangnya itu tetapi tidak ada jawapan. Aira menuruni anak tangga. Rumah itu sunyi sepi.

Dia ke dapur dan berharap Iskandar ada di situ seperti kebiasaannya pada awal pagi. Aira lihat dapur sungguh bersih dan perkakas semua tersusun rapi. Tiada kelibat Iskandar di situ.

"Abang Is dah pergi ke?"

Tanpa berlengah Aira keluar dari rumah. Di situ dia nampak Deniz yang berseluar trek dan berkemeja-T sedang berswafoto.

"Deniz! Yang lain mana?" tanya Aira.

Dia menghampiri Deniz sambil membetulkan tudung dan baju kemeja yang dipakainya. Agak tergesa-gesa dia bersiap tadi sampaikan bajunya pun digosok ala kadar saja.

"Dia orang dah pergi," jawab Deniz selamba.

"Dah pergi? Habis tu kita nak pergi naik apa?"

"Tu..." Deniz tunjuk ke arah sebuah Audi Q7 yang bergerak ke arah mereka berdua.

Aira terkedu.

Dia terkebil-kebil memandang kenderaan yang semakin hampir dan akhirnya berhenti di hadapannya.

"Auntie Aira!"

Muncul Sofia sebaik saja cermin kenderaan diturunkan. Anak kecil itu duduk di bahagian belakang.

"Auntie... Marilah naik kereta papa Pia," ajak Sofia.

Aira masih terkesima. Sampai hati Abang Is tinggalkan aku dan biar aku naik dengan Abang Andi! Kenapa aku rasa macam semua ni dirancang?

"Apa tercegat lagi, kak? Masuklah."

Deniz menepuk perlahan bahu Aira. Gadis itu sudah membuka pintu hadapan.

Aira rasa lega.

Setidaknya dia tak perlu duduk di sebelah Andika. Agak lambat Aira masuk. Dia duduk di sebelah Sofia. Matanya curi pandang ke arah Andika yang sedang berbicara dengan seseorang melalui telefon.

"Nak duduk atas riba auntie boleh?" pinta Sofia menyebabkan Aira melarikan pandangannya.

"Boleh, sayang. Comelnya Sofia ikat rambut tocang kuda," puji Aira sambil meriba Sofia. Pipi tembam anaknya itu dicium bertubi-tubi.

"Papa yang buat," beritahu Sofia.

Aira diam. Dia sekali lagi pandang Andika yang sudah selesai berbual di talian. Wajah lelaki itu kelihatan serius. Entah ikhlas ke tidak dia bagi aku tumpang ni.

"Selamat pagi, abang," sapa Deniz ceria.

"Selamat pagi... Amboi, ceria aja Deniz pagi ni. Selalu abang tengok cemberut aja tiap kali nak pergi kerja."

"Mestilah ceria sebab hari ni boleh bercuti. Di kafe tu menghadap angin bos saya tu mahunya tak cemberut muka. Pagi lagi mood dah lari dengar dia membebel."

"Kalau macam tu kerja dengan abang nak? Tapi jadi tea lady ajalah. Abang tak ada restoran nak gajikan cef," usik Andika.

Dia yang memakai cermin mata hitam melihat cermin pandang belakang. Mulutnya saja ramah berbual dengan Deniz tapi matanya tak lekang memandang Aira di belakang.

Cantiknyalah ex-wife aku ni. Dah lama tak tengok mata berbulu lentik tu menjeling macam tu, bisik hati Andika.

Walaupun mata Deniz yang biru tak dinafikan lebih cantik tapi mata Aira lebih memukau pandangannya bagai cantiknya warna pelangi pujaan Aira.

Aira yang hanya jadi pendengar rasa meluat pula dengan tawaran Andika kepada Deniz. Kalau dah miang tu pantang ajalah nampak yang cantik. Jawatan tea lady pun nak offer? Apa pasal tak jadikan secretary saja? Senang nak buat skandal!

"Astaghfirullah..." Aira berbisik perlahan. Apa yang kau fikir ni, Aira? Orang tu cuma berbual saja pun. Jangan mudah buruk sangka dengan orang.

"Tak naklah, Abang Andi. Dee lagi suka kerja dengan bos garang daripada jadi tea lady. Bukanlah sebab jawatan kerja tu cuma Dee nak buat kerja yang Dee suka," jawab Deniz.

"Aira..."

"Huh?"

Aira terkejut apabila Andika memanggilnya.

"Dah sarapan?"

"Belum," jawab Aira pendek.

Dah kenapa tanya aku macam tu? Eh... Lembut pula dia bercakap hari ni? Ke sebab ada Deniz? Kalau tidak bukan main lagi. Ada saja yang nak disindirnya.

"Tak apa. Sekejap lagi kita sampai. Bukan jauh pun."

Aira baru perasan jalan yang dilalui kenderaan itu seperti dia kenal. Inikan jalan nak ke rumah tok ayah?

"Kita nak pergi mana sebenarnya ni?"

"Kaki bukit. Kita akan bermalam dekat lata di lereng bukit tu."

"Ada jalan ke?" tanya Aira.

Setahunya nak ke kaki bukit itu tak boleh guna kenderaan berat kerana tiada jalan berturap. Dulu biasanya mereka redah kawasan tapak sawah dengan berjalan kaki dan mendaki bukit. Hanya Reyhan saja yang mampu sampai cepat ke puncak dengan menunggang kudanya.

Andika hanya tersenyum. Aira tak tahu betapa banyak dia menaik taraf kawasan itu. Aira buka cermin kereta. Dia lihat pacuan empat roda itu melewati jalan berturap. Laluan tidak melewati rumah tok ayah sebaliknya dilencong ke laluan pintas yang mana kiri dan kanan jalan dipenuhi dengan pokok buah-buahan.

"Ini dusun tok ayah, kan?" tanya Aira.

Andika tetap tidak menjawab. Akhirnya Aira tidak bertanya dan memerhati sahaja pemanduan Andika. Tanah itu... Yang dulu dihadiahkan tok ayah kepadanya sekarang sudah menjadi kepunyaan Andika. Tiba-tiba mata Aira rasa berkaca. Kenapa dia dibawa ke sini? Tak cukup lagikah Andika sakitkan hatinya dulu? Apa yang Andika nak tunjukkan? Aira rasa menyesal pula sebab ikut!

Andika pandang cermin dan melihat Aira menyeka matanya. Dia menarik nafas berat. Dia tahu apa yang bermain dalam fikiran Aira sebaik melewati tanah dusun itu. Bahkan tempat yang mereka tuju adalah tempat yang paling disukai Aira. Jangan sedih, sayang. Tanah ni tetap Aira punya sampai bila-bila...

Beberapa tahun yang lalu...

"Abang tak nak tidur lagi ke?"

Suara manja yang sedikit merengek itu tidak dipedulikan. Andika tekun memeriksa beberapa dokumen. Sempat dia melirik Aira di muka pintu bilik bacaan. Kemudian dialihkan pandangan pada jam di dinding. Sudah pukul 11.00 malam.

"Abang... Aira mengantuk ni. Jomlah kita tidur," panggil isterinya lagi.

Andika pandang lagi Aira yang matanya sudah layu. Kasihan pula dia kepada kesayangannya itu. Sudahlah sarat mengandung terpaksa pula tidur lewat kerana menunggunya.

"Abang dengar tak ni?" tanya Aira seakan-akan tidak berpuas hati dengan gelagat si suami.

Andika memang sengaja buat tidak peduli sebagai tanda protes. Siang tadi mereka ada berbincang soal tanah milik Aira. Dia bercadang untuk memulakan projek tapak kem perkhemahan di tanah yang pernah dijanjikan tok ayah kepadanya suatu ketika dulu.

Dia fikir dengan menyuarakan hasrat secara baik dan berhemah boleh melembutkan hati Aira untuk bersetuju. Bukan pertama kali dia beri cadangan itu tapi berkali-kali juga Aira menolak dengan alasan, membuka kawasan bukit itu kepada umum akan menyebabkan banyak kerosakan alam.

Aira mengingatkannya bahawa tok ayah sendiri tidak pernah mengizinkan kawasan bukit yang mempunyai air terjun dan lata itu kepada sesiapa. Selain daripada ahli keluarga dan pekerja, orang luar diharamkan masuk ke tanah persendirian itu.

"Abang masih marah ke? Pasal tanah tu abang tak nak bercakap dengan Aira?"

Isterinya sudah mendekat. Andika masih tak menjawab. Dia sudah berbincang dengan Farouk tentang projek kem site di tanah itu. Apa dia nak beritahu kepada rakannya yang sanggup menjadi pelabur itu tentang penolakan dan kedegilan Aira? Dia memang rasa marah dan sebal. Sebagai isteri, tak boleh ke Aira ikut saja cakapnya?

"Aira memang tak sayang abang."

"Abang... Aira sayang abang sangat-sangat. Kalau abang minta apa saja daripada Aira, memang Aira akan bagi. Tapi soal projek abang tu, Aira tak boleh setuju sebab dulu Aira dah janji dengan tok ayah untuk jaga kawasan tu supaya tak tercemar dengan tangan-tangan manusia."

"Abang bukan nak buat projek perumahan. Abang nak buat kem site. Kita boleh kongsi keindahan alam di kawasan tu dengan orang luar. Selain tu, kita boleh dapat keuntungan besar memandangkan sekarang ni ramai pihak kerajaan dan swasta termasuklah sekolah-sekolah suka buat program ilmiah di kawasan macam tu."

"Abang dah banyak kali terangkan pasal tu. Jawapannya Aira tetap tak setuju." Aira tetap berdegil.

"Abang... Tolonglah jangan merajuk macam ni. Hal tanah aja pun." Aira duduk di atas ribaan Andika.

Suaminya masih tarik muka.

"Abang tak payahlah merajuk lagi. Apa kata abang beli saja tanah lain untuk projek abang tu? Abang kan banyak duit."

Aira masih sempat mengusik Andika yang langsung tak ketawa. Betul punya marah ni.

"Malas abang layan Aira. Ni apa duduk atas riba abang ni? Tak nampak orang banyak kerja ni? Dah la berat."

"Sampai hati cakap macam tu. Orang berat sebab dalam ni ada baby abang tau!" Aira memukul geram dada Andika.

"Jomlah baby, kita tidur... Papa baby ni memang suka buat hal kalau apa yang dia nak tak dapat. Banyak kerja sangat, kan? Hadaplah kerja tu, sampai tua pun tak habis."

Aira mahu turun dari ribaan Andika tetapi pinggangnya pula dipeluk kemas oleh Andika.

"Lepaslah! Orang nak turun. Tadi kata orang berat sangat, kan?"

"Kejaplah... Acah sikit dah nak merajuk. Ni, abang nak sayang sign borang ni."

"Borang apa pula? Orang mengantuk ni. Tak kuasa nak layan apa-apa borang pun." Aira sudah menguap. Dia masih tak boleh bangun kerana tangan Andika makin erat memeluknya.

"Abang nak belikan Aira kereta."

"Serius? Kereta apa, abang? Ferrari ke Lamborghini?" Aira tergelak apabila Andika tayang muka ketat.

Memang tak boleh bawa bergurau laki aku ni.

"Kereta sorong," jawab Andika sambil mencuit hidung Aira yang masih ketawa.

"Sayang sign cepat lepas tu kita boleh tidur."

"Abang dah isi semua maklumat Aira dalam ni?"

"Sudah... Pasal Aira semua abang tahu. Tanda tangan takkan nak tiru pula."

"Okeylah, sayang... Kat mana nak sign?"

Andika hulur pen. Kemudian dia tunjuk ruangan pada kertas yang perlu ditandatangan. Ada empat kesemuanya.

"Banyaknya..." Aira mengeluh dengan matanya yang makin layu.

Selesai tandatangan, Andika ambil semula pen.

"Sudah? Boleh kita tidur sekarang?" Aira bertanya dengan suara manja.

"Cakap dulu Aira sayang abang tak?"

"Ya Allah. Sayanglah... Dah banyak kali Aira cakap, kan. Aira sayang abang."

Aira mencium seluruh muka Andika membuatkan lelaki itu ketawa.

"Okeylah. Jom kita tidur ya, sayang."

Andika bangun lalu mencempung tubuh Aira yang sudah sarat. Tunggu hari saja isterinya itu akan bersalin.

"Kata berat..."

"Dah dapat apa yang abang nak. Sayang berat macam gajah pun abang sanggup dukung," jawab Andika.

Ada senyuman memikat pada wajah itu. Aira sedikit berkerut. Tak berapa nak faham. Mungkin suaminya maksudkan ciuman tadi.

"Sayang dah minum susu belum?" tanya Andika sebaik saja Aira berbaring di atas katil. Dia membetulkan bantal Aira supaya lebih selesa.

"Belum. Selalu abang yang buatkan. Kalau abang tak buat, Aira tak minumlah."

Andika geleng kepala. Sempat mencubit pipi tembam Aira. Mata isterinya berbulu letik mengecil. Aira mempamerkan wajah comel yang membuatkan Andika terpesona. Mata itu memang selalu menang untuk menambat hatinya.

"Sayang jangan tidur lagi. Abang pergi buat susu sekejap." Andika mencium dahi Aira sebelum keluar dari bilik. Namun begitu, dia tidak terus menuju ke dapur. Sebaliknya dia masuk semula ke bilik bacaan.

Andika membelek semula borang yang ditandatangan Aira. Cuma dua helaian di atas sahaja borang pembelian kereta. Andika melayangkan saja borang itu di atas meja.

Dia ada banyak kereta buat apa nak dibelikan lagi untuk Aira? Isterinya boleh guna yang mana saja disukai. Apa saja hak miliknya adalah milik Aira juga tapi kenapa milik Aira tak boleh jadi hak miliknya?

"Abang dah minta cara baik tapi sayang degil. Sekarang, abang terpaksa guna pelan B."

Andika senyum sinis sambil matanya menatap borang 14B yang juga merupakan borang pindah milik tanah.

Minta tandatangan Aira untuk membeli kereta hanyalah alasan saja. Dia sebenarnya mahukan tandatangan Aira di atas borang itu.

Dia segera menghantar mesej kepada Farouk. Sebagai broker tanah, lelaki itu tahu apa yang perlu dilakukan selepas ini. Farouk ada ramai kenalan di pejabat tanah. Peguam dan hakim juga ada yang boleh selesaikan urusan itu. Dalam tempoh beberapa bulan lagi tanah itu akan menjadi miliknya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro