Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

"Kamu selesaikanlah masalah kamu sendiri. Mama dah tak larat nak tolong kamu. Dah berpuluh, malah beratus ribu duit mama dan papa yang dah terbang kerana nak menyelesaikan hutang-hutang kamu dulu. Kali ini, kamu pandai-pandailah uruskannya sendiri." Datin Dalilah bersuara tegas. Sudah tidak larat dinasihati, sudah tidak mampu untuk ditolong. Ada sahaja masalah yang dibawa Hadi kepadanya dan juga Datuk Husin.

"Mama, kalau mama tak tolong Hadi dengan siapa lagi Hadi nak minta tolong?"

"Eh, keluarga isteri kamu tu kan orang berduit juga. Takkanlah tak boleh nak tolong menantu sendiri? Lagipun, waktu kamu dengan Si Elina tu bersuka ria, ada kamu ingat dekat mama dengan papa kamu ni? Nak campak seratus dua pun tidak. Bila susah, tahu pula kamu cari kami."

"Mama ni, dengan anak sendiri pun nak berdendam. Mama dengan papa dah cukup kaya, takkanlah duit anak pun nak kikis juga."

Datuk Husin berdehem. Surat khabar yang dipegang, diselaknya kasar. Geram pula dia mendengarnya. Sejak dari tadi, dia hanya memasang telinga. Malas mahu masuk campur perbualan antara isteri dengan anak ketiga mereka itu. Cuma, sudah dipesannya awal-awal kepada Datin Dalilah, usah beri muka kepada Hadi lagi. Perangai Hadi semakin hari semakin menjadi-jadi. Jika tidak bertegas, mahu papa kedana mereka dibuatnya.

"Mama, papa. Tolonglah Hadi untuk sekali ini sahaja lagi. Bukannya banyak pun. Cuma seratus ribu sahaja. Kalau tidak, habislah kereta Hadi dan Elina ditarik bank."

"Biarlah kalau bank nak lelong atau nak tarik sekalipun. Dah tahu tak mampu, nak juga berlagak pakai kereta mewah. Orang lain berniaga, kita pun nak berniaga. Orang lain untung berjuta-juta, kita pula rugi berganda-ganda. Berniaga buluh kasap! Masuk angin keluar asap. Untung tak nampak, kamu dengan isteri kamu tu bukan main berjoli katak. Bercuti sana sini, beli itu ini langsung tak ingat dunia. Beg tangan isteri kamu tu pun, bukan mama tak tahu, belasan ribu harganya. Apa nak susah, kad kredit kan ada. Swipe aje. Lupa agaknya modal berniaga tu dulu dapat dari mana? Ha, sekarang merasalah!"

Hadi mendengus. Balik-balik itu yang disebut mamanya. Masa tengah ada duit, siapa yang tak mahu joli? Kalau boleh, gedung membeli-belah pun dia mahu beli.

"Ma, mama sanggup tengok cucu mama tu hidup susah ke? Hidup merempat? Macam orang gelandangan, tidak berumah. Mama nak tengok keluarga anak mama ni jadi macam tu ke?" Baik. Kalau guna cara yang biasa tidak nampak jalan, apa kata kita gunakan umpan yang lain. Seorang datuk dan nenek pastinya tidak mahu lihat cucu mereka hidup dalam keadaan susah. Hadi sudah ketawa dalam hati. Dia yakin umpannya kali ini pasti akan mengena. Mamanya itu sayang sangat dengan semua cucu-cucunya.

"Tak ada susahnya. Kalau betul rumah kamu kena lelong, kamu baliklah tinggal dengan keluarga Elina. Rumah Datuk Darus dan Datin Sukainah tu pun boleh tahan besarnya. Banglo tiga tingkat. Takkanlah setakat kamu tiga beranak mereka tak boleh nak berikan bilik sebuah pun?" Berdas-das tembakan Datin Dalilah berikan kali ini. Dia sudah cukup bersedia untuk menghadap permainan Hadi kali ini. Biar apapun kata-kata pujukan Hadi, sudah dipasakkan dalam hati, cukuplah segala bantuan dan ihsan yang dia dan Datuk Husin berikan.

"Kita nak ke rumah Haji Fadil sekejap lagi ni. Ada kenduri akikah cucunya lepas asar nanti. Awak jangan lupa pula. Dah hampir pukul empat ni. Abang nak naik ke atas dulu. Nak mandi, nak bersiap. Awak jangan lama-lama sangat di bawah ni. Dah habis apa yang awak nak cakap, naik ke atas. Kita jemaah sama-sama."

Datuk Husin mengangkat punggung. Malas mahu berlama-lamaan di situ. Mendengar kata-kata Hadi yang langsung tidak menunjukkan tanda-tanda mahu beralah, membuatkan hatinya mendidih pula. Tahunya buat masalah, buat hutang. Yang akan tolong selesaikan, dia dan Datin Dalilah. Huh! Jangan kamu harap kali ni papa dan mama akan berlembut dengan kamu, Hadi, desis hati tuanya.

Walang hati dibuatnya dengan sikap Hadi yang langsung tidak pernah mahu sedar, tidak pernah mahu berubah. Umur sudah banyak, tapi perangai, tidak ubah seperti kanak-kanak yang masih makan bersuap.

Datin Dalilah dan Hadi hanya mampu menyorot melihat kelibat Datuk Husin yang akhirnya sudah tidak kelihatan lagi. Datin Dalilah menarik nafas panjang-panjang. Mahu bercakap dan menegakkan keputusannya buat kali yang terakhir. Moga-moga Hadi akan faham.

"Beginilah Hadi, mama dan papa dah sebulat suara. Kami tak akan tolong kamu lagi. Kamu selesaikanlah masalah yang kamu dah buat. Mama dan papa tak akan tolong timbus lubang hutang yang kamu sendiri gali. Cukup-cukuplah. Hutang lama kamu yang kami tolong bayarkan pun, belum nampak bayang yang kamu akan bayar pada kami semula. Terpulanglah apa cara pun, kamu buatlah. Kamu selesaikanlah sendiri. Kami dah tak mahu terlibat dengan masalah kamu lagi."

Hadi meramas kusyen sofa kuat-kuat. Marah, kecewa, semuanya ada. Dia langsung tidak menyangka yang mama dan papanya memang betul-betul bertekad kali ini. Segala pujukannya langsung tidak berbekas. Dasar orang tua kedekut!

"Kalau Hadi mati dibunuh along agaknya sukalah hati mama dengan papa, ya?" Mengucap panjang Datin Dalilah dalam hati. Anak ini memang sudah lama sepatutnya tidak diberikan muka. Sudah naik lemak. Bila kehendaknya tidak diturutkan mulalah mengamuk, sudah tidak kira dengan siapa yang dilawannya bercakap.

"Mama tak pernah mengharapkan pengakhiran hidup kamu begitu. Tapi kalau kamu sendiri dah menjemput cara mati yang macam tu, apa lagi yang mama boleh katakan? Dahlah, mama nak naik atas. Marah papa kamu tu nanti. Cuma pesan mama, jagalah solat kamu, Hadi. Salah satu punca masalah kamu tak pernah surut, hati kamu tak pernah tenang, sebab kamu tak jaga solat kamu. Didik isteri kamu tu juga. Mama dah lama nak tegur. Ini, saban malam kamu suami isteri masih menghabiskan masa di kelab-kelab malam. Manalah nak berkat rezeki tu."

"Sudahlah, mama. Kalau tak mahu tolong, tak payahlah nak membebel panjang-panjang. Rimas tau? Rimas! Ada mak ayah pun bukannya boleh diharap. Bukannya nak tolong anak. Berleter aje yang lebih." Hadi tidak tunggu lama. Dicapainya kunci kereta yang tadi dicampakkan di atas meja kopi. Tanpa bersalam, tanpa pamitan, terus sahaja dia bergegas keluar. Tunggu lama-lama pun bukannya ada hasil.

Datin Dalilah hanya mampu menggelengkan kepalanya sahaja. Suka hati kamulah, Hadi. Mama buat macam ni, bukan sebab mama tidak sayangkan kamu, tapi mungkin inilah sahaja caranya untuk kami mengajar kamu, desis hatinya.

"Macam mana? Mama dan papa beri berapa?" Belum sempat dia duduk, Elina sudah menerjahnya dengan soalan yang paling dia tidak mahu dengar.

Hadi mendengus. Pertanyaan Elina langsung tidak diendahkan. Dihenyakkan tubuhnya ke atas sofa yang diimport dari Itali. Matanya dipejamkan buat seketika.

"You dengar tak apa yang I tanya ni? Banyak ke yang mama beri kali ni? Kalau ada lebih, you jangan lupa bahagian I tau. I pun nak enjoy juga." Panas sahaja cuping telinga Hadi mendengarnya. Kalau soal duit, Elina memang juara.

"Satu sen pun mama dan papa tak mahu tolong kali ni. Mereka suruh kita pandai-pandailah selesaikan sendiri."

"What? Gila ke apa parents you tu? You tak pujuk dia orang ke? Habis tu macam mana sekarang ni? Bank setiap hari telefon, tuntut hutang. Tak termasuk surat daripada lawyer lagi. Takkanlah kita nak biarkan semua harta benda kita ni disita, dilelong? Hey, malulah I dengan kaum keluarga I, dengan kawan-kawan I lagi. Mana I nak letak muka I ni nanti?"

Dasar orang tua tahi hidung masin! Macamlah harta tu boleh bawa masuk hingga ke kubur. Dengan anak sendiri pun bukan main lagi mahu berkiranya. Jika bukan kepada anak dihabiskan duit tu, mahu dihabiskan ke mana lagi? Sikit-sikit menderma kepada rumah anak yatim itulah, rumah kebajikan itulah. Macamlah orang tak tahu yang dia buat semua tu sebab mahukan nama, mahukan pujian. Berbakul-bakul sumpahan Elina hamburkan kepada keluarga mentuanya dalam hati.

"Dahlah. Cuba you minta tolong dengan mummy dan daddy you pula. Manalah tahu, mereka boleh tolong kita."

"Eh, tak naklah I! Buat malu aje. Adik-beradik I mana ada yang merempat sampai kena minta tolong daripada mummy and daddy. Sekarang you nak I pula yang cipta sejarah? Hesy, no! Never! Mahunya cerita I minta tolong dari my parents nanti jadi bahan kutukan orang selama tujuh keturunan. You jangan nak bagi idea yang merepek macam tu."

"Habis tu, apa lagi cara yang kita ada? Cuba you beritahu I."

"Darling, you yang berniaga, bukannya I. I langsung tak tahu-menahu baik tentang perniagaan you, mahu pun hutang piutang you. Sekarang you tanya I pula macam mana nak selesaikan masalah you tu? You ni nak bergurau dengan I ke?"

"Habis tu, you nak suruh I tanya siapa lagi kalau bukan you? You kan isteri I. Orang yang bertanggungjawab menyumbang kepada hutang I juga. Ingat sikit El, kalau bukan disebabkan you yang boros berbelanja, hutang kita tak akan jadi sebanyak sekarang."

"Helo, sekarang you nak salahkan I pula ke? You, itu tanggungjawab suami tau untuk sediakan segala keperluan isteri. Bila you tersepit macam ni, I pula yang you salahkan? Mana ada I boros. I belanja macam biasa aje. Kalau you nak tahu, I lagi mewah berbelanja masa sebelum kahwin dengan you. Semuanya papa I yang tanggung. Apa yang I minta, semuanya I dapat. Kalau setakat belanja yang macam tu pun you dah mengungkit... Hai, entahlah I nak cakap."

"Fikiran I ni dahlah tengah berserabut. You bukannya nak tolong tenangkan hati I. Malah you tambah lagi semak dalam kepala I ni."

Elina mencebik. Terus bangun dari duduknya.

"Okey, okey. Kalau macam tu, I nak keluar dulu. You tenangkanlah fikiran you ni sementara I tak ada."

"You nak keluar ke mana pula? Elisa siapa nak jaga?"

"Dah tadi you juga yang kata I ni menambahkan serabut dekat kepala you kan? So, I nak keluarlah. Lebih baik I pergi jumpa kawan-kawan I daripada duk menghadap muka you yang macam orang tak mandi seminggu. Elisa dah ikut my sister. Dia nak bawa anak-anaknya ke Sunway Lagoon. Diangkutnya Elisa sekali tadi. Okeylah. You teruskanlah berfikir macam mana nak selesaikan masalah hutang piutang you tu. I keluar dulu."

Beg tangan yang berada di atas sofa dicapainya. Malas mahu menghadap wajah suami yang langsung tidak menenangkan perasaan. Boleh pula diungkitnya corak dia berbelanja. Hey, pleaselah!

Hadi menyandarkan tubuhnya semula. Sudah tidak kuasa mahu melarang mahupun menghalang. Jika dia bersuara, mahu berperang pula mereka nanti. Sudahlah masalah yang sedia ada tidak selesai, nanti ditambah pula dengan masalah yang lain. Dia memicit dahinya yang mula terasa berdenyut. Seratus ribu, angka itu terus bermain-main dalam fikirannya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro