Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Ep 27

Imah duduk berteleku memandang jalan di belakang rumahnya. Sayu hatinya saat ini. Pelbagai bebanan keluarga yang ditangungnya. Bekas suaminya, Mansor kini dalam tanggungannya. Amir anaknya juga mendapat kecederaan serius semasa bekerja. Siapa lagi dia hendak diharapkan untuk membantu?

Aisyah? Gadis itu hanya sibuk membeli keperluannya yang mahal-mahal. Jika dipinta gajinya pada hujung bulan, Aisyah akan mengelak.

Amir? Kini sakit dengan kecederaan serius. Terpaksalah Amir bercuti panjang dan mengambil masa untuk menyembuhkan tulang kaki yang retak.

Ayda dan Azam sedang melanjutkan pelajaran di menara gading. Amir yang berkeras menyuruh mereka sambung belajar hingga ke universiti. Kelak dapat membantu mereka semua nanti.

Azura dan Airin juga masih di sekolah menengah. Keluhan berat dilepaskan saat mengira-ngira kesemua anak-anaknya.

Tiba-tiba air mata Imah mula menitis. Mengenangkan seorang lagi anaknya. Entah di manalah Aleyah sekarang ini? Jika Aleyah ada, pasti anaknya itu seratus peratus membantu meringankan bebannya.

"Ibu, Leah dah ada kerja sekarang ni. Ibu tak payahlah susah-susah buat nasi lemak lagi. Leah dah dapat dua kerja. Siang jadi kerani, malam Leah kerja kat 7Eleven. Ibu ambik upah menjahit jelah." Kata-kata anak gadisnya itu tiba-tiba terkeluar daripada ingatannya.

"Tak payahlah sampai dua kerja. Satu cukuplah ... penat tau nak kerja siang malam ni." kata Imah.

"Tak apalah, Leah muda lagi. Leah boleh. Ibu dah tak berapa nak muda lagi. Ibu kena banyak berehat. Ibu kena sihat. Pada siapa kami nak bermanja kalau ibu sakit?" kata anak itu dengan penuh tulus.

Air mata Imah jatuh berderai. Rindu akan setiap kata-kata tulus dari Aleyah.

"Ibu, ibu! Ampunkan Leah ibu. Leah tak salah. Ini semua fitnah. Ibu, bukaklah pintu ni. Mana Leah nak tidur? Ibu!"

Imah teringat pula hari kejadian dia menghalau Aleyah dari hidupnya. Hati ibu mana yang tak terluka pada anak yang telah menconteng arang ke muka? Sudah tiadakah maruah keluarganya?

Serta merta juga dia terkenangkan peristiwa ketika Mansor meninggalkan mereka dahulu. Gara-gara Aleyah menyerbu majlis pernikahan Mansor dan janda beranak satu itu, Mansor meningalkan mereka. Mansor adalah lelaki yang dicintainya sepenuh hati. Kerana Aleyah telah melakukan kesalahan, Imah tanpa sengaja berdendam kepada anaknya sendiri.

"Kau berambos! Aku tak ada anak jalang macam ni. Keluar kau dari sini!" ucapan deras itu kembali di ingatannya. Hari itu dia seperti dirasuk syaitan. Sampai hatinya menghalau anak sendiri? Dan menuduhnya seperti itu?

'Ibu jenis apakah aku ini?' Imah sayu meratapi kebodohan dirinya sendiri.

"Leah, ampunkanlah ibu Leah. Ibu berdosa pada Leah, anak ibu sendiri ... mungkin, inilah yang ibu dapat sekarang sebab buang Leah dulu," ucap Imah penuh sayu. Tangisnya makin deras.

"Ibu ..." panggil Amir.

Imah menoleh bersama air mata yang mengalir di pipi. Amir yang kini menggunakan kayu tongkat dipandang.

"Ibu, ibu sabarlah ... kejap je kaki Amir ni. Bila dah sembuh nanti kita cari Kak Leah, ya?" kata Amir.

"Ibu malu nak cari dia, Mir. Ibu bersalah pada dia ..." balas Imah.

"Ibu, ibu minta maaf je pada Kak Leah. Amir tahu, mesti Kak Leah akan maafkan." pujuk Amir lagi.

"Ibu tak layak, Mir. Ibu bersalah pada Kak Leah."

Imah mengesat air mata yang gugur ke pipi. Jika boleh dia kesat semula masa lalu, dia tidak mungkin memutuskan kasih sayang untuk anaknya itu.

"Korang tak payahlah sibuk nak cari dia. Dia dah senang sekarang ni. Mana dia nak pandang korang lagi." sampuk Aisyah dengan tiba-tiba.

Imah menundukan wajah sementara Amir memandang tepat ke arah Aisyah.

"Kak, Amir tahu Kak Leah tak macam tu. Dia senang ke, dia susah ke, dia mesti ingatkan keluarga dia. Kak Leah baik. Sebaik-baik hati dia yang tulus. Dia sanggup bila ibu suruh dia berhenti dari sambung belajar di Universiti dulu. Sedangkan keputusan dia cemerlang. Dia sanggup korbankan masa remaja dia bekerja untuk membantu keluarga. Tapi apa yang kita balas pada Kak Leah?"

"Cukup, Amir. Ibu tak sanggup nak dengar lagi. Ibu tahu, semua salah ibu." air mata Imah menangisi kesalahannya.

"Tapi dia jalang jugak. Baik apa nya tu?" tuduh Aisyah lagi.

"Amir tak percaya Kak Leah perempuan jenis macam tu. Amir pasti, ni semua fitnah je." bentak Amir.

"Bukan kau yang nampak. Anak lelaki tua tu pun nampak. Kau jangan nak menangkan dia pula. Kalau dia dah jenis macam tu, nak buat macam mana?" Aisyah masih mahu menuduh. Meluap-luap amarahnya bila Amir terus-terusan membela Aleyah.

"Amir tak percaya!"

"Cukup, angah, Achik! Ibu tak nak korang bergaduh. Cukuplah. Ibu tahu, ibu yang salah pada Kak Leah." kata Imah. Dia lantas berdiri meningalkan kedua anaknya itu.

Amir terdiam. Dia mengerling ke arah Aisyah. Meluat rasanya melihat wajah Aisyah yang seolah-olah menang dalam situasi itu.

"Angah, achik! Tak boleh gaduh. Kesian ibu. Dia mengandungkan angah dengan achik selama sembilan bulan bukan untuk kita bergaduh. Kita kena tolong ibu. Tolong senangkan hati ibu." kata-kata Aleyah ketika mereka masih lagi kanak-kanak. Imah akui, sejak kanak-kanak lagi Aleyah sudah menampakkan sifat ketulusan hatinya.

***

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro