Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

Andika keluar dari bilik air. Dia baru selesai mandi selepas pulang dari mesyuarat dengan beberapa orang pengurus pasar raya dan mandur ladang. Ada beberapa masalah yang perlu dibincangkan berkaitan isu harga barang dan kejatuhan harga getah dan sawit yang semakin kritikal.

Pendapatannya terjejas dan syarikatnya mengalami semakin banyak kerugian. Kalau tak sebab keuntungan dari perniagaan stesen minyak, sudah tentu dia tak mampu nak mengatasi masalah hutang dan kerugian yang dia alami.

Dia perlu membuat keputusan sama ada menutup perniagaan pasar raya atau menjual beratus ekar ladang sawit dan getah kemudian menerokai bidang lain yang lebih mengutungkan.

Selesai berpakaian santai, Andika keluar dari bilik. Jam sudah menunjukkan pukul 2.30 petang. Dia agak hairan kenapa Iskandar masih belum menghantar anaknya, Sofia.

Kebiasaannya jika dia tak ambil Sofia dari sekolah, Zara akan menghantar Sofia ke kafe. Memandangkan rutin Sofia akan tidur seketika dari pukul 2.00 hingga 4.00 petang. Iskandar akan menghantar Sofia pulang ke rumah pada waktu itu dan Maryam pula akan menjaganya.

Andika rasa bersyukur kerana dia mempunyai sepupu-sepupu yang prihatin dan sayang akan anaknya. Tanpa mereka, sudah tentu dia tak mampu nak membesarkan Sofia dengan baik.

Waktu dia ditinggalkan Aira menjaga Sofia sendirian, dia rasa putus asa pada awalnya. Begitu sukar membiasakan diri menggalas tugas sebagai ayah sekaligus ibu.

Dia pernah tertekan dengan tangisan Sofia setiap malam. Kerisauan setiap kali Sofia demam dan muntah-muntah kerana tidak serasi dengan susu formula. Baru dia tahu semua itu yang Aira hadap sendirian ketika dia tenggelam dengan kemewahan dan keseronokan menjadi lelaki yang ada semuanya. Apabila tugas bertukar tangan, Andika mula faham betapa pentingnya kehadiran Aira sebagai ibu kepada anaknya.

"Andi!"

Andika yang termenung sendirian di ruang tamu terkejut apabila namanya dipanggil.

"Kau, Juna. Buat terkejut aku aja."

Dia perhatikan adiknya, Arjuna menuruni tangga.

"Awal kau balik?"

"Saja balik awal lepas meeting tadi. Kau kata nak balik KL hari ni?"

"Tak jadi. Shooting iklan tu batal. Tunda bulan depan."

"Kalau aku tahu kau tak balik sana, aku suruh kau saja ambil Sofia. Tak payah aku susahkan Zara."

"Ini nak cakap pasal Sofia la ni."

"Kenapa dengan Sofia?"

"Relaks... Pia okey aja. Dia happy dengan mama dia."

"Dengan mama dia?"

Arjuna angguk. Andika kerut dahi tanda tak faham. Setahunya, Aira dah beberapa minggu balik ke rumah pak ngah di Johor.

"Mesti kau tak buka Facebook, kan?"

"Tak minat aku dengan media sosial. Banyak lagi kerja lain yang boleh buat daripada menghadap handphone aja."

"Itulah kau... Tengok ni."

Arjuna hulur telefon pintar miliknya. Andika segera ambil dan merenung skrin telefon yang tertera akaun Facebook adiknya itu. Wajahnya serta-merta berubah. Dia berpandangan dengan Arjuna. Seribu pertanyaan berlegar dalam fikirannya. Arjuna awal-awal sudah jongket bahu.

"Shopping dengan bakal isteri..." Andika membaca status yang mana Arjuna telah ditanda dengan sekeping gambar Farouk bersama Aira dan Sofia di dalam sebuah pasar raya.

"Ini macam pasar raya aku." Andika fokus kepada suasana pasar raya dan pakaian beberapa orang pekerja di kaunter bayaran. Gambar itu seperti Aira dan Farouk sedang membuat bayaran di kaunter.

"Motif dia tag aku dengan kau?" tanya Arjuna.

Gambar itu asalnya dari akaun Facebook Farouk.

"Tak guna! Bila masa Aira bakal jadi isteri dia? Habis bini dia nak letak mana?" Andika memulangkan telefon Arjuna. Sakit hati dia melihat gambar itu. Aira pun satu hal! Bawa Sofia keluar tanpa tanya dia terlebih dahulu.

"Relaks, bro... Mamat ni psiko! Mesti ada yang tak kena ni."

"Ini memang nak buat aku panas! Apa pasal dia orang dating bawa anak aku?!" marah Andika.

Dia sudah mundar-mandir tak tentu arah. Arjuna garu kepala yang tak gatal. Dia pun tak faham! Apa yang pasti, marah Andika akan meledak jika tak dikawal!

"Jangan panas dulu! Aira tu tak sampai sebulan balik sini. Dengan muka handsome kau pun dia tak layan takkan muka Farouk macam meja tak siap ni dia nak layan? Entah-entah dia terserempak dengan Aira, ambil gambar curi lepas tu claim keluar dengan bakal isteri. Dia tag kita pun nampak sangat dia nak sakitkan hati kau. Acah-acah pak cik bawang dia ni."

"Aira ni memang melampau. Dia keluar dengan Sofia tanpa pengetahuan aku satu hal. Dia melayan mamat perasan bagus ni satu hal. Aku dia tak nak layan pula!"

"Tak apa. Kita tunggu Aira bawa Sofia balik, okey?"

Andika hanya merengus. Kalau dia tahu nombor telefon Aira, waktu itu juga dipaksa bekas isterinya itu balik.

Farouk pun tak sedar diri! Dah ada isteri dan anak pun sibuk nak mengusyar janda aku!

Aira menolak troli sambil matanya memerhati Sofia yang meletak beberapa bungkus biskut dan coklat yang diambilnya dari rak.

"Ada lagi?" tanya Aira.

Sofia angguk.

"Pia nak buku warna."

"Ada jual kat sini ke?"

"Ada... Kat sana tu," tunjuk Sofia ke satu arah.

Tak sempat Aira nak bertanya lagi Sofia sudah berlari ke arah bahagian alat tulis. Pasar raya itu memang luas.

Pada awalnya dia berniat nak pergi ke mini market sahaja tetapi Sofia beria pula mengajak ke pasar raya milik bekas suaminya itu. Dia bimbang jika terserempak dengan Andika tapi sudah 30 minit dia dan Sofia berada di situ kelibat Andika tidak kelihatan.

Aira hampir mentertawakan diri sendiri.

Agak mustahil Andika berada di situ kerana lelaki itu bukan supervisor mahupun pengurus pasar raya bahkan bukan juga pekerja biasa yang sering berlegar di segenap ruang pasar raya. Dia pemilik pasar raya ni, Aira oi... Paling tidak mestilah lelaki itu berada di bahagian pejabat. Tapi manalah tahu dia turun padang tengok pekerja. Nampak pula aku kat sini dengan Sofia. Apa aku nak jawab?

"Auntie Aira, sinilah cepat!" panggil Sofia.

Cepat-cepat Aira menolak troli yang agak penuh dengan barangan dapur.

Memandangkan Reyhan sudah lama meninggalkan rumah, tentu tiada lagi barang basah di dalam peti ais. Walaupun rutin ahli keluarganya makan di rumah Kak Yam, tapi dia selalunya mengelak untuk makan bersama-sama melainkan dia yakin Andika tak ada satu meja dengannya. Dia tak mahu dekat dengan lelaki itu sebab dia tahu, aura negatif antara mereka terlalu kuat. Asal dekat aja nak bertengkar. Baik tak payah jumpa terus lagi baik.

"Hai, Aira!"

Terkejut Aira apabila suara garau menegurnya.

Kus semangat. Nasib tak luruh jantung aku. Ingatkan abang Andi tadi, omel Aira dalam hati.

Aira mengecilkan mata dan lama dia memerhati lelaki yang menegurnya itu. Orangnya tak begitu tinggi dan berkulit sawo matang. Muka yang ada banyak kesan parut jerawat. Pakaiannya segak dan formal. Siap pakai tali leher warna biru laut sama rona dengan baju kemejanya. Rambutnya pula rapi disikat belah tepi.

"Dah tak kenal abang ke?"

Lelaki itu bertanya sambil senyum kambing. Aira masih berfikir.

Siapa, ya? Siap gelar diri abang pula tu! Seingat Aira yang selalu dia panggil abang sahaja cuma abang kandungnya Reyhan dan Iskandar.

Dulu, masa dia masih isteri Andika, memang lelaki itu dipanggil abang yang memang menjadi kebiasaan panggilan untuk suami dalam budaya masyarakat Melayu. Masalahnya, lelaki di depannya ini yang masih tersengih-sengih gatal bukan Andika. Memang jauh panggang dari api.

Andika kalau senyum boleh gugur jantung. Bawa sampai ke malam pun masih boleh teringat senyuman membunuh tu. Tapi itu dulu, masa zaman remaja dan dia terlalu naif untuk mengenali hati budi seorang Andika. Kalau sekarang ni, senyumlah sampai ke telinga pun, Andika takkan lagi mampu meragut jantungnya. Menyampah lagi ada!

"Lama sangat fikir tu. Ini Abang Farouklah. Tak ingat? Kawan baik Andika."

"Oh... Encik Farouk. Patutlah." Aira tersenyum. Patutlah macam kenal aja senyuman gatal tu!

"Apa yang patut?"

"Errr... Tak ada... Maksud saya, patutlah tak cam. Dah lama tak jumpa Encik Farouk."

"Apa pula panggil encik? Abang saja cukup."

Aira senyum buat-buat. Memang dulu, Farouk selalu datang ke rumah berjumpa Andika. Biasanya atas urusan kerja atau mengajak Andika bermain golf. Tiap kali Farouk datang Andika tak akan benarkan dia berbual dengan lelaki ini.

Andika selalu kata Farouk lelaki miang. Tak boleh tengok perempuan cantik. Tak kira anak dara atau isteri orang nak dikacaunya. Rupa-rupanya Andika pun sama naik aja perangainya. Betul orang kata, nak tahu perangai seseorang, tengoklah dengan siapa orang tu berkawan.

"Lama menghilang, Aira ke mana? Kalau ya pun patah hati dengan Andika, tak payah bawa diri. Cari saja pengganti. Kumbang bukan seekor dalam dunia ni."

"Nak gantikan manusia dengan kumbang memang taklah," jawab Aira. Kedengaran agak bodoh tapi dia sebenarnya malas nak layan Farouk. Kalau dia angkat kaki berlalu dari situ, nanti dikata sombong pula.

"Lebih baik kumbang daripada suami yang curang kan... Abang pun kesal dengan apa yang Andi buat pada Aira. Kalau abang tak beritahu Aira pasal skandal dia dengan staf abang dulu tu, entah berapa lama dia akan tipu Aira."

Kata-kata itu buat air muka Aira sedikit berubah. Dia tak suka nak ungkit masa silam. Apatah lagi tentang perkara yang menyakitkan.

"Tak apalah, Encik Farouk. Perkara tu dah lama. Lagipun, saya dengan Andika dah putus jodoh. Saya pun tak suka nak buka aib orang. Apatah lagi orang tu ayah kepada anak saya." Aira bersuara agak perlahan. Dia tak mahu Sofia dengar perbualan itu. Walaupun Sofia masih kecil, manalah tahu ada beberapa ayat yang boleh difahami. Anak itu pintar dan cerdas otaknya.

"Sofia dah dapat buku?" Aira bertanya kepada Sofia yang memegang sebuah buku.

"Sudah, auntie."

"Auntie?" Farouk menyampuk dengan pandangan hairan.

"Errr... Saya dah lambat ni, Encik Farouk. Saya ke kaunter dulu." Cepat-cepat Aira menolak troli dan menarik tangan Sofia.

"Jom, sayang..."

Farouk mengekorinya. Aira fikir lelaki itu akan pergi ke arah lain tetapi sehingga ke kaunter, Farouk masih ada di belakangnya. Dah macam psiko mamat ni! Apa pasal dia ikut aku?

"Aira... Biar abang bayarkan. Banyak barang Aira tu." Farouk yang masih di belakang berdiri semakin rapat.

Aira cepat-cepat meletak barang di atas kaunter dan bergerak menjauh dari Farouk.

"Tak apa... Saya ada duit. Boleh bayar sendiri." Aira menolak dengan senyuman terpaksa. Dia berharap juruwang yang bertugas segera membuat kiraan barang-barangnya.

Tanpa Aira sedar, Farouk mengeluarkan telefon pintar dan merakam gambar swafoto mereka. Farouk mengambil kesempatan ketika Aira leka membuat bayaran.

"Nak abang tolong angkat barang tu?"

"Tak apa, terima kasih. Bukan banyak sangat pun."

"Okey. Drive hati-hati tau..." pesan Farouk dengan senyum nakal.

Aira tak menjawab. Barang yang siap dibayar diletak semula di dalam troli. Agar pergerakan lebih cepat, Sofia didukung lalu diletak juga di dalam troli. Laju saja Aira mengatur langkah supaya segera sampai ke kereta. Sofia di dalam troli bukan main seronok.

"Tolak laju lagi, auntie... Bestlah duduk dalam ni. Papa kalau bawa Pia datang sini tak pernah bagi Pia masuk dalam ni. Papa kata bahaya."

"Ya? Kalau macam tu jangan bagi tahu papa tau... Ni rahsia kita berdua," pinta Aira.

Habislah kalau Sofia beritahu Andika. Nanti ada alasan lelaki itu tak benarkan dia bawa Sofia keluar sebab tak jaga keselamatan anak.

"Okey!"

"Dah sampai. Cepat turun."

"Alah... Pia nak naik troli lagi."

"Lain kali, ya?" Aira segera menurunkan Sofia. Dia tekan alarm kereta dan membuka boot. Selesai memasukkan barang-barang, terus dia tarik Sofia dan letak anaknya itu di dalam kereta.

Beberapa minit kemudian, kereta yang dipandu meninggalkan kawasan pasar raya. Aira rasa lega sebab dia tak nampak kelibat Farouk mengekorinya.

"Kau ada nombor telefon Aira?"

"Ada... Tapi Aira cakap jangan bagi orang lain. Nak pula yang namanya Andika."

"Aira cakap macam tu?" Andika sedikit tergamam. Benci betul Aira dengan dia sampaikan nombor telefon pun diharamkan untuk dia.

"Aku faham perasaan kau, bro. Bila crush kau dah ignore kau macam trash, kau cuma kena reda aja." Arjuna ketawa mengejek.

Andika merengus lalu ke dapur. Dia ambil setin minuman ringan dari peti ais lalu diteguk hingga habis.

"Dah lama sangat dia bawa Pia keluar ni. Tak reti nak balik ke? Entah-entah pergi makan kat mana-mana dengan mamat psiko tu."

"Kejap lagi baliklah tu..."

"Ini semua salah Zara. Tiap kali Aira ambil Sofia, dia langsung tak beritahu aku. Mesti dia yang selalu beritahu Aira setiap kali aku tak dapat ambil Pia. Kalau tak, Aira tentu tak datang ke sekolah Pia."

"Nak salahkan Zara buat apa? Dah tentu Aira yang cakap jangan beritahu kau. Relaks ajalah... Mama Pia tu, kan? Kau ni, marah sebab Aira bawa Pia keluar tanpa izin kau ke atau kau cemburu tengok gambar tadi?"

"Tak ada maknalah aku nak cemburu. Dah tiga tahun lebih bercerai, kalau aku nak dia balik dah lama dia balik pada akulah."

"Yalah... Dia tak balik pada kau sebab dia memang tak nak. Dia sanggup lari sampai ke negara seberang. Dia tau kalau dia masih tinggal kat sini, kau tentu tak akan biar dia hidup tenang. Tak payah nak ego sangat."

"Ego apa benda? Merepeklah kau."

"Kalau betul dah tak nak Aira, apa pasal bilik tidur lama kau masih sama macam dulu? Kau ingat kau kunci bilik tu aku tak tahu apa ada kat dalam? Semua barang-barang Aira, kan? Sampaikan gambar kahwin kau orang pun masih tergantung kat dinding."

"Kau buka bilik tu, ya?" Mata Andika membulat. Dia cekak pinggang.

"Kau ingat aku pak cik bawang nak menyibuk hal kau? Aku adik kau, Andi. Aku kenal kau macam mana. Aira pun tak kenal kau sebaik aku. Kau boleh tipu orang lain termasuk Aira tapi bukan aku. Apa yang jadi dulu, kau sepatutnya jelaskan pada Aira sampai dia faham tapi kau lepaskan peluang macam tu aja."

"Buat apa nak jelaskan kalau orang dah memang tak mahu dengar? Dia nak aku bagi apa yang dia nak. Bukan nak dengar apa yang patut dia tahu. Apa lagi, bercerai ajalah."

Suasana sepi.

Kedua-duanya berdiam diri. Hanya hela nafas berat kedengaran. Seminggu yang lalu dia ada berbual dengan Reyhan di kafe. Sepupunya itu ada beritahu bahawa Aira sudah buat keputusan sambung kontrak bekerja di Cibubur.

Dia tak tahu nak beri reaksi apa. Kalau dah itu kehendak Aira, takkan dia nak bantah? Tapi kalau dibiarkan, dia rasa cuak pula. Nak ajak bersama semula dia tak tahu nak mulakan bagaimana. Kalau ditolak, dia juga yang malu. Akhirnya dia pendamkan saja perasaannya.

Sayup-sayup kedengaran bunyi enjin kereta. Andika meluru ke tingkap. Dia menyelak sedikit langsir.

"Aira?" tanya Arjuna. Andika angguk dan bersedia untuk keluar.

"Andi... Kalau dalam hati kau memang nak dia balik, kau dengar cakap aku. Jangan berkasar dengan Aira. Cakap elok-elok dan jangan bertengkar. Buat saja macam tu. Aku jamin, dia akan berbual dengan kau sama macam dia gilakan kau dulu..."

"Tak payah nak bagi nasihat. Aku tahu apa aku patut buat." Andika terus keluar.

Arjuna geleng kepala. Degil! Tak nak dengar cakap pakar wanita, sudah... Kau hadaplah muka mencuka Aira tu!

"Sofia!" Andika memanggil Sofia yang baru keluar dari kereta. Aira yang membantu Sofia turun terkejut melihat Andika muncul di depannya. Dia fikir Andika masih di pejabatnya.

"Papa, tengok ni Auntie Aira belikan Pia buku colour!" Sofia tunjuk buku baru di dalam plastik.

"Ya... Baiknya Auntie Aira. Terima kasih, Auntie Aira." Andika senyum kepada Aira. Namun Aira tahu itu senyuman tak ikhlas berbaur sindiran.

"Terima kasih, auntie." Sofia baru teringat nak berterima kasih.

"Sofia masuk dalam rumah. Mandi dan tukar baju. Lepas tu, tidur sekejap... Mesti anak papa penat."

"Papa tak nak balik ke?"

"Errr... Sayang masuk dulu. Papa nak berbual dengan Auntie Aira sekejap."

"Okey..." Anak itu angguk tanda faham. Terkedek-kedek Sofia berjalan masuk ke rumah.

Andika berpaling memandang Aira yang sedang memerhatikan Sofia. Baru dia nak bercakap, terdengar Sofia memanggilnya.

"Papa! Beg Pia dalam kereta!"

"Tak apa, nanti papa ambilkan," ujar Andika.

"Papa jangan lama tau..."

"Ya..." Andika menekan sedikit suara. Geram pula dia dengan Sofia yang masih belum masuk ke rumah.

"Bye, Auntie Aira.."

"Bye, Sofia.." Aira melambai ke arah Sofia. Dia senyum gembira melihat gelagat anaknya itu. Walaupun dipanggil auntie sudah cukup buat dia rasa bahagia.

"Saya tahu awak marah saya bawa dia keluar. Saya minta maaf," bicara Aira sebelum sempat Andika bersuara.

Wajah Andika berubah dan merenungnya tajam.

"Awak? Macam tu cara bercakap dengan orang lebih tua? Rasanya mak ngah tak ajar anak perempuan dia biadab macam tu."

Terkedu Aira dibuatnya.

"Errr... Saya minta maaf, a... Abang... Andi."

Andika menahan tawa. Dia berusaha mengawal diri dan terus bersikap serius.

"Seronok dating?"

"Huh? Awak cakap apa ni? Tak, Abang Andi cakap apa tadi? Dating?" tanya Aira balik.

"Yalah... Kau ingat aku kesah kau nak keluar dengan Pia? Aku pun tahu hak kau sebagai mak dia walaupun Pia tak tahu kau siapa. Masalah aku sekarang ni, kau bawa anak aku keluar masa kau dating dengan mamat poyo tu." Andika menghamburkan rasa geram yang terbuku dalam hati.

"Mamat poyo mana? Orang tak pergi datinglah! Boleh tak jangan nak tuduh tanpa bukti?"

"Habis tu ni apa?"

Andika tayang gambar dalam telefon pintarnya. Berubah air muka Aira. Dia tak sangka pula Farouk tergamak nak tulis status begitu di Facebook.

"Saya tak dating dengan dia pun." Suara Aira begitu lirih kerana sedih.

Ini dah tahap fitnah. Kalau dia jumpa Farouk lagi dia akan tanya lelaki itu kenapa memalukan dia di laman sosial begitu. Kalau dah Andika boleh salah faham apatah lagi orang lain!

"Kalau tak dating, kenapa boleh bergambar macam ni?"

"Manalah saya tahu."

Aira menceritakan bagaimana dia boleh bertembung dengan Farouk.

"Betul tak ada apa dengan Farouk?"

"Betul la... Kejap. Kenapa pula saya kena clearkan perkara ni dengan abang? Kalau saya nak keluar dengan siapa pun suka hati sayalah." Aira baru tersedar sesuatu. Dia bukan isteri Andika lagi dah. Kenapa tadi beria benar dia buat penerangan?

"Errr... Memanglah sebab aku tak nak Pia salah faham." Andika mengurut dagu.

"Salah faham apa pula?"

"Yalah... Salah fahamlah." Andika masih ulang jawapan yang sama.

Sebenarnya dia yang beria nak tahu dan sekarang dia rasa malu pula kalau Aira tahu dia cemburukan Farouk.

"Kalau tak ada apa-apa, elok saya masuk ke rumah."

"Eh... Kejap! Aku belum habis lagi. Pantang betul aku bila bercakap orang dah nak blah."

"Nak apa lagi?"

"Bagi telefon," pinta Andika.

"Nak telefon saya buat apa?"

"Bagi ajalah," desak Andika.

Aira tayang muka tak puas hati. Itu pasal dia tak nak berdepan dengan Andika. Memang dia akan patuh walaupun hati berkeras tak mahu ikut.

"Tak boleh..."

"Okey... Kalau macam tu, jangan keluar dengan Sofia lagi dah." Andika berpaling dan mengatur langkah ke rumahnya.

"Kejap!" tahan Aira.

Andika senyum menang.

"Nah..." Aira menghulur telefon pintar. Andika ambil telefon pintar yang kelihatan sudah lama. Skrin telefon juga sudah pecah sedikit.

"Ni model tahun bila punya? Buruknya la." Sempat pula Andika mengutuk telefon itu. Aira tayang muka cemberut. Dah la paksa orang bagi telefon lagi nak kutuk pula. Tahulah dia kaya boleh pakai telefon mahal.

"Ini kalau jual kat Malaysia, belum tentu laku. Ini jenama jual kat seberang, ya? Berapa rupiah? Buruh aku yang kerja kat sini boleh pakai Huawei, iPhone. Ini... Aduh, Pia punya lagi cantik."

Andika mengomel sambil mendail nombor telefonnya menggunakan telefon Aira. Sekejapan telefon pintar iPhone milik Andika berbunyi.

"Jenama tak penting. Fungsi tu yang penting. Mahal ke murah tetap boleh telefon orang. Untuk pengetahuan, telefon ni saya beli kat KL. Guna RM." Aira menjeling Andika yang senyum sinis.

"Nah." Andika memulangkan semula telefon Aira. Dia memberi isyarat tunggu supaya Aira tak berlalu meninggalkannya. Andika membuat panggilan balas. Kali ini telefon Aira pula berbunyi irama lagu K-pop.

"K-pop? Ingatkan keluar lagu dangdut tadi." Andika ketawa kecil. Aira mencebik. Tak habis nak mengutuk orang!

"Tu nombor telefon aku. Kalau nak bawa Aira keluar boleh call aku. Satu lagi, jangan pandai-pandai nak tukar nama dalam contact list tu, ya. Ni arahan, bukan permintaan."

Aira tengok skrin. Tertera nama 'abang' pada Missed Call. Dia tak tahu nak kata apa. Seronok benarlah Andika kenakan dia petang itu.

"Dah... Boleh balik. Mandi, kemudian rehat."

Andika senyum lagi. Aira tak nafikan, lelaki itu lebih kacak dari dulu. Senyuman yang itu jarang ditunjukkan. Selalunya, hanya dia yang dapat melihatnya.

Jangan tertipu, Aira. Senyuman itu mungkin masih palsu seperti dulu.

Aira segera berpaling. Tak mahu terus berpandangan dengan Andika. Dia pejam mata dan mengulang 'mantera'. Bertahanlah untuk beberapa hari lagi, Aira. Lepas tu kau akan balik ke Cibubur.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro