Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

"Kenapa muka kau tegang semacam aje ni?"

Zarul diam. Sejak pulang dari Ipoh kelmarin, fikirannya kusut semacam. Panggilan dan mesej kiriman Wina pun tidak dilayannya.

"Ajak main futsal tak mahu, ajak main skuasy pun menolak. Kau ada masalah ke? Selalunya kau ni pantang diajak walaupun sesibuk mana."

"Tak ada apa-apalah. Aku penat aje. Sibuk!"

Taufik menjongket kedua-dua bahunya. Suka hati kaulah, Zarul. Kalau kau nak bercerita, aku nak dengar. Tapi kalau kau tak bersedia nak berkongsi, aku tak mahu paksa.

"Jadi kau balik kampung Ahad lepas?"

Zarul mengerling sekilas sebelum mengangguk.

"Emak kau okey?"

"Ya. Sihat orang tua tu. Aku serabut lepas balik kampunglah ni." Akhirnya Zarul membuka mulutnya. Taufik tersenyum menang.

"Kenapa?"

"Wina."

"Lah, kenapa pula dengan Wina?"

"Dia ikut aku balik. Elok tolong emak aku memasak, pandai-pandai pula mereka berdua susun rancangan nak buat majlis kahwin aku. Langsung tak ambil kira pendapat aku." Zarul mendengus. Geramnya kepada Wina masih bersisa.

"Baguslah tu. Kau dengan Wina pun dah nak masuk setahun bertunang. Selang tiga bulan selepas aku dengan Fiya bertunang dulu. Tak tahu bila masanya kau dengan Si Wina tu bercinta. Senyap-senyap aje. Tup-tup, terus nak bertunang."

"Masalahnya aku tak sedia lagi nak jadi laki orang. Yang Si Wina tu tergesa-gesa sangat nak kahwin tu kenapa? Macamlah aku ni dah buntingkan dia."

Taufik ketawa terbahak-bahak. Lucu mendengar bebelan Zarul. Marah benar nampak gayanya.

"Kau ni, dia tu kan perempuan. Dah tentulah tekanan lebih kepada pihak dia. Entah-entah dia pun dah naik rimas orang dok bertanya, bila majlisnya? Bertunang dah lama. Tambah-tambah bila kawan baik dia dah nak kahwin ni, lagi rancaklah mulut-mulut orang. Kasihan Wina. Kau pun, kalau tak mahu berkahwin lagi, at least berilah satu tarikh yang boleh buat menyedapkan hati Wina tu."

"Aku nak bagi tarikh apanya kalau aku sendiri pun belum fikir soal kahwin? Mulut orang, biasalah. Tak payahlah nak dilayan sangat. Penat bertanya, letih bercakap, senyaplah mereka nanti."

"Kau senanglah bercakap, kau tak duduk dekat tempat Si Wina tu."

"Yang kau membela dia sangat kenapa? Dia ada beri rasuah pada kau ke supaya melobi aku?"

"Kau ni! Tak baik tau menuduh orang macam tu," sanggah Taufik. Dah tak mahu kahwin tu sudahlah, pandai-pandai pula menuduh orang menerima rasuah. Mulut Zarul ni memang nak kena ganyang!

"Manalah tahu... Kau dengan dia boleh tahan baiknya. Macam cagu dengan kuku."

"Choiii! Kau tak ada contoh lain ke nak beri selain daripada tu? Geli kau tahu?"

Zarul ketawa kecil. Dicampaknya bantal kecil kepada Taufik. Pantas Taufik mengelak.

"Tapi aku peliklah."

"Apa yang kau pelik?" Zarul bertanya sambil lewa. Matanya ralit memerhati beberapa ekor ikan guppy yang sedang berenang-renang di dalam akuarium. Cantik! getus hatinya.

"Kau ada masalah ke?"

"Masalah apa pula?"

"Yalah. Lelaki kalau asyik mengelak aje bila diajak berkahwin ni, biasanya ada masalah."

Kali ini Zarul menoleh. Keningnya bertaut memandang Taufik yang tersengih-sengih.

"Kau bercakap terus terang boleh tak? Aku ni tak faham kalau kau guna bahasa kiasan. Aku bukan budak sastera."

"Kau ni mati pucuk ke?" tanya Taufik terus terang. Mulut Zarul sudah melongo mendengar soalan yang dilontarkan Taufik.

"Kau tahu tak kita sekarang berada di tingkat berapa?" soal Zarul tiba-tiba.

Taufik mencebik. Inikan tempat dia melepak hampir saban minggu. Jika malas mahu pulang ke rumahnya sendiri, di kondo Zarullah tempat dia makan, minum malah tidur. Zarul pun langsung tidak hairan kalau melihat kelibatnya yang tiba-tiba terpacul di depan pintu rumah.

"Tingkat tujuh belas. Dah kenapa tiba-tiba kau tanya soalan tu?"

"Aku saja tanya kalau-kalau kau nak kena campak dari tingkat tujuh belas ni. Macam tak ada soalan lain nak tanya!"

Taufik mengekeh ketawa. Oh, marah rupa-rupanya Zarul dengan soalan yang dia ajukan tadi.

"Yalah. Kau asyik mengelak bila Si Wina tu ajak kahwin. Risaulah juga aku ni, kalau-kalau alat kelakian kau tu ada masalah. Okey, aku anggap alat tu berada dalam keadaan yang baik berdasarkan reaksi kau sekarang ni. Errr... Kau bukan geng kunyit, kan?"

Zarul sudah berdiri. Tangan kanannya sudah dikepal. Taufik turut bangun. Melompat ke belakang sofa.

"Kau kan, kalau tak merepek tak boleh ke?" Zarul mengetap gigi. Kecil sahaja Taufik pada pandangan matanya.

"Aku tanya aje... Takkanlah itu pun tak boleh?" Taufik sudah ketawa. Zarul menarik nafas panjang. Buat menyakitkan hati sahaja melayan Si Taufik yang sudah datang angin miringnya.

Tubuhnya kembali dihenyakkan di atas sofa. Tangannya menguak rambut yang menutupi sebahagian dahi ke belakang.

Melihat Zarul yang sudah kembali duduk, Taufik melompat ke depan semula. Turut duduk di sebelah Zarul.

"Kau duduk sebelah aku ni tak risau ke?"

"Kenapa?"

Zarul tersenyum nakal sambil menjongketkan keningnya.

"Kau jangan..." Taufik sudah mengangkat kedua-dua tangannya. Cuba membuat pertahanan kalau-kalau Zarul bertindak di luar kawalan.

"Huh! Tengok kau pun tak ada selera. Boleh pula kau terfikir yang aku ni termasuk dalam golongan geng-geng tu, ya? Tak guna punya kawan!"

"Sorry la. Aku cuma sekadar bertanya aje. Mahukan kepastian kata orang."

"Layan kau ni buat sakit kepala aku. Aku nak turun ke bawah. Nak ke gim. Kau nak ikut tak?"

"Nak!"

Zarul mendengus. Taufik ni macam anak ayam. Mengekor aje ke mana ibunya pergi. Habis tu, aku ni ibu ayamlah? Zarul menggelengkan kepalanya beberapa kali. Serabut kepala memikirkan tentang rancangan emaknya dengan Wina sampaikan akalnya sendiri sudah tidak dapat berfikir dengan betul.

"Wah, cantiknya!" Mata Aufiya bersinar-sinar memandang kad yang ditunjukkan Taufik. Kad undangan majlis perkahwinan mereka dan direka oleh Taufik sendiri.

"Cantik, kan? Tengoklah siapa yang design."

Aufiya mencebik. Tak habis-habis sikap masuk bakul angkat sendiri, gerutu hati Aufiya. Namun dia tidak menafikan, memang ringkas dan menarik kad yang berwarna merah dan hitam itu dan di atasnya dihiasi tulisan yang berwarna emas.

"Bila Fiya nak edarkan kad ni?"

"Hurm, dalam dua minggu sebelum majlis kut rasanya. Tak mahulah awal sangat, nanti orang lupa."

"Dua minggu tu tak lewat sangat ke?"

"Okey dah tu. Lagipun entah orang dapat datang atau tidak. Kawan-kawan sepejabat Fiya dah ramai yang beritahu tak dapat hadir. Maklum ajelah, kampung Fiya tu bukannya dekat. Ramai yang beritahu nak datang ke majlis kita yang dibuat di sebelah pihak lelaki. Tak apa, kan?" soal Aufiya.

Manalah tahu kalau-kalau kehadiran rakan-rakannya nanti bakal menimbulkan masalah lain pula. Tahu sahajalah sekarang ini, semuanya guna khidmat katering, sewa dewan dan lain-lain lagi. Buatnya makanan tidak cukup, tempat duduk pun tidak ada sehingga ada yang terpaksa berdiri, kan haru jadinya. Jadi, baiklah dia bertanya terlebih dahulu.

"Eh, datang ajelah! Orang datang nak meraikan majlis kita, takkanlah nak dihalau pula. Fiya jangan risau. Emak pun dah beritahu, majlis sebelah Fik, emak sewa dewan orang ramai dekat taman tu. Khas untuk jiran-jiran tetangga dan sahabat handai. Makanan pun emak sengaja tempah lebih dari pihak katering. Just in case katanya. Kalau setakat kawan-kawan Fiya nak datang, lebih daripada cukup rasanya."

Aufiya tersenyum manis. Lega mendengar jaminan yang diberikan Taufik.

"Sebelah Fik pula bila nak mula edarkan kad jemputan ni?"

"Lambat lagi rasanya. Kan majlis sebelah Fik selang sebulan lepas kita nikah. Aduh, kebetulan tarikh yang kita pilih sebelum ni dah ada yang menempahnya. Terpaksalah dianjakkan jauh sikit daripada tarikh asal. Maafkan Fik, ya? Fiya dah jadi pengantin basi baru bersanding dekat rumah mentua." Taufik mengekeh ketawa. Sengaja mahu mengusik Aufiya.

"Fiya tak kesah pun. Selagi belum selesai majlis sebelah Fik kita tak tinggal bersama, kan?"

Pantas Taufik yang sedang memandu menoleh ke sisi. Biar betul?

"Hei, mana ada kita janji macam tu!"

"Eh, itu memang adatlah! Selagi tak selesai majlis kedua-dua belah pihak, memang pengantin tak boleh duduk serumah. Takut seri pengantin tak naik," balas Aufiya bersahaja.

"Fiya jangan... Biarlah tak berseri pun. Fik nak selepas nikah, Fiya terus pindah duduk rumah Fik. Tak ada kompromi."

"Tengoklah dulu macam mana..." Aufiya masih belum puas mengusik. Asyik-asyik dia sahaja yang terkena. Biarlah kali ini giliran Taufik pula.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro