Ep 44
"Amboi ibu, sejak balik dari kerja ni, Amir nampak ibu senyum saja. Seronok ke tempat kerja baru tu?" tanya Amir yang ternampak ibunya tersenyum di sinki dapur mencuci pinggan mangkuk selesai makan malam.
Imah menoleh ke belakang dan tersenyum lebar. Terlihat Amir bersandar pada peti ais. Alhamdulillah, kaki Amir pun semakin pulih. Anak ketiganya juga cekal hati. Hari-hari Amir melatih diri agar kakinya cepat sembuh.
"Alhamdulillah Amir, tempat kerja ibu tu cukup baik. Senang saja bekerja di sana," balas Imah. Dia berura-ura ingin menceritakan hal Aleyah yang merupakan bos besar syarikatnya bekerja, namun hatinya masih tersa malu pada Amir.
"Baguslah tu ibu. Insya-Allah lepas kaki Amir ni dah sembuh, tak payah la ibu kerja lagi ... biar Amir ambil balik tanggungjawab tu," kata Amir.
Imah mengeluh. Kalau dia berhenti, dia tidak akan nampak lagi wajah Aleyah. Semakin lama rasa rindu menatap anaknya itu kembali.
"Ibu rasa seronok pula bekerja sekarang ni. Lagipun kerja tu taklah susah mana. Ibu pun nak bantu Amir," tutur Imah perlahan.
"Kerja ibu kan kat rumah. Jaga kami, ayah pun dah semakin sihat ... walaupun tak selalu pergi terapi. Lepas ayah dah sihat nanti ibu dengan ayah nikah balik, ya? Lepas tu, biar ayah dan Amir tanggung kita semua." ujar Amir pula. Baginya tugas mencari rezeki sememangnya tugas seorang lelaki.
"Yelah, nanti ibu fikirkan semula." Jawab Imah lemah. Dia segera berlalu dari dapur rumahnya dan menuju ke arah Mansor yang sedang menonton televisyen di ruang tamu.
"Abang tak tidur lagi, ke?" soalnya kepada Mansor pula.
"Abang tak dapat nak lena. Abang terfikirkan dosa abang pada Imah dan anak-anak dulu," balas Mansor. Kini pergerakan mulutnya mulai sembuh. Tidak lagi bibirnya tergagap-gagap untuk bercakap.
"Abang janganlah cakap macam tu. Imah dan anak-anak maafkan abang," balas Imah seraya duduk di kerusi bersebelahan kerusi roda Mansor.
"Tapi ... Aleyah?" tiba-tiba nama anak sulung mereka meniti di bibir.
Sejak Aisyah ceritakan hal kejadian Aleyah, dia seakan tidak percaya. Mana mungkin anaknya bersikap jalang seperti itu. Kenapa Aisyah menuduh Aleyah, kakaknya seperti itu? Bila dia tanyakan pada Imah, tidak pula bekas isterinya menjawab. Begitu juga bila dia bertanyakan hal yang sama kepada Amir.
"Imah pasti Aleyah baik-baik saja sekarang ni. Saya pun rasa bersalah pada dia," luah Imah. Dia tahu, sebab hari-hari dia memerhatikan Aleyah.
"Abang dah buat silap pada Imah dan anak-anak. Abang berdosa. Lepas ni, abang cuma nak kan keluarga kita seperti dulu. Ada Aleyah ... dan yang lain-lain. Sedar tak sedar, mereka semua ni dah dewasa sendiri ... abang rasa rugi tak nampak mereka membesar." kata Mansor. Dia kesal meninggalkan amanahnya terhadap anak-anak.
"Ayah janganlah cakap macam tu lagi. Amir pasti, kak Leah pun akan maafkan ayah. Ni semua takdir Allah ... Adik-adik semua pun dah terima ayah semula," kata Amir yang berjalan terhinjut-hinjut dari ruang dapur.
"Betul tu bang, setiap manusia memang tak lari dari kesilapan. Imah pun sama. Kita kena redha ..." Sambung Imah. Dia juga menyesali akan sikapnya terhadap Aleyah dahulu.
"Lepas abang dah sembuh nanti, kita cari Aleyah, ya? Abang nak tahu, kenapa dia dah lari ... abang tak pecaya kalau dia buat perkara terkutuk tu. Abang yakin Aleyah tak macam tu," kata Mansor penuh yakin!
"Eleh, sikit-sikit nak cakap pasal perempuan tu! Balik-balik je dengar nama dia. Menyampah!" sampuk Aisyah yang baru pulang. Masuk-masuk pintu bukan memberi salam, malah mengutuk pula mulutnya.
"Pedulikan dia tu. Dia dengki, memang tak payah layan," Amir sengaja menyindir.
Mansor memandang Imah yang bertunduk kepala. Dia melepaskan nafas berat. Kalaulah dia tidak pergi meninggalkan Imah dan anak-anak dulu, pasti kehidupan mereka lengkap. Tapi apakan daya? Masa tidak boleh diulang semula, apa yang berlaku tetap berlalu. Setiap manusia perlu redha akan ketentuan qada dan qadar Allah S.W.T.
**
"Assalamualaikum ..." Sufyna memberi salam kepada tuan rumah Villa tersebut. Sudah tiga kali dia memberi salam, namun tuan rumahnya belum juga keluar. Lonceng pintu ditekan sekali lagi.
"Waalaikumusalam ... sekejap," jawab tuan rumah. Sufyna mengeluh lega. Ada juga penghuninya.
"Waalaikumusalam ... Eh, Sufyna, kan?"
"Ya, saya ... Puan Seri apa khabar?" sapa Sufyna berbasa basi. Ini kali ketiga dia bertemu wanita ini. Puan Seri Jannah, ibu kepada Fahrin, bekas suaminya.
"Umi Alhamdulillah, sihat. Masuklah ... maaflah, tadi Umi solat, itulah lambat nak keluar," Puan Seri Jannah menyambut tetamunya dengan hati terbuka. Siapapun tetamu yang datang, seharusnya dilayan dengan baik, selagi mereka tidak datang mengancam diri.
"Oh, yelah ... maaflah Sufyna ganggu umi solat pula tadi,"
"Tak apa ... duduklah dulu, Aiden ada di ruang tamu dalam. Umi tak kasi dia buka pintu kalau umi solat. Maklumlah, sekarang macam-macam kes, kan," kata Puan Seri Jannah. Faham akan tujuan Sufyna. Pastinya ingin bertemu anaknya. Ibu mana yang sanggup terpisah dengan anaknya?
Sufyna tersenyum gembira. Baik sungguh layanan bekas mertuanya ini. Sungguh rugi dirinya meminta cerai dari Fahrin dulu.
"Aiden, I miss you so much!" Sufyna segera memeluk anaknya yang sedang mewarna di atas meja. Aiden terkebil-kebil dalam pelukan itu. Sufyna tidak peduli, terus sahaja dicium-ciumnya wajah Aiden yang semakin masam.
"Lama ke Sufyna kat Malaysia ni?" tanya Puan Seri Jannah sambil membawa dulang berisi air nescafe dan tea cups.
"Sufyna cadang nak stay terus di Malaysia. Daddy Sufyna dah bising dah Sufyna duduk jauh dari diorang. Cafè Sufyna pun dah ada yang ambil alih, so mungkin dah tak balik Spain lagi," jawab Sufyna. Dia mengambil cawan yang dihulurkan Puan Seri Jannah.
"Baguslah kalau macam tu. Ibu bapa ni, kalau dah tua-tua perlukan perhatian lebih dari anak-anak. Sufyna pun anak tunggal. Terpaksalah Sufyna seorang je menjaga ibu bapa semula. Dalam kita membesar sendiri, jangan lupa ibu bapa juga semakin meningkat umur, semakin dimamah usia," nasihat Puan Seri Jannah.
Sufyna sekadar tersenyum pahit.
"Fahrin mana umi? Tak nampak pun," tanya Sufyna. Tujuan utamanya ke sini adalah Fahrin.
"Fahrin belum balik kerja ... Mungkin ada overtime," jawab Puan Seri Jannah.
"Ye ke? Patutlah tak nampak."
"Sufyna masih ada perasaan pada Fahrin ke?" duga Puan Seri Jannah terus terang.
Hampir sahaja Sufyna tersedak meminum nescafenya.
"Err ..."
"Umi nak minta maaf pada Sufyna. Tapi Fahrin dah ada isteri. Sebelum dia kahwin dengan Sufyna dulu, Fahrin dah kahwin dengan isteri dia yang sekarang ... umi harap Sufyna tak ganggu lagi kehidupan dia. Lagipun Sufyna sendiri yang tinggalkan dia dulu," tutur Puan Seri Jannah. Dia mahu berterus terang. Biar kali ini Aleyah pula mendapat bahagia. Lagipun Sufyna sendiri yang angkat kaki daripada Fahrin dahulu. Kini yang selayaknya buat Fahrin ialah Aleyah.
"Hah? What?" Membulat biji mata Sufyna. Betullah apa yang daddynya pernah cakap dulu.
"Pasal Aiden, umi tak halang kalau Sufyna nak berbincang dengan Fahrin ... Tapi, umi tak setuju kalau Fahrin berbaik semula pada Sufyna. Umi minta maaf banyak-banyak," kata Puan Seri Jannah dengan jelas. Biarlah dia berterus terang daripada berselindung di balik tabir.
Sufyna terbungkam!
😕 Bersambung.. 😣
1114 * 16 Dec 2018 * 22:07
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro