Ep 31
"Aleyah dah cukup rehat ke ni?" tanya mak tok.
Aleyah yang baru menapak ke ruang dapur mengangguk.
"Dah mak tok. Baru segar rasa mata ni," jawabnya.
"Eloklah tu ... tak lah penat sangat lepas ni,"
Aleyah mengangguk lagi.
"Mak tok nak masak apa ni? Boleh Aleyah tolong?" soalnya.
Mak tok yang sedang mengacau lauk berkuah tersenyum.
"Tak apalah ... biar mak tok je buat. Aleyah duduklah kat ruang tamu tu ... nanti dah siap, mak tok panggil semua." balas wanita tua itu.
"Tak apa ke? Banyak ni mak tok masak," Aleyah serba salah pula terhadap layanan baik wanita tua itu. Sepatutnya yang mudalah menjaga kebajikan yang tua. Ini macam terbalik pula.
"Tak apa, mak tok dah biasa dah. Duduklah kat ruang tamu tu. Aleyah kan tetamu mak tok," kata mak tok lagi.
Aleyah akhirnya mengalah apabila mak tok menarik tangannya dan membawa menuju ke ruang tamu. Mahu tidak mahu, Aleyah turutkan saja langkah kaki wanita itu.
"Amboi Fahrin, dah tak reti nak duduk elok-elok ke? Tak malu ke dengan anak bini sendiri?" mak tok pantas menegur Fahrin yang berbaring penuh di atas sofa panjang. Kaki kanannya disilangkan di atas lutut kiri.
Aleyah tertawa mendengar bebelan wanita itu.
"Manalah diorang peduli, Fahrin je sorang kat sini dari tadi," jawab Fahrin serta merta membangunkan badannya.
"Aleyah duduklah dulu dengan Fahrin tu. Nanti dah siap mak tok panggil semua," arah mak tok seraya melangkah ke ruang dapur semula.
Mahu tidak mahu, Aleyah duduk juga di sebelah Fahrin. Hendak mengelak, risau pula jika mak tok terperasan akan sikap dinginnya. Puan Seri Jannah juga sudah berpesan awal-awal lagi, mak tok paling tidak suka kalau anak cucunya tidur berasingan suami isteri.
"Cukup rehat? Dah okay?" tanya Fahrin.
"Hah? Dah ..." hanya itu sahaja yang terkeluar dari bibir Aleyah. Kepalanya meninjau-ninjau keadaan ruang tamu tanpa menoleh ke arah Fahrin.
Suasana sepi seketika antara mereka berdua. Tiba-tiba, Fahrin dengan selamba membaringkan semula badannya. Kali ini kepalanya sengaja diletakan di atas riba Aleyah.
"Apa ni? Janganlah macam ni ... saya tak suka," Aleyah jadi tidak selesa. Terasa hangat kepala Fahrin di atas ribanya. Serta merta wajahnya terasa panas dan merona.
"Tumpang kejaplah ... penat tau saya drive tadi," kata Fahrin. Kelopak mata terus ditutup rapat.
Aleyah terpaksa mengalah lagi. Takut pula kalau mak tok ternampak sikapnya itu.
Fahrin menarik nafas lega apabila Aleyah sudi bertolak ansur.
"Aiden dengan Puan Seri mana?" tanya Aleyah.
"Entah, mandi kot ..." Fahrin membuka semula mata sambil memerhatikan Aleyah dari sudutnya.
"Seksinya Aleyah dari sini," usik Fahrin.
Aleyah lantas memandang tajam kepada Fahrin.
"Ish!" dia mendengus kasar. Pahanya pantas ingin dialihkan.
"Aleyah ... Leyah makan tempoyak tak?" tiba-tiba mak tok muncul dari arah dapur.
Aleyah menghentikan perbuatannya. Air liur bagai tersekat di kerongkong. Pastinya mak tok dapat menangkap sikapnya tadi.
"Amboi Fahrin, manjanya? Kesian Aleyah ... mesti dia rasa malu dengan mak tok," tegur wanita itu.
"Biarlah ... mak tok je yang nampak. Khas untuk mak tok, kan sayang?" Fahrin sengaja mengusik isterinya lagi. Aleyah mengetap bibir.
"Hisy, ada je jawapan dia tu! Ni, tadi mak tok tanya Aleyah, kan? Aleyah makan tempoyak tak?" tanya mak tok semula kepada Aleyah.
"Erm, tak pernah makan ... Tapi mungkin boleh try," balas Aleyah.
"Bagi dia rasa semua, mak tok ... bukannya selalu Aleyah datang sini," pintas Fahrin sambil tersenyum. Kepalanya masih lagi berbantalkan paha Aleyah.
"Yelah tu! Nanti termuntah lagi si Aleyah ni ... kalau berisi anak tak apa juga," balas mak tok selamba.
Serta merta wajah Aleyah jadi merah padma mendengar kata-kata mak tok itu. Malu pula apabila teringat akan kejadian tengah hari tadi. Tak pasal-pasal mak tok menyangka dirinya mengandung!
"Biarlah dia muntah dulu, nanti-nanti kami usahalah nak isikan," Fahrin semakin galak mengusik isterinya yang masih diam.
Aleyah terkesima! Makin lama, makin berani pula suaminya mengenakan dirinya di hadapan mak tok. 'Amboi, dia senang-senang je nak bahan aku! Mentang-mentanglah sekarang aku tak boleh melawan.' gerutunya.
"Ish, tak malu betul ... dah tua-tua makin gatal ye kamu ni, Fahrin!" balas mak tok. Wanita itu bergeleng kepala melihat sikap Fahrin. Di dalam hati, dia bersyukur melihat kebahagiaan cucu dan menantunya itu. Dia kemudian berlalu ke dapur semula. Meninggalkan pasangan bahagia itu berdua.
Setelah pasti mak tok masuk ke ruang dapur, Aleyah segera berdiri. Dia tidak betah melayan perangai Fahrin yang seakan berharap kepada dirinya. Entah mengapa dia terasa sakit hati mendegar segala usikan manja itu.
"Aduh ... Aleyah nak pergi mana tu?" tanya Fahrin. Kepalanya yang terjatuh dari riba Aleyah digosok.
"Tak payah sibuklah!" balas Aleyah lalu menuju ke bilik tidur. Pintu bilik ditutup rapat.
***
"Malam ni, mak tok nak tidur dengan cicit mak tok, boleh?" ujar mak tok usai makan malam. Ketika ini, keluarga kecil itu sedang duduk berkumpul di ruang tamu rumah.
"Tak payahlah mak tok susah-susah ... Aiden ni malam-malam buta bangun nak itu ini, nanti menganggu mak tok pula," balas Fahrin.
Aleyah mengangguk bersetuju. Kalaulah Aiden tidur dengan mak tok, maknanya, hanya tinggal dia dan Fahrin sahaja. Untuk itu, Aleyah masih belum bersedia.
"Itu perkara kecik saja, bukannya mak tok tak biasa. Dulu masa Fahrin kecik selalu juga bangun malam-malam buta masa tidur dengan mak tok,"
"Tapi mak tok," Fahrin bukannya tidak mahu mengizinkan, tetapi ...
"Aleyah, malam ni Aiden tidur dengan mak tok ya, boleh?" tak mahu beralah, mak tok bertanya pula kepada isteri cucunya itu.
"Hah? Mm ..." Aleyah jadi serba salah. Jika diiyakan, dia tidak mahu berdua bersama Fahrin di bilik itu. Jika dijawab tidak, pastinya hati wanita tua itu terusik. Dalam keadaan ini dia sendiri tidak tahu hendak jawab apa.
"Aiden ... Aiden nak tidur dengan tok nek, tak?" Puan Seri Jannah cuba bertanyakan cucunya.
"Hah, Aiden ... tidur dengan tok nek, ya? Tok nek ada kereta kebal, helikopter kat bilik tok nek tu. Papa Aiden yang punya dulu," tok mak cuba memujuk cicitnya pula.
Aleyah berasa lega kerana mertuanya mengambil jalan mudah bertanyakan anak kecil itu. Dia mengharapkan jawapan selamat dari kanak-kanak berusia dua tahun sebelas bulan itu. 'Pleaselah Aiden, tolong mama.' bisik hatinya.
Aiden memandang penuh minat kepada moyangnya ini. Baru sehari jumpa, tok nek melayannya dengan baik.
"Nak tak?" tanya mak tok lagi kepada Aiden.
"Tak nak lah, nak tidur dengan mama," jawab Aiden pantas menuju ke arah Aleyah.
"Hurm, tak apalah ... tak biasa lagi tu," kata Puan Seri Jannah.
Wajah Aleyah jelas lega dengan keputusan Aiden. Sebaliknya pula wajah Fahrin.
"Tak apalah mak tok, esok ada lagi ..." ulas Fahrin. Dia mahu mengharapkan apa? Entahlah ...
"Yelah tu, kalau korang asyik tidur bertiga, bilalah cicit mak tok ni nak bertambah?" Seloroh mak tok.
Aleyah terbatuk kecil.
'Mak tok ni, dari tadi mengharapkan apa? Dia tak tahu ke kisah aku dengan Fahrin? Dia tak tahu ke apa yang Fahrin dah buat pada aku dulu?' jerit hati Aleyah.
Walaupun Aleyah telah sudi membuka pintu hatinya semula kepada Fahrin, itu tidak bermaksud dia harus menyerahkan segalanya! Bagaimana jika dia dilukai semula? Aleyah masih takutkan itu. Lagipun perasaan cintanya sudah seakan berubah pudar. Dinding egonya masih utuh. Dia harus bertahan, agar hatinya tidak terluka lagi.
Itulah pesan kepada dirinya. Sampai bila? Aleyah juga tidak pasti. Ini semua masih baru buatnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro