Teaser 5
SAYANGKU ABANG SIPUT
ARENA YIDIN
TEASER 5
Pandangan aku melorot pada figura yang sedang tunduk memandang lantai. Kelihatan sangat lemah. Mungkin juga sedang bersedih. Kenapa ya? Tanpa berlengah, aku menuju ke arah figura itu.
"Jay?"
Kepala lelaki tu diangkat. Aku terkejut. Pipinya basah. Mungkin dia baru lepas menangis.
"Kau kenapa Jay?"
Jay pandang kiri dan kanan.
Kemudian pada aku semula.
"Err... awak... papa. Papa saya kena serangan jantung."
"Hah? Dah tu?" Terkejut beruk aku. Adakah ini yang berlaku masa dia di warung semalam?
"Saya tak tahu nak buat apa, awak! Kalau papa tak dapat diselamatkan, saya takde sesiapa lagi!" Luluh hatiku yang keras ini mendengar luahan Jay. Betapa sayangnya dia pada papanya.
Kalau abah yang terlantar di sini, apakah aku akan sesedih ini? Tak pernah terlintas di benak aku yang aku akan kehilangan abah ketika ini. Keluarga aku bahagia walaupun abah garang. Walaupun abah suka bentak-bentak aku,
aku tak pernah benci abah.
Aku duduk di sebelah Jay. Kononnya ingin meredakan kesedihannya. Ingin aku menyalurkan semangat padanya. Tangan aku naik ke atas belakangnya. "Sabar ya!"
Jay tersentak, buat aku terkejut. "Maaf, kenapa awak sentuh belakang saya? Kenapa Ana?"
Buntang mata aku. Terkejut bukan kerana soalannya kenapa aku sentuh belakangnya, tetapi pada soalannya yang memanggil aku Ana. Ana? Dia panggil aku Ana? Tak pernah pun sesiapa panggil aku macam tu kecuali arwah nenek je.
"Maaf, aku tak sengaja. Aku cuma nak bagi kau rasa tenteram. Itu je. Takde maksud lain." Aku diburu rasa bersalah.
Salah kau juga Jihan. Baru kenal tapi nak buat macam korang dah kenal lama. Adeeh.
"Dah masuk dalam ke?" Aku menyoal setelah kami berdua diam.
"Belum. Tak boleh tengok lagi." Geleng Jay.
"Kawan kau si Gib tu mana? Dia tak ikut kau ke sini?"
Jay pandang aku sekilas. "Gib balik mandi, tukar baju. Awak pulak buat apa dekat sini, Ana?"
"Aku teman Fida. Kawan aku, mak dia masuk wad. Sakit."
"Oh!"
"Jay... tunggu!" Aku panggil Jay saat dia hendak pergi dari situ. "Kau nak ke mana?"
"Saya pening. Nak ke surau sekejap."
"Tunggu. Tunggu Jay." Aku kejar Jay dari belakang.
"Dalam surau lelaki, perempuan tak boleh masuk. Awak boleh ke surau perempuan. Jangan ikut saya."
Aku terkedu di situ. "Aku tak ikut. Cuma nak tanya je. Kenapa panggil aku Ana?"
Jay berhenti melangkah. Dia berpaling ke arah aku. Keningnya
berkerut.
"Bukan ke nama awak Ana? Anatasha kan?"
Aku mengangguk. "Ya..."
"Dah tu? Tak salahlah kan? Kecuali saya panggil awak Peah ke, Minah ke, memang tak boleh kan?"
Eh, dia pandai bergurau pulak. Ada perkembangan. Ingatkan lurus, sopan je.
"Awak datang sini nak jenguk mak kawan awak kan Ana?"
"Err ya..." Aku baru tersedar.
"Pergilah sebelum dia datang cari awak. Ke awak nak ke surau dulu? Nak solat?"
Aku menggeleng. "Tak. Okey. Aku ke sana sekarang. Err Jay... kalau dah boleh tengok papa kau, bagitahulah ya. Aku boleh jenguk sekali."
Jay cuma senyum lalu tubuhnya berpusing semula menuju ke surau. Aku angkat bahu. Sebelum Fida cari, baik aku pergi.
arenayidin
21 Mac 2022
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro