Ep 64
Aisyah termanggu duduk di hadapan meja pegawai polis ini. Perasaan takutnya bercampur baur. Dia terpaksa ke balai bersama Amir dan Fahrin sebagai saksi utama kejadian langgar lari Aleyah.
"Maksud tuan, kejadian ini dirancang?" tanya Fahrin.
Hampir gugur jantung mereka menerima panggilan polis petang itu. Dengan Aleyah yang masih belum diketahui keadaannya, dia, Amir dan Aisyah dipanggil atas laporan yang telah dibuat. Kini mereka dikejutkan dengan fakta mengenai kejadian langgar lari yang dirancang. Siapa dan mengapa?
"Kami telah menemui beberapa rakaman CCTV berhampiran kawasan tersebut. Kami dapati pemilik kenderaan yang melakukan kes langgar lari ini memang sedang mengekori salah satu mangsa dan saksi," ulas pegawai polis yang bertugas itu.
Amir dan Fahrin berpandangan. Perasaan tidak sedap hati mula menguasai diri mereka.
"Mungkin target utamanya ialah bukan mangsa," Pegawai itu mengerling pula kepada Aisyah yang sedang terkedu.
"Sa-saya ke?" bergetar nada suaranya. Sudahlah habis dirinya menerima tamparan kemarahan hebat dari keluarganya, kini siapa lagi yang hendak 'target'-kan dirinya?
"Ya! Sejak sebelum mangsa datang dan bertengkar dengan awak, suspek ini dilihat sedang mengekori awak, Cik Aisyah!" terang pegawai itu lagi.
Fahrin dan Amir mengeluh tidak keruan. Aisyah menekup mulut. Takung air mata mula terisi kembali.
"Boleh kami lihat video rakaman tersebut, tuan?" pinta Amir.
"Sebab itulah kami minta saksi utama yang bersama mangsa untuk turun ke balai. Ini rakaman semasa mangsa dan saksi sedang bertengkar. Kemudian di sudut ini, suspek sedang memerhatikan mereka." tunjuk pegawai itu.
Amir, Fahrin dan Aisyah melihat ke arah yang ditunjukan oleh pegawai polis tersebut.
Berderau darah Aisyah melihat sosok itu. Ya! Mana mungkin dia tidak kenal sosok lelaki itu.
"A-af-zhan," terpancul nama itu dari bibirnya. Fahrin dan Amir terus mencerlung melihatnya.
"Cik kenal dengan lelaki ini?" tanya pegawai itu lagi.
Air mata Aisyah tak tertahan lagi dan terus mengalir. Dia mengangguk berkali-kali. Sungguh dia tidak sangka. Apa yang dijanji mereka kepadanya sungguh dusta sekali! Benarlah kata karma, dustanya kembali kepada dirinya semula.
"Siapa dia tu? Hah? Kau cakap betul-betul, siapa lelaki ni?" Fahrin naik berang. Hatinya sungguh marah mengetahui akan kejadian yang menimpa Aleyah adalah kejadian yang dirancang. Dasar jahanam punya manusia! Kutuknya.
"Encik, sabar. Kami akan selesaikan kes ini mengikut undang-undang. Encik jangan bertindak melulu. Mungkin memang benar suspek sengaja melanggar mangsa. Ini juga mungkin bahaya kepada encik." pegawai polis itu cuba berintonasi lembut kepada Fahrin.
Amir mengeluh. 'Ya Allah, siapalah yang nak cuba-cuba mengapa-apakan keluarga mereka itu? Bukannya mereka ada harta yang banyak untuk direbutkan. Dasar manusia busuk hati betullah,' desisnya.
"Jadi, Cik Aisyah ... boleh kami minta keterangan Cik di dalam bilik khas? Ada banyak lagi rakaman yang Cik perlu lihat dan sahkan identiti suspek, jika Cik kenal orang itu." ujar pegawai itu.
Aisyah mengangguk selepas mengambil nafas dalam dan dihembus lepas. Dia bersedia meluahkan segala yang dia tahu. Biarlah kali ini dia betul-betul menerima hukuman. Semoga Aleyah akan memaafkan kesalahannya. Dan semoga dia sempat meminta ampun kepada semua mereka. Itu saja harapannya kini setelah semua harapan dan angannya punah oleh ketamakan dirinya sendiri.
"Kak Aisyah ... ini peluang terakhir. Lepas ni, Amir pun tak dapat bantu lagi," pesan Amir seolah memahami isi hatinya.
Aisyah mengangguk lemah. Dia kemudian terpandang Fahrin. Sungguh, dia ingin meminta maaf, tetapi mulutnya terkunci.
Fahrin berpaling dari pandangan Aisyah. Sungguh dia benci melihat wajah itu. Gara-gara fitnahnya, Aleyah menanggung macam-macam derita selama ini. Sakit hatinya belum padam selagi keadaan Aleyah masih lagi parah ketika ini. Fahrin lantas berlalu keluar dari balai selepas Aisyah dibawa masuk ke bilik bicara khas.
Amir mengekori langkahnya.
"Abang Fahrin, pergilah hospital sekarang. Biar Amir saja temankan Kak Syah. Nanti kami menyusul." kata Amir.
"Kenapa kau nak tunggu dia lagi? Sedangkan dialah punca Aleyah kemalangan," tanya Fahrin tidak puas hati.
Amir menarik nafas dan dikeluh lepas.
"Walau apapun yang dia telah buat, kami tetap adik beradik, sedarah sedaging. Amir pasti, Kak Leah sendiri yang rela selamatkan Kak Syah tadi. Amir nampak jelas, sebenarnya Kak Leah cuba selamatkan Kak Syah. Sebab tu, Kak Aisyah tak berani larikan diri. Dia tahu, dan dia tersedar pengorbanan Kak Aleyah walaupun dia yang menyakiti hati Kak Leah selama ni." ujar Amir.
Fahrin terpana. Apa sebenarnya yang berlaku?
***
Aisyah sekali lagi menyeka air mata. Berkali-kali dia cuba membuang bayangan kejadian pagi tadi, namun tetap jua ingatan itu berlayar semula di mindanya.
Imbas kembali ... (Sebelum Aleyah kemalangan)
"I'm not done yet!"
Aleyah menarik bahu kanan Aisyah. Serta merta Aisyah menepis tangan itu dan menolak tubuh Aleyah.
Aleyah yang tidak dapat mengimbangi badannya tersandar pada sisi kenderaan yang parkir berhampiran.
"Aisyah, aku belum habis cakap lagi!" sekali lagi Aleyah memanggil Aisyah yang sudah berjalan di atas lintasan pejalan kaki.
Aisyah menghentikan langkahnya lalu berpaling menghadap Aleyah yang mengekorinya.
"Apa lagi yang kau nak cakap? Nak cakap aku jahat? Biadap? Kurang ajar? Lantak kaulah! Aku cuma nak kepuasan bila nampak kau tak senang. Sebab sebelum ni, asyik kau je senang. Yelah, dulu ayah memang suka bela kau. Manjakan kau. Apa kau nak, semua dia bagi. Tapi apa? Dia pun khianati kau juga. Dia tinggalkan kita dengan ibu yang masa tu tengah sakit! Ha, siapa yang buat ayah berambos? Kau lah puncanya. Sebab tu ibu pun bencikan kau!" kata Aisyah dengan nada penuh dendam dan benci.
"Kau tuduh aku sebab ayah tinggalkan kita dulu? Tolonglah, kau pun tahu bukan aku puncanya. Perempuan yang tergila-gilakan ayah tu yang menghasut ayah. Aku serang majlis nikah ayah bukan nak malukan keluarga kita, aku nak selamatkan ayah ... tapi aku terlambat." balas Aleyah.
"Aku tak percaya. Kau sebenarnya yang buat hidup ibu lebih susah. Kau ceraikan mereka. Kau tak nampak ibu menangis tiap malam sebab rindukan ayah. Kau tak pernah ambil tahu perasaan ibu. Kau sibuk cari duit siang malam. Konon nak tunjuk pengorbanan. Hebat lakonan kau." herdik Aisyah lagi.
Zuuummmmm! Kedengaran bunyi kenderaan yang laju sedang menghampiri mereka. Kaki Aisyah serta merta kaku mengeras. Kelajuan kereta itu seolah-olah sedang menghala tepat ke arahnya yang sedang berdiri di tengah-tengah jalan. Aisyah mengeletar.
Aleyah yang terlihat kereta bergerak laju itu dengan pantas berlari menuju ke arah Aisyah. Terus sahaja tubuh Aisyah diganti dengan tubuhnya dalam sekelip mata!
"Tidak!" Aisyah tidak sempat berlari semula menuju ke arah jalan. Tubuh Aleyah sudah dirempuh laju dan terkulai di atas jalan dengan darah yang mengalir pekat.
"S-syah," terketar-ketar suara Aleyah memanggil namanya sambil memberikan senyuman.
Air mata Aisyah tumpah bak bah. Bahunya terenjut bersama irama tangisan yang pilu. Dia menyesal. Sungguh menyesal. Pengorbanan Aleyah sangat besar kepadanya. Bukan saja nyawanya yang selamat, malah nyawa anak dalam kandungannya. Dia tahu, kerana itulah dia diselamatkan Aleyah.
"Cik Aisyah? Mohon bertenang ya ... kami beri masa lima minit untuk cik habiskan apa yang terbuku di hati cik itu." kata pegawai polis bertugas. Dia sudah faham akan situasi saksi yang kebiasannya akan trauma selepas melihat kejadian ngeri seperti itu.
Aisyah mengangguk. Nafas ditarik dan ditahan di dalam-dalam sebelum dihembuskan lepas. Semoga dipermudahkan, doanya.
*
*
*
1122
Edited,
8 January 2019
15:42
*
*
*
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro