Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

PROLOG

Hujan lebat yang turun dari langit tidak mematahkan semangat beberapa orang bomba yang bertugas mengalihkan kenderaan berat yang menghimpit sebuah kereta Hyundai Sonata bewarna putih.

Kemalangan dahsyat itu berlaku disebabkan pemandu lori kontena gagal mengawal kenderaan yang melalui jalan licin. Kemungkinan besar kerana lori dipandu dengan laju sedangkan jalan dalam keadaan licin kerana dibasahi hujan.

Apa yang lebih malang, lori itu telah menghimpit sebuah kenderaan lain sebelum terbalik di pinggir jalan di Lebuhraya Pantai Timur itu.

Seorang anggota polis menghampiri pegawai bomba yang bertugas. Beberapa orang penjawat awam yang lain dilihat sedang cuba menyelamatkan mangsa yang sudah dikeluarkan dari kereta yang remuk.

"Bagaimana keadaan mangsa?" tanya anggota polis.

"Lori sudah dialih tapi kereta tu remuk teruk. Mangsa berjaya dikeluarkan tapi kedua-duanya dalam keadaan cedera parah. Mangsa lelaki tu, selain cedera di kepala, mukanya penuh dengan kaca dan mangsa perempuan tu saya tengok dah macam nyawa-nyawa ikan akibat pendarahan di kepala. Pihak hospital akan segera hantar kedua-duanya ke hospital," terang anggota bomba. Dia sudah biasa mengendalikan kes sebegitu dan berharap mangsa yang merupakan seorang lelaki dan seorang perempuan boleh diselamatkan. Hanya Allah sajalah yang menentukan nasib kedua-duanya.

"Ada apa-apa pengenalan?"

"Ini ada beg tangan yang diambil dari kereta tu. Ada pengenalan mangsa kat dalam. Telefon bimbit pun masih elok. Cuma kami tak jumpa pengenalan mangsa lelaki. Mungkin dalam poket seluar dia. Tuan boleh tanya pihak hospital."

Anggota polis itu angguk dan mengucapkan terima kasih sebelum beredar. Dia membuka beg tangan dan mengeluarkan sebuah pasport bewarna merah hati lalu membaca nama pemiliknya.

"Aira Tihani binti Emran."


BAB 1

"Abang, bangun sayang..."

Suara gemeresik itu umpama melodi indah yang menyapa pendengaran. Andika masih memejam mata. Dia senyum apabila terasa ada hembusan perlahan di telinganya.

"Bangunlah, sayang..." Suara gemeresik itu masih cuba mengejutkan dia daripada tidur.

Pap!

"Auw!!!"

Andika rasa pipinya pijar akibat ditampar. Suara gemeresik hilang diganti pula dengan suara halus yang bising.

"Bangunlah, papa! Bangunlah, papa! Bangunlah!

Andika segera membuka mata. Tangan kecil masih menampar muka dan lengannya.

"Sofia... Kenapa tampar muka papa? Sakit tau?"

Andika bangun dari perbaringan. Dia pandang wajah anaknya, Sofia Tihani yang berwajah cemberut sambil memeluk tubuh. Lagak gaya seperti seorang ibu yang marah anak lelakinya bangun lambat.

"Papa janji nak buat Pia sarapan... Mana lempeng Pia?"

Andika meraup wajahnya. Aduhai... Dia tertidur pula selepas balik solat subuh di masjid.

"Dah pukul berapa ni, Pia?"

"Manalah Pia tau, papa. Pia kan tak reti tengok jam," jawab anak kecil itu. Andika ketawa kecil.

"Sorry, sayang... Papa lupa. Papa Juna mana?"

"Belum bangun..."

"Belum bangun?"

Andika geleng kepala. Bertuah punya adik. Sebelum pergi masjid tadi aku dah gerak, sekarang pun dia tak bangun lagi? Entah dia solat subuh ke tidak tadi! Jaga kau!

Andika turun dari katil.

"Pia tunggu papa kat meja makan. Kejap lagi papa siapkan sarapan." Dia mencium pipi gebu anaknya yang sudah berusia lima tahun itu.

"Papa busuk!" Sofia menyapu pipinya dengan tangan. Andika ketawa besar sambil menggosok kepala anaknya itu.

"Okey, sayang. Papa pergi cuci muka sekejap. Pia tunggu papa kat bawah," arah Andika. Dia mencapai tuala dan berlalu masuk ke bilik air.

Andika buka paip air. Dia membasuh wajahnya, kemudian merenung wajahnya pada cermin. Ada keluhan kecil kedengaran. Dia masih dapat mengingati gemeresik suara yang mengejutkannya daripada tidur tadi. Aira...

"Kenapa masih tak boleh aku lupakan kau, Aira?" Suaranya sedikit mengeluh. Dia benci dengan masalahnya yang satu ini. Sudah tiga tahun dan dia masih gagal mengatasinya.

Andika mencapai tuala dan mengeringkan wajah yang basah.

Lebih baik dia segera ke dapur dan menyiapkan sarapan Sofia. Kalau dia terus berfikir tentang orang yang dah lama tiada depan mata, satu kerja pun tak jadi nanti. Hari itu ada banyak kerja yang perlu dilakukan memandangkan majlis perkahwinan sepupunya, Reyhan akan diadakan esok.

"Papa, cepatlah! Pia dah lapar ni!"

"Sabar, sayang. Papa nak hidang la ni."

Andika segera menutup api dapur. Lempeng di dalam kuali segera diangkat lalu diletakkan di atas pinggan. Kemudian segera dihidangkan di atas meja. Anak kesayangannya itu menjerit girang.

"Yeay, lempeng Pia dah siap!"

Andika ketawa melihat gelagat anaknya. Setiap pagi itulah rutin hariannya. Bezanya pada hari minggu begitu dia turun ke dapur agak lewat kerana Sofia tidak ke sekolah.

"Setiap hari anak papa ni sarapan makan lempeng cicah sambal sardin, tak bosan ke?"

Anak itu geleng kepala. Mulut Sofia yang comot disapu dengan tangannya.

"Lempeng papa sedap... Cikgu Pia kat sekolah pun cakap sedap."

"Alah... Pia bagi cikgu makan masakan papa ke? Malu la papa." Andika pura-pura tutup muka. Sofia ketawa lagi.

Andika suka dengar tawa anaknya itu. Si comel yang menjadi satu-satu gula hatinya, penyeri hidupnya setelah warna-warna pelangi dalam hati kian pudar dari sehari ke sehari. Raut wajah comel itu mengingatkan kepada seseorang yang dia rindui walaupun dia tahu tidak ada guna lagi dia menyimpan rindu kalau tuan punya badan sendiri tak pernah muncul lagi.

"Alololo, comelnya dua beranak ni."

Suara itu membuatkan Andika berpaling. Dia senyum sinis kepada adiknya, Arjuna yang muncul di dapur.

Arjuna menarik kerusi lalu duduk sambil menongkat dagu. Memerhatikan abangnya yang kembali menyambung kerja-kerjanya di dapur. Matanya ralit memandang Andika yang masih memakai apron begitu lincah mengemas dapur.

Telinga Andika menangkap bunyi ketawa Arjuna.

"Kau ketawa kenapa?"

"Kau tu... Sejak bila pula suka pakai apron gambar Hello Kitty?"

"Ini Pia punya kerjalah. Semalam aku singgah kedai DIY nak beli apron. Dia suka yang ini. Dah anak aku suka, aku belilah."

Arjuna masih ketawa. Itulah abangnya, demi anak apapun sanggup dibuatnya.

Tangan Arjuna mencapai lempeng di atas pinggan Sofia. Sengaja nak menyakat.

"Jangan! Papa, tengoklah Papa Juna ni. Dia ambil lempeng Pia!" Anak itu mula mengadu. Ditepis tangan Arjuna yang masih berusaha mahu mengambil lempengnya.

"Jangan ambil Pia punya! Papa Juna goreng la lempeng sendiri. Ni semua, papa masak untuk Pia." Sofia tayang muncung panjang. Arjuna semakin galak ketawa. Suka betul dia menyakat anak kecil berpipi tembam itu.

Comel!

"Eee... Pia kedekut dengan Papa Juna erk. Tak nak kawan dengan dia."

Sofia turun dari kerusi tanpa mempedulikan ugutan Arjuna. Tangannya mencapai pinggan berisi lempeng.

"Nak ke mana pula tu?" tanya Andika yang masih sibuk menggoreng lempeng.

"Pia nak makan sambil tengok tv. Nanti kalau Pia makan kat sini, Papa Juna ambil lempeng Pia."

Arjuna geleng kepala sambil ketawa. Dia tersengih melihat gelagat anak saudaranya yang berusia lima tahun itu.

Kedekut!

"Sebiji perangai mak dia. Bukan peduli kalau orang ugut," bicara Arjuna mati sebaik saja dia berpandangan dengan Andika. Alamak! Terlepas cakap pula!

"Juna... Subuh tadi kau solat tak?"

"Huh? Errr... Aku lupa kunci jam." Arjuna gigit bibir.

"Kau tu bukan budak sebaya Pia nak ponteng solat. Pandai sendiri nak fikir. Aku pun bukan bagus sangat tapi kau tu suatu hari nanti jadi suami orang... Imam kepada anak dan isteri."

"Faham..." Arjuna angguk.

Sejak tiga tahun kebelakangan ini abangnya sudah banyak berubah. Kalau dulu, jangan haraplah nak tengok Andika memasak di dapur, inikan pula mengemas rumah. Pendek kata nak tengok pakai apron Hello Kitty memang taklah! Semuanya berubah semenjak Andika bercerai dengan Aira. Tugas menjaga Sofia digalas seratus peratus oleh abangnya itu.

"Cepat makan. Hari ni kau tolong jaga Sofia. Kak Yam sibuk merewang, aku pula nak ke ladang Reyhan. Dia dah kecoh kat WhatsApp yang lembu dia terlepas dari kandang."

"Ek eleh... Apalah Reyhan nak kecoh sangat? Lembu dia kan banyak. Hilang, ganti aja dengan yang lain."

"Kau tak tahu untung rugi orang berniaga memanglah tak kesah. Lembu Brakmas Reyhan tu lembu pedaging. Kalau tak ada 15k jangan haraplah boleh beli."

Arjuna hanya mencebik. Nak sindir akulah tu sebab tak nak uruskan ladang macam dia dengan Reyhan!

"Tak payah nak buat muka. Esok jangan pergi ke mana-mana. Aku tak nak dengar alasan kena pergi KL pasal ada shooting."

"Alah... Aku tak naklah join lapah daging tu. Geli kau tahu tak? Darah sana sini. Busuk pula tu. Muka handsome aku ni mana sesuai buat kerja macam tu. Bukan jiwa akulah!"

Arjuna tarik muka. Dia tahu itu bukan permintaan tetapi arahan. Siapa tak kenal Andika yang perangainya kuku besi tu? Apa yang dia suruh itulah yang mesti dibuat. Kalau bantah sama ada buat juga dengan rasa terpaksa atau boleh berambus dari wilayahnya!

"Banyaklah kau punya jiwa. Kau ingat muka kau aja yang handsome? Muka aku ni berkali ganda handsome daripada kau tau. Ada aku banyak songeh macam kau?"

Arjuna sedikit ternganga. Perasan teruk abang aku ni!

"Sudah, jangan nak banyak alasan. Ini hari Reyhan, kalau kau mengelat nanti sampai giliran kau kahwin, semua batang hidung saudara-mara tak nampak, kau nak jadi macam tu?"

"Aduh... Kau bercakap sebiji macam ibu." Arjuna ketawa kecil.

Andika malas nak layan kerenah Arjuna yang ada saja ragamnya. Lebih banyak ketawa daripada bersikap serius. Semua perkara nak diambil mudah.

"Dah... Aku nak tukar baju. Lepas makan, cuci pinggan dalam singki," pesan Andika sebelum berlalu mencari Sofia di ruang tamu.

Andika sudah bersiap untuk ke ladang Reyhan. Dia hanya memakai T-shirt hitam dan seluar baggy cargo bewarna khaki. Seketika dia menghadap cermin lalu menyisir rambut yang dipotong gaya brush up. Barulah dia perasan wajahnya sudah berjambang nipis kerana hampir seminggu tidak bercukur.

"Andi... Andi... Kalau Aira ada depan kau sekarang ni, masak kau kena leter." Andika tersenyum. Tiba-tiba dia terbayangkan wajah tak puas hati bekas isterinya yang memang tak suka lihat dia selekeh.

Senyuman Andika mati. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini makin kerap dia teringatkan Aira. Biasanya dia akan lupa apabila sibuk dengan urusan kerja. Apatah lagi, perniagaan pasar rayanya mengalami banyak masalah sehingga satu cawangan terpaksa ditutup.

Mujurlah dia masih peroleh banyak keuntungan daripada stesen minyak miliknya yang beroperasi di tiga cawangan. Harga sawit dan getah juga tidak menentu menyebabkan dia terpaksa mengatur semula strategi perladangan.

Andika membuka laci meja solek. Dia mengambil dompet lalu membukanya. Dia menatap gambar perkahwinannya dengan Aira dahulu. Gambar itu sudah digunting dan disimpan di situ. Satu-satunya gambar yang menjadi penawar rindu. Apa saja yang berkaitan dengan Aira dia sorok di bilik tidur lamanya di tingkat bawah. Bilik itu dikunci dan tidak ada sesiapa pun dibenarkan masuk terutama anaknya, Sofia.

Andika duduk di atas katil. Dia menghela nafas berat. Sepanjang hidupnya, dia tak pernah menyesal jika buat silap. Hanya satu kesalahan yang menjadi bebannya sehingga tidur malam pun tak lena.

Hendak saja dia menjerit kepada dunia untuk melampiaskan rasa kesalnya menceraikan Aira. Andainya dia diberi peluang kembali ke masa lalu, dia takkan melepaskan Aira walaupun dia terpaksa menelan penghinaan dan rasa jijik wanita itu kepadanya.

Namun begitu, egonya menghalang. Kenapa mesti dia luah rasa kesal kalau Aira sendiri yang minta dilepaskan? Bukankah dia sudah mengakui kesalahan dan berjanji untuk berubah? Hanya kerana dia tidak meminta maaf maka Aira terus menutup peluang kedua untuknya.

Aira tak adil! Dia lelaki sudah tentu dia menyimpan tinggi rasa egonya. Aira tak patut sulitkan masalah rumah tangga itu sehingga membawa kepada perceraian.

Andika menyimpan kembali dompetnya. Dia melihat jam di tangan sudah pukul 10.30 pagi. Kali ini dia merenung lama jam tangan Rolex tahun 1976 milik tok ayah yang dihadiahkan arwah kepadanya. Andika teringat kali pertama dia memakai jam itulah segala impiannya berubah. Dunianya terbalik hanya kerana seorang Aira Tihani!

Beberapa tahun yang lalu...

"Arwah dah pesan pada abah. Sebaik saja kamu tamat pengajian, jam tangan ini hak kamu. Tok ayah beritahu abah sejak kecil kamu nak sangat jam ni." Ehsan menyerahkan jam tangan Rolex milik arwah ayahnya kepada Andika.

Anak sulungnya itu baru saja pulang dari England setelah menerima triple honours degree dalam jurusan perniagaan, kewangan dan ekonomi dari Manchester Business School.

"Kamu pakailah selalu jam tu. Itu jam kesayangan arwah. Anak-anak dia pun tak dapat tau." Ehsan berbalas senyum dengan anaknya itu.

"Terima kasih, abah." Andika segera memakai jam tangan itu.

Akhirnya, jam tangan kesayangan tok ayah menjadi miliknya. Sejak kecil datuk adalah idolanya. Dia selalu beritahu abah, dia mahu jadi seperti tok ayah. Kuat semangat dan rajin berusaha sehingga menjadi orang yang berpengaruh dan kaya-raya.

Tok ayah pernah kata menjadi orang kaya dan ternama itu ada dalam darah keturunan mereka. Tok ayahnya dikenali sebagai Dato Haji Deraman. Ada juga yang memanggilnya Orang Kaya Deraman dan susur-galur moyangnya pula adalah daripada keturunan bangsawan Orang Kaya Indera Pahlawan yang terkenal di negeri Pahang.

"Errr... Ini saja ke, abah?"

"Itu ajalah..."

"Habis tu, ladang-ladang tok ayah? Tanah-tanah dia yang banyak tu? Takkan tak dapat sikit pun?"

Ehsan ketawa kecil. Dia bangun dari kerusi lalu mengambil fail yang tersusun di atas rak. Sebagai anak sulung, dia pemegang amanah wasiat arwah ayahnya.

"Kamu kena kahwin dulu. Abah rasa, kamu tak lupa syaratnya tu."

"Beritahulah, abah... Kalau Andi kahwin, Andi warisi apa daripada tok ayah?"

Anaknya itu semakin mendesak. Ehsan geleng kepala. Dia masak benar dengan sikap anaknya itu. Selagi tidak dapat apa yang dimahukan selagi itu tak berhenti mencuba.

"Ada... Dah dibahagi sama banyak dengan cucu arwah yang lain," jawab Ehsan sambil duduk semula.

"Sama banyak? Aih... Andi ni dari kecil ikut tok ayah. Takkan dapat sama macam orang lain?"

"Andika... Kamu patutnya bersyukur. Sebagai cucu, nama kamu ada dalam wasiat. Kalau ikutkan, abah dengan adik-beradik abah pun tak dapat sebanyak kamu dan sepupu-sepupu kamu. Kami semua bersetuju tanpa bantahan sebab kamu semua anak-anak yang lebih memerlukan. Abah pun dah tua. Lambat laun, harta abah dengan ibu kamu pun kamu juga yang dapat. Jangan tamak, Andika. Kaya tak boleh beli bahagia," nasihat Ehsan, tapi anaknya itu seperti tidak makan nasihat.

Andika senyum sinis tanpa ada riak bersalah.

"Abah, Andi cuma nak tahu saja..." Andika tak berminat nak mendengar nasihat abahnya itu.

"Kamu dapat wang simpanan 500k, tanah dan rumah banglo yang dah siap dibina, sebahagian ladang-ladang sawit dan getah arwah pun kamu dapat. Arwah pesan, kalau nak lagi kaya gunalah ilmu yang kamu ada. Tok ayah bantu setakat itu saja."

"Lagi?"

"Nak apa lagi? Tak cukup banyak tu?" Berkerut dahi Ehsan. Mujurlah yang di depannya ini anak kandung sendiri, kalau orang lain mahunya dia tutup fail dan halau saja balik. Tak berkenan betul dia dengan orang yang bersikap tamak dan tak pernah puas hati.

"Rumah tok ayah? Dusun dan tapak sawah lama yang luasnya sampai ke kaki bukit? Dulu masa Andi tinggal dengan tok ayah, dia janji semua tu jadi hak Andi. Tok ayah yang cakap macam tu." Andika tahu betapa tinggi nilai tanah itu. Tak kurang daripada 15 juta!

"Dia cakap saja, mungkin bergurau. Yang pasti rumah dan tanah tu bukan untuk kamu."

"Habis, siapa dapat? Reyhan, kan? Dah agak... Dia kan selalu berkepit dengan tok ayah." Andika ketap gigi tanda tak puas hati.

Sejak kecil Reyhan selalu jadi saingannya dalam mengambil hati datuk mereka. Dia belajar tinggi pun tak guna kalau pada akhirnya tok ayah tetap pilih budak buta huruf tu juga!

"Kamu ni kalau tak buruk sangka dengan Reyhan tak boleh ke? Sepupu paling baik dengan kamu pun nak cemburu juga? Tanah dan rumah tu tok ayah hadiahkan kepada Aira Tihani. Abah dah tukar nama dan serahkan dokumen tu pada Aira masa umur dia genap 21 tahun beberapa bulan lepas." Ehsan berterus terang walaupun tidak perlu untuk dia beritahu perkara itu kepada Andika kerana tidak ada kaitan.

"Aira?" Andika terkejut. Padahal adik Reyhan itu tidak dibesarkan oleh tok ayah. Balik kampung pun sekali sekala. Andika terbayangkan budak perempuan yang agak manja dan menjengkelkan sewaktu zaman kanak-kanak mereka.

Dia tak pernah anggap Aira sebagai sepupu. Tidak begitu rapat dan dia rasa Aira sangat pelik kerana sewaktu zaman kanak-kanak mereka, pantang nampak pelangi, Aira macam orang gila berlari sampai ke kaki bukit! Dah lama dia tak jumpa budak tu. Agaknya penyakit gila pelangi tu ada lagi ke tidak?

"Kenapa pula Aira yang dapat?" tanya Andika setelah lama berdiam. Kalau tadi dia duduk sila panggung, sekarang dia duduk tegak dan pandangan tepat pada raut wajah ayahnya.

"Tak payah kita bahaskan hal ni. Itu dah jadi hak dia. Kamu tu, dah ada calon isteri belum? Cepat kamu kahwin, cepat kamu dapat hak kamu."

Andika tak menjawab. Dia masih rasa sebal dengan apa yang telah diberitahu oleh ayahnya. Kenapa mesti Aira yang dapat? Tanah dan rumah tu sepatutnya aku yang punya!

"Andi, kamu dengar tak?"

"Tak ada lagi..." Andika jawab acuh tak acuh walaupun tujuan asalnya ke pejabat ayahnya itu untuk menyatakan hasrat dia mahu bernikah segera dengan kekasihnya Irdina, gadis yang dikenalinya ketika belajar di luar negara. Dia langsung tak cintakan gadis itu cuma baginya bolehlah dijadikan calon isteri. Hasratnya mati kerana apa yang dia impikan sudah terlepas daripada genggaman. Dia betul-betul tak puas hati. Dia mesti dapatkan tanah dan rumah itu dengan apa cara sekalipun!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro