Bab 6 √
JAM tujuh pagi. Hari ini, Amar membuat keputusan untuk ke tempat Ainnara di waktu pagi. Gadis itu dan ibunya berjualan sayur dua kali sehari di waktu pagi dan petang. Kerana Aqief sudah mula rajin masuk pejabat setelah diberi amaran oleh daddy mereka, hari ini Amar ingin bercuti.
Sepanjang perjalanan yang memakan masa hampir dua jam dari rumahnya itu, Amar tak putus tersenyum. Dia sendiri tidak tahu, entah kenapa lelaki korporat sepertinya terjebak dengan situasi begini. Tak ubah seperti Mak Cik Murni, pembantu rumahnya pula.
'Haish Amar!'
Sudah menjadi rutin pula ia memandu sejauh ini semata-mata untuk membeli sayur yang dijual Ainnara sedangkan sayur itu tidak juga dibawanya pulang ke rumah. Jika tidak diberi kepada orang di tengah jalan, dia menyerahkannya kepada Pak Cik Rosli, pemandu peribadi mommynya untuk diberi kepada jiran-jiran lelaki berumur 53 tahun itu.
Alasannya cuma satu. Dia tidak mahu bersoal jawab dengan Elina. Akan panjang pula ceritanya nanti. Jika pointnya cuma sejengkal, di hadapan Elina huraiannya harus menjadi sedepa. Elina cerewet. Banyak yang perlu Amar persiapkan jika kisah Ainnara ini sampai ke telinganya.
Lamunan tentang mommynya terhenti apabila tiba-tiba ada orang tua melintas jalan dengan tiba-tiba. Amar mengurut dada kerana terkejut. Pedal brek yang ditekannya tadi dilepaskan semula setelah orang tua itu menghilang dari pandangannya.
'Ainnara!'
Entah kenapa tiba-tiba terasa ada sesuatu pula. Hatinya bergetar saat nama gadis itu dia sebut. Sama seperti saat dia membuka pintu hatinya seluas-luasnya kerana mencintai Marsyanda.
Setelah dua tahun hatinya dipalu derita, kini ia dijentik semula agar kembali membuka hati yang pernah ditutup kerana terluka. Namun, haruskah buat si gadis buta? Bagaimana hubungan mereka setelah ini?
"Encik Kubis datang lagi!"
Terngiang tawa riang Ainnara saat dia datang membeli sayur. Entah kenapa, dia menyukai panggilan itu. Dia tidak marah malah tidak melarang Ainnara memanggilnya begitu. Mungkin juga setelah ini Ainnara akan memanggilnya dengan nama Encik Sawi, Encik Tomato dan mungkin juga Encik Terung, apakah dia juga tidak akan keberatan?
Amar geleng kepala. Mengapa dia jadi begini? Apakah kerana demi menebus rasa bersalahnya kepada Ainnara, dia rela dipanggil Encik Kubis oleh gadis itu? Entahlah. Dia sendiri tidak tahu. Yang pasti, dia senang jika itu yang buat Ainnara mampu tersenyum.
Toyota Camry milik Amar berhenti di destinasinya setelah hampir dua jam dia memandu. Jalan hari ini agak sesak pula. Mungkin kerana selepas hujan turun. Parkirnya sedikit jauh dari gerai jualan Ainnara dan ibunya.
Seperti biasa, Amar melangkah perlahan menuju ke tempat gadis itu. Hari ini, Amar menyaksikan Latifah ibu Ainnara ada bersama gadis itu. Jika sebelum ini, dia tidak pernah berkesempatan untuk menemui ibu gadis itu.
Namun, ada sesuatu yang aneh di situ. Pandangan Amar tertuju ke arah ibu Ainnara yang sedang duduk berdekatan dengan anaknya itu. Ainnara sedang memicit kepala ibunya yang sedang mengerutkan mukanya. Mungkin sedang menahan rasa sakit.
'Adakah ibu Nara tidak sihat?'
"Assalamualaikum!" Amar memberi salam, permulaan sapaannya kepada gadis di hadapan.
"Waalaikumussalam. Eh! Encik Kubis, ya?" Ainnara membalas. "Encik nak beli sayur ke?"
"Ibu awak kenapa, Nara?" Amar mengerutkan keningnya.
"Err... ibu sakit kepala. Dari malam tadi. Tu la Nara cakap tak payah buka gerai hari ni, ibu tak dengar. Petang semalam ibu kena hujan masa kutip sayur kat kebun," cerita Ainnara.
"Dah makan ubat?" Amar bertanya lagi.
"Pagi ni belum. Ibu lupa taruh ubat kat mana." Ainnara bercerita lagi.
"Saya hantar pergi klinik? Mana tahu demam pula nanti ibu awak tu, Nara." Amar memberi saran.
"Tak payah la nak... mak cik tak apa-apa," ujar Latifah seraya ingin bangun dari duduknya. Dia bergerak sedikit ke hadapan namun tanpa diduga kaki Latifah tersadung palang kayu lalu dia jatuh tersungkur di situ pula hampir tersembam ke tanah.
Terkejut Amar bukan kepalang. Tangkas dia menyambut tubuh wanita tua itu daripada jatuh ke tanah.
"Mak cik. Mak cik. Mak cik okey tak ni? Hati-hati, mak cik."
"Ibu! Ibu, kenapa?" Ainnara meraba tempat ibunya tadi. Gusar wajahnya. "Encik Kubis! Ibu Nara kenapa?"
Amar pandang dahi Latifah yang sedikit berdarah. "Ibu awak tersadung. Ada darah sikit kat dahinya, Nara."
"Hah? Ibu!" Ainnara menghampiri ibunya. Dahi ibunya diraba. "Encik Kubis! Tolong bawa ibu Nara ke rumah. Tolong ibu Nara!" Mata Ainnara berkaca. Dia kelihatan sangat gelisah.
Tanpa berfikir panjang, Amar mencempung tubuh tua Latifah seraya membawanya ke rumah yang berada tidak jauh dari gerai itu. Ainnara pula memegang belakang baju Amar seraya mengikuti langkah lelaki itu.
Tiba di dalam rumah, tubuh Latifah dibaringkan di atas tilam yang ada di ruang tamu rumah itu. Berpeluh Amar dengan baju yang sudah basah.
"Terima kasih, anak muda. Terima kasih!" Latifah melepas nafas berat.
"Banyak tak luka dahi ibu tu?" Ainnara meraba dahi ibunya.
"Sikit je Nara. Ibu cuma pening je ni."
"Encik Kubis, terima kasih sebab dah tolong ibu Nara."
"Nara! Kenapa panggil Encik Kubis? Tak sopan macam tu. Minta maaf. Jangan panggil macam tu lagi," tegur Latifah sambil memandang Ainnara.
"Err... maaf, Encik Kubis... Nara tak tahu nama Encik Kubis!" Ainnara tertunduk di lantai rumah.
"Nara! Tengok tu. Panggil macam tu lagi!" tegur Latifah lagi.
"Ma... maaf, encik."
"Nama kamu siapa anak muda?" soal Latifah.
Amar meraba belakang lehernya. Gugup dia seketika. "Amar. Nama saya Amar, mak cik."
"Amar?" Latifah kelihatan terkejut. Begitu juga dengan Ainnara saat wajah gadis itu dipandang Amar.
"Amar? Ibu? Nama encik ni Amar!" Jatuh kain yang berada di tangan Ainnara. Berkaca matanya.
"Err... ya mak cik, Nara. Nama saya Amar."
Saat itu pecah tangis Latifah diikuti Ainnara sedang mengusap pipinya sendiri. Amar kelihatan salah tingkah. Apa yang terjadi? Apa yang salah dengan namanya?
"Err... mak cik? Kenapa ni mak cik?" Amar cuba mencari jawapan.
"Kalau la adik masih ada, ibu. Kita tak susah macam ni. Adik selalu ada jaga kita..." Pecah tangis Ainnara pula.
"Nara? Ada apa ni?" Amar menyoal namun dengan sangat lembut.
"Nara tak mahu panggil encik, Amar. Tak mahu! Ibu..."
Semakin pelik dan hairan Amar dengan tingkah Ainnara dan ibunya. Ada apa pula ni?
"Amar tu nama adik Nara. Dia dah meninggal. Sebab tu bila dengar nama tu, sedih pula kami encik. Maafkan kami... encik dah banyak tolong kami beli sayur kami. Tapi... maaf, nama encik buatkan kami sedih."
"Err... maafkan saya mak cik, Nara. Kalau macam tu tak usah panggil saya Amar. Panggil saja saya Addin. Nama saya Amar Addin."
"Oh! Terima kasih Addin. Mak cik panggil kamu Addin ya, nak?"
"Boleh, mak cik. Nara pun panggil saya Addin. Takde masalah." Amar ukir senyum. Ternyata itu masalahnya.
Ainnara usap pipinya lagi. "Terima kasih Encik Addin sebab faham masalah kami. Kami cuma tak mahu sedih lagi bila teringatkan adik."
"Takpe! Saya faham. Err... macam ni, sebab mak cik tak sihat, apa kata hari ni tutup je gerai. Pasal sayur tu takpe. Saya akan borong semua." Amar beri saran.
"Hah? Betul ni Encik Addin?" Mulut Ainnara sedikit ternganga namun cepat-cepat ditutup dengan telapak tangannya.
"Ya. Nara, awak jaga ibu awak. Saya nak keluar beli ubat dan makanan. Hari ni saya nak belanja Nara dan mak cik makan nasi bungkus. Tunggu, ya?" ujar Amar seraya bingkas bangun dari duduknya.
"Eh... tak payah susah-susah, Addin. Mak cik tak apa-apa. Cuma pening sikit je," larang Latifah.
"Takpe mak cik. Saya ikhlas."
Amar meluru keluar menuju ke tempat parkir keretanya dengan seribu rasa bersalah. Sementara Ainnara dan ibunya menunggu dengan resah.
"Ibu... Encik Addin tu baik sangat dengan kita. Kenapa ya, ibu? Kita tak kenal pun dia. Tapi dia layan kita baik. Dia memang orang baik kan ibu?" Ainnara memegang tangan ibunya.
"Entahlah. Tapi ibu dapat rasa yang dia mungkin suka kamu, Nara."
"Hah? Apa ibu merepek ni? Suka Nara? Nara ni buta, ibu! Tak mungkin la ibu. Tak logik langsung Encik Kubis tu suka Nara, ibu!"
"Nara! Jangan panggil macam tu. Nanti kalau dia merajuk, tak datang lagi macam mana? Hilang pelanggan tetap kita." Latifah mengeluh.
"Okey, ibu. Nara minta maaf!" Tertunduk Ainnara di situ.
'Biar betul ni Encik Addin suka aku?'
Jom dapatkan Sayonara dalam versi cetak. Hubungi 0126816031
arenayidin
05 Oktober 2023
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro