Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

PROLOG

Sehelai kertas putih dihulurkan bersama senyuman lebar di bibir. Keputusan SPM yang baru saja dia terima tadi disambut teruja oleh si abang. Bola mata itu bergerak dari atas ke bawah. Meniti setiap huruf yang tertera di helaian nipis itu. 

"Alhamdulillah.. bijaknya adik abang ni. Straight A terus kau bagi eh" Seperti yang dijangka, reaksi abangnya diselit dengan usikan manja.

"Yelah.. adik abang kan. Mestilah bijak macam abang" Fariha tersengih menampakkan barisan gigi yang putih.

"Abang akan pastikan adik abang ni masuk universiti. Tak kisah la abang kena kerja keras sekali pun. Abang nak tengok adik abang berjaya" 

Itu janjinya. Jika dulu, dia tiada peluang untuk melanjutkan pelajaran meskipun dia adalah pelajar cemerlang di sekolah. Tawaran untuk ke menara gading terpaksa dilupakan. Mereka tidak mampu dari segi kewangan. Abah sudah meninggal sejak dia di darjah 6. Mak pula hanya membuat kuih dan dijual di tepi jalan. 

Jadi, terpaksa dilupakan saja hasrat itu. Tetapi kini Fariha sudah tamat SPM, dia tidak mahu adiknya mengalami nasib yang sama.

"Seperti yang abang janji sebelum ni, permintaan adik akan ditunaikan. Adik boleh minta apa saja yang adik nak"

"Ceh! Abang banyak ke duit nak beli hadiah mahal-mahal?" Fariha mencebik bibir. Sengaja mahu mengusik si abang.

"Eh, ingat abang miskin sangat ke?" Firhad mencekak pinggang. Terlepas ketawa Fariha melihat reaksi abangnya. Jari mengetuk dagu, pura-pura berfikir.

"Okay… kalau macam tu adik nak kakak ipar, boleh?" Fariha menyoal teruja. Berniat untuk mengenakan lagi lelaki di hadapannya.

"Ish banyak-banyak benda, itu jugak kau nak" Firhad menjuling mata ke atas. 

Budak ni minta kakak ipar macam minta aiskrim. Ingat senang ke nak jaga anak orang. Dengan duit pun tak berapa nak banyak lagi. Nanti nak bagi makan apa? Pasir? Firhad mendongkol geram dalam hati.

"Ala… boleh la" tangan Firhad digoncang. Pantas lelaki itu menggeleng sambil jari  digoyangkan kiri kanan. 

Usianya masih terlalu muda. Rasanya belum sesuai untuk berbicara tentang kahwin. Dia mahu bahagiakan mak dan adiknya terlebih dahulu. Lagipun dia belum bersedia ke arah itu. 

"Abang bercinta pun tidak. Dah la tak ada apa-apa. Motor buruk ni je yang ada pun. Siapalah nak kat abang ni" Firhad mencebikkan bibir. Wajah sedih ditayangkan.

"Eleh.. Akak Fara tu siapa kalau bukan awek abang"

Firhad tersenyum kambing. Gadis sopan itu terbayang di fikiran. Mereka bukanlah pasangan kekasih. Cuma, masing-masing faham yang hati sudah dimiliki.

"Cepatlah cakap nak apa. Alang-alang abang nak ke bandar lepas balik kerja malam ni" Firhad cepat-cepat mengubah topik. Makin dibiar, makin menjadi-jadi budak ni.

Fariha ketawa memandang wajah merah abangnya. Eleh! Tak nak mengaku konon.

"Belikan adik teddy bear!" 

"Yang besar tau!" Sambungnya lagi. Sekali dengan tangan menerawang ke udara.

"Dah besar-besar pun main patung lagi. Dasar budak pendek" Kepala gadis itu diketuk selamba. Siapa lagi dia nak buli kalau bukan adik sendiri. Terus muncung gadis itu dibuatnya.

"Jom lah balik! Tak sabar nak tunjuk kat mak. Mesti mak bangga dengan adik"

Topi keledar diambil lalu disarungkan ke kepala. Tak sabar mahu melihat wajah gembira emaknya nanti.

Motor Yamaha Y110SS peninggalan arwah ayahnya dihidupkan. Tayar mula bergerak memasuki jalan kampung menuju ke rumah mereka.

•••••


Menyesal. Itu yang dia rasakan sekarang. Pesanan si ibu bermain di fikiran. Terlalu leka berborak dan menghabiskan waktu bersama sampai tak sedar jarum jam sudah berada di angka 10. 

Jarak rumah yang jauh dari kawan-kawan yang lain memaksanya untuk menaiki bas awam. Tetapi, mana ada bas bergerak pada waktu malam seperti ini. 

Hanya terdapat beberapa buah kereta saja yang melalui jalan ini. Memang jarang sekali orang nak lalu terutama waktu malam.

Sedang Fariha ralit memikirkan cara untuk pulang, tiba-tiba sebuah kereta berhenti di hadapannya. Dia memandang kiri dan kanan. Setahunya dia seorang saja berada di situ. Apa pulak kereta mahal ni buat kat sini. 

Seketika kemudian, cermin gelap itu perlahan turun. Kelihatan seorang lelaki dalam lingkungan 50-an di tempat pemandu. Penampilan yang kemas menunjukkan lelaki itu bukan calang-calang.

"Adik tunggu siapa? Bahaya duduk sorang malam-malam macam ni" 

Fariha mendekati kereta itu. Wajah didekatkan pada tingkap kereta untuk berbicara dengan lelaki itu. 

"Saya tunggu bas, pak cik" jawab Fariha bersama senyuman ikhlas.

"Ohh tunggu bas. Setahu pak cik bas dah tak gerak waktu macam ni"

Fariha menggigit bibir. Jelas kerisauan pada wajahnya. Betul apa yang dikatakan oleh pak cik itu. Tapi nanti macam mana dia nak balik. Takkan nak tidur di perhentian bas ni.

"Kalau macam tu, meh la pak cik hantar balik rumah" kata lelaki itu. Mungkin dapat membaca apa yang bermain di fikirannya.

"Eh tak apa pak cik. Saya boleh tunggu" Fariha menolak lembut. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. 

"Tak apa. Marilah pak cik hantarkan. Lagi bahaya kalau awak duduk sini" pintu di tempat duduk hadapan dibuka dari dalam. Seolah-olah memaksanya untuk masuk.

Sempat Fariha memandang sekeliling. Kalau-kalau ada bas terakhir yang akan berhenti. Tetapi hampa. Tiada langsung kelibat yang ditunggu.

Kaki melangkah berat. Bau wangian maskulin menerobos masuk ke rongga hidung. Ini kali pertama dia menaiki kereta. Sebelum ini asyik naik moto ke hulur ke hilir. 

Tayar mula bergerak membelah hening malam. Lampu jalan semakin berkurang menyebabkan kawasan itu makin kelam. Manakan tidak, kedudukan jalan ini berada di tengah kawasan ladang kelapa sawit. 

"Pak cik terus je jalan ni. Nanti akan jumpa jalan kampung, rumah saya kat situ" Fariha menunjuk arah. Namun, tiada respon. Mungkin fokus pada pemanduannya.

Dia mengerling lelaki di sebelah. Dari samar lampu jalan, dia melihat riak wajah itu. Ada satu senyuman di hujung bibir. Senyuman yang tidak dapat ditafsir. Fikiran cuba bersangka baik terhadap pak cik itu. Dada tiba-tiba berdebar. Rasa kurang enak dengan situasi sekarang.

Tiba-tiba kereta itu membelok. Menuju masuk ke kawasan kebun yang gelap gelita. 

"Err… pakcik nak ke mana? Ini bukan jalan ke rumah saya" Fariha mula tak senang duduk. Sesekali dia memandang ke luar. Tiada langsung kenderaan lain kecuali mereka. Laju jantungnya menghentak dada.

Soalan itu dibiarkan sepi. Dia lihat lelaki itu menjilat bibir. Sebelah tangan merayap ke tempat duduk Fariha. Dia semakin takut. Tangan gatal itu ditepis laju. Tetapi tidak dipedulikan.

"Pak cik.. saya nak keluar. Turunkan saya kat sini" serak suara Fariha. Merayu supaya dia tidak diapa-apakan. 

Tubir mata terasa panas. Tanpa sedar, mereka semakin jauh dari jalan utama. Dia tidak dapat melihat apa-apa selain pokok-pokok sawit.

Tiba di satu kawasan, kereta itu berhenti bergerak. Fariha semakin takut. Air mata laju menuruni pipi. Tiada sesiapa di situ untuk dia meminta tolong.

"Aku dari tadi perhatikan kau. Mula kau masuk kedai sampai kau langkah keluar. Muka kau. Badan kau. Cantik sangat walaupun kau masih budak" Muka Fariha disentuh tetapi ditolak kuat.

"Tolong, pak cik. Jangan apa-apakan saya" Jemari menggigil ketakutan. Terasa jijik dengan sentuhan itu. 

"Saya janji tak akan report polis. Saya janji.. Lepaskan saya. Saya cuma nak balik rumah" lirih suara itu merayu.

Lelaki itu semakin mendekat. Tiada ruang yang tinggal. Fariha meronta untuk melepaskan diri tetapi tangannya dipegang kemas. 

"Tolong! Tolong! Lepaskan..." Mulut Fariha ditekup dan wajahnya ditekan kuat. Pergelutan berlaku antara mereka apabila gadis itu cuba memboloskan diri.

"Diamlah, bodoh!"

Tak semena-mena, beberapa tamparan dan tumbukan bertalu-talu hinggap di wajah. Membuatkan gadis itu lemah. Tiada upaya untuk melawan tenaga kuat seorang lelaki.

Pukulan tanpa belas kasihan itu terhenti. Mata terpejam rapat, tak sedarkan diri. Dia senyum sinis. Merapat pada mangsa sebelum meragut rakus seperti harimau kelaparan. 

Malam itu menjadi peristiwa hitam dalam hidup gadis bernama Fariha Marisa. Masa depan yang dibina hancur serta merta bersama kehidupan yang tiada erti. Maruah yang dijaga selama ini, direntap kejam oleh lelaki yang bertopengkan syaitan. Dipijak-pijak dan dipandang hina hanya disebabkan jalan kehidupan mereka berbeza.

•••••

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro