Bab 3
"Nak ikut aku dengan Wina tak malam ni?" Zureen mengangkat kepalanya. Merenung Aufiya dengan pandangan penuh tanda tanya.
"Nak ke mana? Tengok wayang?" soal Zureen.
"Taklah. Aku dengan Wina nak keluar makan-makan. Taufik dan Zarul pun ada sekali. Ajaklah kau sekali, takut bosan pula kau sorang-sorang dekat rumah tu. Jomlah! Kita keluar sama-sama."
"Dan kau nak aku jadi pemerhati pada pasangan-pasangan yang sedang bercinta? Berlagak bodoh macam aku tak terasa apa-apa? Tak payahlah, Aufiya. Terima kasih ajelah," tolak Zureen dengan nada jengkel.
Buat apa dia ikut kalau dia sahaja seolah-olah tunggul kayu mati di situ. Orang lain berpasangan dan dia sahaja yang berseorangan. Oh, tidak! Aku tak mahu nampak seperti orang bodoh di situ, bisik hatinya.
"Lah, bukannya kami abaikan kau pun. Just pergi makan-makan aje. Lagipun kau pun tahu kan, kami ni bukannya macam pasangan bercinta yang lain. Biasa-biasa aje. Tak mungkin akan ada adegan saling menyuap atau saling mengesat bibir pasangan masing-masing," balas Aufiya tenang.
Jika tidak diajak, bakal berlubanglah telinga mendengar sindiran penuh api kemarahan daripada Zureen. Tapi jika diajak, beginilah biasanya jawapan yang diberikan Zureen. Serba salah dia dibuatnya. Diajak pun macam berdosa, tidak mengajak pun macam besar benar kesalahannya.
"Huh! Thanks but no thanks. Aku tak mahu nampak sangat macam akulah yang paling tak laku dekat situ nanti. Seronoklah kau dengan Wina kalau orang tersenyum-senyum menyindir bila tengok aku nanti, kan? Mustahil tak nampak janggal bila kau dengan Wina ada pasangan dan aku aje yang nampak macam kera sumbang dekat situ."
Aufiya diam. Malas berbalas kata. Bimbang makin melarat pula andaian demi andaian yang dibuat Zureen nanti.
"Hurm... Kalau dah macam tu kata kau, tak apalah. Aku sekadar bertanya, kalau-kalau kau nak ikut." Aufiya mengangkat punggung. Sudah bersedia mahu beredar sebelum berpaling apabila terdengar suara Zureen memanggilnya.
"Bahagia kau dengan Wina tak perlulah nak tayang sangat pada orang lain. Beringat-ingat, belum tentu bahagia tu akan berpanjangan. Dan aku harap, fikirlah juga perasaan orang yang masih single macam aku ni." Aufiya mengeluh perlahan. Berpaling semula ke muka pintu. Combol dipulasnya dengan membawa bersama helaan nafas yang panjang.
"Zureen mana?" Wina yang baru sampai bertanya. Aufiya hanya sekadar mampu mengangkat bahu.
"Dia tak mahu ikut? Bila tak ajak, marah-marah kata kita lupakan dia. Bila diajak macam-macam pula alasannya. Kali ini apa pula alasan yang dia berikan?" bebel Wina. Sudah kenal dan tahu benar dengan perangai Zureen tu.
"Dia sibuk. Dahlah, tak payahlah kita panjang-panjangkan cerita Zureen tu. Yang penting kita dah ajak dia, jadi kalau dia nak marah-marah pun, bukan salah kita dah." Malas Aufiya mahu mengulang semula kata-kata Zureen. Tidak pasal-pasal Wina pula yang naik angin nanti dan dia pula bakal digelar sebagai batu api.
"Mesti dia ada cakap apa-apa ni..." Wina melirikkan pandangan nakal. Aufiya menepuk tangan Wina yang berada di atas meja.
"Kau tak payahlah nak jadi mak cik bawang sangat, ya. Ni, kau datang naik apa? Aku ingatkan kau datang dengan Zarul."
"Hurm... Naik apa lagi? Kereta akulah. Zarul nak datang ambil aku tengah-tengah waktu puncak macam ni? Kirim salam ajelah, Fiya. Kau pun datang sendiri ke? Taufik tak datang jemput kau?"
"Dia ada kerja di Putrajaya hari ni," balas Aufiya ringkas. Matanya liar memerhatikan sekeliling kawasan restoran yang memang selalu menjadi pilihan mereka berempat untuk berjumpa.
"Tu. Dah sampai pun cik abang kau." Mulut Aufiya memuncung panjang menunjukkan ke arah Zarul yang sedang berjalan masuk ke ruang dalam restoran tersebut. Tali leher yang dipakainya sudah dilonggarkan dan hujungnya pula dimasukkan ke dalam poket kemeja berwarna hitam yang dipakainya. Lengan kemeja pula sudah disingsingnya sehingga ke paras siku.
Wina segera mengangkat tangan, melambai ke arah tunangan yang sedang tercari-cari kelibatnya barangkali. Maklumlah, sebaik sahaja sampai tadi, laju sahaja tangannya menghantar mesej buat tunang tersayang. Dan balasan Zarul seperti biasa, okey!
"Dah lama sampai?" Tak tahu kepada siapa Zarul tujukan soalan itu, jadi Aufiya diam sahaja. Biarlah Wina yang menjawabnya.
"Baru juga lagi. Adalah dalam dua puluh minit."
"Taufik beritahu tadi, dia dah dalam perjalanan. Suruh kita order dulu. Fiya tentu tahu selera Taufik, kan?" Mata Zarul melirik ke arah Aufiya. Aufiya tersenyum segaris.
Tanpa menunggu jawapan Aufiya, laju Zarul memanggil pelayan yang sedang bertugas.
"Awak oderkan untuk saya sekalilah," pinta Wina. Sesekali mahu bermanja. Zarul mengerling sekilas.
Pelayan yang dipanggil akhirnya sampai di depan meja yang diduduki mereka. Bersedia dengan buku kecil dan pen di tangan.
"Carrot susu satu, spageti aglio olio satu. Awak?" Mata Wina terkelip-kelip memandang Zarul. Sangkanya Zarul akan turut membuat pesanan untuk dirinya juga.
"Wina, you nak makan apa? Cepatlah. Kasihan adik ni berdiri lama dekat sini." Muka Zarul seperti biasa, langsung tidak beriak. Wina menarik nafas panjang-panjang. Mahu membantah, malu kepada Aufiya dan pelayan yang masih kelihatan muda remaja usianya.
"Beri saya lime juice dan nasi goreng Cina, ya?" beritahu Wina dengan suara yang lemah. Aufiya hanya mampu mengerling. Faham dengan perasaan Wina ketika ini.
Selesai Aufiya membuat pesanan, Taufik pun muncul dengan keadaan yang termengah-mengah.
"Sorry, sayang. Jalan sesak tadi," beritahu Taufik sambil menarik kerusi di sebelah Zarul.
"Fiya dah oderkan untuk Fik. Tak tahulah Fik suka atau tak. Ermm... Milo ais dengan kuetiau ladna. Okey ke?"
"Fiya oder batu celup tepung pun Fik akan makan." Zarul mencebik. Loya mendengar ayat romeo karat yang keluar daripada mulut Taufik. Taufik ketawa. Sempat menyiku perut Zarul yang masih kelat mukanya.
"Tak lama dah, kan? Tinggal dua bulan aje lagi majlis kau orang berdua. Hai, sunyilah aku lepas ni." Wina pura-pura menayang muka sedih.
"Kalau sunyi, cepat-cepatlah ajak Abang Zarul jabat tangan tok kadi," balas Taufik bersahaja. Wina mengerling ke arah Zarul. Mahu melihat reaksi encik tunang. Hampa. Langsung tidak berkutik, sebaliknya sibuk membaca buku menu yang berada di tangan.
"Errr... Macam mana urusan Fik di Putrajaya tadi?" Aufiya cuba mengalih perhatian. Kasihan dengan Wina yang sudah berubah air mukanya.
"Okey. Bukannya urusan apa pun, just bincang tentang konsep hiasan dalaman rumah contoh tu aje. Pegawai yang incharge tu pula ada mesyuarat di Cyberjaya. Alang-alang Fik dah ada di Bangi, ajak terus ajelah berjumpa di Putrajaya."
Syarikat hiasan dalaman yang diusahakan oleh Taufik bersama dengan sahabat baiknya Ilham, nampaknya semakin hari semakin mendapat sambutan. Ada sahaja syarikat-syarikat perumahan, mahupun orang perseorangan yang mahu mendapatkan khidmat daripada mereka.
"Alhamdulillah. Murah rezeki bakal pengantin." Zarul meletakkan buku menu yang dipegangnya sejak dari tadi. Bukannya dia tidak mendengar kata-kata Taufik yang seolah-olah mahu memprovokasi, tetapi sengaja dia tidak mahu menjawab. Dia sesungguhnya tidak mahu memberikan Wina harapan yang dia sendiri tidak tahu entah bila dia dapat tunaikan.
"Nanti you nak pakai baju apa ke majlis Taufik dan Fiya ni?" Wina cuba berlagak biasa. Tidak mahu selera mereka terbantut pula jika dia terus menarik muka.
"Saya tak pergi kut masa majlis nikah dekat rumah Fiya."
"Hah? Kenapa?" Wina terkedu. Tak ada pula Zarul bercerita apa-apa sebelum ini. Tiba-tiba hari ini, dia kata tak dapat pergi pula?
"Ada urusan di Langkawi. Mungkin tak sempat balik."
"You ni, kan ini majlis kawan baik you. Takkanlah tak dapat nak cuti? I dah berangan nak pakai baju sedondon dengan you."
"Lain kali pun boleh pakai baju sedondon tu. Dah saya ada kerja, nak buat macam mana?" Zarul membalas dalam nada bersahaja.
Taufik dan Aufiya saling berbalas pandang. Memang beginilah setiap kalinya. Zarul yang dingin dan Wina yang tidak pernah putus mengharap.
Aufiya memanjangkan leher. Lambat pula rasanya pesanan mereka sampai. Terasa seolah-olah mahu sahaja dia menerpa masuk ke dalam dapur restoran menyuruh si tukang masak menyiapkan hidangan mereka dengan segera. Biar masing-masing sibuk makan dan tidak lagi memanjangkan isu itu.
"Fiya cari siapa?" Terhenti pergerakan Aufiya. Terasa lehernya kejung tiba-tiba. Dia tersengih. Memandang sepasang mata milik Zarul. Mujurlah Taufik sibuk dengan telefon di tangan, dan Wina pula seolah-olah hanyut dalam dunianya sendiri.
"Errr... Nak tengok kalau-kalau hidangan kita dah siap, Encik Zarul."
"Hurm... Dekat luar pun panggil encik lagi?" Taufik bertanya sambil mata masih tertumpu pada telefon yang dipegangnya.
"Dah biasa. Susah rasanya nak ubah." Aufiya beralasan. Memang! Dia masih lagi rasa segan dengan Zarul. Walaupun Zarul itu bukanlah ketua bahagiannya, tetapi salah seorang orang penting dan berpangkat dalam syarikat itu juga. Tambah-tambah lagi dengan sikap Zarul yang agak dingin, lagilah malu dia dibuatnya. Mahu pandai-pandai memanggil nama Zarul macam kawan-kawan... Oh, memang tidaklah!
"Kau jangan nak menuduh aku gila kuasa pula, ya? Aku tak suruh pun bakal isteri kau ni panggil aku encik. Dia yang keras lidah nak menyebut nama aku tanpa pangkal nama encik dekat depan tu." Zarul cepat-cepat menjawab. Mulut Taufik bukan boleh dikira, tahu-tahu nanti tidak pasal-pasal dia ditembak.
Wina membuang pandang kepada pasu bunga comel yang berisi beberapa kuntuman bunga di dalamnya. Semakin kecil dirasakan dirinya dengan layanan yang diberikan Zarul. Tapi entahlah, tidak tahu mengapa, hatinya masih berdegil mahu menunggu lelaki ini. Lelaki yang serba dingin. Baik dari segi pertuturan mahupun tingkah lakunya. Tetapi mengapa dengan orang lain, Zarul tidak sedingin sewaktu bersama dengannya? Zarul bencikan dirinya ke? Tapi mengapa dia dipinang Zarul dulu? Wina mengeluh. Dia jadi tidak faham dengan lelaki itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro