Bab 14
"Kenapa kau ni? Muka macam orang baru tertelan ubat gegat aje?"
Wina menjeling. Anginnya memang kurang baik sejak dari pejabat lagi. Puas dia merayu kepada ketua jabatannya, namun langsung tidak diendahkan.
"Kau pernah tengok ke muka orang yang tertelan ubat gegat tu macam mana?"
"Tak." Zureen ketawa kecil.
"Bos aku itulah. Suka sangat buat keputusan last minute. Hujung minggu ni kan majlis perkahwinan Fiya. Ada ke patut dihantarnya aku pergi ke Kota Bharu. Geram betul aku. Bergaduh jugalah aku dengan dia tadi," adu Wina.
Memang panas sungguh hatinya dibuat Encik Latif hari ini. Sudahlah segala alasan tidak mahu diterima, dikatanya pula Wina sengaja mahu mengelak tugas. Macam manalah tidak naik angin dibuatnya?
"Buat apa kau ke Kota Bharu?"
"Mesyuarat dengan wakil cawangan di sana. Sepatutnya orang lain yang pergi. Tapi orang tu ada hal pula katanya."
"Dah tu, kau tak dapat pergilah ke majlis Fiya ni nanti?" soal Zureen.
Wina mengeluh. Dia langsung tidak nampak jalan keluar. Jika ingkar dengan arahan yang dikeluarkan, dia juga yang susah nanti.
"Nampaknya macam itulah. Fiya mesti sedih." Jawapan Wina berbaur kecewa.
"Hurm... Dah tu nak buat macam mana? Bukannya kau sengaja pun." Zureen cuba menyedapkan hati Wina.
"Dahlah Zarul pun tak dapat temankan Taufik, nampak macam kami ni berpakat pula," adu Wina lagi. Eloklah, dua-dua kawan baik pun tiada pada hari bersejarah Taufik dan Aufiya.
"Zarul ke mana?"
"Langkawi katanya. Projek di sana ada masalah. Zarul saban minggu terpaksa naik ke sana untuk memantau. Entahlah! Pening aku. Eh, Fiya ke mana? Tak nampak pun dia sejak dari tadi? Dah pukul enam lebih, takkanlah belum balik kerja lagi?"
"Dia keluar dengan Taufik. Katanya ada lagi barang yang tak cukup. Pergi cari barang-barang lagilah tu agaknya."
"Hai... Melepas aku nak tengok Fiya menikah." Wina masih tidak habis rasa terkilannya. Bukannya Aufiya berkahwin setiap bulan, itu pun Encik Latif tak boleh faham. Tetap juga dengan keputusannya.
"Tak apa. Nanti aku snap gambar banyak-banyak, aku send pada kau." Zureen sudah terkekeh-kekeh ketawa melihat wajah Wina yang sudah kelat. Sengaja dia mahu mengusik Wina.
"Sajalah tu, nak buat aku cemburu." Panjang jelingan yang dihadiahkan Wina kepada Zureen kali ini. Langsung Zureen tidak peduli. Sudah bertahun-tahun mereka berkawan, tahu benar yang marah Wina tidak akan sampai ke mana.
"Kau nak balik kampung hari apa?" Wina duduk di birai katil. Melihat Aufiya yang sedang sibuk mengemaskan barang-barangnya.
Kebanyakan daripada barang-barang hantaran sudah pun diambil oleh abangnya yang tinggal di Ampang. Tinggal lagi mahu mengemas serba sedikit kain baju dan barang-barang yang lainnya. Tidak banyak sebenarnya, cuma Aufiya mahu memastikan yang dia tidak tertinggal apa-apa. Jenuh kalau dia tertinggal barang yang penting, bukannya dekat mahu berpatah balik dari Kota Tinggi ke Kuala Lumpur.
"Rancangnya hari Khamis nak balik. Jumaat dapatlah rehat sehari. Sabtu kan dah majlisnya."
"Fiya, aku minta maaf sangat-sangat, ya? Dah puas aku cuba pujuk bos aku tu, tapi langsung dia tak layan."
"Eh, tak apalah, Wina. Aku tak kesah pun. Memanglah sedih kau tak ada waktu aku menikah, tapi apa boleh buat, kan? Alah, kau datanglah waktu kenduri dekat rumah Taufik nanti."
"Aku dah berangan nak tidur semalam dua dekat rumah kau. Nak tolong pakaikan inai untuk kau. Alih-alih, ini jadinya. Kecewa betul aku." Wina masih tidak habis-habis dengan rasa terkilannya.
Memang dia rasa ralat kerana tidak dapat hadir pada hari bersejarah Aufiya. Sedangkan sejak dari dulu lagi, itulah janji yang telah dibuat oleh mereka. Waktu Aufiya berkahwin, dia akan datang menemani Aufiya, waktu dia berkahwin nanti, Aufiya pula yang akan datang menemani hari-hari terakhirnya memegang status sebagai seorang gadis.
"Itulah yang dikatakan kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Dahlah, tak payahlah difikirkan sangat. Cuma aku minta, kau doakan supaya majlis aku ni berjalan lancar dan jodoh aku dengan Taufik berkekalan hingga ke akhir hayat."
"Aku akan sentiasa doakan kau, Fiya. Memang itulah yang aku harap-harapkan. Kau dengan Taufik hidup bahagia, beranak-pinak dan aman sentosa hingga ke jannah."
"Amin..." Aufiya meraup muka. Mengaminkan doa yang diucapkan oleh Wina.
Memang dia pun terkilan sebenarnya kerana Wina tiada pada hari itu nanti, tetapi sengaja tidak dizahirkan. Tidak mahu Wina rasa tersepit dan serba salah. Lagipun, semua yang berlaku bukannya atas kemahuan Wina. Sebagai pekerja yang makan gaji seperti mereka, apa lagi yang boleh dilakukan selain akur dengan arahan majikan?
"Lepas ni mesti sunyi bila kau tak ada." Wina menarik nafas panjang. Tiba-tiba dadanya terasa sebak. Bertahun mereka bertiga bersama, akhirnya Aufiya bakal pergi meninggalkan mereka berdua. Selepas bergelar isteri, tentu masa Aufiya akan bertambah terhad. Mungkin tiada lagi sesi menonton wayang bersama-sama, bergolek-golek di ruang tamu sambil menonton televisyen atau bercerita tentang hari yang dilalui masing-masing. Semuanya akan diambil alih oleh Taufik pula selepas ini.
"Ala, kau ni. Sesekali aku pasti akan datang ke sini untuk lepaskan gian melepak dengan kau dan Zureen. Jangan kau dengan Zureen tak bagi aku masuk, dahlah! Manalah tahu, kalau-kalau sesekali aku dan Taufik berlaga angin, adalah juga tempat untuk aku menenangkan fikiran."
Wina ketawa kecil. Aufiya ada-ada sahaja. Boleh pula suruh dirizabkan rumah ini untuk dia jadikan tempat untuk melarikan diri.
"Insya-Allah, kau dengan Taufik akan baik-baik sahaja. Taufik tu sayang benar dengan kau. Rasa aku, sejak dari kau berkawan, bertunang, sehinggalah nak berkahwin ni, jarang benar kau dengan dia bergaduh. Malah setahu aku, tak pernah pun kau dengan dia berselisih faham. Taufik tu bertolak ansur orangnya."
"Ya, dia memang baik. Jarang nak tengok dia marah-marah. Tapi ada juga kalau sesekali tak kena dengan anginnya." Aufiya terkenang semula peristiwa sewaktu mereka bertemu di tepi tasik dulu.
Walaupun marah dan kecewa, tapi Taufik masih lagi sanggup menerima dirinya yang kotor ini. Dan sehingga hari ini, Taufik masih menunaikan janjinya. Perkara itu langsung tidak pernah diungkit oleh mereka. Malah, seolah-olah, perkara itu tidak pernah berlaku dan rahsia itu masih terkunci rapat.
"Biasalah tu. Zarul pun sama," balas Wina.
Tunangnya itu memang tenang orangnya. Jarang benar Zarul memperlihatkan sisi buruknya. Namun ketenangan yang dipamerkan Zarul itulah yang semakin hari semakin membuatkan hatinya resah. Zarul terlalu tenang, sedangkan dirinya sudah tidak tahan diasak dengan persoalan sampai bila hubungan mereka akan terus kekal sebagai tunangan?
Bila diajak berbincang soal kahwin, Zarul hanya tersenyum dan menyuruhnya bertenang. Zarul itu lelaki, bolehlah kalau mahu bertenang. Kahwin ketika umur empat puluh tahun pun tidak mengapa. Dia pula perempuan, semakin hari semakin meningkat umurnya dan semakin hebat tekanan daripada orang keliling. Ini umurnya baru masuk dua puluh tujuh tahun pun dah kecoh orang sekeliling bertanya. Wina mengeluh lagi.
Selepas selesai majlis perkahwinan Aufiya dan Taufik, akan diajaknya juga Zarul berbincang tentang hubungan mereka. Takkanlah mahu bertunang sehingga bertahun-tahun? Ini sudah masuk setahun usia pertunangan mereka, pun Zarul buat tidak tahu juga. Tanpa sedar, cadar katil Aufiya diramasnya kuat-kuat. Melepaskan rasa geram yang bergumpal dalam dada.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro