Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3 √


SEBAKUL sayur dibawa ke hadapan menuju ke gerai kecil yang berada di bawah pohon rendang itu. Hari ini, gerai jualan akan dibuka semula setelah tiga hari ditutup kerana Ainnara kurang sihat. Sementelaah pula hujan lebat sejak akhir-akhir ini juga tidak memungkinkan gerai dibuka seperti biasa.

Latifah menyapa Ainnara yang sudah siap memegang tikar mengkuang dan payung merah untuk diletakkan di tepi gerai itu. Setelah sebakul sayur diletak di atas para, Latifah memandang Ainnara yang mulai duduk di atas tikar mengkuang yang diletak di atas rumput kering di situ.

"Nara... ibu nak pergi ambil satu bakul lagi sayur kat rumah. Kamu duduk sini diam-diam, ya? Kalau ada orang datang nak beli, minta dia tunggu sekejap."

"Baik ibu! Nara tak ke mana. Nara tunggu kat sini je," ujar Ainnara sambil mengelus rambutnya yang panjang separas pinggang.

"Kalau orang tu nak cepat, minta dia pilih sayurnya dalam bakul dan duitnya bagi kamu, ya! Ibu harap takde lagi yang berani tipu bagi duit tak cukup," pesan Latifah lagi seraya tubuhnya mulai berpaling untuk menuju ke rumahnya lebih kurang dua minit perjalanan untuk mengambil satu bakul sayur lagi.

Ainnara cuma menggangguk. Rasa kesal bermain di fikirannya saat mengingati kejadian beberapa bulan yang lalu di mana seorang pelanggan telah menipu hasil belian dengan memperdayakan Ainnara yang tidak sempurna penglihatannya. RM10.00 harga sayur yang dibeli, cuma RM5.00 yang diterima Ainnara.

Waktu itu, Latifah cuma meninggalkan gerai jualan hanya 10 minit untuk ke bilik air. Ainnara hanya mampu menadah telinga mendengar ibunya merungut tentang sikap tidak jujur pelanggan mereka.

"Penat ibu menanam, menjaga sayur-sayur kita tu, Nara. Bila dapat hasil, ibu jual, orang tipu kita. Gamaknya orang zaman sekarang memang suka menipu," omel Latifah, merasa kesal kerana keuntungan dan rezeki mereka hari itu dicantas orang yang tidak bertanggungjawab.

Ainnara lepas keluhan yang berat. Semoga hari ini, setelah tiga hari tidak berniaga, jangan ada lagi manusia berhati busuk itu datang lagi membeli sayur di sini.

Ainnara bingkas bangun dari duduknya. Perlahan sayur di dalam bakul yang diletakkan ibunya tadi diambil dan disusun di atas para. Kerjanya sangat hati-hati. Satu persatu diletakkan perlahan, bimbang ia jatuh ke tanah.

Tanpa Ainnara sedari, sedikit jauh di hadapan ada sepasang mata sedang asyik memerhatikannya. Mata itu berkaca melihat polosnya seorang gadis buta sedang mengurus gerai jualan sayur sejak ditinggalkan perempuan tua lima minit tadi.

'Mungkinkah itu ibunya?' fikir lelaki yang sedang memerhati sejak dari tadi.

Rasa bersalah kian mencengkam. Kini dia benar-benar yakin, itulah gadis yang sering hadir dalam mimpinya. Gadis berpayung merah itu. Gadis desa hidup sederhana dengan berjualan kecil-kecilan di gerai bawah pohon yang rendang di tepi jalan.

Amar mengatur langkah. Hatinya bergetar hebat. Gugup pun ada. Dia menyedari kekhilafannya selama ini. Dua tahun ini dia telah menambah beban pada keluarga gadis ini. Itulah yang dia simpulkan.

Derap tapak kasutnya yang memijak ranting kayu di situ tanpa sengaja, menyedarkan Ainnara yang sedang sibuk menyusun sayur di atas para. Gadis itu tersenyum. Bertambah getaran di hati Amar. Rasa bersalah berpadu dengan rasa kasihan.

"Err... selamat pagi... nak beli sayur?" Suara lembut Ainnara menyentak jantung Amar. Dia tidak salah lagi. Itu juga suara yang dia dengar dua tahun lalu.

"To... tolong! Jangan pergi!"

Amar meraup wajahnya kasar. Serasa perit tekaknya. Tak mampu untuk dia bersuara.

"Cik... pak cik... mak cik... adik... akak... yang mana satu nak panggil, ya? Nak beli sayur?" Ainnara bertanya lagi. Sabar dia menunggu pelanggan di hadapan yang tidak dapat dia lihat siapa gerangannya.

"Err... maaf. Saya bukan nak beli sayur. Cuma mahu tanya jalan. Saya sesat." Itu yang keluar dari mulut Amar.

Ainnara tersenyum seraya tangannya berhenti dari menyusun sayur. "Oh! Encik nak pergi mana?"

"Err... lorong sebelah kiri tu menuju ke mana?" Amar cuba bertanya. Cuma itu yang ada di fikirannya.

"Oh! Itu jalan mati, encik. Tak boleh lalu situ. Hujung jalan hanya ada kubur. Kalau encik nak keluar, ikut lorong kanan. Encik tak nak beli sayur? Sawi dan kubis ni kami tanam sendiri kat belakang rumah. Bagus, encik! Tak ada sembur racun serangga. Sayur ni bebas dari semua tu, encik. Kalau encik makan, insyaAllah terjamin tak kena keracunan makanan ke apa, encik!" petah Ainnara bercerita.

"Oh... jalan mati, ya? Baiklah! Saya ikut lorong kanan. Hmmm... kalau macam tu bagi lima ikat sawi dan lima biji kubis." Amar menyeluk dompetnya di dalam kocek seluar.

Membesar mata Ainnara mendengar permintaan lelaki ini. Rezeki dia pagi ini. Senyumnya lebar terukir di bibir yang munggil itu. "Wah! Banyaknya. Betul ni encik nak beli banyak tu?"

"Err, ya..." Amar mengangguk sekilas menggeleng kepala. Sudah pasti gadis ini tidak nampak reaksinya. "Berapa, ya?" Satu keping not 50 dihulur kepada Ainnara.

Gadis itu menerima dan meraba duit kertas itu seraya bertanya. "Ini not berapa ya, Encik? Maaf ya, ibu pergi ambil bakul sayur lagi. Lambat pula ibu ni datang. Sawi ni, satu ikat dua ringgit. Kubis satu biji kena timbang dengan harga kilo. Tapi biasanya satu biji dalam anggaran empat ringgit untuk yang besar ni..." Ainnara membuat perkiraan.

"Awak ambil semua duit tu. Tak perlu bagi baki." Amar tersenyum.

"Eh! Encik? Kalau ini not 50 macam mana? Ibu marah nanti kalau saya tak jujur. Sekejap saya masukkan sayur dalam plastik dulu. Ibu datang, dia pulangkan baki, ya? Maaf dah menyusahkan encik!" Ainnara tunduk hormat.

Amar mengusap rambut ke belakang. Rasa bersalahnya kembali bertandang. Matanya terpejam seketika.

'Maafkan aku. Maaf!'

"Encik? Ini sayurnya. Terima kasih banyak-banyak. Semoga rezeki encik juga bertambah hari ini. Tunggu ibu datang sekejap ya, encik. Nanti ibu kira. Duduk la di bangku kayu tu dulu. Maaf kalau kotor sikit." Sayu Amar melihat keramahan gadis ini melayannya sedangkan apa yang dia perbuat satu ketika dulu tidak setimpal dengan apa yang dia terima sekarang.

Berkaca mata Amar. Tersentuh hatinya. Terasa robek jantungnya. Hatinya yang keras membatu seolah mencair. Gadis ini buat dia jatuh ke jurang paling dalam. Dia merasa kerdil. Betapa gadis yang tidak sempurna ini mulia hatinya. Dia jujur dan ikhlas walaupun tidak sempurna.

"Terima kasih. Duit bakinya awak simpan. Anggap ni sebagai tanda terima kasih saya pada awak sebab dah bantu tunjuk lorong yang betul. Tak perlu tunggu ibu awak. Saya nak cepat. Err kalau boleh tahu, siapa nama awak? Mungkin boleh saya bagitahu ibu saya untuk beli sayur di sini lagi lain kali." Amar mengusap tengkuk. Semoga permintaannya tidak keterlaluan.

Gadis itu kulum senyum. "Haa... Saya Nara! Ainnara. Ibu saya Latifah. Cakap saja gerai sayur Mak Cik Latifah. Mesti orang kenal."

'Ainnara!' Amar pejam mata. "Okey! Terima kasih. Saya pergi dulu."

"Baik, baik. Datang lagi ya, encik."

Derapan tapak kaki itu meninggalkan gerai sayur milik Ainnara dengan runtunan perasaan yang tidak dapat lagi disembunyikan. Plastik sayur diletak di dalam but kereta. Setelah itu tubuh Amar melorot jatuh di tempat duduk pemandu dengan jiwa yang begitu kacau. Stereng dihentak dengan kedua tangannya.

"Nara! Maafkan aku."

Jatuh butiran kristal di pipi Amar. Tulusnya sebuah penyesalan bersaksikan air mata lelaki yang begitu payah untuk dititiskan.

Dia benar-benar menyesal.

Jom pm utk yg berminat. 0126816031

arenayidin
01 Oktober 2023

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro