Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

Taufik membantu memasukkan beg Aufiya ke dalam bonet kereta. Zureen dan Wina hanya sekadar memerhatikan sahaja.

Selepas berkahwin, Aufiya tidak lagi tinggal bersama mereka. Kondominium yang dibeli Taufik bakal menjadi tempat Aufiya berteduh pula selepas ini.

"Dah siap. Boleh kita bertolak sekarang?" Taufik tersenyum memandang Aufiya yang berdiri di tengah-tengah antara Zureen dan Wina.

"Eloklah bertolak sekarang. Nanti Taufik nak patah balik semula ke sini, kan? Bukannya dekat juga tu."

Tangan Wina dicapai Aufiya. Terharu dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh sahabat baiknya itu.

"Hurm... Sedihlah aku nak berpisah dengan kau Wina, Zureen." Air mata mula bergenang. Bertahun mereka bersama.

Sejak dari sekolah menengah, zaman matrikulasi, masuk universiti sehinggalah kini. Sudah berbelas tahun hubungan yang disulami dengan gelak tawa dan perselisihan faham yang ada pasang surutnya. Bukan mudah untuk dia meninggalkan kedua-duanya.

"Eh, kau nak kahwin aje, kan? Yang sedih-sedih sangat ni kenapa? Kalau kau tak nak sedih sangat nak berpisah dengan kami ni ha... Meh sini, biar aku yang kahwin dengan Taufik ni."

Aufiya memukul bahu Zureen yang selamba sahaja berkata-kata. Taufik hanya mampu ketawa. Tahu sangat dengan perangai Zureen yang suka bercakap lepas.

"Jangan harap!" balas Aufiya sambil mengesat tubir mata yang mula ditakungi air.

"Kalau tak mahu aku kahwin dengan Taufik, baik kau cepat-cepat bertolak. Dah pukul berapa ni? Takkanlah nak tunggu matahari meninggi baru nak bertolak ke kampung kau? Apa kau ingat kampung kau tu dekat Kampung Baru ke?"

"Bukan Kampung Baru, tapi Kampung Selayang! Dekat sikit."

Zureen sudah ketawa-ketawa mengekeh. Dalam pada sibuk mengesat air mata pun sempat lagi Aufiya membalas kata-katanya.

"Dah, dah. Pergi masuk dalam kereta cepat! Taufik, hati-hati memandu. Jaga kawan kami ni baik-baik. Fiya...Ingat, kalau lepas kahwin Si Taufik ni buat hal, bila-bila masa aje pintu rumah ni sentiasa terbuka untuk kau." Wina menyampuk. Sengaja mahu menceriakan suasana yang mula mendung.

"Eh, kau janganlah takutkan aku. Jangan nak mengada-ada pelawa tempat untuk Fiya ni larikan diri pula, ya? Jenuh aku nanti. Gaduh sikit, lari balik rumah sewa," balas Taufik dengan disambut deraian ketawa oleh ketiga-tiga gadis itu.

"Sedih?" tanya Taufik tatkala kereta yang dipandunya sudah melepasi Plaza Tol Sungai Buloh menghala ke selatan.

"Sedihlah. Kami dah lama bersama. Bukannya setahun dua. Sejak dari sekolah menengah lagi. Lepas tu masuk universiti pun sama. Tahun kedua dekat universiti, kami tinggal menyewa bersama. Sampailah sekarang kami tak pernah berpisah."

Sudah berulang kali Taufik mendengar cerita itu. Namun dilayannya juga walapun jalan ceritanya sudah dia hafal benar. Aufiya, Wina dan Zureen sama-sama bertemu ketika ketiga-tiganya mendaftarkan diri di salah sebuah sekolah berasrama penuh di utara Malaysia. Kemudian masing-masing melanjutkan pelajaran ke kolej matrikulasi sebelum sama-sama menempatkan diri di salah sebuah universiti awam di ibu kota. Sebab itulah hubungan mereka bertiga sudah seperti adik-beradik. Bergaduh, berbaik dan kemudian bergaduh semula.

"Yalah. Sedih tu sedihlah. Tapi takkanlah lepas kahwin pun Fiya nak tinggal dengan mereka?"

Aufiya menjeling bengang. Tahu yang Taufik sedang mengusiknya.

"Ada juga terfikir macam tu. Apa kata kalau lepas kita nikah, kita ajak Zureen dan Wina tinggal bersama kita? Okey tak macam tu?"

Taufik segera menoleh. Kata-kata Aufiya sedikit sebanyak mengundang rasa bimbang dalam hatinya.

"Fiya jangan main-main..."

"Mana ada Fiya main-main. Fiya cakap yang betullah ni. Barulah meriah sikit rumah kita nanti."

"Tak mahulah Fik! Ada pula nak diajaknya Wina dengan Zureen tu tinggal sama-sama dengan kita? Tak ada privacy tau! Tambah-tambah dengan mulut Si Zureen tu. Bukan aje bengkak telinga dibuatnya, malah berdarah. Dia tu kalau nak menyembur bukan kira siapa."

"Tak baik Fik kata Zureen macam tu. Dia tu baik sebenarnya. Cuma memang dah perangai dia agak outspoken orangnya. Nak buat macam mana? Tapi lagi bagus perangai macam tu daripada sibuk mengata orang dekat belakang, tapi di depan kita mulut manis bukan main lagi."

"Yalah, yalah. Fik minta maaf. Tapi seriuslah? Fiya bergurau aje kan tadi?"

Aufiya ketawa kecil. Taufik ni kalau datang hari lurusnya, boleh tahan juga.

"Fik ni lurus sangatlah! Takkanlah Fiya nak ajak dia orang tu tinggal sama dengan kita? Dia orang pun sah-sah tak mahu."

"Fuh! Nasib baik. Fiya janganlah bergurau benda-benda macam ni tau? Berdebar hati Fik ni tak tahu nak cakaplah. Bukannya lurus. Fiya kalau pasal budak berdua tu, apa pun boleh jadi. Bukannya Fik tak tahu," balas Taufik.

Aufiya hanya menayang sengih.

Zarul menebar pandangan ke arah laut yang terbentang luas. Hatinya tetap kosong meskipun laut yang berada di depannya seluas saujana mata memandang. Seolah-olah tiada penghujungnya. Sengaja hari ini dia menyewa sebuah bot untuk membawa dia bersiar-siar di sekitar pulau-pulau kecil yang terdapat di Langkawi ini. Hatinya tidak tenang sejak tiba dari semalam. Berdebar-debar semacam. Sudah berada jauh begini pun, hatinya masih lagi teringat-ingat.

Telefon yang diletakkan di dalam poket seluarnya tiba-tiba bergetar. Segera diseluknya. Mesej daripada Taufik.

Aku baru sampai rumah bakal mentua ni. Hantarkan Aufiya. Sedih pula pengapit aku tak ada hujung minggu ni.

Zarul tersenyum sejuring. Macam-macamlah Si Taufik ni.

Nanti majlis dekat rumah kau, aku datanglah. Jadi pengapit kau dua hari dua malam pun aku sanggup.

Butang Send ditekannya.

Dua hari dua malam nak buat apa? Aku pengantin baru kut. Buat apa nak habiskan masa dengan kau? Baik aku peluk Aufiya. Ada juga pahalanya.

Cis! Zarul mengelengkan kepalanya.

Sudah! Layan kau ni banyak melencong nanti. Gatalnya makin menjadi-jadi. Anyway, good luck, my brother.

Zarul memasukkan kembali telefon ke dalam poket seluar. Bot yang dinaiki sudah semakin hampir ke jeti. Dia menarik nafas panjang. Resahnya tetap tidak berkurangan. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro