Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

KEBETULAN! Memang pertemuan itu merupakan suatu kebetulan yang amat menyenangkan. Pertemuan yang tidak diramal tetapi amat ditunggu-tunggu. Sudah hampir tiga hari fikirannya sendat dengan seribu satu persoalan tentang si jelita. Namun sejak pertemuan kali pertama itu, kelibat gadis itu tidak lagi kelihatan sehinggalah pada saat itu. Apabila ditanya kepada Shah Imran sama ada buah hatinya pernah datang menjenguknya di hospital, pemuda itu menggeleng hampa. Yang sakit tampak kian tidak berdaya.

Melihat si jelita asyik bermanja-manja dengan seorang teruna bergaya, Luqman menunggu dan terus sabar memerhati. Peluangnya pasti ada. Jarak di antara dia dan merpati dua sejoli itu tidaklah begitu jauh tetapi lobi hotel itu agak sibuk dengan tetamu yang kebanyakannya beristirahat sambil berborak riang pada petang hari. Kehadiran Luqman jelas sekali tidak disedari awek Shah Imran yang juga entah awek kepada siapa-siapa lagi itu.

Indah kelihatan cantik berseri-seri bagaikan puteri. Kali ini rambutnya bergaya ikal mayang. Sekujur tubuhnya bertutup rapi dari hujung kaki sehingga ke dada namun bahu mulusnya telanjang bebas untuk tatapan mata.

"Hai!" tegur Luqman beberapa saat selepas pemuda yang menemani Indah beredar meninggalkan gadis itu.

Senyuman gembira di bibir Indah belum pun hilang ketika didekati Luqman. Dengan kesempurnaan yang luar biasa sebegitu, Luqman tidak hairan kalau Indah dikelilingi sepuluh lelaki pun di dalam satu masa dan Indah memang berhak mengecapi hidup.

Luqman terpaksa mengakui bahawa Indah sememangnya seorang gadis yang memiliki daya tarikan luar biasa. Dari dekat kejelitaannya kian terserlah. Kulit wajahnya cantik bagai telur dikupas. Gaun merah yang membaluti tubuhnya itu menambah seri pada empunya badan.

Sebaik saja telinganya menangkap suara yang begitu menyejukkan gegendang telinga, Indah pantas berpaling. Hati berdebar bercampur gembira. Bersinar matanya tatkala menatap wajah lelaki di hadapannya itu. Buat seketika dia terkedu. Hanya mata dan hati saja yang mampu berkata-kata.

Oh my God! Oh my God! jerit Indah dalam hati. Sungguh Indah teruja apabila melihat Luqman di depan mata. Hampir-hampir saja dia terloncat gembira. Nampaknya Tuhan pun memihak kepada dia. Sudah berhari-hari Indah memeras otak ke hulu ke hilir mencari jalan untuk mendekati lelaki itu. Namun dia tiada alasan munasabah. Walaupun selama ini dia sentiasa berani dan bertindak sesuka hati, tetapi entah kenapa kali ini naluri perempuannya tidak mengizinkan.

Petang itu Indah bernasib baik kerana Tuhan telah membawa langkah Luqman ke arah dia. Doanya telah termakbul.

"Masih ingat I? Pak Cik Luqman?" tegur Luqman apabila Indah sekadar terlopong memerhatikannya.

"I nak belanja you minum," kata Luqman lagi tanpa berlengah-lengah. Dia mencuba nasib.

Namun Indah tampak mamai. Tiada suara. Hanya keningnya yang sedikit terangkat menandakan dia sememangnya masih berpijak di dunia nyata. Entahlah apa permainan gadis itu. Luqman hanya mampu mengingatkan diri agar berwaspada. Indah pada pandangan peribadinya bukan sembarangan gadis. Anak gadis Dato Eliyas itu walaupun nampak manja dan mulus tetapi 'bertaring'.

"Cik Indah?"

"Hmmm?"

"I kata... I nak belanja you minum," ulang Luqman, merenung tenang pada wajah Indah. Pada kala itu dia sudah pun bersedia dengan apa-apa jua tindak balas. Tidak kira sama ada Indah gempur, senyum ataupun sinis.

"Thanks. I sudi!" jawab Indah pantas. Matanya bersinar riang.

Sebaliknya kesungguhan Indah itu tiba-tiba saja membuat Luqman merasa pelik dan sedikit cuak. Gadis itu seakan-akan over excited pula dengan ajakannya itu. Lain yang disangka, lain jadinya. Terkenangkan pertemuan terakhir mereka dan bunyi dentuman pintu yang dihasilkan Indah tempoh hari, Luqman sangka gadis itu pasti sekali memaling muka sekiranya bertemu semula dengannya.

Duduk berhadapan dengan Luqman lima minit kemudian di sebuah meja kecil bundar di Mambo Jerry Bar, Indah bersahaja dan tampak tenang. Entah semula jadi entah tidak, mata gadis itu sentiasa melirik penuh menggoda. Senyuman sentiasa memagari bibir. Tidak seperti pada pertemuan pertama mereka dahulu – resah, gelabah dan tidak mesra. Jari-jemari yang cantik dan halus mulus itu juga tidak berkepit batang rokok. Malah Indah meminta air suam, bukannya Vodka atau Blue moon. Sangka Luqman, dia telah memilih satu tempat yang paling sesuai untuk 'entertain' gadis seperti Indah. Sebuah bar dengan bilik private berdinding separa kaca yang menyediakan pelbagai jenis minuman kegemaran muda-mudi masa kini.

"Excuse me!"

"Yes, mem?"

"Minta maaf tapi I minta air suam, bukannya air sejuk," kata Indah lembut tetapi tegas.

Ketegasan yang lebih cenderung ke arah sikap cerewet itu agak mengejutkan Luqman. Tetapi dia berpuas hati sekurang-kurangnya Indah tidak berpura-pura. Segelintir wanita yang dikenalinya lebih rela berlakon daripada berterus terang. Semua itu semata-mata untuk menjaga imej di hadapan Luqman. Tidak mahu dikatakan perempuan gasang.

"Maafkan saya, cik."

Sebaik mengangguk dan melemparkan secebis senyuman tipis kepada pelayan lelaki tersebut, Indah berpaling semula kepada Luqman. Hati tidak sabar menanti. Dia percaya Luqman ada misi. Mungkin lelaki itu juga seperti jantan-jantan lain yang ingin mendekatinya atas sebab-sebab murahan. Itupun kalau Indah tidak tersalah tafsir.

"Dah berhari-hari I macam asyik nampak you di mana-mana aje. You sengaja ikut I ya?" usik Indah manja. Kali ini dia tidak kesah 'dikejar' asalkan lelaki itu adalah Luqman. Luqman adalah satu dalam seribu. Demi ayahnya dan kehidupan mereka, dia sanggup bergadai nyawa untuk 'merantai' lelaki itu.

Tersenyum Luqman sebaik saja mendengar kata-kata Indah itu.

"Kalau tak silap, itu namanya sakit angau. You sukakan I ya?" usik Luqman kembali, merenung ke anak mata Indah sehinggakan pipi gadis itu tiba-tiba saja berona merah.

Ketika umur sebaya Shah Imran, Luqman juga pernah bermain permainan sebegitu. Dia tidak kekok sebenarnya. Parang yang tumpul hanya perlu diasah untuk ditajamkan kembali. Asah dan diasah lagi.

"You memang ikut I?" ulang Indah perlahan sambil sengaja mendekatkan mukanya kepada Luqman. Seingat Indah, setiap kali dia beraksi sebegitu, lutut peria akan segera bergetar. Nafas mereka akan menderu. Malangnya Luqman begitu tenang berlawan pandang.

"Pembetulan. I tak ikut you tapi I sengaja tunggu you. You were occupied... And it was a long wait," balas Luqman, berterus terang.

"Oh? Really... I am so sorry. Anything I can do for you?" bisik Indah.

Suaranya semakin basah-basah manja. Dia harus segera bertindak tatkala peluang di depan mata. Daripada pengalaman seumur hidupnya, dia tahu tiada lelaki yang tidak teruja dengan jelingan matanya. Apatah lagi kalau dia 'bermain' dengan kata-kata. Luqman walaupun tampak matang tetap seorang lelaki.

Luqman tersenyum tipis tatkala matanya menyoroti jari telunjuk Indah yang mengelus ghairah bibir sendiri. Bibir seksi yang berpalit gincu berkilat ala siber itu seakan meminta-minta agar dibelai. Entah apa niat Indah, tetapi Luqman sedar semua itu satu permainan.

"Shah kirim salam!"

Kata-kata Luqman itu bagaikan menyedarkan Indah dari mimpi. Dia kelihatan tersentak. Air muka dan bahasa tubuhnya berubah. Nama Shah Imran jelas sekali bukan kegemaran Indah.

"Shah? Well, apa khabar Shah?" soal Indah dalam terpaksa. Dia menghela nafas dalam. Hati terasa geram. Bukan lain tetapi nama budak lembik itu juga yang disebut Luqman? Indah menghela nafas panjang. Mendengar nama itu saja cukup membuatkan jiwanya terasa letih.

"Masih bernyawa, tapi... Merana," balas Luqman. Dia merenung tepat pada anak mata Indah, cuba membaca apakah benar telahannya?

Betulkah Indah terlibat di dalam kes itu? Bagi gadis kaya seperti Indah, wang ringgit boleh membeli segala-galanya. Jasad ataupun nyawa. Demi memastikan Shah Imran menjauhkan diri daripadanya, Indah mungkin telah memilih cara kasar.

Dua lelaki yang mengugut dan memukul Shah itu mungkin orang suruhan Indah. Lagipun pada pertemuan pertama mereka, bukankah gadis itu pernah berkata kalau Luqman tidak membantu, dia akan mencari jalan sendiri? Yang pasti apa yang terjadi ke atas Shah Imran adalah kerana Indah.

"That bad?" balas Indah tanpa kesungguhan. Tiada juga belas kasihan. Malang sungguh kerana Indah seolah-olah tidak peduli hidup mati Shah Imran.

"Nama pun kena belasah. Dipukul. Kalau tak mati pun pasti separuh nyawa. Tapi syukur sebab dia boleh bertahan," sambung Luqman lagi.

Dia mengangkat gelas minuman ke bibir, meneguk sambil mencuri pandang pada wajah Indah. Bagi Luqman, Indah mungkin sudah tersasar akibat tiada kawalan dan kasih sayang yang melimpah-ruah tetapi dia percaya gadis itu masih boleh dilentur.

"You yang buat? You arahkan orang pukul Shah?" soal Luqman seketika kemudian.

Dia sedar soalan itu penuh risiko tetapi dia tetap inginkan kebenaran. Sayang kalau gadis seperti Indah dibiarkan hanyut oleh arus kehidupan. Seperti juga Shah Imran, Indah sebenarnya perlukan bimbingan.

Terpanar Indah apabila soalan itu diaju. Sungguh dia terkejut.

"What?" Benarkah seperti apa yang didengar? Dia dituduh mengarahkan orang membelasah Shah Imran?

"I cuma nak tahu kalau-kalau you yang rancang semua itu?" terang Luqman tenang apabila air muka Indah tampak berubah. Kalau diumpamakan raja rimba, Indah kelihatan bersedia untuk menyerang.

"I don't believe this!" Menyilau mata Indah di dalam kesamaran suasana bar itu. Pipinya bersemu merah.

"I? Maksud you, I yang suruh orang pukul Shah Imran?" Darah Indah mula menggelegak. Amarahnya memuncak.

"Mampukah I?"

"Indah... I cuma bertanya," pujuk Luqman penuh berhati-hati. Ketenangan dalam hati mula goyah apabila Indah kelihatan betul-betul terganggu.

"Apa bezanya antara bertanya atau menuduh? Di telinga I kedengaran sama saja!" bentak Indah, berang. Dalam sekelip mata saja dia bangun meninggalkan meja, bilik itu dan Luqman. Meredah pantas di celah-celah susunan meja dan lautan manusia dengan perasaan marah dan geram yang membara. Jiwanya tiba-tiba bercelaru.

SESAMPAI di rumah sebaik enjin Mini Coopernya dimatikan, hati Indah tiba-tiba sejuk seiring enjin keretanya itu. Rasa menyesal yang teramat tiba-tiba menyelimuti perasaan. Dia jadi kalut mengenangkan Luqman yang ditinggalkannya di Mambo Jerry Bar. Rasa seperti ingin berpatah balik mengasak di dada. Tetapi Luqman tidak mungkin menunggu.

Bagaimana dia boleh membiarkan perkara sekecil itu mengganggu perasaannya sehingga merobek satu-satunya peluang merapati Luqman? Kenapa kesabarannya sebegitu tipis setiap kali berhadapan dengan lelaki itu? Sungguh Indah geram terhadap diri sendiri.

Memang Indah tidak bersalah. Bukan dia yang mengarahkan orang mematahkan tulang empat kerat Shah Imran tetapi dia sememangnya dapat mengagak semua itu angkara siapa.

Dia tahu konco-konco siapa yang membelasah Shah Imran. Sebaik sahaja menerima panggilan telefon daripada Shah Imran menyampaikan berita buruk itu beberapa hari yang lalu, Indah tidak terkejut. Dia cuma bimbang tentang keadaan Shah Imran. Terukkah atau tidak? Kalau dikerjakan oleh orang-orang suruhan Heqal Putra, paling tidak kurang akan patah kaki atau tangan. Tidak pernah ada yang sekadar mendapat lebam atau calar-calar. Namun tidak ada pula yang sampai hilang nyawa.

Heqal memang tidak pernah membiarkan mana-mana lelaki yang cuba mendampingi Indah hidup aman, lebih-lebih lagi lelaki yang dirasakan mampu mengancam kedudukannya di samping Indah. Selama bertahun-tahun, itulah yang terjadi. Sudah setengah dozen bekas teman lelaki Indah pernah menjadi mangsa Heqal dan lelaki itu tidak pernah sekalipun disabitkan dengan kes-kes tersebut.

Indah pernah menegur tetapi Heqal tetap dengan penafiannya. Entah macam mana tetapi Heqal sentiasa terlepas. Mungkin juga dilindungi oleh suku-sakat ibunya yang berketurunan darah diraja. Indah pula tidak ingin dan tidak mampu untuk bermusuh dengan lelaki itu. Selama ini dia hanya ikutkan sahaja apa jua rentak Heqal.

Sejak ketiadaan Ilham, perangai Heqal semakin menjadi-jadi. Kian bebas dan tiada lagi segan silu. Heqal jelas sekali ingin mengambil alih tempat Ilham, terutama sekali di dalam penerajuan syarikat mereka. Saham 20% yang diwarisi daripada arwah ayahnya membuatkan Heqal merasakan dirinya berhak mengambil tahu soal Mahkota Ilham Holding.

Walaupun masih dangkal dalam ilmu kehidupan, Indah dapat mencium komplot yang diatur oleh Mak Engku Sofia Nur dan Heqal. Begitu juga pendapat Mama Ja. Oleh sebab itu Mama Ja sentiasa menasihati Indah supaya mencari seorang lelaki yang licik melebihi Heqal untuk dijadikan suami. Itupun dengan kadar segera kerana Indah cetek ilmu dalam bidang perniagaan.

Setiap kali melabuhkan punggung di atas kerusi CEO di pejabat ayahnya, kepalanya mula berdenyut-denyut. Dia rimas. Dia malas. Dunianya bukan di situ. Apa yang Indah tahu hanyalah kecantikan, fesyen dan seni. Bakat dan minat Indah tidak pernah melangkaui semua itu. Ilham Putra sudah tiada dan Indah pula selama-lamanya tidak mungkin mampu mengambil alih tempat ayahnya. Kalau lambat bertindak, tidak mustahil Dato Eliyas akan kehilangan segala-galanya sebelum tiba masanya.

Demi menguasai Mahkota Ilham, Heqal berazam menikahi Indah. Itulah jalan paling mudah dan singkat. Mak Engku Nur turut bersekongkol. Sudah lama Mak Engku Nur bertungkus lumus mengayat Dato Eliyas supaya segera menjodohkan Heqal dengan Indah. Lebih-lebih lagi sejak akhir-akhir itu.

Nasib baik Dato Eliyas bukannya jenis yang suka membuat keputusan mengikut sedap hati. Dulu semasa isterinya masih ada, segala hal sentiasa dicapai kata sepakat. Biarpun selepas isterinya sudah kembali ke rahmatullah, Dato Eliyas tetap berpegang pada muafakat.

Luqman pada pandangan Indah tidak seperti lelaki-lelaki yang pernah didampinginya. Luqman ada karisma dan bersikap tenang. Harapan Indah semoga Luqman tidak gentar walau disakat konco-konco Heqal.

Indah pasti Luqman adalah permata di lautan yang dicari-carinya selama ini. Tetapi persoalannya, bagaimanakah caranya untuk mendapatkan Luqman? Sekiranya paras rupa tidak melalaikan lelaki itu, apakah yang mampu?

Melangkah longlai melalui taman hijau kebanggaan arwah ibunya, fikiran Indah berterusan kalut memikirkan soal Luqman dan strategi yang bakal diatur. Tatkala dia melangkah gontai ke arah tangga menuju ke biliknya di tingkat atas, dia dikejutkan oleh suara teguran ayahnya.

"Assalamualaikum, Indah!"

"Abah!?" Suara Indah, agak terpinga-pinga. Macam mana dia boleh melangkah sejauh itu tanpa menyedari kehadiran ayahnya di ruang tamu itu? Ataupun kerana sudah terlalu biasa dengan suasana mahligai itu yang sentiasa sepi seolah-olah tidak berpenghuni?

"Waalaikum... mussalam..." balas Indah sambil mengorak langkah pantas ke arah Dato Eliyas yang sedang duduk di atas kerusi kegemarannya.

Sebuah buku berwarna coklat dan berkulit tebal kelihatan di tangan. Nampaknya buku yang dulu sudah pun habis dibaca. Dato Eliyas memang boleh dikira sebagai ulat buku. Sambil menonton TV pun Dato Eliyas tetap membaca. Perangai mereka memang jauh berbeza.

"Kenapa abah nampak anak dara abah ni macam bermurung aje? Tak sihat ke?" tanya Dato Eliyas. Mukanya berkerut ketika memerhatikan Indah.

"Abah apa khabar?" tanya Indah sebaik saja mencium tangan ayahnya. Dia melabuhkan punggung di atas permaidani di hadapan Dato Eliyas. Dek orang tua itu selalu sibuk berurus niaga, jadual mereka sentiasa bertentangan. Malah sejak kebelakangan itu terasa seperti sudah berhari-hari mereka tidak bersua muka.

"Abah macam biasalah. Sihat cara orang dah berumur. Cuma Indah yang nampak lain macam. Ada masalah?"

"Tak ada, abah. Indah cuma... Entah... Bosan agaknya."

"Ya? Setahu abah, Indah kalau bosan lain gayanya..." komen Dato Eliyas, tersenyum tipis. Sorotan matanya meraut lama pada muka Indah.

Mendengar kata-kata ayahnya itu, bibir Indah melebar senyum. Kepala yang tidak gatal digaru. Entah macam mana mahu bercerita kepada ayahnya tentang pengalaman terbaru yang baru ditempuhinya itu, tentang Luqman.

"Well... Sebenarnya Indah... Indah baru jumpa seorang lelaki yang... Lain dari yang lain. Dia... Dia ni..."

Agak segan untuk meneruskan cerita, Indah melarikan pandangan matanya. Meluahkan perasaan kepada spesies yang sama seperti Luqman, terasa lain macam janggalnya. Senyuman tersembunyi yang mulai meleret pada bibir ayahnya membuat pipi Indah terasa membahang tiba-tiba.

"Tak terlopong bila terpandang Indah?" Dato Eliyas segera mencelah.

Ternganga Indah sebaik saja mendengar kata-kata ayahnya itu. Tepat sungguh. Ayahnya bagaikan mampu membaca fikirannya.

"Betul! Macam mana abah tahu?" tanya Indah. Dalam segan, dia teruja. Matanya terbuka luas memandang ayahnya. Dia kagum.

"Abah saja tahu," balas Dato Eliyas, tersenyum meleret.

"Malah dia ni macam tak langsung ter... You know. Macam tak sukakan Indah. Sedangkan Indah... Indah rasa..."

"Indah berkenan sangat-sangat pada dia?"

"Well, yes!" jawab Indah dengan mata bersinar-sinar. Teruja betul dia dengan tindak balas ayahnya itu. Ayahnya memang memahami dia.

"Errr, but I don't think that is the right words. Indah belum pernah berkenan sangat-sangat pada mana-mana lelaki melainkan pada abah seorang!" usik Indah.

"Ya?" Dato Eliyas tertawa kecil.

"Tapi abah rasa... Dah tiba masanya untuk Indah berkenan sangat-sangat dengan seseorang selain daripada abah."

Tatkala Indah terpanar dan terpaku memandang muka ayahnya, orang tua itu mula memaparkan rupa serius.

"Abah dah tua, Indah. Takkan mampu bersama Indah untuk selama-lamanya. Indah perlukan seseorang untuk berada di sisi Indah, memberi sokongan dan sama-sama menerajui Mahkota Ilham."

"Memang ini ayat klise tapi satu kenyataan. You have to do something about this," sambung Dato Eliyas apabila melihat air muka Indah yang berubah bosan.

Sejak dari awal tahun sudah berdozen kali kata-kata sebegitu menusuk gegendang telinga Indah. Ayahnya tidak pernah bosan untuk berpesan. Kadang-kadang serius dan kadangkala dalam nada bergurau. Tetapi Indah tahu bahawa ayahnya bersungguh.

"Abah..."

"Tapi dengan syarat... Lelaki itu mestilah bukan sembarangan orang, Indah. Situasi sekarang tak mengizinkan Indah berada dalam kedudukan yang lemah. Indah ada tanggungjawab besar. Bukan saja untuk diri sendiri tetapi juga untuk kekalkan nama baik keluarga. Indah juga bertanggungjawab ke atas ramai orang yang bekerja di bawah syarikat kita," ungkap Dato Eliyas dengan nada yang kedengaran serius.

"Abah rasa Indah sendiri tahu bahawa kemampuan Indah dalam bidang perniagaan tidak berada pada tahap yang sepatutnya. Abah memang sedar bahawa hati Indah tidak bersama Mahkota Ilham. Indah lebih cenderung ke arah bidang yang lebih santai," ujar Dato Eliyas menyuarakan fakta.

"Abah... Indah..."

"Abah tahu Indah sudah berusaha. Abah tak salahkan Indah," ujar Dato Eliyas lagi sambil tangan kanannya mengusap perlahan rambut Indah.

"Tapi kalau masih tak mampu berdiri sendiri, Indah perlukan 'tongkat' yang tak senang patah mahupun dipatahkan."

"Kahwin ajelah dengan Heqal Putra, Indah..." sambung Dato Eliyas seketika kemudian. Suaranya kedengaran lemah.

"Pada pandangan abah, setakat ini Heqallah yang terbaik. Dia pun dah lama menunggu."

"Kahwinlah. Naik bingit telinga abah dengar syarahan emak dia yang berjela-jela tu. Macam murai..." kata Dato Eliyas lalu tergelak kecil.

"Memang Heqal ada kekurangannya. Bukan abah tak pernah mendengar khabar-khabar angin pasal Heqal. Ada positif ada negatif. Tapi abah tengok dia sentiasa layan Indah dengan elok," sambung Dato Eliyas sambil merenung lembut pada wajah Indah.

Prestasi Indah dalam kerjaya dan kehidupan peribadi sudah mula membimbangkan. Walaupun selepas tiga tahun kembali dari luar negara selepas gagal meneruskan pengajian, Indah masih di takuk lama. Tiada minat yang ditunjukkannya dalam meneruskan perniagaan keluarga.

Indah leka melaram ke sana sini. Mungkin juga salah Dato Eliyas sendiri kerana lebih banyak melepaskan tanggungjawab menyelia dan mengawal anak gadisnya itu kepada Ilham Putra yang tampak matang pada perwatakan dan sikap, namun dia lupa bahawa kedua-dua anaknya itu hampir sebaya.

"Tapi abah... Indah belum puas. Belum..."

"Sampai bila?" tanya Dato Eliyas. Sudah bertahun-tahun anak daranya itu asyik memberikan alasan yang sama.

"Tapi Heqal tu... Kenapa mesti Heqal?" Indah mula mundar-mandir, resah. Baginya memikirkan tentang Heqal saja sudah cukup memberinya tekanan mental yang seolah-olah tiada penghujung.

"Tak ada manusia yang sempurna, Indah. Kalau ada, bawa jumpa abah dan kahwin. Sebab abah tak boleh tunggu lama," tegas Dato Eliyas, bukan sekadar pada kata-kata tetapi juga pada nada suara.

Membuntang mata Indah merenung pada ayahnya. Apakah orang tua itu sedang memberi kata dua? Walaupun itu bukannya kali pertama ayahnya mendesak supaya dia segera berkahwin dengan Heqal Putra namun kali ini nada suara ayahnya kedengaran lain macam. Ayahnya serius. Usulannya kali ini lain macam kedengarannya. Ada nada menggertak.

"Find your man and... Make it fast."

"Abah nak naik dulu. Besok pagi ada mesyuarat penting. Jangan pula Indah buat-buat lupa macam selalu, ya?" pesan Dato Eliyas bersahaja.

Dia bangun sambil mengelus sisi kanan kepalanya. Memandang ke kiri dan ke kanan seolah-olah mencari-cari sesuatu. Sesaat kemudian tangannya mencapai cermin mata di meja sisi.

"Jangan malas-malas..." pesan Dato Eliyas sebelum berlalu pergi.

Tersipu, Indah mengangguk malu. Dia sudah banyak kali ponteng mesyuarat. Dia sememangnya alah terhadap apa-apa jua mesyuarat. Dia cepat bosan. Mata dan mindanya tidak mampu untuk memberikan sebarang kerjasama.

"Sekarang Indahlah 'tongkat' abah. Siapa lagi yang boleh abah harapkan kalau bukan anak abah? Good night," sambung Dato Eliyas lagi tatkala berhenti di anak tangga pertama.

"Kahwin ajelah dengan Heqal Putra, Indah..."

"Abah tak boleh tunggu lama..."

Berkali-kali kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga. Indah kian cuak. Hatinya kian gelisah. Sudah terlalu lama dia berdolak dalih dan sudah berkali-kali juga ayahnya menyuarakan hasrat yang satu itu; kahwin dengan Heqal Putra. Tidakkah ada insan lain di kepala ayahnya selain dari Heqal Putra?

Memang Heqal tiada cacat cela pada rupa dan pesona. Heqal bertubuh tegap dan berwajah tampan. Senyuman dan renungan matanya sentiasa meruntun hati. Heqal juga merupakan seorang usahawan muda yang berjaya. Di samping menjadi orang kanan Dato Eliyas, Heqal juga memiliki berdozen-dozen perniagaan sendiri yang berkembang maju terutama sekali business gymnasium, Kelkatu Bar dan pusat-pusat rekreasinya. Tetapi di mata Indah, sepupunya itu adalah jenis jantan licik yang sanggup berbuat apa-apa saja demi poket sendiri. Kalau tiada ilmu yang mencukupi, Heqal tidak sepatutnya didekati.

USAI mandi, Indah cepat-cepat menyarung pakaian tidurnya. Dia tidak lagi bersantai atau berlengah-lengah seperti hari-hari biasa. Sambil meniarap di atas tilam, nombor telefon Marina ditekannya pantas. Sepanjang malam fikirannya asyik melayang memikirkan tentang masalah yang ditimbulkannya di Mambo Jerry Bar.

Riak wajah Luqman terbayang-bayang di ruang mata. Sesungguhnya dia menyesal. Saat-saat manis yang pada awalnya berjalan lancar, akhirnya berantakan kerana sikap kurang sabar dan mulut celoparnya. Hatinya cepat benar terusik ketika berhadapan dengan lelaki itu.

Idea untuk menelefon Marina datang tatkala dia sedang berendam di dalam tab mandi sambil melayani fikiran yang berserabut. Baginya Marina bagaikan 'ensiklopedia'. Marina tahu hampir segala-galanya.

"Indah... Apa hal ni? Kacaulah you. I tengah mimpi yang seronok-seronok ni..." Kedengaran suara Marina yang agak serak-serak basah dalam talian.

Sebaik saja mendengar suara Marina, tanpa berlengah-lengah lagi Indah segera menyampaikan kehendak. Semalam Marina merajuk sakan kerana keengganannya menziarahi Shah Imran. Lebih-lebih lagi kerana Indah tidak sudi untuk merapatkan silaturahim.

"Hai, Rin! I nak contact number Luqman, thank you!"

"Luqman? Luqman yang mana?"

"Uncle Luqman la..."

Talian hening seketika. Marina bagaikan sedang membuat pertimbangan ataupun sedang mamai kerana mimpi indahnya sudah pun dicantas?

"Helooo?"

"Indah, buat apa tiba-tiba nak nombor Luqman? Why?" soal Marina penuh waswas.

Setelah nama Shah Imran dipangkah daripada senarai lelaki idaman, gadis itu kini teringin untuk merasa 'perisa' yang lebih matang?

"Jangan buat sembarangan tahu... Luqman..."

"You nak kurus atau tidak?" potong Indah, sengaja mengeluarkan nada suara mengugut. Maklumlah body slimming programme penemuan terbaru bernilai berpuluh-puluh ribu Ringgit Malaysia yang dinikmati Marina kini adalah tajaan Indah. Marina memang gemar disponsor. Jangan-jangan kahwin nanti minta disponsor juga.

"Errr, of course I ada. Sekejap ya. Tapi tak pasti masih aktif atau tak. Errr, nanti I text you, okey?"

"Cepat ya, Rin. Kesabaran I ada timingnya."

"Ya... Ya... Errr, boleh I tahu... Kenapa you nak call Luqman?"

Nampaknya Marina belum mengalah. Masih mahu menyibuk. Agaknya perempuan itu masih lagi menyimpan harapan untuk memegang title mak Datin suatu hari nanti?

"Nak ajak kahwin, boleh?"

LIMA belas minit kemudian setelah berdolak-dalih dan berperang dengan perasaan sendiri, Indah beranikan diri menekan nombor telefon bimbit Luqman. Agak lama juga berdering barulah kedengaran suara menjawab. Suara yang kedengaran serius.

"Helo!"

Walaupun terkedu seketika namun Indah teruskan jua. Hati tiba-tiba berdebar bukan kepalang. Selama ini dia tidak pernah kalah oleh kemahiran sendiri. Seperti melukis, mengayat juga adalah kemahiran dia. Dia mampu bergayut di talian berjam-jam lamanya. Mengikut rekod, empat jam adalah masa terlama dia bergayut. Itupun dengan seorang mamat Perancis bersuara romantik yang tidak berapa fasih berbahasa lain selain bahasa ibunda sendiri.

"Luqman?"

"Ya, saya. Siapa ni?" Berkerut dahi Luqman menunggu jawapan. Jari-jari yang sekejap tadi sibuk memetik butang laptop, kini diam.

"Hai... Ini Indah."

"Indah? Oh, Cik Indah... Apa yang boleh saya bantu?"

Menjeling ke muka jam Tissotnya, jarum menunjuk ke arah 12.20 am. Hairan Luqman untuk apa Indah menghubunginya lewat malam begitu? Memori petang di Mambo Jerry Bar muncul dalam ingatan. Masih hangat. Seingatnya urusan mereka hanya berlangsung separuh jalan. Tiada pengakuan jelas dari Indah dalam kes kecelakaan yang menimpa Shah Imran. Dari bermanja-manja bagaikan kucing parsi, Indah tiba-tiba mengaum. Sangkanya semuanya berakhir di situ.

"Indah harap... Indah tak mengganggu tidur you?"

"It's okay. I belum tidur," balas Luqman sambil menegakkan kedudukan tubuhnya.

Skrin laptopnya segera ditutup. Dia cuba memberi fokus kepada suara yang kedengaran lembut itu. Lebih tepat kalau disebut sebagai suara lemak-lemak seksi. Sesungguhnya dia sedikit pun tidak menduga akan mendapat panggilan daripada gadis itu. Dalam masa sesaat saja seribu persoalan bertandang di kepala Luqman. Apakah permainan Indah kali ini?

"Sebenarnya Indah tak dapat lelapkan mata sebab asyik terfikirkan you," jelas Indah perlahan.

"Ya?"

"Errr, I mean I nak minta maaf atas kelakuan biadab I petang tadi. I am so sorry. I tak berniat..."

"Tak mengapa, Cik Indah. I tak simpan dalam hati pun."

"Thank you. Indah tak berharap keadaan jadi macam tu..."

"I faham. Tak mengapa."

"Sebenarnya... Sejak abang Indah meninggal 2 tahun lepas, fikiran dan perasaan Indah jadi tidak tenteram. Indah macam kehilangan semua orang, bukan hanya Ilham. Hidup Indah macam... Itu bukan kemalangan... Sebenarnya..." Sebak, Indah tidak dapat meneruskan kata-kata. Seribu perasaan tiba-tiba saja seperti menerjah ke kerongkong. Dalam pada itu, dia turut terkedu kerana hampir-hampir saja meluah kemelut dalam hati kepada seorang lelaki yang tidak pun dia kenali.

Dia hanya kenal Luqman sebagai uncle kepada Shah Imran! Itu saja. Menghela nafas dalam-dalam, jari telunjuk Indah segera menguis air di birai mata. Dia cuba meniup semangat ke dalam diri.

"Are you alright, Cik Indah?" Kedengaran suara Luqman bertanya lembut.

"Okeylah, Luqman. Indah, Indah tak nak kacau you lagi. Good night..." ucap Indah dalam keadaan suara sedikit bergetar dek menahan perasaan.

"Luqman!" Seru Indah tiba-tiba sebaik saja talian hening.

"Ya?"

"Percayalah... Bukan Indah yang kerjakan Shah. Bukan Indah," ujar Indah perlahan, cuba meyakinkan Luqman.

"If you say so," balas Luqman. Jauh di sudut hati, dia juga tidak mahu percaya bahawa Indah sampai hati memperlakukan insan lain sebegitu.

Shah Imran pula tidak rela untuk memanjangkan kes. Tiada tuduhan dan tiada juga laporan polis walaupun mendapat tekanan daripada ibunya.

Sama ada lelaki itu cuba melindungi seseorang ataupun sememangnya jenis tidak kesah dilambung dan dilenyek, Luqman tidak pasti.

"Good night, Cik Indah," balas Luqman lembut.

"Panggil I Indah, boleh?"

"Good night, Indah," ulang Luqman, bersopan.

"Boleh Indah call you sometimes?"

"Sure."

Membiarkan Indah mematikan talian, Luqman menyandar santai ke kerusi. Panggilan telefon Indah sememangnya meninggalkan pelbagai tanda tanya, tetapi yang nyata, gadis itu baru sahaja mematerikan satu misteri di kepala Luqman.

Kemelut apakah yang melanda? Waraskah Indah kala itu?

Memikirkan persoalan tentang Indah akhirnya mata Luqman sukar untuk pejam sehingga ke pagi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro