Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

SEJAK pagi sehinggalah petang merangkak ke senja, perasaan Indah tidak tenteram. Sudah beberapa hari berturut-turut hatinya gelisah tidak keruan. Gelisahnya lain macam. Bermacam-macam sudah dilakukannya demi menenangkan hati yang entah kenapa asyik gundah dan tidak tentu arah itu.

Semalam dia clubbing lagi sehingga lewat malam bertemankan kawan-kawannya yang sememangnya kaki bar dan lounge. Namun di celah-celah sorakan riang rakan-rakannya, fikirannya tetap perlahan-lahan hanyut dalam bayangan Uncle Luqman. Macam tayangan YouTube yang berulang-ulang.

Hari itu pula dia sibukkan diri bershopping sehinggakan tiada lagi tempat di perut Mini Coopernya yang lapang. Blaus dan skirt dari Butik Mama MIA hampir 'disapu' bersih. Itulah sebabnya Datin Zahorah menyeringai riang setiap kali Indah berkunjung. Hasil yang biasanya terpaksa dikumpul dalam masa sebulan mampu dikaut dalam masa sejam.

Tidak cukup dengan menghabiskan duit ayahnya di butik-butik, Indah manjakan diri di salon dan spa selama berjam-jam lamanya. Seperti biasa, dia dikelilingi oleh orang-orang yang dibayar untuk membelai tubuhnya dari hujung kaki sehinggalah ke hujung rambut. Namun walaupun setelah tampak serba-serbi cantik bagaikan puteri, semua itu tidak membawa apa-apa perubahan. Masih ada sesuatu yang kurang.

Di kamarnya, Indah tetap termenung panjang sambil menghembus asap rokok berkepul-kepul. Sekali-sekala dia mundar-mandir sendiri. Fikirannya melayang mencari arah. Apa yang pasti, bayangan wajah seseorang bagaikan dipateri kemas di dalam kotak fikirannya. Semakin hari semakin jelas.

Sesungguhnya Indah tidak mengerti kenapa? Kenapa wajah lelaki itu yang asyik bertandang di ruang mata dan fikirannya? Kenapa Luqman, bukan lagi Ilham Putra? Mengapa matanya asyik terbayang-bayangkan senyuman sinis lelaki yang pernah membuatkan darahnya menggelegak sehingga ke tempurung kepala itu! Apakah rasa geram yang terpendam dalam hatinya sebenarnya belum reda?

Cuba melarikan diri dari bayangan yang mengganggu fikiran, Indah segera mencapai remote control Smart TV lalu menekan punat On. Setelah menukar saluran Netflix berkali-kali, akhirnya dia mengeluh dan menyandar lesu. Tiada apa yang mampu menarik perhatiannya walau rancangan hiburan yang menjadi kegilaannya sekalipun. Malam itu dia betul-betul kehilangan mood untuk berduet dengan bintang-bintang pujaannya. Jiwanya bagai dihempas badai. Rimas. Terasa seperti ingin menjerit sekuat-kuat hati.

Melangkah longlai meninggalkan kamar tidurnya, Indah menuju ke ruang tamu. Malam masih muda tetapi mahligai itu sunyi bagaikan tidak berpenghuni. Agaknya Dato Eliyas masih sibuk bersengkang mata menghabiskan kerja di pejabat. Sejak ketiadaan Ilham, jadual ayahnya kelam-kabut. Siang ataupun malam bagi lelaki tua itu tiada bezanya. Dulu pada waktu-waktu begitu, suara tawa mereka sentiasa kedengaran di ruang tamu. Kini semua itu telah tiada. Lenyap. Yang tinggal hanyalah kenangan manis yang kadangkala bagai belati menghiris hati.

Basah pipi Indah tiba-tiba. Namun dibiarkan air mata berterusan mengalir lesu. Tiada yang tahu bahawa hidup Indah begitu sepi. Hambar, kosong dan pilu. Dia senyum dalam tangisan. Hidup dalam kepura-puraan. Dia rindukan kasih sayang Ilham, senyuman mesra ayahnya dan belaian sayang ibunya. Sungguh dia rindu semua itu.

Namun Indah bukanlah tamak. Dia tidak meminta segala-galanya. Tidak salah merindui orang-orang yang telah pergi menghadap Ilahi tetapi yang hidup perlu diberikan sinar. Dia ingin mengembalikan senyuman di bibir ayahnya dan menggilap kembali seri pada mahligai itu yang pudar sudah hampir dua tahun.

Malangnya, nadi dan semangat Dato Eliyas adalah anak lelaki tunggal kesayangannya, Ilham Putra. Apabila nyawa Ilham diragut dek kemalangan kereta di pinggir bandar dua tahun yang lalu, semangat lelaki tua itu seperti turut sama diragut pergi. Sesungguhnya kehilangan Ilham bagi Dato Eliyas tiada gantinya. Begitu jua perasaan Indah. Ilham Putra bukan sahaja seorang abang malah juga merupakan sahabat karibnya. Tempat dia mencurah perasaan dan melepas geram. Ilham jugalah mentornya. Seperti Ilham, Luqman ada gaya. Luqman dan Ilham memiliki aura yang sama – aura seorang pemimpin!

Bagaikan baru menemui jawapan kepada sebuah teka-teki yang sekian lama menyeksa mindanya, Indah tersentak bangun.

"Luqman!" Bibirnya tiba-tiba saja membisikkan nama itu dan wajah tampan Luqman kembali bertandang di ruang mata. Dadanya tiba-tiba saja berdebar kencang dan entah bagaimana, bibir manisnya mekar dengan senyuman licik.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro