Bab 13
Sudah masuk hari yang keempat. Taufik masih membisu sejak kali terakhir pertemuan mereka. Pertemuan yang berakhir dengan air mata.
Aufiya resah sendiri. Majlis mereka tidak sampai dua minggu sahaja lagi. Kad-kad jemputan pun sudah mula diedarkan. Kelmarin sewaktu uminya menelefon memberitahu yang dia dan Encik Halim sudah pun mula menjemput jiran tetangga dan saudara-mara terdekat, hati Aufiya menangis sendiri.
Dia berperang dengan perasaannya sendiri, mahu dikhabarkan yang majlis itu tidak jadi, dia tidak sampai hati sementelah mendengar suara uminya yang kedengaran begitu teruja sekali. Lagipun, dia masih belum mendapat apa-apa kata putus daripada Taufik.
Mahu menghubungi Taufik, dia terasa malu. Taufik juga mungkin perlukan masa untuk memikirkan arah tuju hubungan mereka selepas segala-galanya terbongkar.
"Fiya, Taufik call aku tadi. Suruh kau call dia semula. Dia cuba telefon kau, tapi kau tak angkat katanya." Wina yang baru selesai menunaikan solat maghrib memberitahu.
Aufiya diam. Matanya masih terpaku pada kaca televisyen yang menyiarkan rancangan memasak dari luar negara. Kata-kata Wina tadi langsung tidak dia endahkan.
Wina merenung sahabatnya dengan pandangan pelik. Sejak beberapa hari yang lalu, Aufiya kelihatan lain benar. Suka termenung, berkhayal dan adakalanya dia melihat Aufiya menangis.
Hubungan Aufiya dan Taufik ada masalah ke? Tapi tak ada pula Aufiya mengadu apa-apa. Selalunya, dialah tempat Aufiya meluahkan rasa. Harap-harap tak ada apa-apalah yang berlaku. Majlis perkahwinan mereka sudah dekat benar. Wina berdoa dalam hati. Risau dia melihat keadaan Aufiya sejak akhir-akhir ini.
"Fiya, dengar tak apa yang aku cakap tadi? Fiya!" Kali ini tangan Wina turut bergerak sama. Ditepuknya bahu Aufiya perlahan.
Aufiya terpinga-pinga memandang Wina. Keningnya dijongketkan.
"Taufik call aku tadi. Minta kau telefon dia semula. Dia telefon kau dah banyak kali katanya. Haram kau tak angkat."
Taufik call? Hati Aufiya sudah mula berdebar kencang. Mungkinkah tunangnya itu sudah ada keputusan tentang hubungan mereka setelah berfikir selama beberapa hari? Aufiya memejamkan matanya. Mengesat air mata yang mula mahu bertakung.
"Kau ni dah kenapa? Beritahu Taufik suruh telefon dia semula pun kau dah sedih? Kau dengan Taufik ada masalah ke, Fiya? Risaulah aku tengok keadaan kau dua tiga hari ni." Wina terpaksa juga bersuara. Susah hatinya dibuat dengan sikap Aufiya. Kalau tiada apa-apa, mustahil Aufiya berkelakuan begini.
"Tak ada apa-apalah. Aku dengan dia okey aje. Biasalah dekat-dekat nak kahwin ni, macam-macam perasaan datang. Takut, risau, kadang-kadang ada sesekali datang perasaan nak batalkan aje majlis tu," dalih Aufiya.
"Hesy, kau jangan nak merepek! Majlis kau dah dekat benar. Lawanlah sikit semua bisikan jahat tu. Jangan dilayan sangat."
Ya, sebab majlis itu sudah dekat benar dan semua persiapan telah dibuatlah aku terpaksa bertahan. Jika tidak, aku lebih rela memutuskan pertunangan kami daripada berhadapan dengan Taufik lagi. Aku malu! Malu, Wina! Namun kata-kata itu hanya mampu diucapkan dalam hatinya sahaja.
"Hurm... Yalah. Aku tahu tu."
"Eh, dahlah! Cepatlah pergi telefon Taufik tu. Ada hal penting agaknya. Sampai terpaksa telefon aku suruh pesan beritahu kau. Taufik tu kalau tak ada hal penting, tak adanya dia nak telefon aku."
"Hurm... Yalah," balas Aufiya tidak bersemangat.
Dia bangkit dari duduknya dengan malas, bimbang jika dia acuh tak acuh dengan pesanan yang dititipkan, perasaan syak wasangka Wina akan semakin menjadi-jadi.
Wina memandang sahaja belakang Aufiya yang melangkah lemah ke biliknya.
Dia menggelengkan kepalanya. Tak nampak macam bakal pengantin! Nak kata kahwin paksa, sah-sah bukan. Hampir dua tahun juga Aufiya dan Taufik berkawan. Nak kata halangan keluarga, setahunya, baik keluarga Aufiya mahupun Taufik, memang sayang benar dengan bakal menantu masing-masing.
Takut nak kahwin? Huh, tak masuk akal! Aku ni punyalah seksa menunggu Si Zarul tu buka mulut ajak bincang soal kahwin. Zarul pula macam tak sedar-sedar yang tempoh pertunangan mereka dah menghampiri tarikh luput. Langsung tak ada hint.
Bila aku ajak bincang, dia kata, alah, lambat lagi. Dah dekat dengan majlisnya nanti baru kita bincang. Apa? Dia ingat majlis kahwin ni macam majlis berkhatan ke? Wina sudah mula mengomel sendiri. Bengang dengan sikap Zarul yang seolah-olah langsung tidak ambil kesah.
Aufiya teragak-agak mencapai telefon bimbitnya yang diletakkan di atas katil. Memang sengaja dia tinggalkan di situ. Sudah putus asa menunggu panggilan daripada Taufik yang tidak kunjung tiba. Alih-alih hari ini, tahu pula Taufik mencarinya.
Lima belas panggilan tidak berjawab! Padanlah kalau Taufik terpaksa menelefon Wina pun. Aufiya menarik nafas dalam-dalam. Cuba mencari kekuatan untuk berbicara dengan Taufik.
Ya. Biar apa pun kesudahannya, baik ataupun buruk, biarlah segalanya jelas dan dia tidak lagi dibiarkan dalam keadaan tertanya-tanya sendiri.
"Assalamualaikum."
Hatinya berdebar-debar mendengar salam yang diberikan Taufik. Sudah empat hari suara itu tidak didengarinya.
"Waalaikumussalam. Awak, saya ni. Wina kata, awak suruh telefon awak semula. Ada apa?" Bicaranya terasa begitu janggal sekali. Jauh larinya daripada nada yang selalu digunakan sebelum ini. Sebelum rahsia yang tersimpan rapi terbongkar juga akhirnya.
"Awak sibuk tak? Kalau tak sibuk, saya nak ajak awak keluar. Boleh?"
Oh, Taufik mahu berbicara secara empat mata. Mungkin mahu segala yang ingin disampaikannya nyata lagi jelas. Mungkin juga ini merupakan pertemuan terakhir mereka. Jadi, Taufik mahu mengakhirinya secara baik. Aufiya mula membuat kesimpulan sendiri.
"Boleh," balas Aufiya sepatah.
Apa lagi yang boleh dia katakan? Dia juga tidak mahu terus mengelak dan membiarkan mereka berdua terseksa. Jika selepas ini ada yang menderita, orang itu biarlah dia. Dia yang bersalah kerana merahsiakan perkara sebesar itu daripada pengetahuan Taufik.
"Setengah jam lagi saya sampai," beritahu Taufik sebelum mematikan talian.
Aufiya termenung seketika. Langsung tidak teruja mahu bersiap. Tidak seperti dulu. Pantang Taufik mengajaknya keluar, dialah orang yang paling sibuk memadankan pakaian dan tudung. Mahu memastikan yang dirinya sentiasa tampil cantik pada mata Taufik.
"Fiya tentu tahu kan tujuan kita keluar malam ni?" Taufik memulakan bicara selepas mereka selesai makan malam. Sejak dari dalam kereta, Aufiya hanya diam dan dia juga membisu. Terasa kekok mahu berbual dan bergurau seperti selalu.
"Ya."
"Fiya, Fik dah fikirkan masak-masak. Fik rasa inilah keputusan yang terbaik buat kita berdua."
Aufiya memejamkan matanya. Cuba mengempang rasa sebak yang mula bertandang. Jadi, inilah akhirnya. Penamat kisah cinta Aufiya dan Taufik.
"Cakaplah. Fiya dah sedia nak dengar."
"Kita teruskan."
"Hah?" Aufiya termangu-mangu. Keliru dengan ayat Taufik sebentar tadi.
"Ya. Fik dah fikirkan dalam-dalam. Fik sayangkan Fiya. Fik tak kesah dengan kisah silam Fiya. Kita kahwin!"
"Fiya tak mimpi, kan?" Aufiya masih terasa sukar mahu percaya. Kalau teringatkan wajah Taufik dan kata-kata lelaki itu empat hari lepas, langsung dia tidak menaruh harapan yang perkahwinan mereka ini bakal menjadi kenyataan.
"Fik minta maaf sebab berkasar dengan Fiya. Kita teruskan rancangan kita tu. Cuma Fik minta, lepas ni, kalau ada apa-apa, beritahulah pada Fik. Fik tak suka nak dengar cerita tu daripada orang lain."
Aufiya menyapu air mata yang mengalir. Terlalu gembira dengan keputusan yang dibuat oleh Taufik.
"Terima kasih. Terima kasih banyak-banyak, Fik. Fiya janji, Fiya akan jadi isteri yang terbaik untuk Fik."
Rasanya, jika Taufik meminta untuk diberikan upah atas pengorbanan yang telah dilakukan olehnya pun, Aufiya sanggup. Tidak terbalas segala apa yang dilakukan oleh Taufik untuknya. Aufiya akan kenang jasa Taufik kepadanya selagi hayat dikandung badan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro