Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8 √


KOTAK kecil di tangan diraba sekali lagi. Isi dalamnya diambil. Perlahan objek kecil itu dipegang. Walaupun tidak dapat dilihat, dia tahu itu apa. Entah di mana pemiliknya. Adakah dia pernah mencari ataupun sudah pergi jauh bersama lesapnya dia saat hari kejadian.

Gadis itu usap pipi yang mulai basah. Kenapa ini yang harus terjadi di dalam hidupnya? Lima tahun lalu, hidupnya masih bahagia walaupun tidak bergelumang dengan kemewahan. Ada ayah dan ibu yang saling meneman. Ada adik yang memberi tawa memecah kesunyian.

Kini, semuanya hanya tinggal kenangan. Ibunya ditinggal sang ayah yang diserang sakit angin ahmar. Menderita ibunya tiada lagi ketua keluarga tempat mereka bergantung hidup. Terpaksa Latifah mengusahakan tanah kebun yang cuma sekangkang kera itu untuk bercucuk tanam bagi menampung keperluan hidup.

Selang dua tahun kemudian, Adib Amar, adik Ainnara pula pergi meninggalkan keluarga kecil itu kerana terlibat dalam satu kemalangan. Ainnara sendiri pula kehilangan penglihatannya kerana satu tragedi yang menyayat hati.

Tinggallah Latifah membanting tulang empat kerat untuk menyara hidup mereka dua beranak. Ainnara cuma mampu menolongnya di gerai jualan sayur. Pergerakan gadis itu terbatas. Dia tidak mampu untuk melakukan kerja seharian dengan mudah.

Kesal. Itulah yang dia rasa saat ini. Sudah dua tahun kejadian ngeri itu berlalu. Ia meninggalkan luka yang perit. Dunianya berubah seratus peratus. Tiada lagi cahaya yang menyinari hidupnya. Hanya kegelapan yang menjadi sahabat karibnya.

Waktu dulu, matahari menjadi saksi betapa dia mensyukuri setiap cahaya yang menerangi hidupnya. Tidak disangka waktu malam yang gelap gelita pula yang dia harungi saban hari. Siang dan malam tiada beza. Hanya kegelapan yang dia punya.

"Kak, Amar nak jadi doktor bila dah habis belajar nanti. Amar nak merawat sakit ayah. Biar ibu tak susah hati lagi. Kalau akak sakit pun, tak payah keluarkan duit. Amar beri rawatan percuma."

Suara arwah Adib Amar, adiknya itu menampar gegendang telinga Ainnara. Betapa dia merindui Amar, adiknya yang cuma seorang itu. Namun apa daya, dia pergi menyusul Mahadi, ayah mereka itu yang meninggal dua tahun sebelumnya.

Betapa teganya manusia itu yang membawa adiknya pergi dari hidupnya. Berlumuran darah Adib Amar di kepala dengan kaki yang patah. Namun tidak ada yang sudi menolong untuk dihantar ke hospital. Tewas akhirnya Adib Amar tanpa pertolongan siapa-siapa.

Kerana itu, Ainnara trauma saat mendengar nama Amar. Lelaki itu, Encik Kubis pelanggan tetapnya bernama Amar. Dia tidak sanggup untuk memanggil nama itu walaupun sekali. Tidak sanggup! Jadi, biarlah cuma Addin yang dia kenal. Tidak dengan nama Amar.

Objek kecil itu disimpan semula di dalam bekasnya. Ainnara mengesat pipi lagi. Sudah kering air mata kerinduannya kepada Adib Amar. Perlahan kotak kecil itu disimpan di bawah bantal tempat tidurnya.

Ainnara menunggu ibunya pulang pula. Sudah hampir dua jam Latifah keluar ke pasar untuk membeli barangan dapur. Ainnara ditinggalkan kerana dia tidak larat untuk berjalan kerana kakinya terpijak kaca semasa hendak mencuci pinggan. Terlepas pinggan yang masih bersisa sabun cecair pencuci itu seraya pecah dan mengena kakinya.

"Haish Nara! Kenapa kau cuai sangat! Kang dah susah, tak boleh nak tolong ibu." Ainnara mengomel sendiri.

Dia bingkas bangun perlahan menuju ke muka pintu. Kakinya diseret perlahan hendak menuju ke ruang tamu. Penat menunggu di dalam bilik, Ainnara bercadang hendak menunggu ibunya di ruang tamu sahaja.

Prang! Telinga Ainnara menangkap satu bunyi barang yang jatuh.

'Kucing ke?' Ainnara berfikir sendiri. "Ibu! Ibu dah balik ke?" jerit Ainnara.

Diam. Tidak ada suara bising lagi yang menyapa telinganya. Ainnara cuba bangkit dari duduknya pula. "Ibu! Ibu!"

Tiba-tiba, lantai papan di hujung ruang tamu pula berbunyi. Ada orang! Ainnara ketap bibir. Ada pencuri, ke? Kenapa bodoh sangat pencuri ni, apa yang dapat diambil di dalam rumah ini? Hanya sia-sia.

"Siapa tu? Ibu ke?" Ainnara menyahut lagi.

Dua minit berlalu, Ainnara menarik nafas lega. Tidak ada apa yang berlaku hinggalah satu tangan kekar menutup mulutnya dari belakang. Tubuhnya ditarik rapat ke dinding. Meronta-ronta Ainnara minta dilepaskan.

"Emph..." Mulut Ainnara yang dibekap tidak mampu untuk dia menjerit meminta tolong.

Serentak dengan itu juga, tubuh gadis malang itu didorong ke atas tilam milik ibunya yang ada di ruang tamu. Ainnara menjerit meminta tolong saat pakaiannya cuba dirobekkan. Meronta-ronta dia sekuat tenaga untuk melepaskan diri.

"Diam la, bodoh!" Satu suara garau dihambur kepada Ainnara.

"Ibu! Tolong Nara, ibu! Tolong! Jangan buat aku macam ni.  Pergi!" Tangan Ainnara yang cuba menepis ke kiri dan kanan dipegang kuat.

"Kalau kau jerit lagi, aku bunuh kau, perempuan bodoh!" Kata-kata keji itu dihambur lagi. Pecah tangis Ainnara. Kali ini nasibnya akan bertambah buruk.

'Oh Tuhan! Selamatkan aku!'

"Woi! Kurang ajar kau. Apa kau buat tu, hah?"

Dush! Satu tumbukan kedengaran di telinga Ainnara. Dia menarik nafas lega. Ada orang yang datang menolongnya.

"Setan kau." Satu tendangan lagi dilepaskan mengena perut lelaki itu. Meringis kesakitan makhluk perosak itu hingga satu tumbukan mengena di wajahnya lagi, dia berlari meninggalkan tempat itu.

Ainnara yang belum kering air mata kerana ketakutan cuma mampu memeluk lutut di atas tilam itu. Nama ibunya dilaung beberapa kali.

"Nara! Nara! Awak tak apa-apa ke?" Satu helai kain batik yang berada di dalam bakul di tepi tiang ditarik lelaki itu lalu dia menyelimuti lengan Nara yang terdedah kerana kesan robekan oleh makhluk perosak itu tadi.

Esak tangis Ainnara sangat menyayat hati lelaki itu. "Nara!"

"Encik Kubis!" Bahu Ainnara terhinjut-hinjut. Tangannya mengusap air mata yang tak kunjung berhenti. Tanpa diduga Amar, Ainnara menarik bajunya seraya mendakapnya erat. "Encik Kubis, tolong Nara! Orang itu!"

"Shh! Orang tu dah takde. Saya tak sempat tangkap dia. Maaf, Nara! Awak tak apa-apa, kan?"

Ainnara hanya menggeleng. Terlupa dia seketika yang dia kini berada dalam pelukan Amar, lelaki yang juga tidak dikenalinya. Hanya diikhtiraf sebagai pelanggan tetap pembeli sayur yang dijualnya sahaja.

"Encik Kubis! Nara takut. Siapa orang tu?" Hujung kolar baju Amar dicengkam tangan kanan Ainnara dengan kuat.

"Saya tak tahu. Mungkin pencuri. Ibu awak mana? Saya tengok gerai sayur awak tutup. Awak tak buka gerai hari ni?"

Ainnara menggeleng."Ibu pergi pasar. Nara tak ikut sebab semalam kaki luka kena kaca."

Terkedu Ainnara saat menyedari dia sedang memeluk Amar. Sepantas kilat tubuhnya menjauh dari lelaki itu.

"Ma... maaf Encik Kubis. Maaf... Nara terlupa. Maaf, baju Nara kotor. Maaf Encik Kubis!"

"Tak apa Nara. Saya faham. Awak takut tadi," balas Amar.

"Terima kasih Encik Kubis dah tolong Nara. Kalau tak, tak tahu apa jadi. Kenapa dia buat Nara macam ni?" Tertunduk Ainnara mengadap lantai rumahnya.

Simpati. Itu yang Amar rasa. Gadis ini dibebani kesusahan hidup. Penglihatannya hilang. Sekarang, kehormatannya hampir diragut. Kenapa di dunia ini banyak sekali ketidakadilannya?

Namun sekali difikir, apa kurangnya dia? Walaupun dia tidak pernah melakukan jenayah besar, jauh sekali untuk meragut kesucian seorang gadis, apakah kesalahannya yang satu itu benar-benar tidak kejam?

Amar pejam mata. Rasa bersalah semakin mencengkam. Dia merasa berdosa.

"Nara, awak okey tak ni?"

Ainnara mengangkat muka. "Encik Kubis. Maaf! Nara nak ibu. Ibu!" jerit Ainnara menghamburkan tangisannya.

Amar geleng kepala. Betapa dia simpati dengan gadis ini.

"Nara! Nara!" Satu laungan kedengaran di luar beranda.

"Ibu! Ibu! Nara kat sini!"

"Nara?" Latifah yang berada di muka pintu terkejut bukan kepalang. Berlari anak dia mendapatkan Ainnara. "Kenapa ni?" Mata Latifah memandang Amar tajam meminta penjelasan.

"Ada penceroboh tadi, mak cik. Mungkin pencuri. Tapi Nara tak apa-apa. Kebetulan saya datang. Sebab nampak gerai mak cik tutup, jadi saya singgah ke rumah mak cik. Nampak ada lelaki yang cuba buat jahat pada Nara, mak cik!" Amar berterus-terang.

"Ya Allah, Nara! Kamu tak apa-apa, kan?" Tubuh anak gadisnya itu ditarik masuk ke dalam pelukannya.

"Ibu, Nara takut!"

"Addin, kamu kenal orang tu siapa?" Latifah berpaling kepada Amar semula.

"Saya tak kenal, mak cik."

"Nara tak apa-apa kan, Addin? Anak mak cik okey kan, Addin?" Kedengaran bimbang nada suara Latifah.

"Ya mak cik. Nara selamat."

"Ya Allah! Kau kirimkan insan mulia menolong anakku. Berilah keberkatan dalam hidupnya." Latifah mengalun doa. Hati Amar tersentuh hiba.

"Mari ibu tukarkan baju kamu. Addin kamu tunggu sekejap, ya. Mak cik tukarkan baju Nara dulu. Jangan balik dulu." Latifah memapah tubuh Ainnara menuju ke bilik gadis itu.

Amar hanya mampu melepas nafas berat. Sampai bila gadis ini harus diuji?


Jom dapatkan Sayonara versi cetak. Hubungi wasap saya 0126816031

arenayidin

06 Oktober 2023

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro