Bab 1
Prolog 1
IKMAL menggaru-garu keningnya yang tidak gatal. Tersengih-sengih seperti kerang busuk. Gadis di depannya menjeling tajam. Langsung tidak ada hati mahu memandang muka Ikmal.
"Aku dah banyak tolong kau sebenarnya. Aku pun dah naik buntu nak bantu kau dengan cara apa lagi untuk pikat hati Aufiya. Benda mudah macam ini pun kau tak boleh buat! Hairan aku. Kata playboy kampus. Macam indah khabar daripada rupa aje," sindir gadis yang kelihatan manis memakai seluar slack berwarna hitam dipadankan dengan blaus berwarna biru bercorak belang-belang.
"Farah, aku dah cuba macam-macam cara. Tapi Aufiya tu kebal. Nampak aje lembut, tapi hati bukan main keras. Belikan bunga dia buat tak layan. Beri coklat, dia beri pada orang, aku tulis surat, dia buang. Aku ni pening nak buat macam mana lagi untuk lembutkan hati dia." Ikmal mengadu.
Dia cuma tinggal satu semester sahaja lagi sebelum menamatkan pengajian. Aufiya dan Farah pula baru masuk semester pertama, dan sudah pasti gadis semanis Aufiya mampu menarik perhatian ramai pelajar lelaki senior. Ikmal juga tidak ketinggalan. Sejak hari pertama dia terpandangkan wajah Aufiya, hatinya sudah melonjak mahu mengenali gadis itu dengan lebih rapat.
Namun Aufiya bukanlah seperti gadis-gadis yang pernah dipikatnya. Aufiya bukanlah jinak-jinak merpati, tetapi liar seperti burung kedidi. Mahu memikatnya tidaklah semudah yang disangka. Sudah masuk bulan ketiga dia mencuba, jangan kata Aufiya mahu terpikat, memandangnya pun Aufiya seolah-olah tidak sudi. Puas sudah dia menggunakan Farah sebagai wakil utusan cintanya, namun salam perkenalannya tetap dipandang sepi.
"Huh, aku ingatkan kau ni hebat sangatlah macam yang disebut-sebut orang! Tapi rupa-rupanya..." Farah tersenyum sinis. Sengaja mahu membakar hati Ikmal.
"Kau nak tolong aku ke tak ni?" Ikmal mula terbakar hatinya. Sindiran demi sindiran yang dilemparkan Farah seolah-olah sengaja mahu memprovokasi.
"Apa yang aku dapat kalau aku tolong kau? Pahala?" Farah masih lagi dengan senyuman mengejek.
"Aku akan hadiahkan kau beg tangan yang kau suka sangat tu kalau aku berjaya pikat Aufiya. Macam mana? Kau setuju tak?" Ikmal membuat tawaran.
"Beg tangan aje? Berapa sen sangatlah kalau setakat beg tangan tu. Tak berbaloi!"
"Habis tu, kau fikir beg tangan tu murah? Beribu harganya tahu?" Ikmal jegil mata. Apa, Farah ni fikir duit itu turun dari langit agaknya? Dia pun bukannya berduit sangat. Belajar pun belum habis. Wang belanja pun mengharapkan ihsan mama dan papanya. Cuma dia agak beruntung kerana dilahirkan dalam keluarga yang berada.
"Ala, anak orang senang macam kau, apalah sangat setakat beg tangan ribuan ringgit tu. Kau pikat perempuan selama ini bukan guna taktik tu ke?" Farah ketawa kecil. Langsung dia tidak takut dengan jegilan mata Ikmal.
"Huh! Dah tu, kau nak apa lagi sebagai balasan?" Ikmal merengus. Namun dia tahu, dia tidak akan menang kalau berlawan cakap dengan Farah.
"Duit. Sepuluh ribu ringgit. Berani tak?" Farah mencuba nasib. Dia tahu sangat betapa Ikmal begitu tergila-gilakan Aufiya. Lagipun, sepuluh ribu ringgit bukanlah besar benar nilainya bagi anak orang kaya seperti Ikmal.
Ikmal diam seketika. Berfikir, dari manakah dia boleh mendapatkan wang sebanyak itu?
"Banyak tu. Kau fikir aku ni cap duit ke?"
"Mungkin kau tak boleh cap duit. Tapi aku tahu yang kau ada mesin mengeluarkan duit dekat rumah tu. Sebut aje, pasti dapat. Aku tak paksa. Terpulang! Kalau kau tak setuju, aku pun tak dapatlah nak menolong."
Ikmal diam lagi. Masih lagi berkira-kira. Farah mengerling jam di tangan. Kelasnya bakal bermula sedikit masa lagi. Menunggu Ikmal buat keputusan, mahu terlambat dia ke kelas nanti.
"Got to go now. Tunggu kau fikir, mahu berakar punggung aku ni." Farah bangun. Beg galas yang diletakkan di atas kerusi sebelah dicapainya lalu disangkutnya ke bahu kiri.
"Wait! Okey, okey. Aku setuju. Tapi balasannya juga mestilah setimpal dengan upah yang aku bakal berikan pada kau."
Farah tersenyum kecil. Ah, perkara senang! Dia kembali duduk semula.
"Baik. Aku ada satu rancangan untuk kau dapatkan Aufiya. Bukan setakat bercinta, malah lebih daripada itu aku boleh beri pada kau." Farah sudah tersenyum-senyum. Satu rancangan hebat sudah bermain-main dalam fikirannya.
"Rancangan apa?" Ikmal mula menunjukkan minat. Apa-apa sahaja yang berkaitan dengan Aufiya, memang menjadi kegilaannya.
"Mari sini, aku bisikkan rancangan tu. Tak boleh nak cakap kuat-kuat, nanti orang lain tahu."
Ikmal segera bangun lalu merapatkan telinganya ke mulut Farah. Sudah tidak sabar mahu tahu rancangan yang disusun oleh Farah untuk membantunya.
Bibir Farah kelihatan bergerak-gerak menyatakan sesuatu kepada Ikmal yang tekun mendengar. Sesekali kepala Ikmal terangguk-angguk mendengar rancangan yang dibisikkan Farah ke telinganya.
"Wow, kau memang hebat, Farah! Aku tak sangka kau boleh terfikirkan rancangan yang macam ini. Tapi, aku musykil. Kau dengan dia, bersahabat baik, tapi kenapa..."
"Pelik ke? Kau pernah dengar tak ayat musuh yang paling bahaya adalah orang yang paling dekat dengan kita? Aku memang baik dengan dia, tapi itu tak bermakna aku sukakan dia," balas Farah bersahaja.
Memang! Dia dan Aufiya rapatnya seperti isi dengan kuku. Namun dalam hatinya, hanya Tuhan yang tahu betapa dia tidak sukakan gadis yang bernama Aufiya itu. Puas dia berdoa dan berharap agar dia dan Aufiya tidak ditempatkan di universiti yang sama. Tetapi kuasa Tuhan mengatasi segalanya. Dia dan Aufiya bukan sahaja satu universiti, malah sebilik dan satu jurusan. Puaslah dia menahan perasaan dek terpaksa menghadap muka Aufiya saban hari.
"Aku tak kesah sama ada kau sukakan dia atau tidak. Tapi rancangan kau tu memang hebat. Aku janji, habuan yang besar menanti kau kalau rancangan kita ni berjaya."
"Okey. Aku pegang kata-kata kau. Tapi ingat, rahsia ni hanya kita berdua sahaja yang tahu. Aku tak mahu rancangan ini terbongkar pada sesiapa pun."
"Itu perkara senang. Pandai makan, maka pandailah aku simpan." Ikmal sudah tersengih-sengih. Terbayang-bayang wajah Aufiya yang manis di ruang mata. Tunggulah Aufiya, sedikit masa sahaja lagi abang akan datang menemui Aufiya. Ikmal sudah ketawa berdekah-dekah.
"Hoi, kau gila ke? Tiba-tiba aje ketawa macam orang tak betul! Ini mesti dah terbayang perkara yang bukan-bukan ni," marah Farah. Ikmal langsung tidak terasa hati dengan kata-kata Farah yang agak kasar.
"Dahlah. Kau ketawalah puas-puas dekat sini. Aku ada kuliah lagi lepas ni. Apa-apa hal kau WhatsApp aje aku. Jangan sesekali kau call aku. Takut buah hati pengarang jantung kau tu syak pula nanti. Rosak rancangan kita." Farah sempat berpesan seraya bangun lalu mencapai beg galasnya.
Dia terus berjalan meninggalkan Ikmal yang masih ketawa di situ. Lantak kaulah, Ikmal. Apa yang penting pada aku, rancangan kita tu berjalan lancar. Biar Aufiya tahu langit itu tinggi atau rendah. Farah tersenyum-senyum sendiri.
"Fiya, aku ada kuliah ganti Doktor Suhailah malam esok tau." Sambil mengeringkan rambutnya dengan menggunakan tuala, Wina memberitahu Aufiya yang kelihatan tekun benar menghadap komputer ribanya.
"Hah? Kau cakap apa?"
Dah agak dah. Wina mencebikkan bibirnya. Tahu sangat yang Aufiya kalau sudah menghadap laptop, lupa akan perkara-perkara yang sedang berlaku di sekelilingnya.
"Malam esok, aku ada kuliah ganti Doktor Suhailah. Statistik Sains Gunaan." Wina mengulang semula apa yang diberitahunya sebentar tadi.
"Aku pun ada kelas malam esok, tapi kuliah Encik Syamsul. Dia kan nak ke Jepun minggu depan. Sibuklah menggantikan kelas yang bakal dia tinggalkan nanti."
"Ke Jepun? Buat apa? Bercuti?" tanya Wina.
"Hesy, kau ni! Manalah aku tahu, tapi dengar-dengarnya dia dihantar berkursus empat minggu. Itu yang kalut ganti kelas bagai tu."
"Oh... Dah tu macam mana ni esok?"
"Kelas kau pukul berapa?" Aufiya minta kepastian.
"Pukul lapan sampai sepuluh malam. Kau?"
"Pukul sembilan sampai sebelas malam. Encik Syamsul ada kelas lain sebelum tu. Itu yang terpaksa mula lewat sikit. Alah, jenuhlah kau nak menunggu aku sejam tu. Tak apalah, kau baliklah dulu. Tak payahlah kau tunggu aku," suruh Aufiya.
Kasihan juga Wina mahu menghabiskan masa sejam di luar bilik kuliah. Malam-malam pula tu. Bukannya ada ramai orang di fakulti waktu malam begitu. Lainlah kalau siang hari. Mahu berjalan pun adakalanya terpaksa menepi.
"Hesy, ada pula macam tu! Malam-malam kut. Takkanlah kau nak balik sorang-sorang?" Bimbang pula Wina dibuatnya. Jalan menuju ke rumah sewa mereka boleh tahan gelapnya. Ada lampu jalan pun, lebih banyak yang tidak berfungsi daripada yang boleh dipakai.
Sudahlah semak samun pun bukan main tebalnya. Tambah-tambah lagi ada beberapa buah rumah di kawasan perumahan tempat mereka menyewa itu sudah agak lama tidak diduduki orang. Bertambah suburlah semak samun yang tidak ditebas dan dibersihkan.
"Apa pula sorang-sorang? Zureen kan ambil subjek yang sama dengan aku. Aku balik dengan dia ajelah nanti."
"Haahlah. Lupalah pula aku."
"Apa sebut-sebut nama aku ni? Mengumpatlah tu!" sergah Zureen yang tiba-tiba sahaja sudah terpacul wajahnya di depan muka pintu bilik yang tidak berkunci.
Rumah sewa dua tingkat yang didiami oleh mereka ada empat buah bilik. Mereka bertiga berkongsi bilik yang sama di tingkat atas. Manakala tiga bilik lain dihuni oleh sembilan pelajar lain dari fakulti yang berbeza.
"Tak kuasa nak mengumpat kau. Ini, kami tengah berbincang tentang kelas esok. Esok kita semua ada kuliah malam. Wina risaukan aku balik sorang-sorang. Dia lupa yang kau pun ambil subjek yang sama dengan aku semester ni," beritahu Aufiya terus terang. Zureen tu cepat benar mahu syak wasangka yang bukan-bukan.
"Wina risaukan kau, habis tu Wina balik dengan siapa?" soal Zureen.
Aufiya menepuk dahi. Ya tak ya juga.
"Aku boleh balik dengan Azian. Dia pun ambil subjek tu." Azian, kawan serumah mereka juga, cuma jurusannya sahaja yang berbeza.
"Oh, tak apalah kalau macam tu. Kalau tidak, risau juga aku."
"Eloklah, kau risaukan Wina, Wina risaukan kau. Aku juga tak ada siapa yang nak kesahkan dan ambil peduli." Suara Zureen sudah kedengaran seperti orang yang berjauh hati.
Memang itulah hakikat yang sebenarnya pun. Bila dia berada di antara kedua-duanya, dia sering sahaja rasa terpinggir. Kadang-kadang rasa seperti melukut di tepi gantang pun ada. Dia sahaja yang terhegeh-hegeh mahu berkawan dengan mereka berdua, sedangkan baik Aufiya mahupun Wina sedikit pun tidak ambil peduli tentang kewujudan dirinya.
"Kau janganlah cakap macam tu... Kami pun risaukan kau juga. Sama aje. Kita kan dah berkawan sejak dari sekolah menengah lagi lagi." Wina cuba untuk memujuk Zureen. Rakannya yang seorang ini memang sensitif dan mudah terasa orangnya. Dengan Zureen mereka perlu lebih berhati-hati bila bercakap. Hati Zureen mudah sangat tersentuh dan terasa hati walaupun mereka langsung tidak memaksudkannya begitu.
"Hurm... Yalah tu."
Aufiya dan Wina saling berpandangan. Wina mengangkat bahu dan Aufiya membalas dengan menjongketkan keningnya. Sudah masak benar dengan perangai Zureen yang mudah merajuk.
Malas mahu memujuk, Aufiya cepat-cepat mengalihkan perhatian kepada laptop yang masih terpasang di atas meja. Wina pula sibuk menyapu penyegar dan pelembab pada wajahnya yang baru sahaja dibersihkan tadi.
Zureen menjuihkan bibir. Sakit hati bila rajuknya tidak dilayan. Terus dia melambungkan dirinya di atas katil. Lebih baik dia tidur daripada memikirkan geng yang perasaan baik tu. Benci!
"FIYA balik dengan siapa ni?" Husna yang melihat Aufiya terkocoh-kocoh keluar dari dewan kuliah bertanya.
"Seoranglah gamaknya, Husna. Zureen tiba-tiba saje sakit perut. Cirit-birit sejak lepas maghrib tadi."
"Hesy, beraninya nak balik sorang-sorang! Jauh juga tu Fiya nak balik ke rumah sewa tu. Malam-malam macam ni bahaya. Nak tumpang tidur dekat bilik Husna tak?" Husna mempelawa. Bimbang pula dia mahu membiarkan Aufiya pulang ke rumah sewa seorang diri malam-malam begini.
"Tak apalah, Husna. Terima kasih ajelah. Ala, tak adalah jauh mana pun. Tak sampai pun lima kilometer. Tak apa, hari pun masih awal lagi. Belum pun tengah malam. Rasanya banyak lagi kenderaan yang lalu-lalang waktu-waktu macam ni. Kuranglah sikit rasa takut tu."
"Kalau dah itu kata Fiya, tak apalah. Hati-hati bawa motosikal tu nanti, Fiya," pesan Husna.
"Insya-Allah. Fiya balik dulu ya, Husna?" Aufiya meminta diri. Husna hanya sekadar menganggukkan kepalanya sahaja sebelum turut melangkah menuju ke tempat meletakkan kenderaan untuk pelajar.
Aufiya memandang kiri dan kanan. Tempat letak motosikal sudah pun lengang. Tadi dia sampai agak lewat sedikit kerana singgah di farmasi membelikan ubat buat Zureen. Kemudian, berpatah balik semula ke rumah sewa untuk menghantarkan ubat yang dibelinya. Mahu dibuat tidak tahu sahaja, rasa tidak patut pula. Zureen itu sahabatnya. Sudahlah masing-masing jauh dari keluarga. Jika mereka tidak saling menjaga, siapa lagi yang boleh diharapkan?
Sudahnya, sampai-sampai sahaja di pekarangan fakulti, dilihatnya tempat meletakkan kenderaan untuk pelajar yang paling hampir dengan dewan kuliah sudah pun penuh. Maka, terpaksalah dia meletakkan motosikalnya di kawasan parkir yang berhadapan dengan Unit Hal Ehwal Pelajar. Berpeluh juga dia mahu menapak ke dewan kuliah yang terletak selang beberapa blok dari situ.
Berhati-hati Aufiya menghidupkan suis motosikalnya. Sempat dia membaca doa menaiki kenderaan sebelum dia memulakan perjalanan. Kepekatan malam diredah dengan hati yang sedikit gundah.
Ikmal memerhatikan motosikal yang ditunggang Aufiya dari jauh. Sengaja dibiarkan Aufiya jauh sedikit, barulah dihidupkan enjin motosikal yang dipinjamnya daripada Pak Jamlus, tukang kebun di rumahnya.
Hairan orang tua itu bila Ikmal tiba-tiba sahaja meminta untuk meminjam motosikal cabuk miliknya. Setelah puas dipujuk dan diselitkan upah sebanyak lima puluh ringgit, akhirnya orang tua itu akur juga.
Dapat sahaja motosikal itu, Ikmal langsung tidak berlengah, cepat-cepat ditukarnya nombor plat di depan dan juga belakang. Tidak mahu ada masalah di kemudian hari.
Ikmal melajukan motosikal yang ditunggangnya apabila dilihatnya motosikal Aufiya sudah semakin hampir dengan kawasan semak yang sudah ditandanya beberapa hari lalu. Di situlah sejarah bakal tercipta. Ikmal tersengih sendiri.
Aufiya memandang cermin sisi. Motosikal itu sejak dari tadi dilihat mengekorinya. Pada mulanya dia berasa sedikit lega kerana sekurang-kurangnya dia tidak berseorangan di atas jalan raya yang sunyi dan kelam. Tapi bila diperhatikan lama-lama, penunggang motosikal itu seolah-olah sengaja mengekorinya dari belakang.
Aufiya terasa takut tiba-tiba. Serta-merta dipulasnya throttle minyak supaya motosikalnya lebih laju. Mahu cepat-cepat sampai ke kawasan perumahan yang sudah tidak berapa jauh lagi dari situ.
Ikmal sudah semakin hampir. Motosikal Aufiya sudah dapat disainginya.
Buk! Ditendangnya motosikal itu sehingga terhuyung-hayang dibuatnya. Tahu-tahu motosikal itu sudah beralih laluan, masuk ke dalam semak yang berada di kiri jalan.
Ikmal tidak terus berhenti. Sebaliknya terus melajukan motosikalnya ke depan. Kira-kira sepuluh meter dari tempat dia menendang motosikal Aufiya, barulah dia memberhentikan motosikalnya. Betul-betul di depan pondok menunggu bas yang sudah rosak dan lama ditinggalkan.
Berhati-hati dia berjalan ke arah motosikal Aufiya yang sudah terjatuh di atas rumput. Perlahan-lahan dihampirinya Aufiya. Topi keledar full face yang dipakainya langsung tidak dibuka. Nak mati? Kalau dibuka dan Aufiya cam wajahnya, mahu kecoh satu Malaysia esok.
Wajah Aufiya yang kelihatan terkejut dipandangnya dengan penuh minat. Dalam apa jua keadaan, Aufiya tetap kelihatan menawan.
"Siapa kau?" Aufiya mengengsot ke belakang. Matanya liar mencari-cari apa-apa saja yang boleh dicapai untuk dijadikan senjata.
Ikmal tidak bersuara. Dikeluarkan sapu tangan yang sudah diisi ubat pelali di atasnya. Ditekupnya ke mulut dan hidung Aufiya.
Tubuh Aufiya meronta-ronta minta dilepaskan. Matanya terbeliak buat seketika sebelum terpejam rapat dengan tubuh yang sudah terkulai lemah. Ikmal tersenyum puas.
Tubuh gadis itu diheretnya lebih jauh ke dalam semak. Ada urusan yang perlu dia selesaikan sebelum Aufiya kembali sedar.
Prolog 2
"Arghhh..."
Aufiya cuba untuk menggerakkan tubuhnya. Seluruh badan terasa sakit dan kejang.
Dia tertanya-tanya, mengapa katilnya terasa begitu keras sekali? Ada benda tajam dan keras yang mencucuk-cucuk bahagian bawah badannya.
Tangannya meraba-raba bahagian sisi, tiba-tiba dia terasa seolah-olah terpegang sesuatu. Diambilnya lalu dibawa ke depan muka. Mahu melihat dengan lebih jelas.
"Kayu?!"
Matanya terbuka luas. Dari mana pula datangnya ranting kayu ni? Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Terkejut! Terus tegak tubuh dibuatnya.
Mukanya berkerut menahan sakit. Tapak tangannya spontan berada di atas perut. Rasa ngilu begitu mencucuk-cucuk di bahagian bawah ari-arinya. Matanya melingas memandang sekeliling sebelum beralih kepada dirinya sendiri.
Dia terpanar melihat keadaan pakaiannya yang tidak terurus. Segera kain baju kurung yang sudah terselak hingga ke paras paha ditariknya ke bawah. Hatinya mula berdegup kencang saat terpandang seluar dalamnya yang berada di atas tanah.
Di mana aku? Apa yang dah berlaku ni? Mengapa aku boleh berada di sini? Bertalu-talu soalan menerjah masuk ke dalam kotak fikirannya. Diam dia seketika. Cuba mengimbas semula kejadian yang berlaku sebelum ini.
Matanya mulai digenangi air yang semakin lama semakin memenuhi takungan. Kedua-dua tangannya menekup mulut. Menahan tangisan yang mula terburai.
Dia sudah ingat! Sudah dapat mengagak apa yang sudah berlaku ke atas dirinya. Sudah dapat mencari jawapan mengapa dia berada di situ, pada masa ini dan dalam keadaan begini.
Dia cuba menggagahkan dirinya untuk bangun. Tangan kanannya memegang bahagian tepi perut. Tangan kirinya mencapai lalu menggenggam seluar dalam yang berada di sisi.
Dia teresak-esak sambil menahan rasa sakit yang mula menjalari seluruh tubuh. Terbongkok-bongkok dia berjalan. Membawa bersama tangisan yang dia pasti akan menghantuinya buat seumur hidup.
"Fiya! Kau ke mana? Risau aku." Wina terus menerpa keluar dari bilik sebaik sahaja mendengar bunyi pintu rumah dibuka orang.
Aufiya diam sahaja. Langsung tidak ada hati mahu menjawab. Hatinya sudah terlalu luka. Sehinggakan dia rasa mulutnya sudah hilang daya mahu bersuara.
"Fiya, kenapa ni? Apa yang dah jadi? Kenapa tudung kau banyak rumput dengan daun-daun kering ni?"
Aufiya meraba tudungnya. Betul seperti kata Wina, ada banyak rumput dan daun kering yang melekat pada tudung bawal yang dipakainya.
"Fiya, janganlah diam aje. Aku risau ni. Apa yang dah jadi. Dah pukul tiga pagi ni kau tahu tak? Kau ke mana? Masa-masa macam ni baru kau balik."
Masih tidak mempedulikan kata-kata Wina, Aufiya terus melangkah menuju ke bilik yang dihuni oleh mereka. Dilihatnya Zureen yang tidur pulas di atas tilam. Juga tidak dihiraukan.
Terus sahaja dicapainya tuala yang tersangkut sebelum berjalan menuju ke bilik air.
Paip air dipulas sehingga habis had. Dibiarkan tubuhnya yang masih berpakaian lengkap dibasahi air. Berharap agar segala kekotoran yang dipalitkan pada tubuhnya akan turut berlalu pergi bersama titisan air yang menderu masuk ke dalam saliran.
Kotor! Jijik! Aku perempuan hina, jeritnya dalam hati.
Dia menggigit bibir sehingga berdarah. Namun dia tahu, walau dia menangis sehingga penuh lautan, apa yang berlaku malam ini tidak mungkin akan dapat diundur kembali. Dia sudah hilang segalanya.
Sudah masuk empat minggu sejak peristiwa itu berlalu. Tubuhnya yang sudah sedia kurus, semakin melidi. Tidur malamnya sudah tidak lagi selena dulu. Ada sahaja mimpi ngeri yang datang menemani malam-malam harinya.
Puas ditanya, puas dipujuk, namun langsung dia tidak mahu membuka mulut. Untuk apa dia bercerita jika sekadar untuk membuka aibnya sendiri? Biarlah kisah duka itu dia simpan buat selama-lamanya. Biar hanya dia dan si pelaku durjana itu sahaja yang tahu.
Dia memegang perut. Bimbang! Sepatutnya minggu ini 'sahabat akrab' setiap wanita akan datang bertandang. Namun sekarang sudah terlewat tiga hari. Puas dia menunggu dan berdoa, semoga cepat-cepatlah 'sahabat' yang satu itu menyinggah. Jika tidak, entah bagaimana pula dia mahu menghadapi hari-hari yang seterusnya.
"Kau tak ada kelas ke hari ni?"
Dia mendongak. Memandang wajah sahabat yang setiap hari tidak pernah jemu bertanyakan keadaan dirinya.
Maafkan aku, bukan sahaja kepada kau, malah kepada sesiapa pun aku tak akan mampu untuk bercerita.
"Tak." Sepatah. Itulah dia sejak akhir-akhir ini. Sudah tidak ada sesi bersembang panjang, sudah tidak ada ilai tawa yang menemani mereka sebelum masing-masing melelapkan mata.
Wina mengeluh. Susah hati melihat keadaan Aufiya sejak akhir-akhir ini.
Tiba-tiba Aufiya bangkit dari duduknya. Berlari keluar dari bilik lantas laju menuju ke bilik air.
Selang beberapa ketika, dia keluar semula dengan wajah yang lebih cerah.
Alhamdulillah! 'Sahabat' yang ditunggu sudah tiba. Aufiya mengesat tubir mata yang mula berpasir. Syukurlah.
BAB 1
Aufiya mendongak, memandang Encik Yunus yang sedang menayang wajah tidak bersalah.
"Saya banyak kerja ni, Encik Yunus. Lagipun, projek dekat Citra Residensi tu memang saya tak terlibat pun. Encik mintalah Kak Fizah yang hantarkan dokumen ni. Nanti kalau saya yang hantar, Encik Zarul tanya macam-macam, terkulat-kulat pula saya nak menjawabnya." Aufiya beralasan.
Bengang kerana dia yang dijadikan sebagai gadis utusan untuk menghantar senarai sebut harga yang diperolehi hasil daripada bidaan tender yang sudah pun tamat tarikh tutupnya minggu lepas.
"Fizah keluar. Ada mesyuarat dengan arkitek landskap. Bulan depan kan pelancaran projek Citra Residensi tu. Ala Aufiya, bukannya susah pun. Kalau Encik Zarul tu tanya macam-macam, awak suruh aje dia refer pada saya."
Amboi, senangnya orang tua ni bercakap! Macamlah orang tak kenal perangainya macam mana? Dalam mesyuarat antara bahagian pun, bukannya dia mahu menjawab apa-apa soalan yang diajukan, semuanya main juih-juih mulut aje. Wakilkan orang lain untuk menjawab semua soalan. Jadi ketua bahagian pun macam tak ada fungsi!
"Encik Yunus, saya ni cuma terlibat dalam promosi dan jualan produk sahaja. Rasanya tugas yang Encik Yunus berikan ini tak termasuk dalam skop kerja saya."
"Banyak betul alasan awak kan, Aufiya? Masa mohon kerja di sini dulu, semuanya sanggup, semuanya angguk. Bila dah dapat kerja, mulalah tunjuk belang masing-masing."
Aufiya menarik nafas panjang. Inilah masalahnya bila dia mula menjawab untuk mempertahankan hak. Sakit jiwa bila segalanya mula diungkit.
"Yalah, yalah. Letaklah laporan tu di situ. Nanti saya hantarkan."
"Kalau cakap macam tu dari tadi kan senang. Tak perlulah membazirkan air liur dan juga tenaga untuk bertekak dengan saya tadi." Sinis senyuman yang dihulurkan Encik Yunus.
Tangannya segera meletakkan fail yang dipegang sejak dari tadi di atas meja Aufiya. Seketika kemudian, dia berlalu sambil bersiul-siul perlahan.
Aufiya menarik nafas panjang. Jika diikutkan hati, mahu sahaja disekehnya kepala Encik Yunus yang jarang-jarang sahaja rambutnya itu.
"Orang tua tu nak apa masuk bilik kau?" Aufiya mengurut dada. Tiba-tiba sahaja wajah Zureen sudah terjongol melalui daun pintu yang tidak ditutup rapat oleh Encik Yunus tadi.
"Ambil kesempatan!" balas Aufiya geram.
"Amboi! Ayat macam ada skandal aje dengan Abang Yus tu." Zureen menjongketkan keningnya beberapa kali. Sengaja mahu menyakat Aufiya yang sudah bertambah masam wajahnya.
"Abang Yus? Jijik aje aku dengar gelaran tu. Tak suka betul aku dengan dia tu. Kalaulah kerja tu boleh dikutip aje di tepi-tepi jalan, dah lama aku angkat kaki dari syarikat ni."
"Marah betul kau kali ni. Apa yang Abang Yus tu dah buat sampai kau rasa nak berhenti kerja ni?" Zureen menarik kerusi. Mengambil tempat duduk di depan Aufiya.
"Dia suruh aku hantar senarai sebut harga ni pada Encik Zarul. Mahu aku tak marah. Aku ni kerja bahagian promosi dan jualan, dah kenapa bahagian perolehan punya kerja pun aku kena buat?"
"Dia orang tak cukup staf kut. Lately kan banyak tender syarikat ni yang dibuka pada syarikat-syarikat luar. Tak terkejarlah agaknya tu. Lagipun hantar aje, kan? Lepas hantar kau blah la. Bukannya susah mana pun..." Zureen cuba memujuk. Nampak ketara wajah Aufiya yang jelas tidak berpuas hati.
"Zureen, ini bukan soal susah atau tidak! Tapi Encik Yunus tu suka sangat buli aku. Dah tiga tahun aku kerja dekat sini, dua tahun duduk bawah seliaan dia, tahun ni aku dah tukar bahagian, dah tukar ketua, tapi dia masih seolah-olah tak boleh move on. Masih lagi menganggap yang aku ni salah seorang orang bawahan dia. Eee, geramlah!"
"Dia rindu kau kut. Itu yang dia terlupa yang kau dah keluar daripada bahagian perolehan tu. Atau mungkin dia sengaja cari alasan untuk berjumpa kau. Manalah nak tahu, kan? Kuota dia ada lagi dua yang kosong," sakat Zureen lagi.
Aufiya mencebik. Orang tua yang dah ada dua orang isteri tu yang nak dipadankan dengan aku? Zureen ni memanglah!
"Kau jangan nak buat pasal, ya? Taufik tu aku nak letak di mana?"
"Ala, Taufik tu kekasih halal. Encik Yunus, kau buatlah sebagai kekasih gelap." Zureen sudah ketawa berdekah-dekah. Lucu dengan kata-katanya sendiri. Berbulu mata Aufiya melihatnya.
"Dah, dah. Pergi balik tempat kau. Aku nak pergi hantar laporan ni pada Encik Zarul." Aufiya bangun. Pantas kerusi ditolaknya ke belakang.
"Encik Zarul? Kenapa aku dengar macam semacam aje, ya?" Bibir Zureen mencebik.
Formal sangat panggilan yang Aufiya gunakan untuk Zarul. Padahal macamlah Aufiya itu tidak biasa dengan Zarul, bukannya orang lain pun, kawan baik Taufik dan tunang kepada Wina, sahabat baik mereka.
"Sini tempat kerja. Bukannya pasar raya. Kenalah gunakan panggilan yang sesuai."
Zureen mengangkat bahu. Bukannya dia tidak tahu, kalau di luar pun, tetaplah panggilan Encik Zarul juga yang digunakan Aufiya. Kekok katanya mahu memanggil Zarul dengan nama sahaja.
Tok-Tok!
"Masuk!"
Aufiya menarik nafas panjang. Entah mengapa sejak dari dulu, berhadapan dengan best friend forever Si Taufik ni, memang membuatkan dirinya seolah-olah tidak cukup oksigen untuk bernafas.
Jauh benar perwatakannya jika mahu dibandingkan dengan tunangnya sendiri. Itu yang sehingga kini dia tertanya-tanya, di mana agaknya titik keserasian kedua-duanya sehingga mereka boleh bersahabat baik berbelas tahun lamanya.
Perlahan combol pintu dipulasnya. Langkah kaki diatur perlahan-lahan. Zarul pula langsung tidak mengangkat muka. Asyik menunduk sambil menulis sesuatu pada kertas yang berserakan di atas mejanya.
"Ada apa, Mas?" Zarul bertanya tanpa mengangkat mukanya.
"Errr... Encik Zarul, saya..."
Tangan yang sedang laju menulis sesuatu di atas kertas tiba-tiba terhenti pergerakannya. Zarul mengerutkan kening. Perlahan kepalanya yang menunduk sejak dari tadi diangkat. Memandang terus kepada gadis yang berbaju kurung berwarna ungu dipadankan bersama dengan tudung yang berwarna kelabu.
"Aufiya. Maaf, saya ingatkan Mastura tadi."
"Maaf, Encik Zarul. Saya cari Kak Mas dekat luar, tapi dia tak ada di tempatnya. Itu yang saya terus masuk ke sini."
"Oh, Kak Mas masuk lewat sikit hari ni. Ke sekolah anaknya. Hari ni ada report card day," beritahu Zarul tanpa dipinta.
Aufiya diam. Kaku dan beku. Tidak tahu untuk menjawab atau meneruskan perbualan. Segala-galanya terasa janggal. Tambah-tambah bila hanya mereka berdua sahaja yang berada dalam bilik ini.
"Ada apa Aufiya datang jumpa saya?"
Oh, Aufiya terasa seolah-olah wajahnya baru disimbah dengan segelas air. Boleh pula dia berdiri seperti patung dalam bilik ini! Sengaja nak memalukan diri sendiri. Cis! Terasa mahu sahaja dia menekup muka dengan kedua-dua tangannya. Tidak mahu Zarul perasan yang mukanya sudah terasa panas semacam.
"Errr... Saya datang nak serahkan senarai sebut harga ni."
"Senarai sebut harga? Kenapa pula Aufiya yang datang serahkan? Bukan ke Aufiya sekarang dah berada di bahagian promosi?"
Okey... Tadi muka terasa panas, sekarang rasa kulit muka pula yang sudah tebal berinci-inci. Soalan Zarul seolah-olah dia pula yang sengaja mahu datang menyerahkan senarai sebut harga yang tiada kena-mengena langsung dengan tugasnya.
"Entahlah. Saya pun tak tahu. Encik Yunus yang arahkan saya tadi." Nah! Daripada memalukan diri sendiri, lebih baik dia berterus terang sahaja. Tidak sanggup dia kalau Zarul beranggapan yang dia sengaja mencari alasan untuk berjumpa dengan Zarul. Hey, aku dah bertunang ya!
"Hurm... Tak mengapalah kalau macam tu. Mana senarainya?"
"Ini." Aufiya menghulurkan fail berwarna coklat yang dipegangnya sejak dari tadi.
Zarul mencapai fail yang dihulurkan Aufiya. Membelek-belek sekali lalu.
"Encik Zarul, kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu, ya?"
Mata Zarul yang sedang menatap helaian kertas yang tersusun kemas kembali ditalakan ke arah Aufiya.
"Kenapa nak cepat-cepat keluar? Takut dengan saya?"
"Eh, taklah! Bukan macam tu. Cuma saya rasa yang tugas saya dah selesai. Saya datang hanya untuk hantarkan senarai sebut harga seperti yang diarahkan oleh Encik Yunus."
Zarul menjongketkan keningnya. Lucu pula melihat Aufiya yang jelas kelihatan menggelabah di depannya.
"Lain kali, kalau dia suruh apa-apa, awak janganlah ikut aje cakap dia tu. Kena tahu melawan juga, Aufiya. Seronoklah dia buli awak kalau awak main angguk aje apa yang dia suruh."
Aufiya diam. Tidak mahu memanjangkan isu itu. Bimbang kalau-kalau perkara itu berlarutan, dia juga yang panas punggung mahu terus bekerja di situ. Walaupun bukan ketuanya lagi, tetapi Encik Yunus tetap pegawai atasannya.
"Dah ready semuanya?" Zarul cuba mengalih tajuk perbualan bila dilihatnya Aufiya diam sahaja.
"Hah?" Aufiya terpinga-pinga. Apa yang dah ready?
"Persiapan perkahwinan awaklah. Dah tak lama dah, kan?"
Perkahwinan Aufiya dan Taufik sudah tinggal tidak berapa bulan sahaja lagi. Taufik pun bukan main sibuk lagi membuat persiapan
"Oh, dah lebih dari separuh persiapan dah siap."
"Baguslah. Semoga segalanya berjalan dengan lancar."
"Amin. Harapnya macam itu juga."
Kelu. Sudah tidak tahu mahu berbual tentang apa lagi. Oh, Encik Zarul, let me out please. Aufiya berdoa dalam hati.
Diam-diam Zarul menahan tawa. Tahu yang Aufiya tidak selesa berbual dengannya. Tapi dia memang sengaja mahu mendera. Bukannya selalu dia dapat menyakat tunang Si Taufik ni.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro