Bab 1
INDAH menjeling pada imejnya di cermin meja solek. Bibirnya melebar senyum. Dia berpuas hati dengan penampilan sendiri. Sangat berbaloi dia membelanjakan ribuan ringgit untuk gaun maroon bertag YSL itu. Malam itu dia yakin sekali lagi akan menjadi bintang di mata jejaka-jejaka tampan di kelab malam mengalahkan Tiffany, si fashionista.
"Gorgeous!" bisiknya pada diri sendiri.
Memungilkan bibirnya yang sedia mungil, Indah segera meniru pose simbol seks terkenal Amerika, Marilyn Monroe. Dia memusingkan tubuhnya ke kiri dan kanan ala seorang model, lantas tergelak sendiri. Mencapai kasut dan beg tangannya, dia membuka pintu kamar lalu berlenggang pantas menuju ke ruang tamu. Setelah berbulan-bulan, baru hari itu hatinya merasa lepas bebas!
"Tak ada! Memang sah tak ada perempuan yang lebih ego, lebih angkuh, lebih outspoken daripada Cik Indah Sari binti Dato Mohd Eliyas di muka bumi ini!"
"Geramnya aku!" jerit Marina tiba-tiba sebaik saja habis cakap di telefon bimbitnya. Suaranya bergema di setiap sudut Vila Suria Indah. Roy si kucing Siam kesayangannya pun lari lintang-pukang bersembunyi di sebalik langsir akibat terkejut.
Suara mersik Marina itu segera disambut oleh suara ketawa geli hati daripada Samirah yang sememangnya kaki gelak.
"Akak! Kasihan Roy. Terkejut sampai terkucil!" gelak Samirah berpanjangan. Dia segera berlari-lari anak ke arah tempat persembunyian Roy. Mencapai tubuh sang kucing lalu membelai manja.
Indah yang kebetulan sedang melangkah menuruni anak tangga mengangkat kening nakal ke arah Samirah. Menahan gelak, dia kemudiannya melemparkan jelingan selamba bersulam senyuman tipis.
Telinganya sudah lali. Dia sudah biasa. Di rumah itu ada bermacam-macam jenis kaki – kaki tempelak + kaki ampu dan juga kaki gelak macam Samirah. Cuma kali ini tempelak Marina itu kedengaran agak serius. Apa tidaknya... Lelaki macho yang baru dikecewakan Indah itu tidak lain dan tidak bukan adalah kaum kerabat Marina sendiri. Lelaki yang direkomenkan oleh Marina enam bulan yang lalu. Lelaki yang Marina penuh yakin mampu menundukkan Indah si playgirl.
Rupa-rupanya Shah Imran tidak menunggu lama untuk mengadu. Memang sah bahawa lelaki itu adalah seorang anak manja yang hidup bergantung kepada orang lain. Melihat gelagat manja Shah Imran ketika bersama ibunya beberapa minggu yang lalu, Indah tidak berkenan langsung. Dia menyampah. Dia kecewa.
Berdetik dalam hatinya bahawa Shah Imran tidak mungkin mampu memimpin mahupun menjadi seorang ketua keluarga yang baik. Sedangkan demi masa depannya dan keluarga, Indah pula memerlukan seorang lelaki yang berjiwa pemimpin. Seorang lelaki yang mampu membimbing dan memimpin tangannya di sepanjang jalan kehidupan dan lelaki itu dia yakin bukannya Shah Imran.
"Hai, Cik Marina... Kalau dah tahu I ni egois, I ni penyombong... Buat apalah you beria-ia sangat nak I jadi saudara ipar you?" ujar Indah, menjeling galak sambil melemparkan beg tangan maroon dan kasut tumit tinggi lima incinya ke atas sofa. Sambil membetul-betulkan gaunnya, dia melabuhkan punggung ke atas sofa yang sama lagak seorang diva.
"Cik Indah, helooo... Depan-depan batang hidung dia, you kata dia sotong?! I just can't believe it!"
"Sotong?" ulang Marina sambil menggeleng-geleng tidak percaya. Nasib baiklah ruang tamu itu seluas padang bola. Kalau tidak, boleh tersesak nafas dia akibat terkejut dengan berita terkini itu. Memang itu adalah berita terburuk untuk kaum kerabatnya.
Kala itu suara ketawa Samirah kedengaran lagi. Dia yang sejak tadi menjadi penonton nampaknya kian terhibur dengan drama pada senja hari itu. Tidak cover langsung walaupun Marina menjegilkan matanya berulang kali.
"Memang pun dia sotong..." balas Indah, selamba.
"Oh?!" Membutang mata Marina merenung Indah. Dia memang tidak hairan dengan kebecokan mulut kawannya itu. Indah sememangnya straight forward dan bermulut laser sekiranya tidak menyukai sesuatu. Gadis itu tidak pernah segan terhadap sesiapa pun. Tetapi sungguh hatinya rasa sedikit tercalar mendengar kata-kata Indah itu. Cubit paha kiri paha kanan terasa jua.
"You kan tahu my taste. Dia tu..." Indah mencebik agak lama, jelek. Terbayangkan Shah Imran, tiada perkataan lain yang tepat untuk diluahkan. Pernah dia berharap agar lelaki itu bersikap lebih matang ataupun sekurang-kurangnya jauh lebih berumur.
"Lembik? Lelaki macam Shah tu you kata lelaki lembik?" Sekali lagi Marina ternganga. Setahunya keturunan Shah Imran semuanya lelaki macho. Dari datuk sehingga ke cucu-cicit semuanya punya lambang six packs!
"Well, he is... Emotionally lembik. Sikit-sikit nak kena refer uncle I dulu. Asyik uncle I, uncle I. Come on! He's almost thirty years old! I tak suka lelaki tak berpendirian dan yang tak tahu nak control hidup sendiri!" tegas Indah, meluahkan kejengkelannya terhadap karakter Shah Imran. Rasanya itulah satu-satunya kelemahan lelaki itu di matanya. Yang lain-lain semuanya hampir sempurna.
Sumpah! Belum ada mana-mana teman lelakinya sebelum ini yang selembik lelaki itu. Tampak macho hanya pada luaran sedangkan kenyataan adalah sebaliknya. Selepas tiga bulan bersama, kelemahan lelaki itu semakin ketara. Rasanya perkataan yang kerap disebut Shah Imran hanyalah uncle I! Naik muak Indah mendengarnya.
"Tak ada salahnya meminta nasihat daripada orang yang lebih tua dan berpengalaman macam Abang Luqman tu! He's a brilliant man!" balas Marina, cuba mempertahankan Shah Imran.
Lokman? 'Uncle' rupa-rupanya bernama! Dalam hati, Indah tergelak kecil. Bagi Indah, nama yang baru kedengaran daripada bibir seksi Marina itu begitu old fashion. Antik. Pak Cik Lokman tentulah jenis orang tua yang pasti sekali degil, tegas dan kolot. Pendek, bulat... Imaginasi Indah mula menjalar. Dia tersenyum sendiri. Teringin rasanya bertemu lelaki tua itu. Apalah yang ada pada orang tua itu sehingga diagung-agungkan sangat oleh Shah Imran?
"Kalau nak tahu, Shah cukup pandang tinggi pada Abang Luqman. Dia tu mentor Shah. You pula hanya pandang pada diri sendiri, apalah yang you tahu!" tempelak Marina, geram-geram sayang.
"Indah, janganlah macam ni..." pujuk Marina seketika kemudian sambil tangan kanannya singgah lembut di pipi mulus Indah. Pipi yang semula jadi kemerah-merahan itu rasa seperti mahu saja dicubit-cubitnya. Geram. Tetapi dengan Indah, dia perlu berhati-hati umpama menarik rambut dalam tepung, rambut jangan sampai terputus, tepung pula jangan berserak.
"Indah dengan Shah dah cukup sepadan macam Mumtaz dengan Taj Mahal. Cuba bayangkan kalau kahwin nanti berderet-deret baby yang kiut-miut macam mummy and daddy..."
Anak dara Dato Eliyas itu sememangnya sentiasa memandang diri sebagai yang terbaik. Dikenali juga sebagai si sosialit jelita, kehendak dan cita rasanya sukar dipenuhi. Cerewet.
Indah sentiasa inginkan yang terbaik. Kadangkala gelagat hidung tingginya itu agak ketara dan menjengkelkan orang-orang di sekelilingnya. Anak gadis tunggal jutawan katakan. Sudah leka dimanjai sepanjang hayat. Entahlah macam mana Si Samirah boleh bertahan mengikut telunjuk Indah setahun lamanya.
Walau bagaimanapun, Indah tetap punya sifat yang terpuji. Indah sebenarnya sangat pemurah dan punya hati yang lembut. Malah aktif di dalam aktiviti kebajikan. Gadis itu sememangnya berhak untuk bangga akan diri sendiri.
Indah memiliki kekayaan dan kecantikan yang jarang dimiliki oleh gadis lain. Muda, jelita, bebas dan kaya. Tubuhnya kerap bersarung helaian mewah Lanvin, Stella Mccartney dan Chanel. Cuma bab bahagia saja yang entah ada entah tidak. Sejak kebelakangan itu dia dapati Indah berkelakuan satu macam. Murungnya menjadi-jadi walaupun dia sentiasa cuba berlagak riang.
Pendak kata, Indah memang laku. Bukan sedikit lelaki-lelaki yang patah hati dek jelingan mata Indah. Kalau diibaratkan ranting, sudah pun bersepah. Termasuklah Shah Imran, saudara Marina sendiri.
Terkenangkan Hajah Embun, ibu kepada Shah Imran, hati Marina terasa resah. Entah macam mana dia mahu menjawab teguran ibu Shah Imran yang tengah memasang hajat besar hendak bermenantukan anak jutawan itu. Sudah bermacam-macam habuan yang diterimanya daripada Hajah Embun demi jaminan merealitikan hajat yang satu itu.
Malangnya Indah yang pada awalnya nampak begitu girang bercinta dengan Shah Imran kini sudah pun menyatakan pendiriannya berpisah dengan lelaki itu. Entah jantan yang macam manalah baru menepati cita rasa perempuan yang seorang itu. Marina menggeleng kesal.
"Hmmm, Rin... Janganlah marah. I tak kliklah dengan Shah tu. Kalau you nak, you rekomenlah I dengan yang lain. Asal you bahagia," balas Indah, manja.
"Ahaaa... Dengan Uncle Lokman tu pun tak apa!" gurau Indah, tersenyum nakal. Matanya bersinar girang.
"Dengan Abang Luqman? Ah, sudahlah you! Daripada rekomenkan you baik I rekomen diri sendiri. Entah-entah satu hari nanti dapatlah juga merasa pangkat Datin," balas Marina, berangan sambil menghela dan melepaskan nafas panjang. Kesal. Sebenarnya beberapa tahun yang lalu dia sudah banyak kali memperjuangkan nasib, namun biar dari sudut mana sekalipun dia mencuba, lelaki itu sekadar buat selamba. Lama-lama akhirnya Marina letih sendiri.
Dulu dan kini tiada beza walaupun Marina penuh yakin bahawa dia yang kini sepuluh kali ganda lebih bergetah. Sekali-sekala bertemu di majlis-majlis keramaian, Luqman melayaninya ala kadar, namun beradab sopan.
"Perasan!" bidas Indah sambil tertawa kecil. Setahunya sudah berdozen Dato yang pernah berskandal dengan Marina tetapi satu pun tidak pernah tersangkut lama. Diserang Datin-Datin adalah. Walau bagaimanapun semua itu tidak pernah menyekat cita-cita Marina untuk bergelar Datin. Marina tidak serik. Semangat juang perempuan itu tidak lembik walaupun umur kian menginjak ke angka 40. Tambahan pula melalui skandal-skandal singkat itu, kocek Marina kerap terisi. Modal untuk maintain ala Kylie Jenner itu bukan sekadar Ringgit Malaysia seribu dua. Style pinggang kerengga, dada mengkal dan bibir mungil, tebal dan seksi itu memerlukan belanja yang tinggi.
"Indah... You tak boleh buat keputusan terburu-buru. Fikir habis-habis. Dah berumur ni kenalah serius sikit. Sudah 26 tahun pun. Shah tu lelaki yang baik, berkerjaya, dari keturunan baik-baik dan kacak pula tu. Yang penting... Dia benar-benar sayangkan you," pujuk Marina sambil merangkul bahu Indah.
Mengalah tanpa sedikit pun mencuba untuk mengubah pendirian Indah amatlah merugikan. Nanti lesap pula Toyota Camry yang baru saja dihadiahkan oleh Hajah Embun itu. Bukannya senang mahu mencengkau 'duit pijak' secepat itu walaupun tak seberapa.
"Percayalah cakap I... Tak rugi kalau you terima dia. Dia pun agak popular. Muda bertenaga. Cuba bayangkan how great it is bila terpampang di media sosial gambar-gambar 'Shah & Indah honeymoon in Dubai' macam bintang filem. Kan, Samirah?" Marina menjeling mengharapkan sokongan daripada Samirah.
"Haah! Memang awesome!" balas Samirah, sambil-sambil berterusan membelai Si Roy. Kedua-duanya sudah pun bergolek berkuak lentang di sofa. Apa saja soalan yang dilontarkan, semuanya dia mengeyakan.
"Sammy, apa pendapat Sammy pasal Shah Imran?" soal Indah berpaling kepada Samirah sambil melemparkan senyuman manis.
Sudah berdozen kali dia melihat Samirah mencuri-curi pandang Shah Imran dari sebalik tirai. Gadis remaja seperti Samirah yang baru hendak mengenal dunia sememangnya teruja untuk berdampingan dengan jejaka 'anggun' seperti Shah Imran.
Mendengar soalan yang baru dilontarkan oleh Indah, Samirah segera bangun dan membetul-betulkan rambutnya yang hitam berkilat. Mata bulatnya merenung mamai pada muka Indah dan Marina. Pantas dia mencapai Roy lalu meletakkan kucing itu di atas pangkuannya dengan senyuman senang.
"Macam Roy... K-Pop, handsome dan manja!" Dengan kata-kata itu Samirah memberikan kucupan hangat di kepala Roy. Bibirnya melebar senyum.
"Thank you, Sammy. Kenyataan yang padat berisi! Tak sia-sia Kak Rin bagi kau jaga Si Roy tu. Nanti Kak Rin belanja makan." Marina segera mencelah dengan penuh semangat. Lega hatinya mendengar komen positif daripada Samirah itu.
Samirah sememangnya jenis yang kuat makan orangnya namun tubuhnya tetap sekeping macam batang tubuh seorang model. Iri hati Marina dibuatnya sedangkan dia siang malam terpaksa melepak di gym dan berkorban mengekang nafsu makan demi saiz impian. Malah semakin lama bersama Indah, Samirah kelihatan bagaikan klon Indah yang tidak berapa menjadi.
Apa tidaknya... Samirahlah yang menjadi pewaris tunggal pelbagai jenis kasut, beg tangan dan pakaian-pakaian berjenama yang Indah tolak ke tepi. Marina pula masih menggenggam ego dan maruah untuk menerima sedekah barang-barang terpakai seperti itu. Standardnya jauh lebih tinggi daripada budak Samirah yang entah diangkut dari ceruk kampung mana oleh Indah. Tiba-tiba saja kelihatan duduk termangu di meja dapur, bertocang satu dan berbaju kurung agak lusuh lebih kurang setahun yang lalu.
Jawapan daripada Samirah itu membuat Indah tersenyum tawar. Bagi Indah, model terbaik seorang lelaki sejati hanyalah Ilham Putra. Kalau ingin berumah tangga sekalipun dia perlukan seorang lelaki seperti Ilham. Tetapi roh dan jasad Ilham sudah tiada lagi di dunia ini. Berpuluh-puluh sudah lelaki yang pernah bertandang di dalam hidupnya, namun tiada satu pun yang mampu menandingi walau 50% Ilham Putra. Dia bosan dan letih mencari.
Kata-kata nasihat ibu saudaranya, Mama Khadeeja suatu ketika dulu masih jelas di telinga Indah. Lembut suaranya berkata:
"Demi mengimbangi kekurangan diri, Indah kena cari seorang lelaki yang berkarisma, bijak, jujur... Dan berjiwa pemimpin."
"Macam... Ilham," sambung Mama Ja setelah terdiam buat seketika. Redup pada wajahnya melambangkan satu jiwa yang sedang sengsara.
Indah sememangnya mengerti bahawa mengenang Ilham Putra memang satu tragedi buat Mama Ja. Ilham adalah satu-satunya buah hati sejati wanita itu. Tiada yang lain selain Ilham. Indah sendiri tidak pernah mampu mengambil tempat Ilham dalam hati Mama Ja. Sejak masih di dalam buaian, Mama Ja membelai Ilham bagaikan zuriat sendiri.
Kepada Ilham dicurahnya segala kasih sayang. Ilham mengisi kekosongan dalam hati Mama Ja yang lumpuh kedua-dua kakinya itu. Setelah pemergian Ilham sejak dua tahun yang lalu, Mama Ja berubah lesu bagaikan pepohon yang ketandusan air. Hilang sudah segala keceriaan yang pada suatu ketika dulu sentiasa bertandang di wajah Mama Ja. Tidak hairan sekiranya kerusi roda biru yang menjadi teman setia Mama Ja kini sudah jarang berubah tempat. Kecacatan pada kaki Mama Ja kian ketara. Selain dari lawatan bulanan ke rumah anak-anak yatim, Mama Ja juga sudah amat jarang bersosial.
Begitu juga dengan ayahanda Indah sendiri. Nampak benar perubahannya sehingga membawa kesan kepada kehidupan mereka sekeluarga. Dato Eliyas kini bagaikan si buta yang kehilangan tongkat. Masih terkejut dan kebingungan walaupun peristiwa pahit itu sudah lama berlalu.
Lelaki yang dulunya hidup mengutamakan fesyen dan style kini tidak endahkan semua itu. Kini muncul pula uban mencacatkan gaya. Kehilangan Ilham Putra adalah satu tamparan maha hebat kepada mereka sekeluarga.
"Guys! I have to go!" ujar Indah pantas, cuba menyekat rasa sayu yang mula menyengat. Mengenang walau secebis babak hitam di dalam hidupnya itu benar-benar membuat perasaannya bercelaru. Sebak. Beg tangan dan kasut dicapai dan dia mengayun langkah laju. Di luar gerimis senja mula menyapa.
"Please... Indahhh! Give him a chance!"
Namun pujukan Marina dibiarkan tanpa jawapan. Bagi Indah itulah jalan terbaik. Marina sememangnya pakar dalam kerja pujuk-memujuk. Seandainya dilayan, pasti perempuan itu menggunakan kepakarannya untuk melenturkan Indah. Kalau tidak macam manalah Marina boleh menyandang gelaran Pengurus Pemasaran dan Promosi terbaik di peringkat negeri di syarikatnya setiap tahun? Sudah tiga tahun berturut-turut Marina menjunjung Platinum Award. Sambil menjual kereta mewah, Marina sempat lagi mengayat. Seperti kata pepatah 'menyelam sambil minum air'. Begitulah kehidupan Marina Aisyah Mustaza. Dalam baik ada buruknya.
"And Sammy! Besok I nak ke ofis abah I, jadi I datang jemput you, okey?" kata Indah sebaik saja langkahnya menapak di muka pintu. Siap menyarung kasut ke kaki, dia segera menuruni anak-anak tangga.
"Ya ke? Oh, thank you!" balas Samirah riang. Kalau dijemput Indah, tentulah dia berpeluang berlepak-lepak di atas tilam sekurang-kurangnya sehingga jam 9.00 pagi.
Lazimnya Indah hanya melangkah meninggalkan katil apabila matahari sudah pun meninggi. Walaupun Indah hanya bermalam di banglo itu sekali-sekala sahaja, Samirah tahu hampir segala-galanya tentang gadis itu. Siapa lagi kalau bukan dia yang menjadi amah dan juga pengurus peribadi tidak rasmi anak dara Dato itu? Siapa yang mengutip baju-baju kotor Indah yang dibiarkan berselerakan di atas lantai kalau bukan dia?
Walaupun begitu, Samirah sebenarnya rela kalau dilayan bagaikan hamba abdi sekalipun. Indah tidak lokek. Indah melayannya seperti adik bongsu. Selain daripada mendapat habuan serta menumpang serba-serbi kesenangan hasil daripada mengikut Indah, dia sebenarnya terhutang budi kepada Indah.
Kalau bukan kerana Indah yang menyelamatkannya daripada diperkosa di jalanan setahun yang lalu dengan ketangkasan seorang wirawati dan memberikannya pekerjaan sebagai kerani pentadbiran di syarikat ayahnya, entah macam manalah nasib Samirah yang yatim piatu itu.
Dia bukan dari keluarga berada. Hidup kais pagi makan pagi di kampung halaman. Beberapa bulan selepas ibunya meninggal dunia, dia yang kehilangan tempat bergantung mula hilang arah apabila tidak diendahkan pula oleh saudara-mara. Dalam kesempitan hidup, dia mencuba nasib di bandar bersama seorang teman, namun nasib tidak menyebelahinya.
Kini Samirah merasakan kehidupannya amat sempurna walaupun hanya menumpang di banglo mewah itu. Dia tidak lagi kesempitan. Hatinya damai. Sesungguhnya Indah telah memberikan kehidupan baru yang begitu indah kepadanya. Indah membuka matanya ke dalam sebuah dunia yang di luar jangkaan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro