Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

"Kau ke mana? Malam baru sampai rumah. Keluar bukannya tahu nak cakap dekat orang. Aku balik aje rumah ni kosong! Semua orang tak ada, macam rumah tinggal."

Buka sahaja pintu rumah terus Wina diterjah dengan soalan Zureen yang kedengaran tidak puas hati.

"Memang rumah tinggallah kalau dah tak ada orang di dalamnya," balas Wina acuh tidak acuh. Sudahlah badannya penat, fikirannya berkecamuk. Zureen pula mahu menyoal siasat macam sarjan pencen lagaknya.

"At least beritahulah kalau kau nak ke mana-mana."

"Kau kan outstation, malaslah aku nak ganggu," balas Wina semula. Asyik-asyik salah dia sahaja yang Zureen cari. Sakit hati juga dibuatnya.

"Hurm... Alasan!"

"Tak kiralah kau nak anggap aku sengaja beri alasan atau apa. Dah. Aku nak masuk bilik, nak mandi. Melekit dah badan aku ni seharian duduk dalam kereta." Wina kembali bangun. Melayan Zureen bukannya ada faedah pun. Baik dia masuk ke bilik, bersihkan diri dan berehat.

"Hei, kau ke mana sebenarnya?" Zureen masih lagi tidak puas hati selagi masih belum mendapat jawapannya.

"Aku ikut Zarul. Balik Ipoh. Jumpa bakal emak mentua. Puas hati?"

Zureen mencebik. Menyesal aku tanya, bisik hatinya dengan perasaan kesal.

"Fiya dah balik?" Baru kakinya melangkah beberapa tapak, Wina berpaling.

"Dah. Sebelum maghrib lagi dah sampai," balas Zureen malas.

Ikatan tuala yang membaluti kepalanya dibuka perlahan-lahan. Rambutnya yang masih lembab diuraikannya dengan menggunakan jari. Dia merenung wajahnya di dalam cermin. Nafas ditarik perlahan-lahan. Tak sangka, tak lama lagi aku dah nak jadi isteri orang, bisik Aufiya sendiri. Cepat benar rasanya masa berlalu.

Dia merenung matanya menerusi pantulan imej di dalam cermin. Sejak semalam, dia mula dihantui peristiwa hitam yang sudah lama ingin dilupakan. Peristiwa yang membuatkan dia mahu mengakhiri hidupnya sendiri. Mujurlah sisa iman yang masih ada membuatkan dia bertahan sehingga ke hari ini.

Perlukah aku beritahu Taufik? Tapi, kalau Taufik tahu, selepas itu dia tidak dapat terima kenyataan dan tinggalkan aku, macam mana?

Aufiya menggelengkan kepalanya beberapa kali. Tidak! Taufik tidak boleh buat begitu. Majlis kahwin mereka sudah semakin hampir. Kad-kad undangan pun sudah siap dan hanya menunggu masa untuk diedarkan sahaja. Jika Taufik mengambil keputusan untuk meninggalkannya pada ketika ini, di mana dia dan keluarganya mahu meletakkan muka? Malu!

Tapi bagaimana kalau ada orang lain yang beritahu Taufik? Hatinya kembali berombak. Tapi siapa? soalnya sendiri. Yang tahu tentang peristiwa hitam itu hanyalah dia dan pelakunya sahaja. Jika ada yang memberitahu Taufik, pasti orang itu ada kaitan dengan tragedi yang menimpanya dulu. Tapi tak mungkin ada orang lain yang tahu, bisiknya lagi cuba untuk menyedapkan hati.

Ah, melayan perasaan dalam bilik seorang diri, boleh buat aku jadi gila. Laju tangannya mencapai sikat. Mahu cepat-cepat turun ke bawah. Mahu mencari Zureen dan juga Wina. Boleh juga dijadikan kawan berbual untuk meredakan debaran dalam hati.

"You cerita apa dengan emak tadi?" Zarul menjeling ke arah tempat duduk di sebelahnya. Langsung Wina tidak berkutik. Terus asyik memandang pemandangan di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan.

"Wina!" Suara Zarul sudah sedikit kuat. Mahu bersuara romantik, sah-sah Wina tidak akan mendengar kalau sudah khayal begitu.

"Hah?!"

"Berangan apalah you ni? I tanya pun you tak jawab."

"You tanya apa tadi?" soal Wina terpinga-pinga. Zarul ada bercakap dengan aku ke tadi? Tak dengar pun.

"You tadi waktu dekat rumah I, berbual apa dengan my mum sampai boleh terkeluar bab kahwin?"

Dah agak, pasti perkara ini akan dibangkitkan oleh Zarul, bisik Wina dalam hati. Zarul kalau sudah mula membahasakan diri I dan you dengan dia, adalah tu yang dia tidak puas hati.

"Mak you tanya, bila dia boleh datang rumah pak usu dan mak usu I untuk bincang tentang majlis kahwin kita. I beritahu yang betul aje, datang ajelah bila-bila pun. I tak kesah."

"Kenapa tak bincang dengan I dulu sebelum pandai-pandai buat keputusan?"

"Zarul, bukan sekali dua I ajak you berbincang, tapi apa alasan you? Majlis lambat lagi, bila-bila pun boleh bincang. You kata you sibuk, lain kali ajelah kita bincang tentang tu. Sekarang, bila emak you sendiri yang bangkitkan soal tu, you pula nak salahkan I ke?"

"I bukanlah nak salahkan you. Tapi at least, beritahulah pada I dulu. You nak kahwin dengan I, tapi pendapat I tak ada orang tanya pun."

"Sayang, I dah malas nak cakap apa-apa. Sekarang I serahkan semuanya pada emak you. Kalau emak you datang dan kata nak buat majlis kahwin kita esok pun, I akan jawab I setuju. I dah penat nak tunggu waktu you free. I tak mahu tua dan mereput menunggu you."

"Dah kalau itu kata you, cari ajelah orang lain."

"Zarul!"

Tok-tok!

Ketukan pada pintu serta-merta mematikan lamunan Wina. Nafas ditariknya panjang-panjang.

Teringatkan perbualannya dengan Zarul sewaktu perjalanan pulang tadi, sungguh-sungguh menyesakkan jiwa. Nampak sangat yang Zarul langsung tidak peduli dengan arah tuju hubungan mereka. Hanya Puan Kartina yang nampaknya beria-ia.

Terjengul wajah Aufiya sebaik sahaja pintu bilik dibuka Wina.

"Fiya."

"Kau dah nak tidur ke, Wina? Aku bosanlah. Jomlah kita duduk dekat luar. Tengok TV sambil berbual-bual," ajak Aufiya bersungguh-sungguh.

Wina berfikir sejenak sebelum menganggukkan kepalanya. Duduk dalam bilik pun buat tambah menyesakkan kepalanya sahaja, untuk apa?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro