Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

"Dah siap semuanya?" Wina duduk di birai katil, memerhatikan Aufiya yang sedang sibuk memasukkan barang-barang yang dibelinya ke dalam kotak. Kata Aufiya, minggu ini abang keduanya akan pulang ke kampung. Bolehlah dia menumpangkan barang-barang tersebut ke dalam boot kereta abangnya untuk dibawa pulang.

"Belum lagi. Banyak lagi yang belum selesai. Bekas mengisi telur untuk tetamu pun kena tambah lagi. Umi aku kata yang aku beli ni tak cukup, ramai jemputan yang umi dan ayah aku jemput. Esok dia dan ayah aku nak ke Ayer Hitam pula, mencari barang-barang yang lain." Aufiya mengeluh.

Sudah dipesannya berkali-kali. Untuk majlis perkahwinannya, dia mahu majlis yang sederhana dan biasa-biasa sahaja. Tapi, tahu sahajalah ayah dan umi, tambah-tambah lagi, inilah perkahwinan terakhir yang diadakan dalam keluarga mereka. Lebih-lebih lagi, majlisnya diadakan di rumah sendiri, lagilah umi dan ayahnya teruja.

"Besar betul nampak gayanya majlis kahwin kau dengan Taufik ni."

"Tak tahulah nak cakap, Wina. Aku ni kalau boleh nak buat mana yang wajib aje. Tapi jadi anak bongsu ni memang payah! Tak diikutkan, takut mereka kecil hati, bila diikutkan, aduh! Kalau boleh, satu daerah Kota Tinggi tu mereka nak jemput." Wina ketawa kecil. Lucu melihat memek muka Aufiya yang tidak berpuas hati.

"Untunglah kau. Majlis kahwin banyak orang nak sponsor. Aku ni entahlah. Mana nak korek duit nak buat majlis pun tak tahulah aku."

"Encik Zarul dah beri hint ke?" Aufiya bertanya dengan suara yang teruja. Gembira kalau benar itulah yang berlaku. Dia dan Wina bertunang hanyalah selang tiga bulan bezanya. Dia bertunang pada bulan Februari, Wina pula bertunang pada bulan Mei, tahun yang sama. Memang sudah patut benar jika ikatan pertunangan itu diakhiri dengan langkah yang seterusnya pula.

"Belum lagi. Entahlah dia tu." Malas sahaja kedengaran suara Wina.

"Lah, dah kenapa pula dengan Encik Zarul? Dia ada buat hal ke?"

"Hesy, kau ni! Bukanlah. Dia tu, macam biasalah. Bila aku mula masuk bab nikah kahwin ni, mulalah dia alih cerita ke topik lain. Macam tak mahu bercakap tentang soal kahwin ni. Pelik juga aku. Dah tu, takkanlah dia nak kami bertunang sampai ke tua?"

"Encik Zarul dah ada perancanganlah tu. Kau jangan risaulah. Percayalah cakap aku." Aufiya cuba untuk menyedapkan hati Wina.

"Entahlah. Lagi dua bulan kau dah nak kahwin. Tinggallah aku dengan Zureen aje dekat rumah ni. Zureen tu kau tahulah, nak bercakap, nak bercerita, kena tengok-tengok juga angin dia tu. Lepas ni, entah dengan siapalah aku nak mengadu."

"Eh, aku kahwin ajelah! Bukannya aku dihantar bertugas sampai ke Kutub Utara. Anytime, Wina. Bila-bila masa aje, kalau kau perlukan bahu aku, nak pinjam telinga aku, just let me know. Aku akan sentiasa ada untuk kau. Tak kiralah masa tu aku dah berkahwin ke, dah ada anak tiga empat orang ke. Kawan tetap kawan. Aku tak mahu hubungan kita renggang bila masing-masing dah kahwin. Kau lupa ke janji kita?"

"Hurm... Kawan sampai mati."

"Ya, kita akan jadi kawan sampai mati." Aufiya mengulang ayat Wina tadi. Itulah janji mereka sejak dulu. Biar apa pun terjadi, biar pun status masing-masing sudah bertukar, hubungan mereka akan tetap kekal sama.

"Aku sayang sangat pada kau, Fiya. Kaulah kawan terbaik yang aku ada sejak bersekolah sampailah sekarang."

"Aku pun. Dah nak masuk lima belas tahun kita berkawan. Kau dah macam keluarga aku sendiri, Wina."

Wina tersenyum.

Taufik meneguk air teh tarik yang kelihatan pekat warnanya. Seteguk sudah pun selamat melepasi kerongkong, nikmatnya sukar mahu digambarkan dengan kata-kata. Restoran Ali Maiden memang sukar mahu ditandingi rasa teh tariknya.

"Kau bila lagi?" Zarul menjongketkan kening. Tidak faham dengan soalan Taufik yang tiba-tiba.

"Bila apanya?"

"Majlis kau dengan Winalah. Kita bertunang lebih kurang sama aje tempohnya. Takkanlah kau nak bertunang sampai aku dah ada anak tiga kut," sindir Taufik sambil ketawa.

"Tak guna! Mentang-mentanglah kau dah nak kahwin, bukan main lagi kau berlagak dengan aku, ya?" Taufik ketawa berdekah-dekah. Zarul mendengus.

"Tapi, betul serius ni aku tanya. Kau dah ada tarikhnya?"

"Belum. Fikir pun tak. Biarlah dulu. Bukannya nak lari ke mana pun..."

"Ya, mungkin Wina tak lari, tapi mungkin dia bakal disambar orang."

"Kalau macam tu, anggap ajelah aku dengan dia tak ada jodoh," balas Zarul ringkas.

Memang betul pun, jika itulah penyudah hubungannya dengan Wina, terima sahajalah. Takkanlah dia mahu menangis sehingga buta mata seperti Kasim Selamat dalam filem Ibu Mertuaku? Dia bukanlah lelaki yang taksub pada cinta sehingga sanggup meratap hiba begitu hanya kerana seorang perempuan!

"Amboi, berlagak betul! Entah-entah kalau betul itu yang berlaku, menangis tujuh hari tujuh malam kau agaknya."

"Aku? Menangis? Hesy, tak kuasalah aku. Macamlah Wina tu perempuan terakhir atas muka bumi ni. Kalau pun betul dia perempuan terakhir, aku bukanlah antara lelaki yang akan berebut untuk berkahwin dengan dia." Taufik terdiam. Matanya merenung wajah Zarul yang kelihatan tenang-tenang sahaja menghirup air teh O limau suam dari dalam gelas.

"Kenapa?" Zarul yang sedar mata Taufik tidak lepas memandangnya sejak dari tadi bertanya. Terasa seolah-olah dia sudah membuat kesalahan pula bila Taufik merenungnya begitu.

"Pelik!"

"Apa yang pelik?"

"Kau bercakap seolah-olah Wina tu bukan tunang kau. Seolah-olah kau langsung tak ada perasaan pada dia."

Zarul menarik nafas sebelum dilepaskannya semula. Masih lagi mempamerkan wajah yang tidak beriak.

"Bukan tak ada perasaan. Cuma aku rasa tak perlulah berlebihan untuk aku menzahirkan perasaan tu. Baru bertunang aje kut, belum tentu yang kami akan berkahwin. Aku cuma bercakap secara realistik dan rasional."

"Tapi kau macam tak teruja dengan pertunangan kau. Tak macam aku dengan Aufiya."

"Nak teruja macam mana lagi? Telefon dia lapan belas kali sehari sekadar untuk bertanya, sayang dah makan? Sayang dah ke tandas? Sayang dah mandi? Maaf, aku bukan lelaki jenis tu." Taufik sudah mengekeh ketawa. Lucu mendengar omelan Zarul yang jelas-jelas mempamerkan rasa jengkelnya.

"Tidaklah sampai lapan belas kali sehari. Tapi kalau langsung tak telefon, tak mesej, itu agak pelik sebenarnya, Zarul," balas Taufik setelah tawanya reda.

"Pelik pada kau yang romeo! Bagi lelaki jenis aku, kalau tak ada hal penting yang nak dikatakan, aku rasa tak perlu kut aku nak telefon, nak mesej."

"Habis tu apa gunanya bertunang?"

"Ya, aku pun dah lama nak tanya kau, bertunang tu untuk apa? Setahu aku, bertunang tu untuk kita saling mengenali dan mencari titik keserasian sebelum kita membuat keputusan untuk hidup bersama. Bertunang bukan tiket untuk selalu keluar berdua, berbual-bual berjam-jam lamanya di telefon sehingga mengabaikan tuntutan lain yang lebih penting. Buang masa semua tu. Bagi aku itu bukan tujuan utama aku bertunang."

"Tapi melalui panggilan telefon, melalui berbual-bual kosong, bertanya khabar, mungkin kita akan lebih mengenali bakal isteri kita tu."

"Buang masa! Lepas habis bercakap, berbalas mesej, mulalah tersenyum-senyum macam kerang busuk." Nah, setepek Taufik rasakan sindiran Zarul itu dilemparkan ke mukanya.

"Perli nampak?"

"Tidaklah. Itu yang aku nampak. Baik gunakan waktu bertunang tu untuk belajar ilmu alam perkahwinan, membaca, bukannya duk mengarang ayat-ayat cinta yang langsung tak realistik. Lautan api sanggup direnangi konon! Becak sikit pun orang sanggup pusing ikut laluan lain, kan? Macam tu nak harung lautan api?" Zarul mencebik. Anti betul dia dengan ayat-ayat pujangga cinta yang tidak masuk dek akal baginya.

"Aku terasa macam bercakap dengan calon peserta Imam Muda musim terbaru pula."

"Baguslah kalau kau rasa macam tu. Tak lama lagi, kau pun akan jadi imam Aufiya. Ini perangai tak macam bakal imam. Silap-silap Aufiya yang jadi imam kau nanti." Taufik sudah mengekeh ketawa. Langsung tidak terasa hati dengan kata-kata Zarul. Mereka berdua bukan baru kenal sehinggakan gurauan begitu pun mahu disimpan dalam hati.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro