Bab 3
"HAI! Assalamualaikum!"
Mendengar suara teguran yang gagah tetapi mesra, Indah segera berpaling daripada lukisan-lukisan landskap dari luar negara yang begitu menarik minatnya itu. Matanya kini terpacak pada makhluk ciptaan Tuhan yang lebih mengasyikkan! Sangkanya Shah Imran adalah lelaki paling kacak yang pernah dikenalinya tetapi rupa-rupanya tidak! Acuan sama tapi... Berbeza.
"Cantik, kan?"
"Boleh I bantu?" soal Luqman sambil mengorak langkah menghampiri tetamu yang dikhabarkan oleh setiausahanya bahawa sudah pun menunggu di situ hampir dua puluh minit yang lalu.
Perempuan yang kini Luqman yakin tidak pernah bertemu ataupun pernah menjalankan apa-apa urusan perniagaan dengannya sebelum ini. Bukannya pelanggan dari Dynamic Fitness mahupun firma guamannya. Tambah pelik apabila gadis itu hanya berdiri tegak merenung ke arahnya tanpa apa-apa tindak balas walaupun sudah ditegur seadanya. Namun Luqman sebenarnya kalis. Dia sudah biasa.
"Cik nak jumpa..."
"Errr I, I nak jumpa Pak Cik Lokman," ujar Indah setelah terkedu seketika. Entah kenapa wajah tampan di hadapannya itu membuat dia tiba-tiba saja hilang kata-kata. Dadanya betul-betul berdebar sewaktu mata mereka mula bertentang. Macamlah selama ini tidak pernah beramah mesra dengan mana-mana jantan lawa yang kulit muka mengalahkan anak dara sunti!
Berkerut dahi Luqman sebaik saja telinganya menangkap pangkat 'pak cik' yang baru saja dijodohkan dengan namanya itu. Kalau pangkat itu keluar dari bibir anak gadis berumur 10 tahun atau paling kurang 17 tahun dia memang tidak terkedu. Ini... Seorang wanita yang sudah layak dipanggil emak orang!
"Pak cik? Luqman? Pak Cik Luqman?!" ulang Luqman sebagai pengesahan seandainya dia tersalah dengar.
Hairan bercampur kelakar, Luqman terpanar. Tegak matanya merenung ke arah gadis cantik berambut hitam panjang lurus berombak-ombak di hujung melepasi paras bahu yang sedang berdiri di tengah-tengah bilik tetamu di pejabatnya itu. Alisnya cukup lentik. Kulit pula putih kemerahan. Dengan mekap yang begitu sempurna, keanggunannya setanding patung Barbie. Tetapi sayang...Entah gadis itu 'sihat' entah tidak?
"Ya. Uncle Lokman. I nak jumpa Uncle Lokman!"
Nada suara si gadis yang penuh demand membuat dahi Luqman sekali lagi berkerut. Dia hairan. Seribu satu persoalan mula bertandang dalam minda.
"Oh, really?!" Luqman tersenyum panjang. Memang tidak pernah ada saat-saat kelakar yang lebih lawak daripada saat itu di dalam sejarah hidupnya! Nasib baik gelaknya tidak tersembur.
"Well... Ada apa? What can I do for you?" tanya Luqman, sopan.
"It's personal. I cuma nak cakap dengan Uncle Lokman seorang saja. May I see him?" Nada suara yang sama, nada memerintah. Menghela nafas dalam-dalam, Luqman seolah-olah menyediakan diri untuk apa-apa jua kemungkinan. Di alaf ini, macam-macam ada dan macam-macam boleh terjadi.
"You are talking to him," tegas Luqman. Menegakkan badannya menghadap gadis itu, matanya menikam tajam.
Mendengar jawapan lelaki di hadapannya itu, mata Indah terjegil. Dia terkejut. Buat sesaat, dia hilang kata-kata.
"Pak cik? Errr, Pak Cik Lokman?" suara Indah sambil jari telunjuknya dihalakan ke arah lelaki itu.
"Oh, please!" Indah menggeleng sejurus kemudian. Dia segera menarik muka. Hati tiba-tiba saja diusik rasa geram. Dia tidak suka dipermain. Tidak mungkin jantan macho di hadapannya itu Pak Cik Lokman? Pak Cik Lokman sepatutnya sudah gayut, pendek dan bulat! Kalau tidak pun, kerepot macam Einstein si genius, bukannya seperti jantan ranggi yang sedang tersenyum sinis itu.
"Memang I inilah Pak Cik Luqman. Itupun kalau you sememangnya tengah mencari Pak Cik Luqmanul Hakim. L-U-Q-M-A-N to be more precised," balas Luqman sejelas-jelasnya.
Sesungguhnya dia tidak faham apa yang sedang terjadi. Nasib baik dasi biru gelapnya sudah pun dicampakkan ke dalam laci 10 minit yang lalu. Kalau tidak, boleh mati tercekik dia.
"Apa yang you nak sebenarnya?" soal Luqman, cuba mencari persoalan sebenar kenapa gadis itu muncul di situ dan apa yang diingininya?
"You???" Indah mula menggelabah bila menyedari kesilapan diri.
Oh, Tuhan! keluh Indah dalam hati. Tiba-tiba pipi Indah rasa berbahang. Dia tersipu malu. Mahu tergelak pun ada. Muka entah mahu diletakkan di mana. Sungguh dia tidak percaya! Pak Cik Lokman sebenarnya begitu orangnya? Dalam hati dia menyumpah kalut Shah Imran, Marina dan entah siapa-siapa lagi.
Kenapalah mereka ini cakap berbelit-belit! Atau dia yang tersalah alamat? Shah Imran pernah beberapa kali dengan bangga menunjukkan bangunan itu kepadanya setiap kali melintasi kawasan itu.
"Pak Cik Lokman tu... Errr, Director of Global Hi-Rise, bapa saudara Shah Imran. He is an old man! Bukan..." Tetapi kedegilan tidak membuatkan Indah mengalah. Dia tentu sekali tidak tersilap tafsiran. Tidak mungkin! Indah tidak rela dianggap dungu. Dia mungkin tidak bijak berurus niaga tapi dia pintar hampir di dalam segala-galanya.
"I am the old man, the Director of Global Hi-Rise. Memang sudah tua pun dan saya jugalah bapa saudara Shah Imran. Apa... Shah dah terlebih nakal ke?" tanya Luqman sambil tersenyum meleret. Dia mula mengerti. Puzzle yang kalut berterabur mula bersatu.
Kini fahamlah dia rupa-rupanya itulah buah hati pengarang jantung yang Shah Imran puji dan puja selama ini. Sesi memancing pada hujung minggu dijadikan anak muda itu sebagai gelanggang bercerita tentang gadis idamannya itu dan Luqman pula memberi respons sekadar menceriakan suasana.
Tetapi dari pemerhatiannya, Shah Imran ternyata menggilai gadis itu separuh mati. Katanya di antara ramai-ramai gadis yang didampinginya, gadis Barbie itulah yang paling happening. Entahlah apa sebenarnya maksud Shah Imran.
Siapalah yang tidak demam angau sekiranya bermain cinta dengan gadis yang sebegitu cantik dan bentuk tubuh pula mengalahkan aktres Halle Berry. Blaus pink bertali spagheti dan seluar panjang yang sama warnanya itu menekap rapat bagaikan kulit.
Keseksiannya begitu terserlah. Apatah lagi apabila sepasang kaki yang nampak putih kemerahan itu berhias pula oleh sepasang kasut stiletto merah yang bertumit setinggi lima inci. Pada pandangan Luqman, gadis di hadapannya itu memang high class orangnya. Pendek kata 'mahal' dan hanya dilahirkan untuk lelaki seperti Shah Imran yang berayahkan lelaki yang banyak wang. Siapalah Luqman untuk menegah?
Kian menggelabah apabila menyedari diri menjadi santapan mata, jari-jemari Indah segera meraba kotak Winston dan lighter di dalam beg tangan Prada merah yang disandang pada bahunya dan dalam sekelip mata saja sebatang rokok telah pun berada di celahan bibir merah pulasannya. Sesaat kemudian asap mula kelihatan berkepul-kepul. Tanpa menunggu untuk dijemput, Indah melabuhkan punggungnya di atas sofa. Dia menghela nafas panjang-panjang, cuba meredakan kegelisahan yang melanda.
Dia tidak mahu kehilangan fokus. Kedatangannya ke situ bersebab dan dia harus menyelesaikannya, bukan berundur. Tetapi kenapa pula tiba-tiba saja dia merasa segan dan cuak?
Luqman pula hanya bersahaja. Melihat si gadis mengambil tempat duduk, dia turut sama mencari tempat yang selesa berdekatan dengan gadis itu lalu menyandar senang. Tiada sebab untuk dia merasa tergugat walaupun gadis itu ternyata begitu daring. Kalaulah betul budak Shah Imran itu berbuat dajal terhadap gadis di hadapannya itu sekalipun, semua itu tidak kena-mengena dengan Luqman. Keakraban mahupun pertalian darah tidak menjadikan dia bersubahat dengan Shah Imran.
"Errr, I Indah. Indah Sari," ujar Indah lalu menyedut batang rokok sedalam-dalamnya yang kemudiannya dihembus ke arah Luqman dengan gaya seksi sebagaimana lazimnya tatkala dia ditemani oleh teman-teman lelakinya.
Tetapi ketika melihat tindak balas negatif Luqman yang sepantas lalu melarikan muka dan mengipas asap dengan tangannya itu, hatinya merasa sedikit terkilan. Jantan-jantan lain selalunya menerima asap rokok yang keluar daripada bibirnya bagaikan menghirup bau-bauan minyak wangi Dior. Lebih-lebih lagi Shah Imran. Tetapi lelaki di hadapannya itu langsung tidak bermuka-muka. Entah kenapa sikap lelaki itu membuat Indah rasa tercabar.
"I ada masalah dengan Shah. Dia..." kata Indah sambil menjeling ke arah Luqman seketika kemudian setelah rasa resahnya agak reda. Tetapi senyuman lelaki itu mengocak semula jiwanya yang sedang tidak tentu arah itu.
Merasa tidak selesa direnung Luqman, Indah bangun mundar-mandir. Sedutannya kian rancak. Tetapi apabila sorotan mata lelaki itu mengikuti langkahnya dengan sabar, dia merasa kian tidak selesa. Rasa seperti sedang ditelanjangi.
"Shah sebenarnya bermasalah! Dia ni terlalu taasub dengan pak cik... Errr, dengan you!" kata Indah bersungguh-sungguh sambil memberanikan diri menentang mata lelaki di hadapannya itu.
"Kata-kata you bagi Shah tak ubah macam undang-undang. I dah naik rimas. Kerana nasihat you, dia seolah-olah tak dengar pun 'ucapan selamat tinggal' yang I ucapkan! This is crazy! I don't want him!"
Indah sebenarnya sudah hilang sabar terhadap Shah Imran yang cuba mempertahankan hubungan cinta mereka dengan alasan yang tidak bertempat itu. Nasihat dan syarahan yang didengar daripada unclenya dihembuskan pula kepada Indah. Shah Imran bertungkus lumus untuk terus bersama Indah walaupun sudah berkali-kali Indah meluahkan perasaan sebenarnya. Kesabaran lelaki itu jelas sekali diwarisi daripada pak ciknya itu.
"I bukan nak salahkan you, but please... Apa kata kali ini you pakai skrip I untuk beri nasihat pada Shah? Jangan dikejar burung yang dah terbang? Ataupun straight forward, carilah perempuan lain. Guarantee dia akan dengar cakap you!"
"Oh, please! Kalau Shah terus bertindak ala Romeo macam ni, I boleh jadi gila! I tak cintakan dia dan I tak nak..."
"Cik Indah!" potong Luqman tatkala Indah sibuk bersyarah seolah-olah tidak mungkin ada noktah. Adakah patut dia yang tidak ada kena-mengena itu dipersalahkan? Seingatnya setiap kali Shah Imran bercerita, dia hanya lebih banyak mendengar daripada berkata-kata. Tidak pernah ada kata-kata galakan sia-sia yang diberikan kepada anak muda itu. Baginya perhubungan sebegitu tidak akan ke mana.
Apabila Indah terpacak memandang ke arahnya dengan bibir yang terkunci rapat, Luqman merapati. Wajah Indah ditenungnya tenang. Agak lama.
"I percaya you mampu uruskan Shah," ujar Luqman, mantap.
"Maksudnya you... You takkan tolong?" Terkedu Indah dengan kedudukan mereka yang kian rapat itu. Nafasnya tertahan. Tegak matanya memandang Luqman.
"You sebenarnya tak perlukan I," kata Luqman lagi.
"I do! I need you!" balas Indah, pantas.
Malangnya lelaki di hadapannya itu sekadar tersenyum tipis dan menggeleng-gelengkan kepalanya.
Kecewa dengan reaksi tersebut, wajah Indah berubah redup. Untuk sesaat, dia mengalihkan pandangan matanya ke hujung bilik. Namun seperti biasa, apabila gagal meraih apa yang dihajati, hati Indah mula memberontak. Dalam sekelip mata saja rasa marahnya beraja. Matanya kembali menikam tajam ke anak mata Luqman.
"You takkan tolong?" tanya Indah sekali lagi dan jawapan yang didapatinya ialah gelengan kepala dari Luqman.
"Fine!" balas Indah, geram.
"Fine! I akan uruskan Shah dengan cara sendiri!" bentak Indah. Dia mencapai beg tangannya lalu melangkah pergi.
"Thanks anyway for your precious times!"
Di hadapan Luqman, daun pintu bilik tetamu itu sengaja diayunnya kuat tanda tidak berpuas hati.
Luqman menggeleng sambil tersenyum sendiri. Dia menghela nafas dalam, kesal dengan gelagat keanak-anakan Indah Sari. Wajah cantik bagaikan bidadari namun kurang beradab.
Spoiled brat! getusnya dalam hati. Nasib baik dia tidak ditemukan jodoh dengan perempuan sebegitu seumur hidupnya. Benarlah kata orang perempuan nakal untuk lelaki nakal. Nampaknya Shah Imran dan gadis Barbie itu memerlukan masa yang panjang untuk menjadi lebih matang.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro