Bab 5
"Keluarga Taufik bertolak hari apa nanti, Fiya? Umi nak tempah homestay siap-siap. Nanti tidaklah kelam-kabut. Hujung-hujung minggu, laku homestay dekat sini. Nanti tak pasal-pasal terpaksa menginap jauh dari rumah kita ni."
Aufiya yang sedang menjahit tulang belut pada leher baju kurung yang bakal dipakainya untuk majlis akad nikah nanti mengangkat kepala.
"Katanya petang Jumaat baru nak bertolak, umi. Bukannya jauh sangat KL ke Kota Tinggi ni. Tak sampai pun lima jam."
Semakin dekat hari langsungnya, semakin banyak pula Aufiya rasa persiapan yang masih belum selesai. Minggu ini dia mengambil peluang balik ke kampung. Mahu menguruskan segala urusan berkaitan dokumen sebelum majlis dia dan Taufik berlangsung.
Pagi tadi, dia sempat ke pejabat agama dengan ditemani ayahnya. Menghantar dokumen dan segala macam surat yang diperlukan.
"Yalah. Memanglah tak jauh mana pun, tapi naklah juga buat persediaan. Takkanlah waktu itu keluarga sebelah pihak lelaki sampai, waktu itu jugalah baru kita kecoh-kecoh nak mencari homestay."
Aufiya tersengih. Menayang barisan giginya yang tersusun cantik.
"Umi tempahlah untuk semalaman aje. Lepas habis majlis sebelah pihak kita ni, terus mereka nak bertolak balik ke KL semula."
"Kamu ambil cuti berapa lama?"
"Hurm... Sehari sebelum majlis tu Fiya dah ambil cuti. Hari Khamis tu Fiya kerja separuh hari. Nanti Taufik yang akan hantar Fiya balik ke sini. Nak bawa kereta sendiri, Taufik kata tak perlu. Nanti selepas selesai nikah, terus aje balik naik kereta dia. Kalau Fiya bawa kereta Fiya, nanti lepas nikah, siapa pula yang nak bawa balik kereta tu ke KL? Jadi satu hal pula Taufik nak kena hantar dan ambil ke tempat kerja."
"Habis tu, sampai hari apa Fiya cuti?"
"Tak lama pun umi, sebab simpan cuti untuk majlis sebelah Taufik pula. Hari Rabu tu Fiya dah mula kerja."
"Tak lama mana jugalah Fiya cuti. Majlis sebelah Taufik pun selang sebulan dari majlis sebelah kita ni," omel Puan Salma.
"Dewan yang nak dibuat majlis tu dah penuh ditempah orang sepanjang bulan Mac tu. Terpaksalah majlis dianjakkan lewat sebulan daripada yang sepatutnya," beritahu Aufiya.
Itulah juga yang diberitahu Taufik kepadanya. Jika mengikut kepada perancangan asal mereka, majlis di sebelah pihak lelaki akan diadakan selang seminggu selepas majlis di sebelah pihak perempuan. Namun apakan daya, dewan yang berdekatan dengan kawasan tempat tinggal keluarga Taufik itu sudah penuh ditempah orang. Mahu tidak mahu terpaksalah mereka menunda majlis di sebelah pihak lelaki ke suatu tarikh yang lain.
"Baju ni banyak lagi ke yang nak dijahit?"
Mata Puan Salma beralih pula kepada baju kurung berwarna putih gading yang dipegang Aufiya.
Memang Aufiya mahu menjahit sendiri baju pernikahannya sejak dari awal lagi. Hanya persalinan untuk majlis persandingan sahaja yang disewa daripada butik perkahwinan.
"Tinggal bahagian leher ni aje, umi. Dah tak banyak dah. Siap aje jahit baju nikah ni, Fiya nak buat gubahan untuk hantaran pula. Dah tak banyak masa yang tinggal. Tak sampai dua bulan pun lagi."
"Kamu janganlah buat kerja sampai lewat-lewat malam. Kalau tak larat, kita upah orang aje. Kamu tu dahlah siang harinya bekerja, balik nak menghadap pula benda-benda ni. Bila masa kamu nak berehat?"
"Umi janganlah risau. Wina dengan Zureen pun ada tolong Fiya juga."
"Eh, lupa pula umi. Dah tu, selepas bernikah nanti terus ajelah kamu tinggal di rumah Taufik? Atau selepas selesai majlis di rumah Taufik barulah kamu berdua nak tinggal sama?"
"Erm... Fiya tak bincang pun lagi tentang tu dengan Taufik. Nasib baiklah umi sebut."
Puan Salma menjeling.
Aufiya mengekeh ketawa. Memang langsung dia tidak teringat tentang perkara itu. Lagipun terasa malulah pula mahu menyebut tentang hal itu di depan Taufik. Segan mahu memulakan topik tentang tinggal bersama.
"Kamu tu apa pun tak ingat. Yang kamu ingat, nak kahwin, nak kahwin, nak kahwin. Itu ajelah yang ada dalam fikiran kamu tu sekarang."
"Mana ada. Umi pandai aje nak menyerkap." Aufiya tersipu-sipu malu mendengar usikan uminya.
"Eleh, tak mahu mengaku pula. Macamlah umi ni tak pernah muda. Dahlah, umi nak masuk tidur dulu. Kamu pun jangan tidur lewat sangat. Rosak mata menjahit malam-malam buta ni." Sempat Puan Salma berpesan.
Aufiya hanya mengangkat ibu jari tangan kanannya sebagai isyarat faham dengan arahan uminya.
Selepas uminya keluar, Aufiya tersenyum-senyum sendiri. Lucu mengingatkan usikan uminya sebentar tadi. Namun tidak lama senyuman itu melekat pada bibirnya. Tiba-tiba sahaja wajah itu bertukar mendung. Hatinya mulai berdebar-debar.
Entah mengapa, semakin dekat tarikh dia dan Taufik bakal disatukan, perasaan tidak sedap hati semakin kerap pula menujah. Tambah-tambah bila mengingatkan rahsia yang dia simpan selama ini daripada pengetahuan sesiapa pun.
Wina merenung televisyen yang masih terpasang. Entah cerita apa yang ditayangkan, Wina tidak ambil kesah. Bosannya melantun hingga ke siling rumah. Hujung-hujung minggu begini, dia keseorangan melayan sepi sendiri. Zureen bekerja luar daerah, Aufiya pula sudah pulang ke kampung.
Dia pula, pada asalnya memang mahu pulang ke rumah mak usu dan pak usunya. Sudah lebih sebulan dia tidak menjenguk kedua-duanya. Tetapi bila memikirkan soalan demi soalan yang dia sendiri tiada jawapan, membuatkan hatinya terasa berat. Bila balik ke sana, sudah pasti dia tidak akan terlepas daripada soalan-soalan popular tersebut.
Wina mengeluh panjang. Lantas telefon dicapainya. Mahu menghubungi seseorang.
"Assalamualaikum. Mak cik, Wina ni."
"Waalaikumussalam. Wina, lamanya mak cik tak dengar khabar Wina. Wina sihat ke?"
Wina tersenyum-senyum. Terbalik pula. Dia yang menghubungi wanita itu untuk bertanya khabar, tapi wanita di seberang sana pula yang bertanyakan khabarnya terlebih dahulu.
"Alhamdulillah. Wina sihat. Mak cik macam mana? Sihat?"
"Mak cik sihat aje, Wina. Wina ada di mana ni?" Wanita ini memang ramah, tidak seperti anaknya. Sempat lagi Wina membuat perbandingan.
"Wina ada di rumah sewa ni, mak cik. Tak tahu nak ke mana. Zureen outstation ke Kuantan. Aufiya dah balik ke kampung. Bosan Wina duduk sorang-sorang dekat rumah ni."
"Lah, ya ke? Kenapa Wina tak datang aje ke sini? Boleh temankan mak cik. Mak cik pun bukannya ada sesiapa di rumah ni. Eh, esok Zarul nak balik katanya. Wina ikutlah sekali." Laju Puan Kartina mempelawa.
"Erm... Boleh ke, mak cik? Zarul tak ada sebut pun. Seganlah Wina nak cakap dengan dia yang Wina nak ikut."
"Dah masuk setahun pun kamu berdua bertunang, masih lagi malu-malu ke? Wina, Wina. Tak apalah, kalau Wina malu, biar mak cik aje yang beritahu Zarul, suruh dia bawa Wina sekali esok. Bukannya bermalam pun, balik hari. Zarul pun balik sekadar nak menjenguk mak cik aje. Sibuk sangat katanya akhir-akhir ini."
"Marah pula nanti Zarul tu karang. Tiba-tiba aje Wina nak ikut sekali. Entah-entah dia dah ada rancangan lain." Wina cuba mengelak.
Manalah tahu yang Zarul memang sengaja tidak mahu dia mengikutnya pulang ke kampung. Jika tidak, sudah pasti awal-awal lagi Zarul sudah mengajaknya ikut sama.
"Ada rancangan lain apa pulanya? Wina jangan risaulah. Pandailah mak cik suruh Si Zarul tu ajak Wina balik sama esok. Wina jangan tak datang pula."
"Kalau betul Zarul ajak, takkanlah Wina tak mahu datang. Wina pun dah rindu sangat dengan mak cik. Tambah-tambah dengan masakan mak cik yang tak ada tolok bandingnya tu." Terdengar tawa kecil di hujung talian. Kembang dada Puan Kartina dipuji bakal menantunya.
"Sekejap lagi mak cik telefon Zarul. Wina datang tau esok."
"Ya, mak cik. Wina pasti datang kalau Zarul pelawa." Gila tak mahu pergi kalau Zarul ajak? Itulah salah satu caranya dia dapat menghabiskan masa dengan Zarul.
Perjalanan yang memakan masa lebih kurang tiga jam pergi dan tiga jam balik akan digunakan dengan sebaik-baiknya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro